"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, February 29, 2016

Peristiwa suka duka....Yang duka juga membawa erti.




Alhamdulilah, Allah memberi peluang merasai apa yang suka dan apa yang duka dalam hidup ini.Manakan dapat menjiwai apa yang suka jika tidak pernah merasai apa yang duka. Namun pada Allah semuanya sama kerana Dia maha tahu apa yang baik bagi seseorang di bumi sementara. Di sebalik duka pasti ada hikmah suka jika kita bersabar memerhati bersandarkan kekuasaan dan kebijaksanaan yang ada pada yang maha Pencipta. Subhanallah....Allah tidak menzalimi makhluknya, haiwan atau manusia.

Saya mendengari dan harus menerima berita-berita duka sekembalinya dari kampung menziarahi kakak yang sudah lanjut umur dan uzur. Tiada jalan keluar dari berita duka ini dan insyaAllah saya mungkin boleh meceritakannya suatu hari nanti dalam keadaan yang lebih mengizinkan. 

Saya mengambil keputusan untuk beralih suasana semoga dapat berzikir berfikir kerana dalam usia selanjut ini Allah menemukan saya saat-saat yang perlu dilalui dan memastikan tidak kecundang mendokong keyakinan bahawa Allah itu maha mengetahui dan maha adil dalam segala tindakannya. Saya ke Tangkak di luar jadual dan hanya mahu menenangkan fikiran. Selepas Subuh saya dan teman serumah pergi "jogging" di kawasan perumahan. Indahnya warna subuh di ufuk Timur.(foto di atas). Alhamdulilah, masih boleh melihat keindahan yang Allah kurnia tanpa diminta. Apa jua yang berlaku pada kita, Allah tetap maha Pengasih maha Penyayang pada makhluknya. Ini saya ulang-ulang di hati semoga fikiran saya tidak dinodai syaitan yang menghasut dan mahu merosakan kewarasan minda dan rohani.

Esuknya saya turut sama kekawan pergi ke Mersing. Tujuan nya semata-mata untuk bersantai dan meyakinkan diri dalam duka juga kita masih boleh senyum......





Pantai Mersing indah tetapi hari itu lautan bergelora dan katanya nelayan tidak keluar mencari rezki seperti biasa. Kami agak kecewa tidak mendapat ikan segar. Tetapi mengapa mahu kecewa....saya sentap minda negatif ini. Susunan pertukaran cuaca juga Allah yang kurnia untuk kebaikan semua. Astaghfirullah, manusia sering lupa. Tidak mahu melihat perancangan Allah itu maha sempurna. Manusia suka menggunakan logika hingga lupa fakta bahawa Allahlah yang maha Berkuasa. 



Apa jua yang di langit dan di bumi bertasbih memuji Allah. Suka duka, senang dan susah saling berganti. Semua ada hikmahnya yang tersendiri. Cuma manusia yang sering terhimpit dengan nafsu dan melihat apa yang Allah turunkan itu dan apa yang Allah takdirkan itu satu musibah yang tiada kaitan dengan tuntutan mentauhidkan Allah, Rabb sekian alam.

Semoga Allah mengampuni........

Saya mengasingkan diri buat seketika dan dalam kesunyian dan keseorangan saya cuba memahami hakikat kurniaan Allah. Saya rasa perlu menjinakan rasa hati semoga sentiasa yakin Allah sentiasa mendengari rintihan kita dan sentiasa melimpahkan kasih sayangnya yang tidak terhingga. Cuma kita belum faham sepenuhnya erti kasih sayang Allah sebenarnya. Kita sentiasa mentafsuir jika Allah sayang, pasti Allah beri yang kita suka. Walhal Allah tidak semestinya memberi sesuatu dalam bentuk yang kita suka kerana apa yang kita suka belum pasti ia lebih baik bagi kita.




Saya mengalihkan pemerhatian saya.......
Ini seekur kucing yang saya temui dalam masa berjalan sendirian di tepi sungai ditengah-tengah bandar Mersing. Ia juga sendirian......tapi nampak tenang dan tidak kisah siapa yang lalu di sisinya. Agaknya apa yang sedang difikirkan kalau ia manusia.....Ia tidak perlu berganjak memberi laluan duduk bagi manusia. Tidak hirau pun. Hanya manusia yang selalu sahaja rasa macam raja. Kehendaknya mesti dituruti....Hah!!! Semua makhluk ada haknya masing-masing. Allah jadikan manusia terbaik kejadian antara ciptaanNya tetapi sering bertindak tanpa fikir dan tanpa fokus. 

