"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, November 27, 2018

Nama menjadi tarikan....






Hari Selasa yang lepas saya miss Majlis Maulid Nabi saw sebab mahu segera balik Kuala Lumpur. Jalan sisir pantai Pontian Benut tidak jem dan kami masuk jalan yang exit keluar di Yong Peng.


Kehijauan laluan amat menyegarkan.
Kami singgah di tempat yang amat popular sejak kebelakangan ini.
Kari Kambing 40 Hari. 
Isu 40 Hari jadi tarikan. Katanya ia diasaskan oleh ahli
 Jemaah Tabligh yang berudaya
keluar 40 hari untuk kerja dakwah. Saya hanya mendengari.
 Unik juga pada pemikiran saya.
Pastinya ia menarik minat pelanggan yang berbagai citarasa.
Sudah lama saya ingin singgah dan baru ini kesampaian. Alhamdulillah.


Pakir kereta amat sesak. Banyak pula Motorsikal kuasa besar,
Saya sudah jangka ramai orang-orang muda singgah di sini.
 Ia jauh dari Exit Air Hitam.
 Tetapi jika minat hidangan kari kambing,
 maka tidak ada apa jua yang dapat menghalang.


Berbaris agak panjang tetapi perkhidmatan agak cekap dan cepat. 
Sediakan duit kecil untuk bayaran dan boleh bertambah cepat.


Saya suka pilih tempat yang ada kipas angin sebab tempat ini
 tidak ada pendingin udara.
Itu agak sulit buat saya. Saya sedikit tidak selesa walaupun hidangan sedap
dan menyelerakan. Berkata di hati. Jangan banyak karenah menghadap rezeki.
Ini kelemahan diri yang saya harus bersabar melalui.
Siap makan kami beredar. Agaknya memang tidak mahu pelanggan
belama-lama supaya boleh bertukar tempat duduk makan.
Saya rasa saya lebih suka kalau tempat itu selesa sejuk dan dapat menikmati
makan dengan lebih sempurna. Saya rasa insaf. Lain tempat lain caranya.

Apa pun..... Alhamdulillah. Kurniaan Allah pasti ada hikmahnya.

............

Monday, November 26, 2018

Express ke Pontian....






Minggu lepas Isnin saya balik Pontian tanpa rancangan. Amat bersyukur anak buah dapat muatkan saya dalam keretanya pulang bersama ibunya balik setelah selesai Umrah 10 hari.  Alhamdulillah sihat2 semua.

Pontian ialah Kampung kelahiran dan betapa saya selalu merinduinya. Terinagat emak-bapak semasa membesar. Kini sudah umur senja selalu teruja bila dapat balik kampung. Terhibur rindu bertemu kakak2 dan anak-anak buah dan rasa segar melihat bunga di sekeliling rumah.




Teringatkan emak saya yang suka tanam bunga-bunga-bunga dan pokok limau, ubi dan sepertinya.

Kali ini tidak sempat hendak memetik pucuk ubi dan limau nipis dan cili padi. Tetapi saya sempatkan pergi pasar beli ikan bilis kerana harganya jauh lebih murah dari harga di Kuala Lumpur. Senyum lebar puas hati alhamdulillah.

Saya sempat ambil foto kakak tersayang. Ia tinggal berseorangan dan rasa agak tersedih tidak selalu dapat menziarahinya.




Alhamdulillah Allah izin seorang kakak lagi tinggal berhampiran dan 
dia dan anak-anaknya membantu mana-mana yang perlu.


Tidak sampai 24 jam saya di Pontian. Balik semula ke Kuala Lumpur 
mengikuti  jalan yang saya tidak pernah ikuti. 
Anak buah saya expert menjelajah. 
Kami berhenti membeli  buah nemas, pisang dan ikan masin buatan Halal orang Melayu.
 Sangat menggembirakan kerana saya amat suka buah nenas. 

