"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Friday, September 16, 2016

Oh Malaysia Ku ......




Siapa tak sayang Malaysia. Saya sayang Malaysia. Saya suka Bunga Raya lambang negara tercinta. Tetapi 16 September Hari Malaysia hampir terlupa... belum terlupa. Dan belum boleh dikata durhaka pada negara. Cuma gara-gara dah tua....kekadang terlupa.

Tetapi tidak lupa semuanya. Dulu Malaysia mewah dan rezki yang ada berbagai boleh diguna. Alhamdulillah.  Sekarang ini Allah tegur sedikit... kenalah berkira-kira sebelum ke kedai membeli keperluan keluarga. Beli jajan untuk cucu pun nak tahu buatan negara mana supaya jimat belanja. Sedih juga rasa. Saya hanya memerhati dan mengalami. Tidak membuat tuduhan yang katanya belum pasti. Tetapi saya dan anak-anak rasa juga tidak selesa mahu berbelanja ikut selera. Setiap ringgit yang ada kini dikira dan dikira, terus mengira. Semoga mencukupi dan tidak perlu meminta-minta.

Mengapa agaknya Malaysia begini jadinya.

Kata pepatah Cina, Ikan busuk dari kepala. Maka negara jadi begini keadaannya kerana pemimpin lupa tanggongjawab dan amanah diabai semua.Tetapi kata ustaz lain pula. Jika pemimpin terdiri dari mereka yang tidak berwibawa, katanya ini salah rakyat juga. Mengapa pilih pemimpin yang demikian rupa. Kepentingan diri sahaja yang dikira. Rakyat dibiarkan menanggong beban yang makin hari makin terasa beratnya. Eh..Eh.. jangan berkata tak menentu hala. Eluk simpan di hati semoga terhindar dari bala.

Sudah tidak ada pilihan lain ke? Ish...Ish.... jangan tanya.

Ada yang kata: Pemimpin sudah tidak mendengari rintihan rakyat, sudah tidak menoleh kiri kanan kot ada fakir miskin yang susah makan...Kot ada anak tidak sekolah kerana tidak dapat bayar yuran dan lain-lain keperluan. Jika akhlak remaja dan anak muda merosot, siapa yang akan dipersalahkan. Harap tidak menuduh ibu bapa yang cuai. Ibu bapa sendiri makin hari makin tertekan, mencari dua pekerjaan mencari sesuap nasi untuk anak-anak tersayang.

Namun, Rakyat masih bersabar.Saya juga bertahan diri dan memujuk hati supaya bersabar....masih mensyukuri apa yang ada. Jangan mengkufuri nikmat Allah yang diterima tanpa diminta. Terbentang luas semuanya.

Tetapi...harap-harap semua beringat!  Jangan disangkakan air yang tenang tiada buaya........
Hhmmm........

Ini hanya fikir-fikir saya, rakyat kelana. Umur sudah senja tidak lagi mampu menerajui usaha untuk buat perubahan demi menegakan Kebenaran yang maha Esa.... Saya hanya mampu berdoa semoga Allah membuka hijab hati dan doa diterima. 

Ayuh kita semua muhasabah diri....dimana silapnya hingga jadi begini. Semoga Allah menunjuki jalan dan memberi kekuatan berbuat sesuatu demi Malaysia yang kita cintai......

Mohon keampunan Mu ya Rabb....
Mohon belas kasihan Mu dan Rahmat Mu yang tidak terhingga.
Semoga Malaysia Sejahtera......

Aamiin ya Rabb....


....

No comments:

Related Posts with Thumbnails