Apa nak dikata......

Sampai di sini sahaja fikir zikir peristiwa suka duka. Semoga duka akan larut dan Allah mengurnia laluan istimewa dalam mencari Redhanya.

.....

Thursday, February 25, 2016

Minggu banyak peristiwa suka duka.....

Alhamdulilah, pada 15 February saya ke Pontian Johor menaiki bas atas sebab-sebab yang berbagai. Pengalaman menaiki bas Mayang Sari sangat okay, selesa dan pemandunya bersopan.

Setibanya di Pontian, kakak saya telah keluar dari hospital dan saya bersyukur kerana tidak perlu lama di kampung sebab ajenda harian saya agak ketat. Saya berjumpa dengan abang ipar saya dari Kota Tinggi. Seronok kerana saya dapat berkenalan dengan isteri barunya setelah 2 tahun kakak saya pulang ke Rahmatullah. Isterinya kali ini muda dalam umur awal limapuluhan. Abang ipar saya berumur 86 tahun.Semoga bahagia hingga ke Syurga.

Saya pulang keesukan harinya kerana saya ingin bersama kakak saya seorang lagi yang mengadakan majlis ceramah di rumahnya pada esuk harinya. Di kampung saya tidak mudah mendapat bijak pandai datang memberi ceramah. Ia brcerita mengenai Iman dan bagimana meningkatkannya. Penceramah ini menggunakan sebuah kitab untuk memudahkan rujukan.

Sangat bermunafaat. Alhamdulilh.

Oooops ! Harus berhenti di sini. Nanti saya sambung cerita, insyaAllah. Saya harus beredar sekarang untuk tugasan lain.

Semoga Allah sentiasa memelihara kita semua.


.......

Saturday, February 20, 2016

Budaya orang Yamen menyerikan majlis.....




Saya menghadiri majlis reception perkahwinan anak seorang biras saya. Ramai sahabat handai dari negara Yamen menjadi tetamu tuan rumah. Ada yang memakai baju kebangsaan. Ada lebih kurang 20 tetamu dari Yamen. 

Kemudian setelah menjamu selera, mereka menawarkan diri untuk menari seperti "joget lambak" Malaysia. Tetapi semua lelaki. Majlis menjadi tambah ceria dengan disaksikan oleh tetamu tempatan.

Ini pertama kali saya bertemu orang Yamen begitu ramai. Buat apa ramai sangat di sini. saya tidak bertanya.





Nampak seronok menari. Ini hanya catatan sebuah pengalaman.
 Kalau ada video bertambah bermakna.
Negara Yamen sekarang sedang bergolak dengan peperangan yang melibatkan Negara Arab Saudi. Semoga orang-orang Islam akan bersatu padu demi kekuatan dan kesejahteraan ummah.
Allah sahaja yang maha Mengetahui bagaimana
 kedamaian dapat tercapai.
Di Malaysia tiada peperangan, tetapi persengketaan politik juga merupakan suatu yang tidak sihat untuk rakyat dan Negara.
Semoga Allah memberi petunjuk kepada jalan yang Benar 
pada semua pihak yang terlibat.
Semoga Malaysia sejahtera.


...........

Tak disangka...Habitat Buaya!





Pertengahan minggu lepas saya berurusan di Tadika SmarTop di Tangkak dan lepas itu mengambil masa pergi ke Kesang laut untuk membeli ikan segar, sebahagiannya untuk Dapur Tadika. Saya juga mengambil kesempatam merakam foto di jetty nelayan yang berhampiran dengan pasar ikan seperti yang tertara di sini.



Kelihatan banyak bot nelayan tetapi tidak banyak kuantiti ikan segar yang ada. Katanya di jual pada pemborong luar. Selepas membeli dan belegar sebentar melihat keindahan alam sekeliling, kami berputar untuk pulang. Terkejut besar bila saya nampak papan tanda di bawah ini.



Kami berada di Habitat Buaya. Teteman yang bersama saya lupa untuk memberitahu saya dan tidaklah mereka memberi amaran untuk berhati-hati semasa di jetty.

