"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, December 17, 2011

PAUTAN KASIH.




Hujan yang renyai menjadi lebat sebelum aku dan suami sampai ke rumah Ina di kampung Sungai Bayor, Selama Perak. Seperti ia mengiringi rasa hati ku yang bersedih kerana  mendapat tahu Ayah Ina telah meninggal dunia.

Ina adalah pembantu rumah ku yang amat aku kenang jasa-jasanya yang membantu keluarga penuh kasih sayang pada anak-anak yang masih kecil-kecil ketika itu. Ina membantu penuh setia dan tidak pernah merungut atas kekurangan yang dilaluinya. Ia bersama ku hampir 7 tahun dan berhenti kerana ingin  berumah tangga bagi dirinya sendiri. Dialah pembantu yang terakhir sebelum keadaan memaksa aku mengambil pembantu dari negara jiran.

Aku ke sana bila mendengar berita kematian ayahnya, walaupun sudah seminggu lepas dari peristiwa itu. Aku mestikan bagi diriku untuk menziarah  keluarganya walaupun akau tahu pastinya Ina sudah pulang ke Ipoh dimana ia tinggal bersama suami dan 4 orang anak. Akhir sekali aku menziarahinya di Ipoh sudah 10 tahun yang lalu. Namun dihati keluaraga ini amat istimewa bagi ku kerana aku banyak mempelajari erti pengorbanan hidup dari Ina sendiri walaupun umurnya ketika itu baru 20 tahun.





Suasana rumahnya masih seperti dahulu. Rumah kampung yang diperbuat dari papan nampak semakin  uzur. Cucuran air hujan yang tertadah di teritis rumah ibarat air mata yang turun tanpa dapat ditahan-tahan. Ia air mata seorang isteri yang kehilangan suami dalam usia senja dimana ia memerlukan pautan kasih untuk terus mengharung hidup yang serba kekurangan.

Aku cuba mengambil gambar keluarga untuk ku abadikan dalam simpanan ku. Mula-mula ia menolak dan aku pujuk sambil bercerita hal-hal yang dapat menggembirakan hatinya walaupun untuk seketika. Ini foto ku di ruang dapur dan di bawah ini gambar suami dan anak lelakinya yang masih berada di rumahnya untuk metenteramkan hati ibunya. Itulah pautan kasih sejati. Tidak berharta yang menggunung tetapi berhati budi yang halus ibarat sutera. Sejuk perut ibu mengandung. Hati kecil ku berkata-kata: " Kalaulah aku berkemampuan yang lebih dan keadaan mengizinkan akan ku bawa anak bongsunya berkerja di Kuala Lumpur. Itulah doa ku, semoga Allah mendengari."


Salam takziah bagi Ina dan Bibi yang belum aku bekesempatan menziarahinya. Semoga Allah menempatkan Ruh Pak Haji Yusuf denga Ruh orang-orang yang Soleh dan mendapat kurnia Rahmat Allah yang tidak terhingga. Amin.



ooo

Friday, December 16, 2011

"BERAZAM BESAR"

Saya membesar dalam keluarga yang serba kekurangan. Maklumlah kerana saya dari keluarga pendatang. Bapak dan emak saya berhijrah dari Tanah Jawa sebelum kurun yang ke20. Alhamdulilah, Allah kurnia kemudahan dan rezki yang amat mencukupi bagi golongan orang seperti saya dan keluarga.

Warisan yang Allahyarham bapak dan mak saya tanam ialah untuk sentiasa berkerja memperbaiki taraf hidup supaya kehidupan ini bukan untuk sendiri tetapi untuk orang lain juga. Kalau dalam istilah sekarang pastinya ia berkata : Kita harus berazam besar, bercita-cita besar dan berhati besar. Maka istilah besar sentiasa ada dalam sanubari saya.



Maka dalam musafir saya ke Melbourne dan Adelaide baru-baru ini saya rakamkan gambar-gambar yang membawa erti besar secara simboliknya. Saya kongsikan di sini secara santai dan semoga memberi pengertian yang  bermakna dalam  fikir zikir kita.

Ini pohon-pohon  besar yang menarik perhatian saya selama musafir. Maklumlah saya membesar di pinggiran hutan maka pohon-pohon menghijau menjadi suatu nostalgia bagi saya.