Semasa membesar di Penerok, Kukup, Pontian saya "hidup" dengan nenas,
 disamping ubi kayu keladi keledek dan sayuran kampung.
Rasa nostalgik dan rasa sayu. Tua begini lagi selalu ingat emak dan bapak.
Semoga bersamanya di Syurga Firdaus kurnian Allah jua. Aamiin.....


........

Sunday, November 25, 2018

Rasa ketinggalan....@ Ustaz Google?





Sekarang saya telah pindah dan tinggal di Precint 8, Putrajaya. Rasa agak sunyi sebab tidak ada teman-teman lama dari pengajian mingguan yang biasa diikuti di Kelana Jaya. Bukan rasa sunyi sahaja, malah rasa kehilangan dan rasa ketinggalan dan tidak tahu berita melainkan apa yang terbaca di media sosial dan di TV Unify.

Baru-baru ini anak buah saya mengirim beberapa foto yang diambil di Makkah semasa mengerjakan Umrah. Rasa teruja kerana sudah lama tidak berpeluang mengerjakan umrah. Allah belum menyampaikan hajat. Semoga satu hari nanti kesampaian juga hendaknya.

Makkah sudah banyak berubah. Saya mendengari penuh minat. Dalam pada itu saya mendengari juga cerita-cerita politik kerajaan Arab Saudi yang amat memihak pada Amerika Syarikat dan Israel dan tidak mesra dengan negara-negara Arab seperti Qatar dan Palestuine. Kesemua cerita saya perhati sendirian, dan mengambil maklum maklumat yang ada kaitan dengan perjuangan Islam dan bahaya yang sedang di hadapi vis-a-vis negara-negara yang dipengaruhi oleh Zionist. Dalam umur senja sekarang saya tidak menumpu beraktif dalam mana-mana NGO yang berkaitan dengan hal-hal perjuangan Islam. Saya hanya mampu meyibukan diri, walau sedikit, cuba bersiap sedia kerana baki masa di alam ini adatnya tinggal amat sedikit sekali.

Dalam kemelut politik di dalam dan diluar negara sekarang ini, saya rasa agak cemas, takut kalau-kalau timbul kekecohan dalam masyarakat yang membuatkan hidup harian tidak stabil. Maka saya bertekad buat  keputusan untuk menyempurnakan carian ilmu yang berguma untuk persediaan berpindah ke Alam Sana pula.

Jiran jiran semuanya baru dan jauh lebih muda. Sebagai ahli yang sudah berumur saya kurang berkemampuan mengikut rentak orang-orang muda. Maka saya tidak keluar ke Majlis-majlis Ilmu yang jauh dari rumah. Saya mencari alternatif dan buat sementara ini saya "menuntut Ilmu" melalui para guru dalam Utube. Tindakan ini belum sempurna tetapi saya tiada pilihan lain.

Saya rasa agak berpuas hati kerana ramai Ustaz-ustaz dalam Utube yang hebat-hebat belaka...... dari Indonesia dan Malaysia. Alhamdulillah. Saya mendengari juga yang dari US dan UK. Amat membantu kefahaman saya. Yang saya sedang ikuti dengan kerap sekarang ini ialah Ustaz Adi Hidayat dari Indonesia. Saya rekomen untuk kekawan juga mendengarinya. Semoga bermunafaat. Saya mengikuti juga yang lain-lain. Tidak perlu saya senaraikan di sini sebab amat mudah mencari yang lainnya.

Semoga Allah sentiasa menunjuki jalan dan memberi ruang dan peluang untuk membaiki diri semoga Allah kurnia yang terbaik di sisiNYA. Aamiin......


.........

Thursday, November 22, 2018

Bagaimana hendak ku katakan.......



Ya Rasulullah.......
Solawat dan Salam dari hati seorang insan.....

Aku tidak pernah bersua wajah  mu,
Aku tidak pernah mendengari suara mu
Tetapi aku yakin sepenuh jiwa engkau terpilih dengan Wahyu
Memimpin manusia mencari Redha Allah tanpa ragu.

