"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Sunday, July 31, 2016

Realiy hidup warga emas yang jarang kita temui......






Allah turunkan alQuran sebagai panduan hidup.....dari sebelum lahir hinggalah ke liang lahad....hingga lah proses masuk ke Neraka atau ke Syurga. Allah mempunya sifat-sifat yang amat Mulia. Allah punya sifat marah dan kecewa tetapi sifat-sifat kasih pada hamba ciptaanNya jauh melebihi sifat-sifat yang menggambarkan kemurkaanNya. Allah tidak menzalimi siapa jua dan apa jua. Allah maha Pengasih, maha Penyang, maha Bijaksana dan maha Adil. Rahmatnya mengatasi segalanya.

Dengan sedikit latar belakang itu saya ingin bercerita perjumpaan saya dengan sorang teman akrab yang sama kerja di Kementerian Pendidika di akhir tahun sembilan puluhan. Saya mengenali suaminya dan bermula persahabatan kami dari sejak saya bekerja pada awal tahun tujuh-puluhan.

Kini suaminya berumur 81 tahun dan sudah beberapa tahun ia uzur dan lupa-lupa. Kelmarin saya bertemu dengan mereka semasa menghadhiri Hari Perjumpaan EidulFitri di Dewan Makan NGO Pakatan di Kg. Tunku Petaling Jaya. Kami menjadi ahli NGO tersebut dan setahun sekali biasanya kami bertemu. Namun kali ini saya rasa sebak dan sedih bertemu dengan mereka. Sudah dua tiga tahun saya tidak bertemu atas sebab-sebab kesibukan. Rupanya kini sakit Alzimer yang dihidapnya sudah agak meruncing. Subhanallah.....

Dahulu pun dia sudah tidak mengenali saya. Waktu itu saya tidak sangat sebak kerana saya sudah biasa menjaga orang tua (ibu mertua saya) yang lupa-lupa juga. Tetapi kali ini suami teman saya ini sudah tidak mampu bercakap dan tidak mampu senyum. Saya peluk isterinya dan saya katakan saya amat sedih kali ini sebab isterinya ini yang hanya 5 tahu muda darinya pun sudah menampakan keuzurannya. Namun ia masih steady dan ceria. Allah maha bijaksana dan maha Adil. Seorang sakit dan izur tetapi yang seorang lagi dikurniakan kesihatan dan kemampuan. Saya panggil dia Kak Pah sejak mula kenal. Dia seorang pesara pegawai Pendidikan. Dia menyuapkan makan hidangan Hari Raya kerana suaminya sudah tidak mampu makan sendiri kerana tangan kanannya amat lemah akibat cel-cel diotaknya sudah tidak aktif.

Saya kagum kerana dia seronok membawa suaminya ke majlis untuk menghiburkan atau menceriakan hatinya dengan di bantu seorang cucu lelaki yang sedang belajar di University. Alhamdulllah. Allah mudahkan. Tetapi dia kepenatan juga katanya bila setahun ia tidak punya pembantu rumah. Dia kelihatan amat kurus dari biasa walaupun sihat. Alhamdulillah kini sudah ada pembantu part-time....siang sahaja. Kini agak susah mendapatkan pembantu full time. Allah maha Mengetahui dan maha Mengasihani. Anak-anaknya sentiasa membantu.

Bila saya dan suami minta diri untuk pulang, ia menghulurkan tangan kirinya untuk bersalaman. Kami sambut dengan rasa sebak. Sudah tidak ada jenaka dan lawak dalam perbualan. Dia diam sahaja dan tidak mampu senyum. Namun saya melihat matanya bersinar bila bersalaman. Allahuakbar......

Begitulah.....

Saya insaf. Ibu mertua saya dahulu pun begitu. Tidak mengenali kami dan berbagai lagi ragamnya yang jarang-jarang diketahui oleh mereka yang tidak biasa dengan fenomena ini. Saya redha menjaganya dan semoga Allah meredhai saya.

Maka sama-samalah kita musabah diri. Kita ingat yang ustaz ajarkan. Buat yang lima sebelum datang yang lima. Isterinya pun semalam menyebutkannya pada saya.....muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, sihat sebelum sakit, kelapangan masa sebelum kesempitan masa dan  hidup sebelum mati. 

Ayat alQuran jelas memberi peringatan:

A070
Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada); kemudian Ia menyempurnakan tempoh umur kamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya), dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua kebudak-budakan), sehingga menjadilah ia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.
(Al-Nahl 16:70) | 

Saya sendiri sudah dalam lingkungan warga emas dan bila-bila masa boleh berangkat pergi. Kami dalam kumpulan ini selalu mengatakan: Kami sekarang dalam Dewan Berlepas di Lapangan Terbang. Tunggu panggilan menaiki Pesawat ke Destinasi amat istimewa. Mungkin 'flight delay' maka tertangguhlah sebentar..... tetapi sebentar sahaja. Tidak sesaat awal dan tidak sesaat lewat bila Allah sudah tentukan.