Pohon-pohon  di taman berhampiran dengan Hotel Downtowner 
on Lygon Street tempat penginapan di Melbourne


Pohon-pohon berhampiran sebuah Ranch di Philip Islands.

Dahan pohon besar di Wetlands di Adelaide.

Ingat Hati Nak Peluk Gunung, Apakan Daya Tangan Tak Sampai !
Besarnya Pohon ini ! MasyaAllah !

Besarnya pohon-pohon ini amat menakjubkan pemerhatian saya. Semoga perkongsian ini memberi makna. Semua nya menggambarkan luasnya kuasa dan qudrat Ilahi. Dalam alQuran di rakam seperti berikut:
"Dialah jua yang memiliki segala yang ada di Langit-langit dan yang ada di Bumi, serta yang ada diantara keduanya, dan juga yang ada di bawah Tanah basah di Perut Bumi."  Surah Ta Ha, Ayat 6.
Diriwayatkan dalam sejarah bahawa ini adalah antara ayat yang didengari oleh Saidina Umar Al Khatab yang menariknya untuk beriman. Semoga kita mendapat barakahnya. Amin.


ooo

Tuesday, December 13, 2011

KENANGAN SERONOK

Kenagan musafir ke Adelaide dan Melbourne ada yang seronok dan yang kurang seronok. Alhamdulilah, yang kurang seronok cuma pemeriksaan immigration dan customs di Airport Melbourne. Proses itu mengambil masa lebih satu setengah jam. Ia seperti yang dilihat dalam TV program "Border Control" di Astro. Saloran yang diarah bagi suami dan saya tidak kena dihidu anjing. Tetapi kami menunggu lama untuk beg-beg di x-ray. Saloran adik ipar saya berlainan dan mengalami proses di hidu oleh anjing-anjing khas.





Kenangan seronok saya rakam di sini sekadar melihat kebesaran Allah yang jarang-jarang kita lihat. Di pantai yang indah ini katanya ada kumpulan anjing laut (seals) tetapi hari itu tidak kelihatan. Namun melihat ombak memukul pantai yang berbatu besar membuat hati berdetik. Maha teliti ciptaan Allah. Tidak ada yang wujud secara kebetulan.
Allahuakbar.

Kami menaiki bas pelancung yang membawa kami ke beberapa tempat menarik. Saya rakam juga di sini sekadar satu perkongsian santai. Di bawah ini kesan hakisan ombak selepas beribu tahun. Kami lihat ini mengikuti Tour "The Great Ocean Road".


Gambar di bawah ini pula hanya kenagan untuk cucu-cucu lihat. Tok Ayah with the birds.


Seronok rasa bebas tiada masalah buat seketika.
"Maka nikmat Allah yang mana yang hendak kamu dustakan"


ooo

Friday, December 9, 2011

BIARKAN MEREKA PUPUS ???


Australia bukan satu destinasi yang aku idam-idamkan selain dari mahu menjejakan kaki ke bumi Allah yang diiktiraf  benua. Sewajarnya aku mahu merasai dan melihat sedikit sebanyak keseronokan cerita-cerita yang dibawa balik oleh rakan-rakan yang pernah ke sana terlebih dahulu. 

Australia (Adelaide dan Melbourne) yang ku lihat tidak banyak beza dari negara Barat yang lain dari segi kesibukan bandarnya. Cuma pada aku Australia kurang "personality" jika aku banding dengan United kingdom yang ku lihat sebahagian besarnya, melainkan Ireland. Mungkin kini di umur senja maka aku tidak teruja seperti pengembaraan ku ketika muda dahulu. Walaubagaimanapun aku masih kagum dengan apa yang Allah kurnia  di bumi Kangaroo dan bumi Kaola ini. Aku pergi juga mengikuti Tour ke daerah Philip Island dan  kemudian melihat Penguins di tempat aslinya di mana usaha telah dijalankan untuk memelihara kewujudanya untuk generasi mendatang menikmati terus keindahannya.

Dalam perjalanan ke sana banyak pemandangan yang akan ku bawa balik untuk ku ceritakan pada cucu-cucu. Di bawah ini beberapa foto-shoot untuk aku kongsikan.