Bagaimana hendak ku katakan
Aku amat rindu pada mu
Bagaimana hendak ku katakan
Aku yakin pada ajaran mu
Tetapi aku masih belum boleh akur kesemua yang aku janji pada diri ku.

Bagaimana hendak ku katakan
Aku amat rindu pada mu
Sememang tidak ada pilihan lain yang ada di hati ku
Bagaimana hendak ku katakan, akan ku rejam segala rintangan
Tetapi ada kalanya bila tiba saatnya aku sering kehilangan
Aku kehilangan semangat juang yang kau ajarkan supaya komitmen ku tiada tandingan
Aku sedih, bingung bila sahaja aku kecundang....

Bagaimana hendak ku katakan
Aku amat rindu pada mu
Bagaimana hendak ku katakan
Aku bersedia, aku redha menghadapi segala ujian
Akan ku renangi lautan dalam dan sunami yang menjulang
Dan akan ku daki gunung setinggi mana pun ukuran
Tetapi ada kalanya aku masih tidak tegar, masih goncang bila dicabar keadaan
Aku masih tertanya-tanya dan terfikir-fikir membolak balik fikiran
Takut mahu berterus terang, bangkit bina kekuatan melawan godaan manusia dan jin jelmaan

Ya Rasulullah......

Aku malu pada diri kerana Iman masih rapuh dan Taqwa masih jauh
Aku sepertinya mengkhianati didikan ayah-ibu dan mengkhianati tunjuk ajar  mu
Alasan apa yang dapat membela perilaku diri ku
Hanya doa mohon sejuta keampunan yang ku panjatkan dalam sedan-sedu.

Ya Rasulullah.....

Aku sering berdoa semoga aku dikurnia Syafaat mu di Hari yang semua insan keseorangan
Tiada bantuan dan tiada kasih sayang jika tiada belas ehsan dari yang maha Menentukan
Sering aku mimpikan keberadaan mu dan di Hari itu nanti aku mendapat pembelaan
Yang tidak ternilai kiraan...
Di Hari yang aku sering terbayang engkau di hadapan ku memberi harapan
Membela aku di hadapan Allah yang maha Pencipta dan pada hambaNya maha Kasihan

Ya Rasulullah....

Pada mu aku mengharapkan, tawasul yang Allah benarkan
Dan aku akan terus mencuba sekuat kederat ku mengikuti segala ajaran
Semoga aku sihat dan semua deria kurniaan Tuhan aku munafaatkan
Semoga di hadapan Allah nanti engkau akan senyum melihat diriku aman
Berkat kurniaan Allah akan Syafaat mu yang aku sentiasa pohonkan
Dengan air mata penuh kesyukuran aku kau iktiraf Umat mu dan Allah menghulurkan 'tangan'...
Tanda keunggulan Nafsu Mutmainah yang aku mimpikan akan jadi kenyataan
Semoga Allah sampaikan, Allah terima penuh kasih sayang.
Hanya pada Dia sahaja kebergantungan....
Semoga bahagia Allah kurnia Syurga Firdaus berama mu dan semua yang ku sayang.

Solawat dan Salam Ya Rasulullah, Junjungan.



........

Wednesday, November 21, 2018

Mengingati Raulullah Saw......


Image result for fotos on maulid Nabi



Image result for fotos on maulid Nabi



Perbezaan pendapat megenai harus atau tidak kita  mengingati hari kelahiran
 Junjungan Besar Nabi kita Muhammad Saw berlaku setiap tahun dalam ingatan saya.
 Saya bukan pakar dalam hal ini maka saya ikut sahaja
 pendapat yang mengatakan "harus" atau boleh.
Apa jua pendapat ada Nas dan hujah-hujah yang ada kebenarannya.
Semoga saya tidak sesat dan menyesatkan.