Pastinya ramai antara kita yang tahu mengenai haiwan buaya ini. Ada yang boleh melompat dan seperti boleh melonjak terbang jika nampak mansa di daratan. Saya pernah melihat kes-kes mansa di sambar buaya di u tube. Amat menakutkan bila teringat kembali kemungkinan saya boleh jadi mangsa. Ooooo!! Ngeri......

Enviromen cantik. Tetapi jangan disangka air yang tenang tiada buaya.

Saya bertanyakan jika pernah ada kes seperti itu. Alhamdulilah tidak ada kata teteman saya. Foto di bawah saya dapatkan dari google. Contoh buaya boleh melompat tinggi.


Image result for foto buaya menyambar mangsa














Allah maha Pencipta dan tidak ada ciptaannya yang sia-sia walau pun nampak merbahaya pada manusia.

Subhanallah, Allahuakbar......

......

Friday, February 19, 2016

Sajak menyentuh hati......




Pesanan Untuk Mar

Berhenti meratah
hati mu sendiri

Bangkit
menjadi perempuan berani

gagah menentang halalintar
dan guruh yang bergegar
meretakan rumah
yang sekian lama kau bina
daripada air mata

Jangan membuang waktu
mengunyah kesedihan
sambil merenung retak
yang semakin banyak

Bangunlah berdiri
dan belajar untuk berani
melangkah pergi
tanpa perlu berpaling
meskipun yang engkau dengar itu
mendayu merdu seruling
merayu dicuping

Pesanku, Mar
jangan sesekali merelakan
menjadi bola di padang
yang bisa dipeluk dan ditendang
semahu kemahuan.


Ratna Laila Shahidan
Lenggong, Perak.

Mingguan Malaysia 14/2/2016
Dari Blog: IBU BUNGA MATAHARI.


A004
Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku - wahai Tuhanku - tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.
(Maryam 19:4) |

Foto ehsan Google.
........

Monday, February 15, 2016

Rasa bersalah.....





Manakan tidak rasa bersalah...
.
Ini salah satu kucing yang saya bela tetapi tidak saya benarkan masuk ke dalam rumah kerana tidak ada kederat membersiah rumah jika ia mengotorinya dengan apa jua cara. Saya juga sudah tidak ada kederat melatihnya untuk mengikut cara yang semua peminat kucing akan melakukannya.

Saya hanya memberikannya makanan sebaik mungkin. Cuma jika saya berpergian dan anak-cucu saya tiada maka kadangkala akan keputusan makanan.

Rasa bersalah......

Saya akan cuba meletakkan makakan yang saya jangka lebih dari mencukupi, tetapi kekadang kecundang juga.  Saya ada 3/4 ekor kucing yang biasa saya beri makan. Namun kekadang ada kucing jejiran yang berkongsi makanan yang tidak dapat saya jangka. Rasa tidak seronok jika tidak mencukupi. Bukan marah pada kucing yang lainnya, kerana prinsip berkongsi kesenangan itu harus kita terapkan di mana-mana jua. Seharusnya saya letakan lebih banyak makanan barang cukup untuk 10 hari atau lebih kurang begitu.

Saya cuba mengubah cara.

Semua makhluk Allah ada haknya masing-masing. Semuanya juga berzikir pada yang maha Pencipta. Cuma kita sahaja yang tidak tahu bagaimana.

AllahuAkbar....

Semoga Allah swt mengampuni segala kekurangan dan kelemahan.

Aamiin ya Rabb...

......

Sunday, February 14, 2016

Rumah ku....







Rumah ku, kereta ku.....
Apa jua........
Semuanya pinjaman.
Dari Allah jua....kurniaan yang bersamanya suatu ujian.

Allah sudah pun mengingatkan.
Beberapa kali di alQuran.

Antaranya......
A038
Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, secara main-main;
(Ad-Dukhaan 44:38) |
A039
Tidaklah Kami menciptakan keduanya (serta segala yang ada di antaranya) melainkan kerana menzahirkan perkara-perkara yang benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).
(Ad-Dukhaan 44:39) | 

Semoga tidak melupai diri.
Semoga sentiasa mensyukuri....
Hidup ini untuk mengenali yang maha Pencipta, maha Menguasai.
Untuk pengabdian diri, tidak mengira apa yang Allah beri atau tidak beri dan apa yang Allah anugerahi.
Semuanya cantik dan mencukupi asal sahaja kita mengerti Allah itu maha Tinggi dan tidak pernah menganiayai.