Namun orang muda pun Allah boleh beri jemputan Istimewa. Maka sama-samalah kita munafaatkan  hidup kita dan semoga nanti kita bertemu di Syurga Firdaus tanpa hisab dengan Rahmat Allah semata -mata....

Aameen ya Rabb....

......



Friday, July 29, 2016

....Habis telinga nak kena pulas!








Hidup ini tidak sunyi dari masaalah. Setiap masaalah ada hikmahnya. Kita kena yakin bahawa apa jua masaalah ada penyelesaiannya. Namun definasi 'penyelesaian' harus dilihat dalam konteks paradigma Tauhid yang diajarkan pada kita oleh Nabi kita Muhammad sallahualaihi wasalam. Allah jua yang maha Pencipta dan Dia yang maha Bijaksana mentadbir penciptaaNya.

Hari ini Malaysia sedang menghadapi berbagai masaalah. Yang amat diperkatakan oleh rakyat ialah masaalah 1MDB. Saya tidak bercadang berbincang mengenai butiran masaalah, cuma saya mahu bicara sedikit tentang apa yang sedang dilakukan oleh pihak Pembangkang Kerajaan mengenainya.

Sekarang ini siapa pun di Malaysia tidak dapat menyentuh kekebalan YAB Perdana Menteri walaupun negara berpengaruh USA sudah mengeluarkan kenyataan dan tuduhan dalam konteks Kleptokrasi,(Kerajaan yang mencuri harta negara). Sebenarnya saya pun tidak faham sepenuhnya mengenai hal ini. Cuma saya terfikir pada malam kelmarin apabila saya membuka uTube mengenai hal ini saya terbuka satu kisah di mana pihak pembangkang sedang berusaha berbuat sesuatu untuk memastikan Rakyat Malaysia mendapat keadilan dan pembelaan yang sewajarnya.

Mereka bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang pada semua pegawai yang cuba melindungi YAB PM di semua ajensi dan disemua peringkat pengurusan ajensi itu yang tahu mengenai hal ini tetapi tidak mengambil tindakan yang sewajarnya dan melaporkan pada pihak Polis. Katanya, antara lain, mereka akan dituduh cuai (negligent) atau berkonspirasi untuk melalukan jenayah yang merugikan rakyat Malaysia.

Betulah kata pepatah: Tak dapat tanduk, Telinga dipulas.

Tujuan mengambil tindakan undang-undang pada semua pegawai yang terlibat, di Perkhidmatan awam, di Perbankan atau di mana jua, ialah untuk memastikan, antara lain, maklumat yang penting akan dapat didengari nanti di Mahkamah Keadilan. Mungkin dengan cara ini tindakan undang-undang akan dapat diambil pada YAB PM akhirnya. 

WaAllahua'lam. 

Rakyat biasa macam saya hanya boleh tunggu dan lihat.....

Walau apa pun, janganlah kita putus asa dan putus punca. Keadilan sebenar terletak pada Allah yang maha Berkuasa. Sudah pun dijelaskan dalam alQuran apa akibatnya jika kita melanggar hukum hakam yang telah Allah tentukan. 

Di Mhkamah Agong di akhirat nanti, semua anggota kita yang berkenaan akan menjadi saksi. Saya kongsi pemahaman saya seperti berikut.

A036
Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.
(Al-Israa' 17:36

A065
Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.
(Yaa Siin 36:65


A020
Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan.
(Fussilat 41:20) |

A022
"Dan semasa kamu berselindung (ketika melakukan dosa di dunia dahulu) bukanlah kerana kamu bimbangkan pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan kamu yang berdosa itu, akan tetapi kerana kamu menyangka bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan dosa yang kamu lakukan (secara bersembunyi itu).
(Fussilat 41:22

Tiada jalan lain melainkan kita kembali pada Allah jua. Tidak ada manusia yang sempurna. Apa jua dan di mana jua kita tersilap dan terjebak dengan apa jua maksiat dan kezaliman, kita cepat-cepat kembali pada Allah. Dia yang maha Pengasih dan Penyang dan maha Pengampun. Kembali segera dan bertaubat Nasuhah. Biar apa pun akibatnya di dunia, ia amat kecil berbanding dengan apa yang akan berlaku di Akhirat. 