" Maka nikmat Allah yang mana yang kamu hendak dustakan"

Kangaroo dan Kaola (bear) telah ku sebut sebelum ini semasa aku di Adelaide. Di Melbourne tidak ternampak kangaroo tetapi kami nampak kaola. Ternakan lembu dan kambing biri-biri ada di sepanjang perjalanan. Kadang-kadang ladangnya seluas mata memandang. Allah kurnia Australia bumi yang subur dan tanaman anggur dan olive mudah didapati.


Kami dibawa ke tempat Penguins dan Tour ini di beri kod  "Penguin Parade" kerana mereka akan berbondong-bondong balik dari lautan melalui pantai untuk pulang ke "burrows" mereka membawa makanan untuk anak-anak.  Penguins ini pergi waktu subuh  sebelum terbit mata hari dan akan balik ke pantai watu senja yang hampir malam. Pada hari itu kami menunggu kepulangan mereka dalam kesejukan suhu hampir 10 darjah Celcius. Kami duduk di tempat khas dalam hujan renyai-renyai. Kami tidak dibenarkan mengambil apa jua foto kerana ini akan menggangu ketenteraman mereka. Tempat ini digazet tempat terpelihara dan mereka mahu memastikan penguin-penguin ini kekal di situ, membiak dan diharapkan terus hidup dan tidak pupus.

Beraksi dengan pengui di bilik pameran. Penguin ini jenis yang terkecil di dunia.



Aku rasa agak kagum dengan cara kerajaan Australia cuba memelihara kehidupan liar yang ada di bumi ini. Berjuta dollar diagihkan bagi tujuan ini. Bukan Penguins sahaja tetapi semua jenis kehidupan liar yang mudah pupus. Aku berharap semoga Malaysia pun begitu juga dengan kehidupan liar yang ada di negara kita. Ini juga tuntutan ajaran Islam yang mulia.

Namun dalam kehebatan cara Australia mentadbir negara, ada satu dua perkara yang aku kira ia satu "irony", iaitu percanggahan antara satu dasar dengan satu dasar yang lain. Aku nampak jelas mengapa mereka  bersungguh-sungguh hendak menentukan kehidupan liar mereka tidak pupus, seperti penguins di atas tadi. Tetapi dalam masa yang sama dasar sosial negara  mengenai  perkahwianan tidak mengambil kira pentingnya kewujudan manusia sebagai satu specie dalam dunia ini berterusan.

Begini maksud aku. Tolong tegur jika pendapat ku ini tersasar.

Semasa di Melbourne aku sempat  menonton TV yang menyiarkan secara langsung Pehimpunan Agong Party Buruh yang sedang memerintah sekarang ini. Mereka mahu meluluskan rang undang-undang yang mengiktiraf hubungan sex sesama jantina, (gay atau lesbian). Perbahasan yang diutarakan banyak memfokus kepada hal-hal kebebasan, keadilan dan hak asasi manusia. Ada pihak yang tidak bersetuju kerana ini berlawanan dengan falsafah perkahwinan yang telah mereka pegang selama ini. Definasi perkahwinan adalah antara lelaki dan perempuan, bukan sesama jantina. Tetapi apabila pengundian dibuat, majority ahli party mahu rang undang-undang meluluskan pengiktirafan gay dan lesbian diluluskan. Itu menjadi pendirian Party dan  ramai pemerhati berpendapat ia akan menjadi pendirian  Parlimen.

Aku rasa pelik melihat bagaimana mereka rasa pandai dan bijak untuk mengubah fitrah manusia. Pada aku hakikatnya  satu : Kalau Gay dan Lesbian dibenarkan bebas dengan falsafah kebebasan dan keadilan mereka, maka akan pupuslah manusia. Siapa yang boleh dan mahu melahirkan anak? INILAH KEADAAN YANG SESAT LAGI MENYESATKAN.

Tetapi aku yakin yang akan pupus adalah golongan yang tidak ada pegangan dan keyakinan atas hakikat fitrah kewujudan manusia yang Tuhan telah tentukan. Mereka hanya percaya pada konsep  kebebasan yang mereka rasakan betul  tetapi tidak berfikir langsung fitrah sex yang Tuhan kurnia. Aku sebenarnya ingin bertanya golongan ini sama ada mereka betul-betul melihat sifat kejadian diri mereka. Tidakkah pernah mereka membelek-belek anggota mereka?  Haiwan pun tidak ada yang mengawan sesama sex. Saya ingin bukti jika ada yang percaya ada. Fikiran songsang seperti ini semakin berleluasa.