Mohon keampunan Mu
dan, Mohon limpah Rahmat Mu ya Rabb.....

.....

Saturday, February 13, 2016

Merakam detik sejarah keluarga...



Alhamdululah....
Sabtu, 7 February 2016, @ Janda Baik.
Ini kesemuanya, termasuk seorang pembantu rumah. 
Sangat berjasa.
Tiga orang anak, seorang perempuan dan dua orang lelaki.
Tiga belas (13) orang cucu, 7 lelaki dan 6 perempuan.
 Seorang Allah jemput pulang ketika lahir.

Semuanya di Lembah Kelang buat waktu ini.
Semoga terjalin kasih sayang yang berpanjangan
 hingga ke Syurga.
Semoga dapat memperkasa diri, memperkasa keluarga,
 masyarakat dan akhirnya memperkasa negara,
kerana Allah jua.

Mohon Redha Mu ya Rabb.
Mohon Rahmat Mu yang tidak terhingga,
Aamiin....


.....

Wednesday, February 10, 2016

Yang hijau menghijau dan yang warna warni @ Janda Baik......



Kalau suka kehijauan, datanglah ke Janda Baik. Ini jalan masuk ke destinasi.



Di hadapan bangunan yang di diami keluarga untuk sehari.



Di pinggiran air mengalir, kehijauan memikat perhatian.


Bunga orkid hidup liar.







Allah swt hiasi bumi ini untuk kita huni...
Bermacam-macam nikmat Allah sediakan.
"Maka nikmat Allah yang mana yang hendak kamu dustakan".

....

Tuesday, February 9, 2016

Gong Xi Fa Cai @ Janda Baik.





Musim perayaan ini, kami tumpang semangkuk. Bawa anak cucu ke Janda Baik.Katanya ada tempat mandi manda. Anak saya Azrul sudah pernah ke sana tetapi yang lain belum lagi.

Pepagi hari lagi kami sudah keluar rumah, bawa juadah untuk sarapan. Ingat di hati buat seperti piknik. Jalan lengang sahaja. Agaknya hanya mereka yang tidak merayakan CNY sahaja yang berada di atas jalan balik kampung atau ziarah sahabat handai.



Ini Karak Highway yang jarang saya rasai. Perjalanan nyaman dan dapat bersembang dengan anak /cucu. Bukan mudah hendak mendapat masa untuk sembang-sembang hal hidup dan kehidupan.

Kami sampai lebih kurang jam 9 pagi dan terus sahaja kami sarapan kerana anak cucu pun sudah kelaparan. Anak saya Azrul mengenali salah seorang pengusaha di sana dan kami diberi tinggal percuma di rumah yang disediakan untuk pelancung. R
ezki dari langit dan anak-cucu seronok bermain kejar-kejaran selepas makan pagi.







Selepas penat berkejaran, sibuk pulak bermandian. Terpaksa di kawal selia kerana air agak deras bagi umur bawah 10 tahun. Airnya agak jernih, sejuk nyaman. Pemandangan di sekelilingnya pun cantik penuh kehijauan.







Menjelang tengah hari pastinya mereka lapar. Maka yang dewasa mestilah menyediakan makan walaupun kami ada membawa nasi lemak dan roti dan makanan ringan. Anak saya Amirul suka Bar-B-Q. Maka dia diberi tugasan menyediakannya. Saya membantu sedikit-sedikit. Amin anak menantu saya membeli ikan segar belaan di kampung berdekatan. Kira seronoklah makan dan bercerita. Tidak ada hal politik yang timbul. Kami dah penat dan mahu bertenang menjalin silaturrahim dalam keluarga.





Saya dan Amirul serta isteri pulang awal kerana esuknya Amirul bertugas dan saya tidak mahu miss kelas pengajian mingguan. Rupanaya suami dan menantu saya Amin pergi surau Maahad Tahfiz berhampiran untuk merasai hidup orang tempatan.