Saya hanya bersolawat sendirian 
dan saya merenung jauh jarak ketinggalan untuk mengikuti contoh-contoh yang kita dituntut mengikuti. Semoga Allah masih mengurnia umur yang dapat dimunafaatkan untuk lebih dekat pada Rasulullah Saw dan justeru lebih dekat pada yang maha Pencipta dan maha Agung.
Pengabdian kita hanya padaNYA. Mohon keampunan Mu ya Rabb......


........foto ehsan carian google........

Monday, November 19, 2018

Nikmat Allah yang mana..........

Alhamdulillah.
Samapai hajat saya untuk merakam peristiwa 2 orang kakak saya mengerjakan
 Umrah dalam usia yang agak lanjut.


Sehari sebelum berangkat seberapqa ramai ahli keluarga yang jauh dan dekat
di jemput hadir ke rumah anak kakak saya Di Desa Pinggiran Putrajaya
untuk Silaturahim dan berdoa selamat
 semoga sempurna menjalani Ibadah Umrah.
Foto di atas di rumah Azrain seramai yang mungkin.
Ditengah-tengah ialah abang saya, Ahli keluarga lelaki yang tertua (74 tahun).
Di kanan dan kirinya adalah kakak2 saya  yang akan Umrah.
Ia diketuai oleh anak kakak saya Azmin yang duduk berbaju belang biru.
Isteri dan anak-anaknya turut sama.


Ini foto sejurus sebelum bertolak ke KLIA.


Ini foto kesemuanya yang Umrah dan merakamkannya
semasa di Madinah.


Kakak saya berjumpa bekas anak muridnya semasa di Sekolah Rendah
 di Pulai Sebatang, Pontian.
Dia kini bertugas sebagai Mutawif dan berjumpa secara kebetulan.





Semasa makan di Hotel penginapan.






Tiga foto di atas istimewa buat saya.
 Yang tinggi berumur 79 tahun dan yang rendah berumur 82 tahun.
Alhamdulillah Allah kurnia kesihatan dan tenaga yang mencukupi.






Alhamdulillah. Mereka dijadualkan pulang esuk lusa.


A013
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?

(Ar-Rahmaan 55:13) | 
......

Sunday, November 18, 2018

Mereka peduli......






Diumur senja biasanya ramai kekawan sudah tiada. Anak-anak tinggal jauh dan tenaga diri sudah banyak berkurangan. Nanti ada ibu ayah yang ikut anak tetapi ada anak-anak yang tidak ambil peduli. Namun hari ini saya mahu bercerita  yang indah-indah sahaja diumur tua ini. Allah melihatkan pada hamba-hambanya akan kebesarannya dan kasih sayangnya. Cuma kita sering tidak dapat melihatnya dengan mata hati.

Maka ustaz mengajarkan supaya kita selalu memohon doa semoga kita sentiasa bersangka baik pada apa jua yang berlaku pada diri kita. Pergantungan kita hanya pada Allah sepenuhnya. Tiada kekuatan melainkan kekuatan dari Allah jua. Dengan kerajinan berdoa dan bermunajat dan beramal soleh  semoga Allah menjadikan kita Muslim mukmin yang beriman dan bertaqwa.

Saya suka berkongsi cerita adik ipar saya di Cyberjaya dan adik-adik lain yang amat ambil peduili pada suami (abangnya) dan saya. Antaranya ia telah membelikan basikal 3 roda untuk melatih diri jadi aktif....tidak hanya rehat dipembaringan.

Alhamdulillah......

Seminggu 2 kali pun mencukupi buat permulaan. Ia akan berbasikal dalam 5 kilometer perlahan dan berhenti-henti. Kekadang saya ikut dari belakang dengan basikal 3 roda juga. Tetapi saya lebih suka berjalan dengan agak pantas. Tidak takut tumbang.