Maka aku merasakan bahawa  kesimpulannya ialah haiwan terus wujud dan manusia akan pupus. Cuba kita fikir-fikirkan.

Di Malaysia aku perhatikan sudah mula nampak fenomena mahu ikut orang Barat dalam menegakan apa itu kebebasan, apa itu keadilan dan apa itu hak asasi manusia mengikut cara akal semata-mata. Tetapi pada aku mereka tidak ikut akal pun. Akal letak dikepala lutut. Bagaimana manusia boleh membiak?


Bila manusia mengaggap diri mereka terlalu bijak, pandai dan pintar, maka otak mereka menguasi rohani mereka. Yang ada semata-mata nafsu. Bukan nafsu binatang, sebab binatang ikut fitrah kejadiannya dan binatang tidak songsang. Mereka yang tunjuk pandai ini ikut entah apa. Bodoh tidak boleh diajar dan pandai tidak boleh diikut.

Marah?
Tidak. Cuma kecewa.
Sewajarnya kecewa kerana mereka membuang masa dan tenaga masyarakat umumnya. Mereka menyebabkan wujudnya penyakit-penyakit yang berkaitan dengan perilaku songsang ini. Manusia berzaman telah diberi contoh kerosakan yang berlaku bila manusia berfikiran dan bertindak songsang. Allah telah larang seperti tersebut dalam al Quran bila menceritakan perihal kaum Nabi Lut AS. Orang bukan Islam tidak percaya yang Quran kata, tetapi ada orang Islam yang  tidak mahu bertegas dengan erti kata yang sebenar-benar tegas walau pun mereka ada memgang kuasa. Cuba kita perhatikan dan semoga kita sebagai ahli masyarakat turut mencegah yang songsang ini mengikut kemampuan yang ada. Allah maha mendengar dan Allah maha melihat.

Barang diingat Surah Al Qamar, ayat 33-36.
"Kaum Nabi Lut telah mendustakan peringatan dan kebenaran. Sesungguhnya kami telah menghembuskan kepada mereka angin ribut yang menghujani mereka dengan batu-batu kecil kecuali keluarga Lut. Kami selamatkan mereka pada waktu jauh malam sebagai limpah kurnia dari Kami. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang bersyukur. Dan sesungguhnya Nabi Lut telah memberi amaran kepada mereka mengenai azab siksa Kami tetapi mereka tetap mendustakan amaran-amaran itu."
Ya Allah, jadikanlah kami manusia yang menginsafi kelemahan diri dan berlindung dengan Mu dari kerosakan tangan-tangan dan akal manusia yang mengabdikan diri pada yang selain dari Mu.


.....

Thursday, December 8, 2011

" AFGHAN CHAPEL" DAN UYGHURS DI ADELAIDE.






Tidak sah rasanya bila musafir tidak bertemu dengan masjid. Kenapa ye? Rasa seperti jauh. Tapi Allah tu kan di hati letaknya. Takut lalai..........

Ini Masjid di Adelaide. Kami di bawa oleh Hafiz, anak buah suami saya yang berkerja sebagai Doktor Perubatan dan bercadang menetap di sana. Kami kata, asalkan kita berakhlak mulia, di mana saja kita boleh tinggal. Semuanya Bumi Allah. Hafiz senyum sahaja kalau kami kata begitu.

Masjid ini kecil sahaja tetapi yang menarik perhatian ialah maklumat yang ada di papan tanda yang saya ambil fotonya seperti di bawah ini.


Ia ditubuhkan oleh orang Afghan dalam tahun 1888. Mineret yang empat dibina dalam tahun 1903. Disebut "Afghan Chapel" agaknya ketika itu tidak boleh disebut 'mosque'. Ini membuat saya kagum dengan orang Afghan. Dulu dan sekarang mereka berjiwa kental tentang Islam. Semangat Jihadnya tinggi. Saya rasa kerdil sekali. Suami saya solat suant, tetapi saya tidak, sebab saya kurang suci dan ramai anak-anak tempatan sedang belajar di ruang solat.