Saya merasa insaf kerana saya pun banyak kekurangan dan kelemaha, dan mendengari nasihat Ustaz dan mengingatkan diri sendiri juga bahawa kita harus berwaspada pada hasutan Syaitan yang datang bertubi-tubi  dalam berbagai bentuk. Kita sentiasa dituntut memohon petunjuk dan mohon perlindungan dariNYA.

Mohon keampunan Mu ya Rabb....


.....

Wednesday, July 27, 2016

Mengingatkan diri....








Macam-macam maklumat yang terdapat di media sosial mengenai negara tercinta, Malaysia dan masaalah yang sedang melanda rakyatnya akibat apa yang berlaku pada 1MDB.

Saya hanya tunggu dan lihat apa akan jadi seterusnya. Ramai bijak pandai di Malaysia kita ini, ada yang pernah punya kuasa, ada yang kaya raya dan ada yang kini punya kedudukan yang pastinya boleh menyelesai masaalah yang ada. Tidak mungkin orang lain atau negara lain yang akan menyelesaikan masaalah kita.

Sebagai rakyat biasa saya terus berusaha mengikut kemampuan yang ada dan menasihatkan anak cucu jangan menyibukan diri bercerita tak habis-habis mengenai siapa salah dan siapa betul tentang kecelaruan yang melanda masyarakat kini. Nanti masa terbuang dan tidak ada kemajuan dicapai. Saya kata pada anak cucu supaya mencari ilmu supaya faham mengapa Allah memcipta manusia untuk menghuni Bumi ini supaya mengerti dan semoga tahu bagai mana mahu membenteng diri supaya tidak sekongkol dengan mereka yang tidak faham akan tanggongjawab terhadap diri dan terhada yang maha Pencipta....Allah Tuhan semesta alam.

Saya suka berkongsi kata-kata Hikmah berikut untuk renungan.....


"This world is constantly changing. Do not chase that which changes. Connect your Heart to Allah...the One that never changes."

                                       Shaikh Abdullah bin Bayah.


"Everything you desire exists with Allah swt. So if you have Allah you have everything you desire. If you dont have Allah, then nothing that you desire will make you happy."

                                      Shaikh Hamza Yusuf.


Semoga diri sentiasa beringat.
Hidup ini tidak lama dan semua kekayaan yang tidak diperolehi dan ditadbir mengikut kehendak Allah tidak akan menolong kita di Akhirat nanti.

Mohon keampunan Mu ya Rabb....


.......

...of Rain and Thunder...



Rumi Says:

RAISE YOUR WORDS NOT YOUR VOICE,
IT IS RAIN THAT GROW FLOWERS,
 NOT THUNDER.

Rumi aka Jalal Ad Din Muhammad Rumi.


Foto Ehsan Google search.
.......


Sunday, July 24, 2016

Peduli Jiran......





Ini adalah sebahagian laman rumah saya dengan pokok-pokok yang nampak tidak diurus dan sudah melebihi sempadan rumah jiran di hujung sana.


Alhamdulillah, tiga hari dulu saya berhasil mendapat pertolongan seorang pekerja untuk membersih kan pokok-pokok di sempadan tanah saya dan tanah jiran. Saya dapat juga membetulkan saluran air supaya benteng tanah jiran tidak terjejas. Saya terlepas pandang kerana agak lama saya tidak jalan mengelilingi rumah saya untuk melihat apa yang tidak kena hinggalah rumah saya dikopak pencuri. Alhamdulilah saya sudah cuba atasi dan semoga hubungan kejiranan sentiasa baik. Mereka tidak komplain....saya rasa amat bersalah.









Bersalah kerana Al Quran sudah mengajarkan cuma saya tidak meneliti satu persatu. Saya kongsikan ayat berikut.

A036
Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;
(An-Nisaa' 4:36) |

Rasa agak lega dapat membersihkan sempadan. Adab kejiranan sudah lama tahu tetapi kekadang terlepas pandang juga jika jarang memantau apa yang berlaku. Harap pada orang kerja sahaja. Kepentingan kita pasti berbeza. Maka saya tidak menyalahkan orang lain. Salah sendiri.

Saya punya jiran yang baik walaupun jarang bersilaturrahim, ziarah menziarah, bertukar-tukar hadiah dan sebagainya. Saya masih rasa belum lepas tanggong jawab dengan Allah kerana belum sungguh-sungguh "bercerita mengenai Islam" dengan jiran yang belum faham Islam dan belum menerima Islam. Bagai mana ye?.....











Semoga Allah menunjuki jalan.......


.......

Saturday, July 23, 2016

Biarkan orang tua dengan ragamnya....tapi harus terus dikasihi.


olds mobile automobile vehicle


Orang tua bukan bagaikan kereta vintage....
lagi tua lagi digemari. 

Dalam masyarakat kita, juga masyarakat lainnya saya percaya, orang tua dikira beban hidup orang-orang muda.

