Hujan yang renyai menjadi lebat sebelum aku dan suami sampai ke rumah Ina di kampung Sungai Bayor, Selama Perak. Seperti ia mengiringi rasa hati ku yang bersedih kerana mendapat tahu Ayah Ina telah meninggal dunia.
Ina adalah pembantu rumah ku yang amat aku kenang jasa-jasanya yang membantu keluarga penuh kasih sayang pada anak-anak yang masih kecil-kecil ketika itu. Ina membantu penuh setia dan tidak pernah merungut atas kekurangan yang dilaluinya. Ia bersama ku hampir 7 tahun dan berhenti kerana ingin berumah tangga bagi dirinya sendiri. Dialah pembantu yang terakhir sebelum keadaan memaksa aku mengambil pembantu dari negara jiran.
Aku ke sana bila mendengar berita kematian ayahnya, walaupun sudah seminggu lepas dari peristiwa itu. Aku mestikan bagi diriku untuk menziarah keluarganya walaupun akau tahu pastinya Ina sudah pulang ke Ipoh dimana ia tinggal bersama suami dan 4 orang anak. Akhir sekali aku menziarahinya di Ipoh sudah 10 tahun yang lalu. Namun dihati keluaraga ini amat istimewa bagi ku kerana aku banyak mempelajari erti pengorbanan hidup dari Ina sendiri walaupun umurnya ketika itu baru 20 tahun.
Suasana rumahnya masih seperti dahulu. Rumah kampung yang diperbuat dari papan nampak semakin uzur. Cucuran air hujan yang tertadah di teritis rumah ibarat air mata yang turun tanpa dapat ditahan-tahan. Ia air mata seorang isteri yang kehilangan suami dalam usia senja dimana ia memerlukan pautan kasih untuk terus mengharung hidup yang serba kekurangan.
Aku cuba mengambil gambar keluarga untuk ku abadikan dalam simpanan ku. Mula-mula ia menolak dan aku pujuk sambil bercerita hal-hal yang dapat menggembirakan hatinya walaupun untuk seketika. Ini foto ku di ruang dapur dan di bawah ini gambar suami dan anak lelakinya yang masih berada di rumahnya untuk metenteramkan hati ibunya. Itulah pautan kasih sejati. Tidak berharta yang menggunung tetapi berhati budi yang halus ibarat sutera. Sejuk perut ibu mengandung. Hati kecil ku berkata-kata: " Kalaulah aku berkemampuan yang lebih dan keadaan mengizinkan akan ku bawa anak bongsunya berkerja di Kuala Lumpur. Itulah doa ku, semoga Allah mendengari."
Salam takziah bagi Ina dan Bibi yang belum aku bekesempatan menziarahinya. Semoga Allah menempatkan Ruh Pak Haji Yusuf denga Ruh orang-orang yang Soleh dan mendapat kurnia Rahmat Allah yang tidak terhingga. Amin.
ooo
No comments:
Post a Comment