Saya mengingat semula semangat juang orang Afghan. Russia dihalau keluar, dan sekarang pasti Amerika tidak boleh bertahan lama, walaupun menggunakan "puppetnya". Kita Melayu bagaimana ye? Orang Melayu ada di South Africa, Sri Lanka. Mungkin di tempat lain juga. Mungkin ada juga cerita-cerita yang mengkagumkan. Cuma semasa saya dan beberapa teman melawat Sri Lanka sebagai NGO, saya dapati mereka tidak menyerlah. Rupa mereka sudah tidak Melayu dan percakapan mereka juga sudah sulit untuk difahami. Tetapi ini perkara kecil. Yang penting adalah menyemarakan semangat juang untuk menegakan Kebenaran, tidak yang lain, Islam.

 Masjid Pakistan berhampiran Sydney Road di Melbourne.

Di Melbourne kami berjalan hampir 3 kilometer mencari Masjid terdekat dengan Sydney road setelah menjamu selera makan nasi di restaurant Turkey. Mula-mula tidak menemuinya. Kemudian bila naik taxi untuk balik Ke Hotel Downtowner di Lygon Road kami bertanyakan mengenai masjid dengan driver yang kebetulanya orang Pakistan. Maka kami sampailah di Masjid seperti foto di atas. Alhamdululah. Hilang rindu dengan Masjid buat seketika.

Gambar hiasan di dinding Restaurant Uyghurs di Adelaide.

Saya juga kagum dengan kaum Uyghurs. Di Adelaide kami makan tengah hari yang agak lewat di sebuah restaurant Uyghurs. Saya teringat akan lawatan saya ke Beijing pada tahun lepas di mana ramai saya temui kaum mereka yang di bawah kerajaan Cina. Pemandu pelancung kami tidak begitu berminat untuk bercerita tentang mereka. Malahan apabila kami mahu membeli maniasan yang mereka jual secara kecil-kecilan, kami tidak digalakan. Kaum Uyghurs di Cina adalah Islam maka kami selesa dengan Restaurant Halal yang mereka buka di Adelaide.Usaha membuka Restauran seperti  ini adalah juga satu bentuk menyebarkan Syiar Islam. Agaknya ada juga Restaurant Melayu di Adelaide dan Melbourne tetapi saya tidak menjumpainya.

Makanan yang dihidang amat menyelerakan. Saya sudah tidak ingat nama masakan tetapi bentuknya seperti di bawah ini. Saya recommend tempat ini pada sesiapa yang ke Adelaide.


Alhamdulilah. Amat memuaskan. Cuma Aust. Dollar 100/-

  InsyaAllah datang lagi.

Apabila sampai di rumah saya tergerak hendak tahu sedikit lagi tentang kaum Uyghurs ini dan mengapa mereka seperti kaum yang terpinggir. Maka saya buka internet dan mendapat maklumat seperti berikut. (Sebahagiannya dari About.com, Radio Free Asia dan Uyghur Human Rights Report). Saya catatkan semoga ada pihak yang mahu membela mereka demi Islam.
  • Dikenali sebagai 'Central Asian Ethnic Group', (China's largest Ethnic Minority).
  • Pada tahun 2005 bilangan mereka adalah lebih kurang 8.4 juta.
  • Sebahagian besar mereka adalah di Turkestan Timur, yang kini di gelar Xinjiang oleh negara Cina setelah ia di letak di bawah kuasa nya selepas 1911.
  • Dalam sejarah, pada tahun 700 AD mereka mempunyai ketenteraan yang kuat tetapi mula runtuh dalam pertengahan tahun 800 AD.
  • Ramai memasuki Islam dalam tahun 900 Ad.
  • Kaum Uyghur ada juga yang menetap di Turkey, Uzbekkistan, Kyrgyzstan dan juga negeri berjiranan.
  • Bahasa mereka Bahasa Turkic, hampir seperti Bahasa Turkey.
  • Mereka kini menghadapai masaalah yang berkaitan dengan Hak Asasi Manusia dan menubuhkan organisasi untuk mempertahankan hak mereka. Antaranya ialah Uyghur American Association (UAA).
  • Rusuhan terbesar kini berlaku di Urumchi pada tahun 2009 untuk menuntut hak-hak mereka. Ada pihak yang menganggap mereka 'terrorists', dan keselamatan mereka sentiasa terancam.
  • Uyghur juga datang ke Malaysia dan ada yang menuntut di Instituisi pengajian tinggi swasta. Dasar Malaysia keatas mereka  ada yang dipertikai oleh UAA. Saya kurang arif.
Seperti yang selalu saya katakan:  Kebenaran tidak berwarna, Kebenaran tidak pernah memihak, dan Yang benar tetap benar, Yang batil tetap batil.
Semoga Allah sentiasa melindungi mereka yang Benar.
Allahuakbar.