Saya teringatkan orang tua bila mana pagi ini Imam muda di Masjid menangis semasa Solat Subuh ketika membaca ayat2 surah al Israk terutamanya ayat berikut:

A023
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
(Al-Israa' 17:23

Agaknya tersentuh hatinya teringatkan orang tuanya. Saya dengari juga suara-suara menahan tangsian dari jemaah lainnya dan saya juga rasa sebak teringatkan emak saya. Bapak saya meninggal saya masih kecil remaja. Allah benar-benar mengangkat darjat orang tua untuk disantuni anak-anak khususnya dan orang-orang muda umumnya.

A024
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
(Al-Israa' 17:24




Saya kenal Imam muda ini. Semasa kecil ibu-bapanya berpisah dan ia di asuh oleh isteri baru bapanya. Umurnya 3 tahun waktu itu dan ia punya seorang kakak dan seorang abang. Selalu ia diceritaikan hal ibu kandungnya. 

Ketiga mereka diasuh dan dibesar kan oleh ibu yang baru ini. Ibu ini amat mengasihi mereka seperti anak-anaknya sendiri. Ibu ini seorang yang mengerti erti hidup dan mereka dididik hingga mampu berdikari. Berdikari bukan kerana kemampuan harta dan tenaga sahaja.Ia boleh berdikari kerana yakin dalam hidup ini ada orang istimewa yang juga yakin pada kebolehannya........

Ini hanya telahan saya sahaja mengapa Imam muda itu menangis. Ramai orang ada satu ibu, dia ada dua ibu......ibaratnya. Agaknya dia rasa tidak cukup menyantuni ibu kandungnya. Entahlah.......hanya Allah yang maha Tahu.

Yang saya hendak kongsikan lebih sedikit ialah ragam seorang ibu, terutamanya bila ia sudah tua. Juga ragam bapa apabila ia sudah tua.

Berbagai ragam......

Ada ibu dan bapa yang sudah tua tidak tidur satu bilik. Ada anak yang rasa pelik.
Biarkan....

Ada ibu yang punya selera berbeza dengan selera bapa dan anak susah kerana semua kena sediakan  makan secara a-la-carte. Dengan kesibukan kerja harian kadang kala anak2 merungut juga.
Jangan merungut.....biarkan....layani semampu mungkin.

Ada yang tidak suka mandi pagi dan petang. Hanya mahu mandi sekali sahaja.
Biarkan....layan sahaja.

Jika ada ibu bapa yang agak pelupa maka ragamnya lagi mencabar kesabaran dalam melayani dan menyantuni mereka.
Sabarlah.....biarkan.
Orang tua yang menghidap sakit Alzimer, atau lupa-lupa,
sememangnya memerlukan bukan sahaja kesabaran, tetapi juga ilmu yang berkaitan. Maka seorang anak harus mendapatkan ilmu mengenai sifat-sifat orang yang pelupa supaya mudah mengendalikan mereka.

Ada yang tak mahu duduk dengan anak-anak sebab ingat kucingnya, ingat ayam iteknya, ingat pokok bunganya dan berbagai lagi.........biarakan. Mereka seronok sebab ia satu-satunya terepi minda. Walaupun tua mereka tidak suka duduk diam. Biarkan.....
Lebih baik lagi tanamlah pokok-pokok bunga bersama. Pasti mereka lebih seronok.

Ada yang tua suka bertandang di rumah jiran. Mungkin ini disebabkan di rumah tidak ada siapa yang suka bersembang dengan mereka. Mungkin mereka kesunyian....
Kita yang kena tukar cara untuk adakan aktiviti yang inklusif dengan cucu-cucu mithalnya, supaya mereka rasa dihargai.....tidak kesunyian.

Tetapi apa jua ragam mereka, jangan pisahkan mereka. Seperti anak sulung jaga ibu dan anak yang lain jaga ayah atau bapa.. Itu pada pendapat saya suatu langkah yang boleh dikira menzalaimi orang tua kerana mengapa kasih mereka dipisahkan wal hal mereka masih hidup. Mungkin mereka takut mahu membantah tindakan anak yang demikian tetapi pastinya hati mereka merana sebab tidak dapat bermesra harian mengikut cara hidup orang tua selama ini yang suka duduk bersama walaupun mereka tidak bersembang dan tidak berbuat apa sekadar minum teh petang dan makan cekodok.  

Spot-Billed Duck, Animal, Parent Child

S



Haiwan pun suka berduan.
Ibu ayah kita pun tidak kesunyian berduan. Maka jangan pisahkan mereka ketika menjaganya.