Saya amat bersyukur dengan keluarga besar suami saya. Mereka sering ziarah kami dan beli makanan untuk breakfast bersekali kerana saya tiada pembantu. Biras saya (suaminya sudah meninggal) yang duduk di Kajang sering datang di hujung  minggu dengan anak-anaknya untuk sembang-sembang santai. Saya ambil peluang cerita politik negara kerana 2 orang anaknya masih belajar di Universiti tempatan. Saya tidak mahu menekankan pada ajinda politik mana-mana parti. Cuma saya suka menekankan bahawa ramai dikalangan pemimpin politik dan pengikut-pengikut tegarnya yang tidak pintar dan tidak boleh berhujah secara berfikiran total tetapi bersuara untuk buat kecoh sahaja. Sering saya dengari ada pemikiran yang senghaja berat sebelah....atau "bias". Maka  saya katakan pada anak-anak buah saya itu  bahawa orang politik yang benar-benar matang harus berhujah dengan cara holistik. Jika kita mengatakan sesuatu perkara itu tidak bagus, maka kita harus memberi cadangan balas yang meyakinkan bersekali dengan cadangan bagaimana mahu mengimplementasikan cadangan balas itu. Jangan sesekali  kita berhujah kosong atau semata-mata rhetorik. Ia hanya memuaskan nafsu tetapi susah hendak di lihat dan diikuti secara praktikal.

Tidak mudah berbicara dengan anak muda di keluarga besar saya sebab masing-masing ada pengalaman yang berbeza. Itu tidak menjadi masaalah buat saya kerana sesuatu pemikiran itu bukan mesti diterima serta merta. Ia memerlukan masa untuk memikir semula hujah-hujah yang dihadapkan. Semoga sembang santai kami dalam keluarga dari masa kemasa akan membuahkan sesuatu yang bermakna buat kehidupan jangka pendek dan jangka panjang dan semoga bermunafaat untuk hidup di alam akhirat nanti.

Sementara itu saya dan suami akan memunafaatkan basikal warga tua setiap hari walaupun sekejap sahaja........



........

Sayang SmartTop.....






Walaupun kurang sihat saya kuatkan diri hadir di Majlis Anugerah Kecemerlangan Tadika dan Taska  yang saya berkongsi urus di Tangkak.

Kali ini Majlis diadakan di Sekolah Kebangsaan  Ledang dengan sewaan dewan yang telah disponsor oleh teman akrab yang sentiasa membantu kami.

Sekolah ini punya landscap yang cantik dan saya gembira tempat kami berkumpul kali ini sangat selesa. Di bawah ini saya turunkan beberapa foto suasana memasuki dewan pada pagi itu.

 



 Majlis bermula dengan ucapan alu-aluan oleh Penerusi Lembaga Pengelola, 
Ybhg Datuk Safarudin Hj Mohd Sidek.


Suasana Dewan Besar di mana Majlis diadakan.


Acara dimulakan dengan hafazan alQuran oleh anak-anak Tadika.
Ada yang sangat baik bacaannya dan ada yang memadai sebagai permulaan.
 Yang penting anak-anak dibiasakan dengan membaca alQuran semoga 
dewasa nanti ereka akan sentiasa peka pentingnya alQuran.





 Di atas adalah antara acara yang dipertunjukan oleh murid-murid
 Tadika /Taska SmartTop.
 Saya turut teruja kerana bukan mudah hendak mengurus anak-anak kecil.
Tahun ini SmarTop telah mengembangkan sayapnya ke premis baru,
 iaitu di Maktab Matrikulasi Bandar Tangkak.
Saya seronok dengan perkembangan ini.


Ini kumpulan anak-anak semasa rehersal. Saya selitkan foto ini untuk
 kenanagan betapa mencabar mengurus anak-anak kecil.




Di atas kelihatan Ibu Bapa yang sibuk merakam foto anak masing-masing.
 Saya turut teruja dan amat menginsafi usaha membangunkan Tadika/Taska
 bukan suatu yang mudah untuk
memuaskan setiap citarasa ibu bapa.


