"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Thursday, February 7, 2013
Takut keseorangan dan kesunyian...
Saya suka ke Pusat Cerajem. Sambil merawat diri saya suka mendengar celoteh motivasi "Cikgu" di tempat itu. Pegawai pembantu di situ dipanggil "Cikgu". Mudah sahaja. Kami dipanggil ayah atau ibu, sesuai dengan umur kerana ramai yang terdiri dari warga emas.
Hari ini Mr Park, CEO pusat itu memilih tajuk "kesunyian". Dia boleh berbahasa Inggeris tetapi memilih untuk berbahasa ibundanya, Korea. Ia diterjemah oleh seorang pegawai Melayu, Malaysia lulusan University di Korea Selatan. (Agak hairan saya kerana pegawai ini terlatih sebagai jurutera tetapi kerjayanya berlainan pula). Tak apelah. Dunia ini Allah buat tidak sempit. Maka jangan kita yang menyempit-nyempitkannya. Allahu Akbar.
Mr Park membuka ceritanya mengenai bagaimana orang-orang tua di Korea Selatan menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di negaranya dari berzaman lamanya.Sebelum Korea maju dan membangun seperti hari ini, ramai penduduk kampung tidak bergantung pada perubatan moden. Tetapi mereka tetap menjaga kesihatan dengan berbagai cara. Terutamanya mereka amat menjaga makan dan pemakanan mereka dan menggunakan ubat-ubatan tradisional yang berasaskan herba.
Apa yang terlintas dihati saya sambil mendengari penerangan Mr Park ialah perbezaan cara warga tua melihat hidup dan kehidupan. Di Korea penduduknya menjaga kesihatan kerana mereka takut sakit dan bila sakit mereka takut terlantar dan tiada siapa yang menjaga mereka. Mereka tidak mahu dan ada yang tidak boleh dan tidak dapat bergantung pada anak-anak untuk menjaga mereka. Kata Mr Park, disebalik fikiran dan sikap itu sebenarnya orang Korea takut ditinggalkan kesunyian dan dalam keadaan sakit dan terlantar pula.
Panjang lebar ceritanya. Fakta yang hendak ditekankan ialah bahawa jika kita sihat kita boleh aktif hidup seharian dan dengan itu dapatlah kita membuat aktiviti yang menghilangkan rasa bosan dan kesunyian. Di sinilah Cerajem dapat membantu kerana dengan mengamalkan rawatan yang dipelopori oleh Cerajem kita boleh sihat dan penyakit yang dihidap boleh disembuhkan jika kita istiqamah menggunakannya. Cerajem telah menjalankan penyelidikan dan mengikut mereka hasilnya amat memuaskan.
Saya berbicara seorang diri. Sebenarnya di Malaysia pun begitu juga. Ramai warga tua yang takut tinggal beseorangan dan rasa keseorangan. Cuma perbezaan yang nyata ialah di Malaysia bagi mereka yang beragama Islam mereka tidak begitu takut keseorangan dan kesunyian kerana mereka faham di hujung kehidupan ada habuan yang menanti jika mereka beramal dengan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang oleh alQuran dan Hadith. Walaubagaimana pun, masih ada rasa kekhuatiran dikalangan sebahagian penduduk Malaysia bila melihat trend hidup masyarakat sekarang di mana generasi muda sudah tidak rapat dengan keluarga generasi tua kerana kesibukan berkerja dan mencari keselsaan hidup. Pemikiran mereka sudah amat dipengaruhi oleh nilai-nilai budaya asing. Ramai yang terperangkap dalam keselesaan yang menggunakan teknologi tinggi hingga kesatu tahap dimana mereka kurang berkomunikasi dengan golongan tua secara berhadapan muka dan secara sentuhan fisikal.
Maka saya katakan pada suami: 'Eluklah kita jaga kesihatan semoga kita dapat mengurus diri hingga ke akhir hayat dan semoga kita tidak rasa ditinggalakan'.
Terfikir juga saya: 'Agaknya bagaimana rupa bentuk kehidupan manusia (di mana jua) sepuluh atau duapuluh tahun akan datang. Ngeri saya memikirkannya. Tetapi adat kata saya sudah tidak ada. Cuma kita perlu beringat bahawa hidup sebenar kita menjangkau jauh beyond kehidupan fisikal yang ada sekarang.
Suami saya kata: 'Jangan takut sangat. Kita takut dan kita berharap sungguh-sungguh. Kita jaga Hak Allah, maka Allah akan jaga "hak" kita. Yakin pada hakikat itu'.
Cuma saya berfikir lagi bagaimana saya mahu mengatakan hakikat ini pada Mr Park, ia itu hakikat bahawa kita hanya diwajibkan untuk berikhtiar tetapi tidak boleh menidakan bahawa tanpa izin dan kehendak Allah tidak ada sesuatu pun yang boleh terjadi. Saya rasa takut tanggong jawab menyebarkan Yang Benar tidak dipenuhi dan bagaimana saya dapat membela diri di mahkamah Allah swt nanti. Saya berdoa semoga dapat peluang untuk berdakwah pada Mr Park dan mungkin pada peserta yang datang ke pusat itu supaya tidak terlalu ghairah menggunakan kemudahan Cerajem hingga kadangkala saya lihat ada yang bermasam muka jika gilirannya (atas sebab-sebab tertentu) diambil orang lain.Yang menentukan kesihatan kita hanya Allah jua. Kita sekadar berikhtiar.
Subhanallah Allahu Akbar. Semoga Allah mengampuni dan memberkati dan merahmati hidup kita kini dan selamanya. Semoga tidak akan rasa keseorangan dan kesunyian jika kita bertekad menyibukan diri dengan kerja-kerja amal sebaik mungkin dengan penuh keikhlasan.
Semoga umur kita sepanjang mana yang Allah kehendaki diberkati dan kita dikurnia kesejahteraan dunia dan akhirat.
Ameen.
....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment