"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Friday, March 1, 2013
Itu enam bukan tujuh.....doktor membetulkan kiraan.
Huzaifah cucu sulung saya dilahirkan dengan keistimewaan khusus, pertama kali dalam keluarga termasuk keluarga besar. Ia Allah beri dua ibu jari ditangan kanannya. Alhamdulilah ia terpilih untuk menunjukan kebesaran dan kekuasaan Allah jua.
Maka apabila doktor menyuruh ia menghitung jari dan membuat kiraan kecil: seven minus five (7-5), ia hanya menunjuk jari-jari ditangan kanannya dan ditambah satu lagi jari dari tangan kirinya. Itu tujuh katanya. Doktor membetulkannya. Kata doktor itu enam. Tujuh begini: Doktor menunjukan lima jari ditangan kiri dan dua jari ditangan kanan. Huzaiafah merenung doktor kehairanan. Kemudian berpaling pada ibunya....agaknya kebingungan. Ia mencari kepastian.
Kenapa pulak begitu? Mungkin itu yang di dalam minda dan hatinya. Dalam keluarga dari kecil lagi saya dan ibunya menerangkan bahawa dia istimewa. Antaranya kerana dia ada tiga ibu jari dan jumlah jari semuanya ada sebelas. Maka fahaman kiraan baginya tidak seperti anak-anak biasa. Huzaifah kata ini tujuh dan dengan konfiden ia tunjuk pada doktor di hadapannya. Huzaifah mengira dengan mengambil kira tangan kanannya ada dua ibu jari. MasyaAllah. Anak kecil mudah positif tentang dirinya.
Ibunya memberi penerangan sedikit pada doktor bahawa Huzaifah sudah menerima hakikat ia ada sebelas jari. Saya pun sama-sama menjelaskan hal yang sama. Doktor tersenyum dan kiraan terhenti di situ.
Ini peristiwa luar biasa bagi saya pada hari saya bersama Huzaifah sejak ia sudah tidak tinggal dengan saya lagi. Ia membuat saya insaf bahawa jika kita positif anak didik kita pun mudah positif. Kelainan bukan kekurangan. Sebab itu maka setengah orang berpendapat bahawa jangan kita sebut OKU itu sebagai orang kurang upaya tetapi sebutlah ia orang beza upaya.
Peristiwa di atas terjadi ketika saya ikut anak saya ke Hospital Putrajaya (semalam 28 Feb 2013) membawa cucu saya Huzaifah berjumpa dengan pakar kanak-kanak (di klinik padeatrik) untuk mengetahui lebih lanjut "keistimewaannya". Saya ikut ibunya kerana saya minat pada perkembangan cucu-cucu saya, terutamanya Huzaifah (Ujai) dan Akif.
Kedua-duanya ada elemen anak istimewa.
Saya masih teringat-ingat hingga tidur malam akan peristiwa Huzaifah menerima "kelebihannya". Kami bina minda dan hatinya supaya ia tidak malu berbeza dari kawan-kawannya. Itu anugerah Allah. Sering kami katakan hakikat itu padanya. Semoga penghayatan keistimewaannya akan mendekatkannya lagi pada Allah yang menciptanya,....terus hingga dewasa.
Kini Huzaifah berumur tujuh tahun dan kami bawa ia berjumpa doktor pakar semoga dapat membantu daya tumpu konsentrasi yang singkat agar prestasinya di sekolahnya boleh diperbaiki. Berbagai soalan yang ditanyakan oleh doktor dan ibunya menjawab dengan harapan mendapat pertolongan yang sewajarnya. Huzaifah terlalu aktif dan dikhuatiri ia termasuk dalam kategori hyper-active. Seandainya hyper-active, bagaimana pula cara membantunya. Semua anak istimewa perlukan pertolongan.
Pakar-pakar di Hospital Putrajaya hanya boleh mengambil tindakan yang terhad kerana tidak ada doktor pakar yang berkaitan dengan masaalah Huzaifah seperti pakar psykologi kanak-kanak. Huzaifah perlu di rujuk ke Hospital lain dan kami di perakukan hospital HUKM di Cheras.
Kami akur cuma saya agak "tidak puas " dihati kerana appointmen yang terawal adalah enam bulan dari sekarang. Saya seperti rasa kecewa. Mengapa pihak kerajaan tidak punya kemudahan dan perkhidmatan yang mencukupi bagi rakyaat biasa. Ini bukan masaalah Huzaifah seorang. Kami menanti jumpa Doktor dari jam lebih kurang 8.30 pagi tetapi hanya pada jam 1.00 tengah hari baru selesai. Itu pun setakat kami dirujuk ke Hospital lain. Bukan selesai dengan penjelasan yang sempurna dan mendapat rawatan yang sewajarnya.
Siapakah yang harus dipertanggongjawabkan dengan hal seperti ini. Sistem pendidikan dapat menghasilkan pelajar-pelajar cemerlang yang mencuckupi untuk dilatih menjadi doktor. Dan Malaysia pun adalah sebuah negara yang kaya dengan hasil-mahsulnya yang melebihi negara-negara lain. Soalan saya tetap sama. Ke mana perginya kekayaan kita. Mengapa rakyat masih perlu tunggu lebih 3 jam rata-ratanya untuk mendapat perhatian / rawatan.
Sama-sama kita tunggu jawapan yang memuaskan.
Ada teman-teman yang mengatakan bersyukurlah dengan apa yang ada. Banyak negara lain yang lebih dhaif dari kita. Itu memang betul. Saya cuma takut dipersalahkan kerana kurang usaha. Allah beri akal untuk berfikir dan bertindak pintar dalam ruang linkup peraturan dan undang-undang yang ditentukan.
Semoga ada perubahan kepada yang lebih baik. Semoga Allah menunjuki jalan dan menurunkan pertolongan.
Ya Allah, kami mohon keampunan.
...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment