(Mengimbas kembali peristiwa di Tanah Suci baru-baru ini)
"Quiet Moments"......Detik-detik sepi di
Masjidilharam....
Berbicara dengan burung-burung apa yang dengan manusia tidak dapat diluahkan....
Sebuah angan-angan kerana burung hanya "mendengari" dan mungkin juga "berdoa" untuk kita pada Ilahi.
Harusnya kita bicara terus pada yang maha Mengetahui apa yang nyata dan yang tersembunyi.... Allah yang maha Pencipta dan maha Bijaksana....
Dia yang maha Kasih Sayang dan maha Mengasihani.
Hari itu saya tidak mengikuti aktiviti melawat Jeddah untuk program seharian. Entahlah.....
Saya rasa saya mahu berseorangan. Hari itu saya berjalan berseorangan ke Masjid tanpa kakak-kakak saya. Perjalanan redup dan di hati pun redup tenang. Tidak perlu sentiasa melihat kiri kanan dan belakang seperti hari-hari lain kerana mahu berikhtiar memastikan keselamatan kakak-kakak saya.
Saya mahu berseorangan buat seketika di Masjid..........berseorangan untuk bermuhasabah diri senyap-senyap tanpa kakak-kakak saya memerhati, berseorangan tanpa rasa perlu melihat kanan dan kiri kalau-kalau kakak saya perlu perhatian yang dapat saya kesan dari gerak geri kerana kakak-kakak saya sering mahu berdikari. Tidak mahu menyusahkan saya....... semoga semua amalan terkesan di hati. (alhamdulilah...punya kakak-kakak yang baik budi).
Saya mengerjakan Tawaf sunat seorang diri, rasa syahdu di hati.....Amat bersyukur, alhamdulilah.......
Tidak perlu khuatir kehilangan kakak di sisi. Tawakal dan berserah....tidak merasai kesukaran berjalan berseorangan walaupun ditolak atau tertolak..... saya terima seikhlas hati... Allah pastinya memerhati dan Dialah yang menilai hatibudi.
Lepas itu saya solat sunat di tempat yang bersesak seperti ini. Namun ada sahaja ruang yang Allah beri untuk bermunajat sepuas hati. Alhamdulilah....bersyukur tidak terperi...Tiada sempadan menghalang diri. Sering di singgung, di langkah sesama tetamu Allah yang juga mahu mencari ruang-ruang untuk berdiri, sujud membenam muka ke bumi. Semoga Allah memberkati usaha kerdil ini dan meredhai walaupun tidak secantik yang ingin diluahkan dari hati. Hamba yang kerdil, yang fakir ini mahu taqarrub pada yang maha Tinggi, maha Agong dan maha Meliputi.
Ya Allah aku mohon keampunan atas segala dosa-dosa, mohon ampun atas segala kejahilan dan segala kelemahan dan kekurangan. Mohon ampun atas segala kelalaian dan sering terjebak dengan rasa riak dan ujub diri dan berbagai lagi walau sekuat mana mahu menghindari. Semoga Allah mengesihani diri ini. Hanya padaNYA harapan dihati, semoga dikurnia kasih-sayangNya yang tidak bertepi. Masih terlalu banyak yang perlu dibaiki untuk mensucikan hati. Semoga mendapat kurnia syurga Firdaus yang tertinggi, dengan limpah Rahmatnya semata-mata kerana terlalu kerdilnya hamba ini.
Tidak lupa juga berdoa untuk bapak dan emak yang dikasihi yang tidak terbalas budi, yang bermatian bekerja untuk sesuap nasi merentasi lautan di Bumi Allah yang satu ini, semoga keluarga hidup damai patuh pada janji dari alam Ruh lagi. "Alastu birabbikum....Bala syahidna." Gerun mengingati bai'ah ini......