........

Wednesday, December 7, 2011

HAIWAN JADI BANDINGAN.







Lagi cerita di Australia. Hafiz mengajak kami ke tempat di mana kehidupan liar di pelihara, Cleland Wiladlife Park. Ramai kita yang sudah melihat dan berjinak-jinak dengan Kangaroo dan Kaola (bear). Lihat gambar di atas. Kaola sedang tidur. Mengambil foto-shot kaola bagi ku tidak mudah kerana ia tinggi di atas pokok dan biasanya dia membelakangkan apa jua yang cuba mengganggu keselesaannya. Sakit leher mendongak ke atas dan akhirnya dapatlah satu dua shot yang agak mememuaskan hati ku. Maklumlah. tidak cukup keterampilan mengambil gambar.

Aku hanya ingin menyentuh sifat Kaola ,( bukan bear), yang aku belum tahu sebelum ini. Sebenarnya Kaola bukan bear. Kaola sahaja. Ia bahasa orang Asli di sana yang bermaksud "tidak minum".Kaola tidur 20 jam sehari. Ia bangun  jaga hanya untuk makan dan mengawan.Ia makan daun-daun pada dahan pokok dimana ia tinggal. Ia tidak minum secara langsung. Air dari daun itu sudah mencukupi.



Bila diberi tahu Kaola tidur 20 jam sehari, lantas teringat ahli keluarga yang suka tidur berlebihan. Boleh atau tidak kita bandingkan dengan kaola ? Tetapi koala tidur bukan kerana malas. Itu fitrah, ciptaan Allah dan ia tidak sia-sia. Pasti ada hikmahnya. Harus kita pelajari. Kaola tidur 20 jam tidak jadi masaalah kerana di akhirat ia tidak dipersoalkan apa-apa pun. Tetapi kalau manusia sememangnya suka tidur dan tidak mahu mengubah tabiat itu, maka jangan dibanding dengan tabiat kaola. Atau seperti mengatakan ulat dalam batu pun boleh hidup.                                                                            Berasksi dengan koala yang sudah dijinakkan.

Semoga kita menginsafi diri betapa Allah memberi keistimewaan pada manusia.

                                                                                                



 Kami juga ke bahagian "Wetlands" di mana burung-burung dipelihara supaya tidak pupus. Lihat gambar dibawah dimana burung menjaga anak-anaknya, memastikan ia cukup makan dan keselamatannya terjaga. Maka dalam konteks ini  manakan boleh kita kata manusia yang tidak berperikemanusiaan dengan anak, membuang bayi  dan mendera itu kita katakan mereka itu seperti binatang  Amat silap sekali. Binatang sayang pada anak  Jika rajin menonton filem dalam program "Discovery" kita boleh lihat bagaimana gajah, harimau dan lain-lain menjaga anak-anak mereka dengan kasih saya mengikut fitrah kejadian mereka.

Lihat juga kangaroo di bawah ini.Kangaroo ibu akan lari dari manusia kerana memastikan anak dalam "pauch" mereka tidak diganggu. Yang hampir dan makan dari tangan manusia adalah kangaroo yang tidak menjaga anak. Bayi kangaroo yang baru lahir sangat kecil dan ia membesar di dalam 'pauch'. Ibu Kangaroo mengeluarkan dua jenis susu, di dalam dan di luar 'pauch' mereka. Sungguh menakjubkan ciptaan Tuhan. Semua ada kiraannya yang tersendiri.