Banyak lagi ragam orang tua-tua. Kita harus pandai membaca hati mereka. Renung air mukanya pasti kita tahu ia sedih atau gembira walaupun tidak ada kata-kata. 

Ada anak-anak yang membuat ibu bapa yang tua takut akan mereka. Mahu minta makan pun mereka takut. Saya ada pengalaman menjaga emak saya dan emak mertua saya. Ciri penting ialah mereka suka makan awal pagi. Maka kita harus bangun pagi sebeum subuh untuk buat sarapan supaya nanti bila mereka meminta, sudah sedia ada. Kekadang tidak seawal itu. Tetapi biasanya pukul tujuh pagi mereka sudah lapar.

Berbagai lagi ragam orang tua-tua. Ada yang suka bersiar-siar naik kereta waktu petang. mungkin sebab bosan di rumah seharian. Maka layan sahaja......

Syurga di bawah kaki ibu......juga bapa. Cuma ibu harus di lebihkan mengikut kata2 hadith. 
Carilah sendiri hadith-hadith itu. Saya tidak mampu mencari.....


Hanya satu di atas. (Semua foto-foto di atas adalah dari Ehsan carian Google)

 
Sampai di sini dahulu penyampaian saya. Satu hari saya juga akan bertambah tua......dan semoga umur saya bermunafaat dan mendapat redha Allah.
Aameen ya Rabb....

.......



Wednesday, July 20, 2016

Pertengahan Syawal 1437 H....



Eidul Fitri kali ini kami hanya pulang kampung ziarah saudara mara di Pontian Johor sahaja dan tidak ke Sungai Batu Selama Kedah di kampung suami atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakan. Saya ikut sahaja kerana saya tidak suka menyelesai masaalah dengan tambahan masaalah.

Alhamdulilah. Dengan keterbukaan minda dan hati dan dengan izin Allah kami berhari raya di sekitaran Selangor sahaja, di tempat-tempat yang berhampiran dengan rumah. Ada sedikit masa terluang saya melihat-lihat bunga-bunga yang anak menantu saya tanam di serambi rumah. Menyegarkan minda juga......syok sendiri.

Pada hari Ahad, saya berhari Raya ke rumah Tuan Guru suami saya di Kampung Melayu Subang. Saya mengenali isterinya. Ia seorang Ustazah dan kini telah bersara. Umurnya sama dengan saya. Ia uzur kaki sakit disebabkan komplikasi sistem nerve nya. Saya kurang faham, dan saya rasa insaf kerana Allah masih memberi saya kederat berjalan agak selesa.  Alhamdullilah. Bersyukur tidak terhingga.Tengah hari yang indah buat saya walaupun cuaca panas kerana dapat berbual-bual mengenai keluarga. Di umur senja ini cerita anak cucu adalah suatu yang lumrah dan ia mengingatkan kembali keseronokan cerita-cerita lama semasa kami tinggal berhampiran bersama.



Setengah orang kata....dalam umur tua kasih sayang suami isteri seharusnya dimetri lebih kuat lagi. Keuzuran pasangan hidup menambah keinsafan untuk terus berganding tekad mahu ke Syurga bersama........semoga Allah meredhai. 

Dipertengahan Syawal saya berpuasa enam. Agak lewat tetapi biar lambat asalkan buat. Kecewa juga dengan diri sendiri kerana masih mahu makan santai-santai. Saya cuba juga bersikap komitted untuk mencari keunggulan tetapi belum kesampaian. Bila teringat kami sudah masuk zon boleh dipanggil bila-bila masa sahaja, saya rasa agak cemas juga kerana bertangguh-tangguh membuat amalan yang baik. Semoga Allah masih memberi ruang dan peluang untuk pengabdian yang sempurna hingga ke akhir hayat.




Sekarang ini kebanyakan kelas pengajian yang saya hadiri berkala sudah bermula kembali selepas tamat Ramadhan. Saya belum berkesempatan. Sekarang ini saya sedang mengawasi kontraktor binaan buat kerja kecil-kecilan membetulkan apa yang tidak betul dari segi keselamatan kerana pada 20 Ramadhan yang lalu pencuri sudah memecahkan tingkap di bilik tidur saya dan mengambil apa yang ada termasuk sedikit wang tunai dan sedikit barang kemas. Innalillahi wa innailahi rojiuun......semuanya pinjaman belaka.

Secara bandingan, sedikit sahaja yang kami kehilangan tetapi rasa terkejut dan ketakutan tetap ada. Waktu itu kami di Masjid untuk berjemaah subuh selesai makan Sahur. Pastinya pencuri ini sudah memerhatikan jadual harian saya dah tahu bila mahu bertindak. Alhamdulillah mereka tidak masuk bilik anak dan cucu saya. Agaknya kerana tidak kecukupan masa.....Allah pelihara.