Alhamdulilah, bersyukur dapat bersama anak-cucu dalam satu masa yang tenang dan panjang. Suami saya dan anak-anak yang tinggal serta cucu bermalam di Janda Baik. Saya pulang dan insyaAllah nanti saya cerita lagi apa yang saya lihat di Tempat ini. Mohon diri. Semoga Allah memberkati usaha mengeratkan hubungan kekeluargaan ini.


.....

Monday, February 8, 2016

"Quiet Moments" Di Masjidil Haram




(Mengimbas kembali peristiwa di Tanah Suci baru-baru ini)



"Quiet Moments"......Detik-detik sepi di 
Masjidilharam....



Berbicara dengan burung-burung apa yang dengan manusia tidak dapat diluahkan....

Sebuah angan-angan kerana burung hanya "mendengari" dan mungkin juga "berdoa" untuk kita pada Ilahi.

Harusnya kita bicara terus pada yang maha Mengetahui apa  yang nyata dan yang tersembunyi....   Allah yang maha Pencipta dan maha Bijaksana....
Dia yang maha Kasih Sayang dan maha Mengasihani.


Hari itu saya tidak mengikuti aktiviti melawat Jeddah untuk program seharian. Entahlah.....
Saya rasa saya mahu berseorangan. Hari itu saya berjalan berseorangan ke Masjid tanpa kakak-kakak saya. Perjalanan redup dan di hati pun redup tenang. Tidak perlu sentiasa melihat kiri kanan dan belakang seperti hari-hari lain kerana mahu berikhtiar memastikan keselamatan kakak-kakak saya.

Saya mahu berseorangan  buat seketika di Masjid..........berseorangan untuk bermuhasabah diri senyap-senyap tanpa kakak-kakak saya memerhati, berseorangan tanpa rasa perlu melihat kanan dan kiri kalau-kalau kakak saya perlu perhatian yang dapat saya kesan dari gerak geri kerana kakak-kakak saya sering mahu berdikari. Tidak mahu menyusahkan saya....... semoga semua amalan terkesan di hati. (alhamdulilah...punya kakak-kakak yang baik budi).



Saya mengerjakan Tawaf sunat seorang diri, rasa syahdu di hati.....Amat bersyukur, alhamdulilah.......
Tidak perlu khuatir kehilangan kakak di sisi. Tawakal dan berserah....tidak merasai kesukaran berjalan berseorangan walaupun ditolak atau tertolak..... saya terima seikhlas hati... Allah pastinya memerhati dan Dialah yang menilai hatibudi.

Lepas itu saya solat sunat di tempat yang bersesak seperti ini. Namun ada sahaja ruang yang Allah beri untuk bermunajat sepuas hati. Alhamdulilah....bersyukur tidak terperi...Tiada sempadan menghalang diri.  Sering di singgung, di langkah sesama tetamu Allah yang juga mahu mencari ruang-ruang untuk berdiri, sujud membenam muka ke bumi. Semoga Allah memberkati usaha kerdil ini dan meredhai walaupun tidak secantik yang ingin diluahkan dari hati. Hamba yang kerdil, yang fakir ini mahu taqarrub pada yang maha Tinggi, maha Agong dan maha Meliputi.

Ya Allah aku mohon keampunan atas segala dosa-dosa, mohon ampun atas segala kejahilan dan segala kelemahan dan kekurangan. Mohon ampun atas segala kelalaian dan sering terjebak dengan rasa riak dan ujub diri dan berbagai lagi walau sekuat mana mahu menghindari. Semoga Allah mengesihani diri ini. Hanya padaNYA harapan dihati, semoga dikurnia kasih-sayangNya yang tidak bertepi. Masih terlalu banyak yang perlu dibaiki untuk mensucikan hati. Semoga mendapat kurnia syurga Firdaus yang tertinggi, dengan limpah Rahmatnya semata-mata kerana terlalu kerdilnya hamba ini. 

Tidak lupa juga berdoa untuk bapak dan emak yang dikasihi yang tidak terbalas budi, yang bermatian bekerja untuk sesuap nasi merentasi lautan di Bumi Allah yang satu ini, semoga keluarga hidup damai patuh pada janji dari alam Ruh lagi. "Alastu birabbikum....Bala syahidna." Gerun mengingati bai'ah ini......