Maka janganlah kita memaki seranah akan binatang-binatang yang juga makhluk Allah. Jika mereka berlaku ganas jangan mereka yang dipersalahkan tetapi manusia yang harus dipertanggongjawabkan. Gajah mengganas di kampung-kampung, harimau menyerang manusia,  kerana mereka terancam. Diancam oleh manusia. Kawasan mereka dicerobohi dan dimusnahkan oleh manusia. Apabila hutan-hutan ditebang untuk pembangunan, kebajikan binatang tidak diambil kira. Pasti mereka akan mempertahankan diri. Allah memberi manusia akal yang lebih tetapi manusia mengambil jalan mudah dan akan menuduh binatang. Binatang akan mempertahan diri dengan menyerang. Mereka tidak akan menyerang jika mereka tidak rasa terancam. Oleh itu siapa yang bijak dalam hal ini.

Antara binatang lain yang kami lihat adalah seperti di bawah ini.




Maka kita renung firman Allah surah Al Imran, Ayat 191 yang bermaksud:
"Orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi; 'Wahai Tuhan kami tidaklah engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari api neraka."

Semoga Allah membuka minda kita seluasnya dan semoga kita menuntut ilmu memahami segala ciptaanNya dan sentiasa membesarkannya.

Subhanallah, Allahuakbar.
.....

Monday, December 5, 2011

INGIN KE ANTARTICA ? biar betul........





Tak mungkin, amat tidak mungkin. Dalam umur senja ini, adat kata, mana mungkin dapat ke sana. Itu hanya satu cita-cita untuk menjelajah dunia ini semasa remaja. Tetapi perjalanan hidup tidak seperti yang diinginkan. Kita merancang, Allah menentukan. Ada teman yang mengatakan jangan kita berangan-angan terlalu besar. Kecewa sahaja nanti jadinya.

Subuh di Udara, nayaman dan tenang.

Tetapi aku tidak kecewa, sedikit pun tidak. Aku hanya ingin menjejak kaki kesemua benua ciptaan yang maha Esa. Itu sahaja. Allah kurnia, aku mula melihat dunia di luar  sana dalam umur 20 tahun dan bermula di benua Amerika Utara. Ah...dekat dengan Iceland. Malahan ketika itu jika ada orang Amerika tidak tahu dimana Malaysia, aku katakan ia dekat dengan Iceland, ke Utara sedikit sahaja. Mereka terpinga-pinga tetapi aku biarkan begitu kerana pasti satu hari mereka akan cari. Kata orang "Melayu tidak akan hilang di dunia". Semoga Melayu tidak hilang haluan dan mengerti siapa Penciptanya.

Kalau bapak ku boleh mengharong lautan dari Jawa ke Malaya, mengapa pulak aku tidak boleh sekadar beranga-angan mahu menjelajah ke Antartica di khutub Selatan. Ini Jawa keturunan orang yang berani mencari rahsia hakikat kejadiannya..... lintasan hati kecil sahaja takut menjadi sombong takabur  tidak tentu hala pula.

Berangan-angan besar apa salahnya. Anak-anak ku tidak percaya aku akan kemana-mana diumur senja. Tidak mungkin ada tenaga, katanya.Tetapi di izin Allah aku dan suami dan adik ipar dan adik sepupu ke Australia 2 minggu yang lalu dan melawat Adelaide dan Melbourne menziarah anak saudara yang hampir punya PR (status penduduk tetap) di sana. Aku mahu mencukupkan jejak kaki ku ke semua benua semoga aku dapat merasai nikmat Allah yang tidak terhingga.

Kembara musafir untuk taddabur Alam eluk ketika usia  muda kerana munafaatnya boleh disebarkan pula pada generasi seterusnya. Aku tidak menjelajah kesemua tempat di Amerika Selatan mahu pun di Amerika Utara.  Aku belajar di Wisconsin dan berkursus di Washington DC dan hanya melancung secara sepintas lalu dibeberapa tempat menarik, itu sahaja. Lepas itu aku ke Colombia, Amerika Selatan  buat seketika. Kemudian aku melancung sambil bertugas di beberapa negara  di benua Eropah dan Asia (termasuk Timur Tengah). Semuanya diusia muda. Masih banyak tempat yang belum dilihat  dan dirasai keindahannya. Baru sekarang pula berkesempatan ke Australia. Aku bersyukur mendapat peluang ini dan rasa teruja kerana pastinya cara aku melihat kejadian ciptaan Allah dan cara memahami tata budaya pastinya  tidak serupa seperti yang pernah aku alami ketika muda, ketika ilmu masih tiada dan kesedaran dan kebijaksanaan amat terhad ruangnya.