Pertenganhan Syawal yang sibuk sendiri. Tidak banyak bersilturahim. Apakan daya. Baru kini kontraktor kecil sanggup membantu setelah lebih seminggu berhari raya. Alhamdulilah.....masih diberi masa dan kemampuan untuk membaiki bahagian rumah yang rosak. Bukan untuk cantik....alah kadar untuk selamat sahaja.Ujian dari Allah datang dalam berbagai rupa. Asalkan kita redha, semoga Allah gantikan dengan yang lebih baik darinya.

Mungkin saya akan masuk kelas bermula Ogos kerana saya harus juga ke Tadika SmarTop saya di Tangkak untuk mengawasi beberapa masaalah pengurusan. Sepanjang Ramadhan hingga kini saya belum menjenguk mereka. Hanya teman saya yang bekerja kuat mengendalikannya. Alhamdulilah, Semoga Allah sentiasa menurunkan pertolonganNYA......

Sampai di sini dulu.....semoga bertemu lagi. In sya Allah sama-sama kita ingat firman Allah dalam surah Yunos ayat 45 supaya tidak lengah dan lagha dalam menjalani hidup kerana kita tidak ada banyak masa. Ibarat hanya sesaat.....

A045
Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia).
(Yunus 10:45) | 


...........

Monday, July 18, 2016

Tidak kira umur...tidak kira masa.....







Saya berseorangan malam semalam dan saya mendengari bacaan-bacaan al Quran di UTube dengan harapan semoga tidak kesunyian. Bila sampai Sheikh Mishari Rashid Al Afasi membaca surah Hud dia menangis bila samapi ayat Nabi Nuh AS menyeru anaknya supaya turut sama menaiki kapalnya kerana Allah akan turunkan ribut dan banjir paling besar sebagai azab pada mereka yang engkar.

Saya ikut tersedih........

Pagi ini Saya buka semula ayat-ayat itu dan saya turunkan di bawah ini serta maksudnya kerana saya teringatkan diri saya semasa kecil/muda dan teringat juga anak2 dan cucu2 saya kini. Saya ingin ambil iktibar betapa susah proses mendidik hati tidak kira pada dewasa atau anak2 muda dan si Kecil juga.... semuanya. Ada sahaja alasan untuk cuba mengelakan diri tidak mahu mengikut apa yang disarankan atau apa yang diarahkan.

A042
(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: "Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir".
(Hud 11:42) |

A043
Anaknya menjawab: "Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air". Nabi Nuh berkata: "Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya". Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.
(Hud 11:43) |


Manakah seorang bapa tidak akan bersedih hati melihat anaknya terpisah sedemikian rupa. Tetapi janji Allah itu benar dan kuasa Allah itu mutlak. Kita harus ambil iktibar dari kisah2 dalam alQuran seperti ini.

Namun mendidik anak2, kecil atau besar atau dewasa, bukanlah suatu yang mudah. Saya sendiri sering kecundang dalam uasaha mahu mendididk atau mahu mentarbiah. Saya ambil contoh yang mudah. Bagaimana mahu mengawasi dan mahu menguasai anak cucu jagaan kita supaya patuh pada prinsip-prinsip  dan nilai2 hidup. Ambil yang mudah......penggunaan alat komunikasi yang canggih sekarang ini. Alat ini memang baik jika dapat mengawal cara penggunaannya. Tidak perlu saya berhujah panjang kerana sudah sering diperkatakan di mana jua.





Alat komunikasi sekarang...Yang jauh mudah didekatkan. Maka ramailah yang mahir menggunakan teknologi ini. Alat ini bukan sahaja untuk berkomunikasi tetapi juga untuk hiburan dan pendidikan dan berbagai lagi. Tetapi pengisiannya tidak kesemuanya baik. Yang tidak baik mengikut tradisi Islam inilah yang dikhuatirkan. Tetapi bagaimana mahu menentukan hanya yang baik sahaja yang kita aplikasikan.

Ini foto cucu saya yang terbaru sebagai contoh. Sering berebut dengan kakanya kerana terpesona denagn "keajaibannya". Saya perhatikan ia hanya suka melihat berbagai warna yang terpancar dan alunan muzik yang didengarinya. Tetapi ia sering terpaku memegang dan melihatnya. Saya berpendapat ini bukan suatu yang baik. Saya tahu ramai yang berpendapat dalam kemelut kecanggihan IT kini, seseorang itu mesti bermula seawal mungkin.

Saya setuju pada dasarnya, tetapi bagimana mahu mendapatkan pengisian yang terbaik sahaja. Bagaimana mahu memelihara minda anak kecil seperti cucu saya ini supaya ia tidak melihat dan mendengar apa jua yang tidak baik baginya. Itu dilemma saya dan mungkin dilemma orang lain juga.