Seperti tidak puas merayu merintih Allah semoga mengasihani, mengampuni dan menerima secebis amalan ini. Terlalu hina rasa dihati, mengingati betapa biadap terhadap Ilahi, tidak mengenal diri bahawa hakikat hamba yang di cipta adalah untuk pengabdian sepenuhnya pada yang Maha Esa, maha Agong dan maha Tinggi. Semoga tidak ada lagi kekosongan dihati...namun sentiasa khuatir air mata yang menghujani pipi tidak cukup bukti atas penyesalan diri.......ibarat mahu aku cincang-cincang kemungkaran yang aku lalui......

Mana mungkin....
Hanya keampunan yang ku nanti-nanti....sesak didada semoga terlerai akhirnya bila menghadap yang maha Esa Suci dan maha Tinggi.
Semoga diAhirat nanti aku tidak dipinggirkan bersendiri...
Memohon Syufaat Nabi termulia di bumi ini...
Yang belum cukup dicontohi kerana kelalaian minda dan hati.
Ya Allah....
Pada siapa lagi kan ku bawa hati ini, melutut sujud dengan menyesali diri tidak terperi...Hanya pada Mu ya Allah, Redhailah diri ku ini....

Kemudian.......Tersenyap tidak terkata lagi, mendengari debaran hati......



Berat rasa kaki mahu mengundur diri.......
Berat rasa hati mahu menyudahi munajat ini...
Mengharapkan Allah mendengari, dan semoga aku dikurnia iktiraf hamba sejati
Nafsu Mutmainnah...dan Allah jemput masuk di kalangan hamba-hambaNya yang Allah meredhai.......
Masuk ke Syurganya kekal abadi.....



Dengan hati yang masih terharu dengan berbagai fikiran melintasi aqal, saya mengajak diri mencari tempat solat fardu seterusnya di kawasan yang saya rakam di atas ini, mahu terus menghayati rasa Allah dekat di hati....rasa takut berbelah-bagi, namun sentiasa mengharapkan kasih sayangNya semoga hidup ini diberkati dan diRedhai.


Saya mencari secebis ruang untuk seorang diri di celah-celah manusia yang tidak dikenali. Wajah-wajah mereka tidak pun menggambarkan simpati tetapi saya rasa hati-hati hamba-hamba Allah yang datang ke sini punya persaan yang tersendiri dan tentunya semua mahu menghampirkan diri pada Ilahi. Dalam kegawatan manusia penuh sesak ibarat  semua nafsi-nafsi aku tetap mengingati pesan ustaz jangan ingat bahawa hanya di Tanh Suci sahaja Allah boleh kita dampingi. Bukan di Tanah suci sahaja doa-doa di terima dan yang  dihajati diberi. Di mana sahaja Allah hampir asal sahaja hati kita tulus ikhlas mencariNYA dan mahu berubudiah sepenuh hati. Tempat-tempat yang mulia di Tanah Suci hanya menjadi pemaangkin doa diterima. Namun doa hati seorang hamba yang putih bersih di hujung dunia juga Allah terima. Allah maha Adil maha Bijaksana. Allah hanya menilai hati nurani dan amalan yang bertepatan dengan niat di hati dan yang disyariati. Jika amalan tidak serupa seperti yang dijanji, maka belum pasti............


Maka saya solat di ruang kawasan masjid seperti ini.
Tiada siapa yang dikenali....
namun hati tidak takut bersendiri, yakin Allah melihat dan mendengari...
Berfikir berfikir mengingat kembali hatibudi yang belum sempurna mengabdi diri
Pada Allah maha Pencipta, maha Suci dan maha mengasihi.

Berterusan memohon ampun dengan seslan yang tidak terperi.
Semoga Allah meredhai dan Syurga Firdaus Allah kurnia bersama semua yang ku cintai,
Dengan Rahmat kasih sayangnya yang tidak bertepi.
Aamiin ya Rabb, ku pohon, ku merayu sepenuh hati.


..........

Saturday, February 6, 2016

Seorang guru yang tidak berjiwa guru......










Profession perguruan sememangnya disanjung tinggi dalam masyarakat kita, orang Melayu terutamanya. Pada gurulah kita mengharapkan anak-anak mendapat bimbingan dan asuhan dan mendapat ilmu baca kira.

