31 Ogos tarikh keramat. Malaysia Merdeka. Pada tahun I957 saya berumur 10 tahun. Saya tidak teringat perayaan Hari Merdera waktu itu. Saya tidak memahami apa itu kemerdekaan sepenuhnya kerana masih kecil. Beberapa tahun waktu itu berlalu begitu sahaja. Mungkin kerana keluarga saya tinggal nun di hujung kampung. Saya tidak pernah melihat muka orang putih hinggalah saya masuk "special Malay Class" pada tahun 1958 di mana guru besar ialah Mr Lucas, katanya dari Australia.
Cuma yang saya ingat sangat zaman itu ialah perihal komunis "memerintah". Bila sesekali emak ajak ziarah kakak di Johor Bahru selalu sahaja bas ditahan polis/ pasukan keselamatan untuk memeriksa barang-barang yang dibawa penumpang, terutamanya mereka memeriksa kami tidak membawa dan menyeludup beras. Saya masih ingat betapa rasa ketakutan kerana sebagai kanak-kanak kami tidak faham......
Apabila di sekolah menengah barulah faham apa itu Hari Merdeka. Guru memberi penerangan dan saya ingat rasa seronok melihat perbarisan di Padang Majlis Bandaran yang cukup meriah. Maklumlah di sekolah kampung acara seperti itu pun sudah rasa meriah.
Masa berlalu...
Merdeka membawa erti yang hebat yang dapat dirasakan sebagai anak kampungan. Dan pastinya semua rakyat. Saya belajar dari sekolah atap hinggalah ke University, dapat keluar negara dan dapat pekerjaan yang dikira baik tanpa perlu menunggu lama. Alhamdulillah. Saya percaya waktu itu ramai yang seronok bila tarikh keramat 31 Ogos menjelang tiba. Kami dapat merasai Malaysia negara maju. Bila kursus di luar negara peserta dari mana-mana negara Africa kenal Malaysia. Saya selalu senyum lebar dalam hal begitu. Itu antara yang saya alami.
Tetapi kebelakangan ini rasa keseronokan seperti itu menjadi pudar atau mungkin tidak ada.Saya perhatikan tidak banyak bendera tercinta berkibaran merata. Bukan tidak bersyukur pastinya, tetapi saya rasa ramai yang rasa amat khuatir kemana arah tuju Malaysia kini. Beberapa orang Perdana Menteri bertukar ganti. Bukanlah saya bersetuju semua dengan program pembangunan yang telah dilaksana. Tetapi sebagai pegawai kerajaan saya akur. Saya dapati tidak ada yang keterlaluan.....
Sekarang ini berbagai rencana saya baca di sana sini. Malaysia seperti hilang semangat. Ramai kekawan dalam kumpulan saya sudah rasa malas mahu berbincang dengan apa yang berlaku sekarang.
Semacam betul dan sahih berita-berita itu, tetapi malangnya tidak ada kuasa pentadbiran manusia yang dapat mengatasi hal-hal yang merugikan negara dan rakyat jelata.
Bingung sekali.......dan rasa terbelenggu hati ini.
Tetapi saya tidak putus asa kerana kita tidak harus berputus asa dengan rahmat Allah. Allah maha melihat apa yang nyata dan apa yang tersembunyi. Dia maha mengetahui apa yang berlaku dan Allah juga yang mendengari doa-doa orang-orang yang dizalimi.
Yang dirasakan seperti salah, pihak pemerintah kata betul dan yang dirasakan betul salah pula. Saya tidak bertujuan memperinci rasa dihati kecil saya waktu ini kerana ramai yang sudah amat maklum akan kejadian yang sudah berlaku, yang sedang berlaku dan yang mungkin terus berlaku hingga tidak tahu sampai bila. Rasa sedih pun ada bila memikirkan masa depan genarasi muda....
Sekali lagi saya akan mengatakan supaya jangan berputus asa. Ujian Allah pasti ada Hikmahnya. Kita bersabar dalam usaha ke arah mencari jalan keluar, kita berdoa dan kita pasrah. Pastinya Allah akan bagi jalan keluar kalau kita bersungguh-sungguh berusaha dan ikhlas dalam usaha itu. Malaysialah sahaja negara kita. Jangan kita biarkan Malaysia kecundang tanpa pembelaan dari rakyat.
Seperti kata pepatah:"Disangka panas hingga petang, tetapi hujan di tengah hari !" Saya dan generasi muda merasakan impian untuk Malaysia mencapai negara maju pada tahun 2020 menjadi kabur sekali.
Ayuh jangan kita melayani sikap mengalah. Baru hujan ditengah hari. Belum ribut taufan hingga tsunami. Nauzubillah. Semoga Allah pelihara. Yakin pada Nur cahaya pertolongan Allah.
Kini diri saya sudah tua. Kemampun berfikir masih Allah kurnia kuat dan sihat. Alhamdulillah. Tetapi kederat badan sudah banyak kurangnya. Alhamdulillah, Allah maha kasih sayang. Maka tidak banyak yang dapat dilakukan untuk bersama mereka yang mahu menjadikan Malaysia benar-benar cemerlang dan gemilang. Saya hanya bolih bercerita dengan anak cucu dan saudara mara sahaja, mengambil iktibar apa yang berlaku di negara tercinta ini. Selain itu hanya mampu mendengari sahaja....
Namun saya sentiasa bersyukur. Ujian atas rakyat (pastinya termasuk saya dan keluarga) amat berat dan tidak pernah dirasai sebelum ini. Anak dan menantu saya walaupun bekelulusan university hanya bekerja seadanya dan semampunya. Alhamdulilah Allah masih kurnia rezki makan minum dan Allah tidak menarik kurnia nikmat hidup ini serta merta atas kecelaruan yang melanda. Kami tetap bersyukur atas nikmat yang luas terbentang. Allah tidak turunkan bencana seperti cerita-cerita dalam sejarah di mana kaum yang engkar Allah musnahka sama sekali.
Ayuh sama-sama kita bertaubat. Setiap kita pasti ada juga silap salahnya dalam hal ini. Kita muhasabah diri.
Ya Allah! Ampunkanlah segala dosa-dosa dan kelemahan kami. Kurniakanlah pada kami Petunjuk ke jalan yang benar. Turunkanlah Pertolongan Mu dan kurniakanlah kami kekuatan dan kebijaksanaan menghadapi apa jua yang berlaku di hadapan kami. Semoga Engkau menurunkan Rahmat Mu yang tidak terhingga dan kami sejagtera akhirnya.
Marilah kita semua menginsafi diri kerana Allah telah berfirman dalam Surah AsSaff seperti yang saya turunkan di sini:
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!
(As-Saff 61:2) |
Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
(As-Saff 61:3) Sama-sama kita renungkan dan kita ambi tidakan yang wajar bagi diri dan semua yang kita kasihi. Kepada semua dan jangan nafsi-nafsi. Semoga Allah meredhai......
Dan semoga Jalur Gemilang akan berkibar tinggi sekali lagi..........
.....