"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Sunday, February 24, 2019

Embah Su dan Embah Rom...@ Nenek-nenek terus disantuni.




Ini cerita kita bersama.... tua dan muda.

Semalam baru sahaja mendengari kisah seorang tua, yang belum tua sangat tetapi sudah dihantar oleh anak-anaknya ke rumah orang tua-tua. Anak-anaknya dalam lingkungan umur tiga puluhan/empat puluhan kerana semuanya berkerja. Saya katakan pada anak saya yang bercerita bahawa masih belum difahami oleh semua bahawa kewajipan menjaga ibu/ayah adalah pertamanya wajib pada anak lelaki. Anak lelaki adalah ketua keluarganya. Maka menantu perempuan harus mematuhinya dalam hal menjaga ibu bapanya. Adat Melayu kita ramai yang berpegang bahawa menjaga ibu/bapa tua terletak pada anak perempuan sebagai yang utama. Saya berpendapat para ustaz harus menerangkan secara halus dan terperinci mengenai masaalah ini. Allahu'alam........



Dalam foto di atas kelihatan saya dan dua kakak saya baru-baru ini. Mereka sudah ada cicit. Mereka harus disantuni tidak mengira mereka itu nenek yang langsung atau nenek yang tidak lansung dari segi hubungan darah. Dalam Islam tidak kira siapa. Tugas orang muda menjaga orang tua-tua, waris atau bukan waris. Keras bunyinya. Tetapi untuk kebaikan semua mengikut apa yang Islam sarankan inilah yang terbaik. Rumah orang tua-tua tidak harus menjadi pilihan mengikut keselesaan diri sendiri.

Jangan biarkan orang-orang tua kesunyian.....

Dua orang kakak saya tinggal berseorangan. Mereka berumur 80 dan 84. Anak-anak tinggal berdekatan. Mereka ok sahaja kerana masih boleh mengurus diri. Mereka tidak mahu tinggal dengan anak-anak. Agaknya saya pun bila bertambah tua ingin juga tinggal berasingan kerana rasa lebih selesa atas asbab sudah biasa dengan rutin harian sendirian.

Seorang kawan saya mengatakan pada saya tidak lama dahulu. Anak-anak sekarang tidak akan hantar emak/ayahnya ke rumah orang tua-tua. Saya membantah pendapat itu. "tak mungkin". Dalam kemelut hidup yang ada sekarang dan dengan lemahnya pegangan budaya Islam, saya yakin anak-anak ramai yang akan ambil jalan mudah dan akan menghantar emak-ayahnya ke rumah orang tua-tua.

Kawan saya kata: 'TIDAK !!! Mereka tidak hantar. Emak ayah akan pergi sendiri mencari rumah orang tua-tua." ANAK-ANAK ENTAH KE MANA DAN TIDAK RASA KEHILANGAN PUN !.....

Sedih sekali.......

Ini bagi yang mampu kerana ada wang kumpulan persaraan dan sebagainya. Jika tidak ada mereka akan terus keseorangan di rumah tanpa jagaan yang sepatutnya. Takut saya memikirkannya......

Ada juga kes berlainan buat anak yang berkemampuan. Ia akan memasukan emak/ayahnya ke hospital swasta sepertinya mereka perlu rawatan. Sebenarnya mereka tu dikira sihat tetapi tiada anak yang selesa bersamanya. Ini kes saya lihat sendiri di satu hospital beberapa tahun lalu. Saya menjaga emak suami saya. Saya perhatikan orang tua ini tiada teman atau waris datang ziarah. Nurse yang bertugas akan datang membantu menyuapkan makan jika perlu. Tanpa ditanya nurse itu katakan pada saya bahawa orang tua ini sudah berada di hospital agak beberapa tahun. Anaknya yang berpangkat "dato' " ada ziarah sesekali untuk menyelesai bil hospital yang di tentukan. Kenapa begitu. Nurse tidak menjawab. Saya membuat andaian sendiri. Kalau di hospital tidak ada siapa yang kata anak tidak peduli jika tidak ziarah, sebab ia di hospital. Jika ditanya pasti anak akan jawab: Oh, emak saya di hospital... perlu sedikit rawatan. Orang pun berhenti bertanya. Cantik jawapan itu kerana orang tua itu bukan di rumah orang tua-tua. Tetapi ia pasti kesunyian juga. Allah maha Mengertahui.........

Itu sahaja perkongsian kali ini. Saya sudah masuk zon tua dan berdoa-doa Allah kurnia umur yang bermunafaat.......
Aamiin ya Rabb.


..........

1 comment:

Unknown said...

😭😭
Terima kasih atas perkongsian..
Keep writing..

Related Posts with Thumbnails