Biasanya guru berjiwa tenang menghadap anak murid, lemah lembut dan mudah mengasihani. Seorang guru selalunya berbudi bahasa halus dan mudah menghormati ornag tua-tua. Sayang sekali kalau seorang guru menjadi guru kerana sudah tidak ada pilihan lain. Maka ia menjadi guru kerana hanya mahukan kerja bergaji tetap. Ia tidak menganggap perguruan sebagai kerjaya tetapi sebagai usaha makan gaji.

Saya pernah mengenali seorang guru yang 'bukan guru' kerana ia tidak punya sikap seorang guru. Yang nyata ia tidak ada sifat mengasihani, jauh sekali mengasihani ibu bapa. Guru ini juga bersuamikan seorang guru, dan sifatnya serupa sahaja. Saya mengenali rapat ibu-bapa guru ini. Saya amat sedih memikirkan bagaimana saya dapat mengubah sifatnya demi membantu ibu-bapanya untuk rasa bahagia.

Ibunya kini sudah meninggal dunia dan saya mendapat tahu semasa ibunya sakit ia jarang-jarang ambil tahu. Jika balik ke rumah ibunya, ia datang seperti tetamu lain sahaja. Tidak pernah memandikan dan membersihkan ibunya. Ibunya terlantar seharian di pembaringan. Semua diserah pada pembantu rumah ibunya. Tetapi apabila tidak ada pembantu, saya dimaklumkan ia membiarkan bapanya yang mengurus ibunya. Kedua-duanya sudah lanjut umur, hampir mencecah 80 tahun ketika itu. Apabila ditanya mengapa selalu mahu segera pulang rumahnya sendiri, ia mengatakan bahawa ia sibuk dengan kerja sekolah dan sibuk menemani anaknya bersukan mewakili daerah.

Pening saya mendengarinya......
Sebab saya tahu itu hanya alasan.

Saya katakan pada adik lelakinya untuk menegur tingkah lakunya terhadap ibu kandungnya tetapi saya tidak nampak perubahan hingga ke akhir hayatnya.

Bapanya tinggal berseorangan setelah ibunya meninggal. Lagi sedih saya melihatkan keadaan. Ia tidak kisah untuk menjaga bapanya. Cuti penggal sekolah pun ada kalanya langsung tidak pulang. Rumahnya hanya lebih kurang 20 km dari rumah bapanya.

Saya menggalakan bapanya berkahwin lagi demi kesejahteraannya diumur tua. Kini dia berumur 86 tahun dan anak-anaknya tidak kisah akannya. Cuma seorang sahaja yang ambil peduli. 

Semua harta ibu dan bapanya sudah diwariskan semasa ibunya ada. Itulah agaknya ada sesetengah pendapat supaya harta kita jangan dibahagikan ketika kita masih hidup supaya kita boleh jual untuk menyara hidup kita jika anak-anak tidak ambil peduli. Kita boleh pergi rumah orang tua-tua yang baik pengurusannya jika kita ada harta untuk menyara hidup sendiri. Kini si bapa hanya ada rumah sederhana yang didudukinya sahaja dan pencen isteri dan pencennya sendiri untuk menyara hidup. Mereka bukan pegawai tinggi, tetapi alhamdulilah ia mencukupi sekadarnya.

Dari segi kewangan, hidupnya mencukupi. Alhamdulilah. Selau ia mengucap syukur. Tetapi saya tahu dia merindui anak-anak dan cucu-cucu. Sesekali ia jumpa saya ia akan menceritakan kesuniyannya. Isteri barunya tidak punya anak, maka itu rumahnya sering senyap sunyi. Ia diurus baik oleh isteri barunya.......tetapi manakan sama jika anak ada disampingnya.

Semoga anak-anak menyedari diri dan insaf supaya tidak dikira anak durhaka. Walaupun seorang anaknya itu adalah anak angkat, tetapi hidupnya lumayan kerana diberi pelajaran yang secukupnya hingga ke university. Ia menjadi guru dan isterinya juga guru. Tetapi perilakunya tidak menambat kasih ibu dan bapa yang membesarkannya.

Ya Allah.... jauhkan mereka dari fenomena durhaka ini. Semoga Allah memberi hidayah dan taufikNya dan diakhirnya semua kembali mencari redha Allah dan Allah menerima mereka.

Aamiin....


.....
Related Posts with Thumbnails