Saya tiada jawapan.....

Mungkin jika ada pendapat yang dapat dikongsikan, saya ingin mendengarinya. Saya sudah dalam zon umur yang tidak berupaya berfikir panjang dan mendalam dalam bidang ini. Tetapi saya tetap rasa khuatir......
Saya takut lebih banyak kemungkaran dari kemunafaatan. Saya takut terjerumus dalam kedurhakaan tanpa kesedaran.

Mohon perlindungan dari Mu ya Rabb.....


.....

Friday, July 15, 2016

Pemergiannya mudah.......





Bila saya dapat foto ini dalam group whatsapp, saya tarik nafas panjang. Bukan semua orang boleh duduk begini.....gayat dan berbagai rasa. Syabas ! pemuda ini lain dari yang lain.

Saya teringakan adik lelaki kakak ipar saya yang sama peringkat umur dengan saya. Faisal namanya. Dia juga berjiwa kental.Berani dalam banyak hal....
Saya mendapat berita ia meninggal dunia dengan tiba-tiba.....

Rasa seperti tidak percaya. Saya berhari Raya di Johor dan tidak dapat menziarahinya. Dia di Shah Alam. Rasa tersedih kerana semasa ia belum berumah tangga, dan saya masih di Kampus belum tamat belajar, dia selalu memebawa saya round Kuala Lumpur dan Petaling Jaya menunjuki nama jalan-jalan penting dengan motosikalnya. Itu di awal tahun tujuh-puluhan. Saya belajar berani darinya, meredah apa jua dengan tekad : Buat sendiri, jangan asyik harap pada orang.

Allah menjemputnya amat mudah dari pandangan manusia. Alhamdulillah... Keluarganya menceritakan pagi itu, Syawal ke-2, ia pulang dari masjid selepas solat subuh seperti biasa. Sampai sahaja di rumah ia minta dibuatkan minuman. Haus, katanya. Isterinya rasa pelik juga kerana malam itu ia berkata esuk ia akan mula puasa 6. 

Minuman disediakan dan isterinya menunggu ia masuk ke ruang dapur seperti biasa untuk sarapan. Mungkin ia tidak jadi puasa. Apabila agak lama tidak masuk, ia pergi melihatnya di ruang tamu dan terkejut bila mendapati ia sudah terlentuk. Dia di kejarkan ke Hospital tetapi doktor mengatakan ia sudah tidak dapat di bantu. Bererti ia meninggal selepas solat dan dalam berpuasa, sehari selepas Ramadhan. Semoga Redha Allah menyelimuti Ruhnya.



Allahumafighrlahu warhamhu waafihiwafuanhu.
Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya, merahmatinya dan memaafkannya.
Semoga Allah menempatkan Ruhnya bersamam-sama ruh orang-orang yang soleh. Semoga keluarganya tabah dalam menghadapi ujian Allah.

Saya sentiasa berdoa semoga pemergian saya juga Allah mudahkan dan menjadi tetamu NYA yang di redhai. Semoga di Syurga Firdaus kami berjumpa lagi.

Aameen ya Rabb...


.....

Thursday, July 14, 2016

Erti berkeluarga, cubit peha kiri peha kanan sakit juga........



EID MUBARAK

Sudah menjadi kebiasaan setiap Hari Raya, mereka yang mampu akan merakam gambar keluarga. Berbagai cara yang diaturkan untuk nampak cantik dan bersatu. Tapi keluarga saya ikut dann sahaja....


Saya rasa tidak mengapa.....biar tidak teratur dalam foto tetapi pada hal-hal tertentu, sebuah keluarga harus menghayati ciri didiplin yang syar'ie dan juga mengikut tata susila hubungan manusia yang beradab dan punya nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi. 








Semoga begitu harapan saya kerana begitulah usaha saya menyatukan hati-hati anak cucu dalam keluarga kecil dan juga sama pentingnya dalam keluarga besar.Proses mengasuh dan mendidik anak-cucu bukan suatu yang mudah walaupun dari luaran nampak seperti mudah. Mendidik ciri-ciri seperti menyantuni keluarga yang lebih tua dan bersabar serta suka berkorban demi maslahah keluarga memerlukan contoh-contoh dari ahli keluarga yang tua dahulu. Dalam keluarga kecil dan keluarga besar harus juga ada elemen Mentor. Ia lebih mudah difahami dan mudah diikuti.



Dalam keluarga saya tidak mudah hendak mendapatkan satu foto shoot 
yang ada semua ahli dengan teratur. Maka di atas ini saya rakam berbagai ragam untuk kenangan warisan jika kesampaian.
Ini pun masih ada yang tidak termasuk, iaitu 
Muhammad Amin menantu sulung saya.