Seperti tidak puas merayu merintih Allah semoga mengasihani, mengampuni dan menerima secebis amalan ini. Terlalu hina rasa dihati, mengingati betapa biadap terhadap Ilahi, tidak mengenal diri bahawa hakikat hamba yang di cipta adalah untuk pengabdian sepenuhnya pada yang Maha Esa, maha Agong dan maha Tinggi. Semoga tidak ada lagi kekosongan dihati...namun sentiasa khuatir air mata yang menghujani pipi tidak cukup bukti atas penyesalan diri.......ibarat mahu aku cincang-cincang kemungkaran yang aku lalui......
Mana mungkin....
Hanya keampunan yang ku nanti-nanti....sesak didada semoga terlerai akhirnya bila menghadap yang maha Esa Suci dan maha Tinggi.
Semoga diAhirat nanti aku tidak dipinggirkan bersendiri...
Memohon Syufaat Nabi termulia di bumi ini...
Yang belum cukup dicontohi kerana kelalaian minda dan hati.
Ya Allah....
Pada siapa lagi kan ku bawa hati ini, melutut sujud dengan menyesali diri tidak terperi...Hanya pada Mu ya Allah, Redhailah diri ku ini....
Kemudian.......Tersenyap tidak terkata lagi, mendengari debaran hati......
Berat rasa kaki mahu mengundur diri.......
Berat rasa hati mahu menyudahi munajat ini...
Mengharapkan Allah mendengari, dan semoga aku dikurnia iktiraf hamba sejati
Nafsu Mutmainnah...dan Allah jemput masuk di kalangan hamba-hambaNya yang Allah meredhai.......
Masuk ke Syurganya kekal abadi.....
Dengan hati yang masih terharu dengan berbagai fikiran melintasi aqal, saya mengajak diri mencari tempat solat fardu seterusnya di kawasan yang saya rakam di atas ini, mahu terus menghayati rasa Allah dekat di hati....rasa takut berbelah-bagi, namun sentiasa mengharapkan kasih sayangNya semoga hidup ini diberkati dan diRedhai.
Saya mencari secebis ruang untuk seorang diri di celah-celah manusia yang tidak dikenali. Wajah-wajah mereka tidak pun menggambarkan simpati tetapi saya rasa hati-hati hamba-hamba Allah yang datang ke sini punya persaan yang tersendiri dan tentunya semua mahu menghampirkan diri pada Ilahi. Dalam kegawatan manusia penuh sesak ibarat semua nafsi-nafsi aku tetap mengingati pesan ustaz jangan ingat bahawa hanya di Tanh Suci sahaja Allah boleh kita dampingi. Bukan di Tanah suci sahaja doa-doa di terima dan yang dihajati diberi. Di mana sahaja Allah hampir asal sahaja hati kita tulus ikhlas mencariNYA dan mahu berubudiah sepenuh hati. Tempat-tempat yang mulia di Tanah Suci hanya menjadi pemaangkin doa diterima. Namun doa hati seorang hamba yang putih bersih di hujung dunia juga Allah terima. Allah maha Adil maha Bijaksana. Allah hanya menilai hati nurani dan amalan yang bertepatan dengan niat di hati dan yang disyariati. Jika amalan tidak serupa seperti yang dijanji, maka belum pasti............
Maka saya solat di ruang kawasan masjid seperti ini.
Tiada siapa yang dikenali....
namun hati tidak takut bersendiri, yakin Allah melihat dan mendengari...
Berfikir berfikir mengingat kembali hatibudi yang belum sempurna mengabdi diri
Pada Allah maha Pencipta, maha Suci dan maha mengasihi.
Berterusan memohon ampun dengan seslan yang tidak terperi.
Semoga Allah meredhai dan Syurga Firdaus Allah kurnia bersama semua yang ku cintai,
Dengan Rahmat kasih sayangnya yang tidak bertepi.
Aamiin ya Rabb, ku pohon, ku merayu sepenuh hati.
..........
No comments:
Post a Comment