Adelaide kata anak buah ku Hafiz, adalah bandar 20 minit sahaja. Ke hala mana sekalipun kita cuma perlu lebih kurang 20 minit sahaja. Ini pada perhatian ku adalah bandar warga tua. Tidak boleh melebihi 60 km/jam di mana jua melainkan di kawasan luaran dan ladang-ladangnya. Kuala Lumpur lebih sibuk dan sesak dari Adelaide watu mana sekalipun. Tetapi badarnya cantik dan pohon-pohon hijau dipelihara dengan baik dan teratur. Waktu lawatan sudah memasuki musim persediaan untuk Krismas maka sibuk sedikt katanya. Di bawah ini gambar kenangan buat keluarga.

Perjalanan di kawasan Pantai menuju rumah Hafiz.

Dihadapan Rumah Hafiz, Apt. 2 bilik.

Di Pasarraya berhampiran, membeli barangan untuk kenangan.

Pemandangan senja dihadapan rumah Hafiz.

Kami di Adelaide selama 5 hari. Hafiz sibuk dengan kerjanya dan tidak dapat mengambil cuti. Maka kami meminjam keretanya dan menjelajah ke komplex membeli belah dan di luar bandar untuk melihat tanah ladang dan rumah-rumah di perkampungan. Tiada yang luar biasa kerana sudah banyak yang kita dengar dan baca. Cuma Hafiz memberitahu bahawa peratusan tertinggi di dunia  orang-orang yang obese ialah di Adelaide. Saya kata saya sendiri melihatnya sambil saya duduk berehat menunggu suami mencari keperluannya.  Pepatah Inggeris kata: "We are what we eat". Maka kerana itu Islam menyarankan kita harus sederhana dalam apa jua tindakan kita.

Antara bintang ternakan yang dilihat, tidak pasti jenisnya.

Kecantikan dan kehijauan

 Di celah-celah melihat dan meninjau kami banyak  "bersembang dakwah"  ingat mengingati sesama keluarga. Pada ku ini nikmat musafir yang tidak ku jangka ku rasai kerana jarang-jarang sekali kami dapat berbincang hati ke hati bersama adik beradik keluarga besar yang ada. Rupanya diperantauan kami berpeluang bercerita. Kami bercerita-cerita  mengenai perlunya berlapang dada, bersabar, mendengar apa yang tidak dikata, melihat apa yang tidak tertara. Ada ketika-ketikanya kita tidak perlu membela diri jika kita ditegur atas apa jua. Kita hanya perlu dengar dan fikirkan semula. Tabiat sentiasa hendak membela diri bila diperingat adalah suatu yang merugikan diri kerana kita tidak mendengar apa yang hendak di rumuskan oleh orang yang mahu menasihati kita. Kita sibuk berfikir apa hujah yang kita mahu ketengahkan. Biar kita belajar mendengar dan berfikir ke lubuk hati sendiri.Untuk jangka panjang ini lebih menguntungkan.

Tajuk memilih jodoh dan perkahwinan juga kami bincang sedikit kerana Hafiz sedang berfikir-fikir untuk berumah tangga. Aku katakan bahawa kita ada ikhtiar dalam memilih jodoh pertemuan. Bukan ketentuan Allah dari awal mula. Kalau ketentuan Allah dari awal mula mengapa pula kita diajarkan kriterior memilih jodoh. Agama menjadi  faktor utama. Ini ada kaitan dengan Qadha dan Qadar Allah swt dan kami bersetuju untuk amat berhati-hati dalam memahami prinsip ini. Hafiz hanya tersenyum sahaja.


Ada beberapa hal lagi yang kami sembangkan semasa sarapan pagi. Semoga Allah meredhai usaha kami untuk sentiasa mregingatiNya di mana jua kita berada. Itu prinsip utama dalam kehidupan. Ingat pada Allah, maka Allah ingat pada kita.



Tidak ke Antartica pun tidak mengapa...................




ooo
Related Posts with Thumbnails