Sulitnya mendapat kerjasama.......


Membina sebuah rumah tangga sememangnya bukan suatu yang mudah. Mengambil foto pun menjadi suatu yang sulit, inikan pula membina suatu keluarga yang cuba dibina bersamanya elemen mawaddah dan sakinah. Menjadi doa saya yang berterusan semoga keluarga yang saya bina dengan "sweat and tears" ini tidak diganggu gugat oleh elemen-elemen sosial atau elemen dari media sosial atau apa jua yang boleh memecahkan pautan kasih yang dibina dengan peluh bertitisan dan tangisan di malam sepi sendirian.

Selalu orang berkata apa yang terjadi dalam hidup kita, baik atau sebaliknya, itu merupakan satu takdir dari Allah dan ia merupakan ujian. Bukan tujuan saya untuk bercerita definasi takdir dan ujian kerana saya bukan ahlinya. Cuma saya suka fikir-fikir atau setengah ustaz kata: fikir-zikir bahawa apa jua yang berlaku dalam hidup kita ada elemen pilihan pada diri manusia. Bukan semuanya takdir dari Allah dari asalnya. Allah bagi kita intelek atau daya berfikir supaya kita berfikir sebelum membuat sesuatu pilihan. Pasti akhirnya Allah jua yang menentukan kerana manusia tidak ada hak dan tidak ada kekuatan untuk menjadikan sesuatu itu berlaku.

Dalam al Quran Allah ada sebut yang bermaksud: "Tidak ada paksaan dalam beragama." Ini bermakna Allah memberi kita peluang berfikir dan membuat pilihan. Allah maha Bijaksana dan maha Adil. Tidak mungkin, dan jitu mustahil, Allah menzalimi hambanya atau apa jua ciptaanNya.

Dalam hal ini selalu saya katakan pada anak-anak yang sedang mengasuh dan mendidik cucu-cucu supaya sentiasa peka akan elemen bahawa kita punya pilihan (a smaller will within the Bigger Will). Maka jangan mudah membuat apa jua kerosakan dan mengatakan itu takdir dari Allah. Maha suci Allah. Subhanallah........

Alhamdulillah, dalam apa jua kesulitan yang saya hadapi hingga umur senja ini, saya bersyukur, setinggi tinggi kesyukuran, keluarga saya mempunyai ikatan kasih yang kuat antara semua ahli....muda dan tua. Semua dengan kehendak Allah jua. Saya tua dan suami saya pun tua. Umur melepasi tujuh-puluhan adalah umur untuk fokus kepada hakikat bahawa Allah akan jemput kita bila-bila masa. Semoga kami tidak disibukan dengan melayani hawa nafsu hidup yang merugikan. Semoga tidak ada sesiapa atau apa jua elemen yang akan mengambil kesempatan atau menerjah menggelincirkan kami dari landasan membina sebuah keluarga bahagia walaupun dalam keadaan serba susah. Namun tidak ada nikmat Allah sedikit pun yang kami dustakan.Berat sama dijunjung, senang sama dijinjing. Hati gajah sama-sama dilapah dan hati kuman sama-sama dicecah. Ibaratnya begitu. Kata Ustaz Bakhtiar Nasir dari Indonesia dalam bukunya "Masuk Syurga Sekeluarga", kita harus total dalam usaha mentarbiah keluarga. Akan saya cuba ikuti. Saya berdoa semoga Allah memberi perlindungan yang kukuh dan menganugerah kebahagian dan juga kesejahteraan. Semoga tidak ada elemen-elemen negatif dari dalaman atau luaran yang akan mengubah secara langsung atau tidak langsung kebahagian dan kesejahteraan yang Allah kurnia. Ya Allah peliharalah kami......

Apa jua situasi, saya berpegang teguh pada prinsip kebergantungan kita hanya pada Allah. Kita merancang...namun Allah pun merancang dan Allah jua yang maha Perancang dan maha Menentukan. Saya belajar mendidik hati semoga redha atas segala ujian kerana ketentuan Allah jua yang terbaik di sisiNYA. Jalan mencapai RedhaNya penuh ranjau. Semoga Allah menurunkan pertolongan dan di akhir liku-liku hidup sebegini nanti, Allah jemput kita menghuni Syurga FirdausNya dengan memudahkan proses hisab atau tanpa hisab dan kekal abadi di sampingNya bersama semua yang kita sayangi. 
Aameen ya Rabb.......








Mohon keampunan Mu ya Rabb....
Semoga mendapat anugerah Rahmat Mu yang tidak terhingga.



......
Related Posts with Thumbnails