Ini barisan guruguru/pengasuh anak-anak SmarTop Subur Fitrah.
Duduk di hadapan Ahli Lembaga Pengelola bertugas sukarela.


 Ini saya dan pengetua Tadika /Taska. Teacher Izzah namanya.


Foto kenangan  setelah tamat menyampaikan
 hadiah kecemerlangan pada anak-anak.

Itu sahaja catatan ringkas "Saya Sayang SmarTop".
Semoga usaha ini berterusan.

.......

Saturday, November 17, 2018

Menguatkan diri ke Tangkak......




Kelmarin 16 Nov, saya lewat petang dari Tangkak, Johor dan saya sampai rumah Putrajaya melalui MEX (Maju Expressway yang dahulunya dipanggil Kuala Lumpur - Putrajaya Expressway)  Ini pemandang senja dalam perjalanan pulang.

Cantik sungguh Malaysia.......

Sebenarnya saya kurang sihat tetapi saya rangsangkan diri untuk bangkit dan pergi untuk Majlis Ihtifal SmarTop Subur Fitrah yang saya dan sahabat akrab saya bangunkan sejak  tujuh tahun yang lalu. Rasa teruja sepanjang perjalanan pergi menaiki kereta teman saya seolah-olah membuat saya rasa lebih muda dari umur lebih tujuhpuluhan. Alhamdulillah.


Tangkak bandarnya kecil sahaja tetapi dalam hampir setahun saya "mengurus" SmarTop merlalui telefon, telah menampakan perubahan dari segi pembinaan membaiki jalanraya dan bangunan lama.
Saya tinggal di Lerek Inn kepunyaan bumiputra. Comel biliknya dan hanya berharga rm65 semalam. Mencukupi buat saya. Alhamdulillah.



Deretan bilik yang comel dan selesa.


Merakam foto buat ingatan semoga Allah masih kurnia umur yang bermunafaat.


Ini warong kecil berhampiran tempat kami sarapan pagi 
sebelum menjalankan tugas selama 2 hari.


Saya pulang menaiki bas Cepat Express seperti dahulu semasa kerap ke Tangkak.
Di sini foto di station bas Tangkak dengan teman dan cucu-cucunya.


Ini keluarga teman saya dan saya anggap mereka anak angkat saya.
 Foto dirakam sebelum ke station  Bas di bandar Tangkak.


Sehari sebelum itu sempat pergi "window shopping" di AEon, Air Keroh ikut teman saya
 membeli ubat-ubatan untuk dirinya.

Dua hari aktif di Tangkak membuat saya bersemangat untuk rasa sihat walaupun kurang sihat. Saya sering ingat bagaimana Tun Mahathir yang berumur 93 tahun boleh mengendali Negara dan saya yang baru nak masuk 72 tahun sudah tertakut-takut untuk bangun berbuat sesutau yang menggunakan tenaga dalam keadaan yang kurang selesa. Emak saya dahulu selalu pesan supaya saya tidak memanjakan diri walaupun keadaan hidup sudah bertambah baik. Hendaklah ingat bahawa dahulu ayah emak saya adalah pendatang dari Tanah Jawa sehelai sepinggang dan membesarkan 8 orang anak bermula dengan menebang hutan dan menanam pokok getah.

Alhamdulillah, itu sejarah kerluarga yang tidak akan saya lupakan. Dan saya tidak mahu katakan kaum lain yang buat saya tidak sekaya orang-orang kaya. Usaha keluarga saya sudah optima dan semoga saya dapat mendorong anak cucu supaya ada keyakinan dan ada daya ketahanan untuk kerja kuat dan tidak menyalahkan orang lain atas kelermahan kita sendiri.

Semoga Allah sentiasa membuaka ruang dan peluang dan menunjuki jalan yang terbaik di sisiNya.
Aamiin......


........
Related Posts with Thumbnails