"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, August 29, 2016

Bergoncangnya Arasy.....




Pada kesempatan ini saya ingin bicara sedikit mengenai suatu perkara yang ada menyebut  konsep "bergoncangnya Arasy", bukan dari segi sains atau dari segi agama per se (kerana saya bukan ahlinya) tetapi dari segi ingin memahami suatu hal yang melibatkan wanita yang hidup berkeluarga. (sempena Hari Wanita seMalaysia).

Saya percaya ramai kita yang telah mendengar sebuah Hadith yang mengatakan lebih kurang bermaksud: Jika seorang isteri minta cerai kerana suaminya berkahwin lagi maka akan bergoncanglah Arasy kerana Allah amat murka.(Sanad dan matannya kena rujuk ustaz pakar. Saya hanya bicara santai). Ini dikatakan oleh orang biasa-biasa dan juga orang yang dipercayai kedudukan Ilmu agamanya dalam masyarakat seperti seorang Imam. Ramai wanita tidak hiraukan hadith ini kerana tidak relevant pada diri. Tetapi saya kongsikan demi memperkatakan hak wanita sempena Hari Wanita Malaysia. Ramai wanita yang dizalimi dalam rumah tangga berdiam diri tidak mendakwa sang suami untuk bercerai kerana takut akan hakikat padahnya seperti tersebut dalam hadithitu. Siapa yang tidak takutkan Neraka. Dalam diam ada wanita duduk merana......

Bagaimana mahu membayangkan bergoncangnya Arasy.......

Mana mungkin kita bayangkan...
"Bergoncangnya Arasy" adalah perkara ghaib dan akal kita tidak akan dapat memecahkan Rahsia Kebesaran Allah. Kita hanya bicara dengan bahasa manusia. Namun saya rasa tidak salah memahami sedikit akan yang Ghaib ini.

Kita mula dengan memahami apa itu Arasy. Saya cari maklumat dari Google.


Arasy atau 'Arsy (Bahasa Arabعَرْش‎) merujuk kepada tempat Allahbersemayam menurut Al-Quran.
"Allah-lah Yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas 'Arasy, dan menundukkan mataharidan bulan. Masing-masing beredar hingga waktu yang ditentukan. Allah mengatur urusan (makhluk-Nya), menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya), supaya kamu meyakini pertemuan (mu) dengan Tuhanmu.."
- Surah Ar-Ra'd: 2
Bagaimanapun menurut IslamAllah itu tidak sama dengan makhluk. Bila tidak sama dengan makhluk maka cara dia bersemayam juga tidak sama dengan makhluk. Bagaimana cara dia bersemayam hanya Allah sahaja yang tahu.
Dalam Al Quran terdapat sebanyak tujuh tempat Allah Taala menyebutkan yang Allah Taala bersemayam di atas arasy.

  1. Surah Al A'raf ayat 54
  2. Surah Yunus ayat 3


Ada beberapa ayat lagi yang saya tidak turunkan di sini.
Dan ada lagi penjelasan yang menebut bilangan Malaikat yang memegang penjuru Arasy itu. Rujuklah sendiri dalam berbagai kitab atau yang mudah dari Google untuk memahami secara mudah dan sepintas lalu.

Saya terpanggil untuk bicara sedikit berkaitan kebajikan kaum wanita yang berkeluarga. Yang Allah kurnia kebahagian tulin, Alhamdulillah. Yang Allah uji dengan sedikit masaalah suami isteri dalam berumah tangga itu yang saya ingin sentuh sedikit vis-a-vis "bergoncangnya Arasy".

Pertamanya saya tanyakan pada seorang ustaz yang mengajar saya Bahasa Arab al Quran sama ada Hadith itu Sahih. Saya macam kurang jelas kerana sepintas lalu semacam Hadith itu tidak cukup jelas dalam menjaga kebajikan wanita yang perlu dibela jika dizalimi suami. Maka saya cari di google (bukan tempat terbaik mencari Ilmu tetapi saya rasa memadai untuk permulaan bicara). Di bawah ini saya turunkan kata Ustaz Dr MAZA yang terkenal itu.

"4. Pemikiran sesetengah masyarakat Islam bahawa penceraian atau talak itu semua buruk adalah tidak benar. Talak atau cerai adakalanya disuruh oleh al-Quran, jika perkahwinan sudah tidak lagi membawa kebaikan. Firman Allah: (maksudnya)
“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik, dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan tujuan memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menzalimi dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat (hukum) Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan), dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan hikmat (sunnah), untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala-galanya” (Surah al-Baqarah, ayat 231). (Surah al-Baqarah, ayat 231).
Maka talak itu jika membawa kebaikan seperti mengelakkan kezaliman antara suami dan isteri atau anak-anak, maka itu adalah suatu kebaikan. Jika membawa keburukan maka keburukan atau perkara negatif dibenci oleh Allah dan RasulNya. Adapun hadis riwayat Abu Daud:
“Perkara halal yang paling dibenci Allah ialah talak” merupakan sebuah hadis yang dhaif atau lemah.(lihat: al-Albani, Irwa al-Ghalil, 7/106, Beirut: al-Maktab al-Islami).
Sementara hadis:
“Kahwinilah dan jangan kamu talak, kerana talak itu menggoncang Arasy” adalah sebuah hadis yang palsu. (lihat: al-Albani, al-Silsilah al-Daifah, 1/278, Riyadh: Maktabah al-Ma’arif).
Hadis ini amat tidak lojik, bagaimana mungkin Arasy Allah bergegar dengan perceraian seseorang?! Sedangkan Nabi s.a.w sendiri pernah mentalakkan isteri baginda.
5. Wanita juga boleh memohon fasakh (bubar perkahwinan) atau khulu’ (tebus talak) jika dia merasakan suaminya sudah tidak sesuai dengannya dan dia tidak mampu lagi menunaikan tanggungjawab sebagai isteri. Isteri Thabit bin Qais pernah datang kepada Rasulullah s.a.d dan mengadu:
“Wahai RasululLah! Aku tidak mempertikaikan Thabit bin Qais di sudut akhlak dan agamanya. Namun aku membenci kekufuran dalam Islam. Maka RasululLah s.a.w pun bersabda: Mahukah engkau mengembalikan kebunnya? Jawabnya: “Ya”. Lalu RasululLah bersabda kepada Thabit: Ambillah kebunmu dan talakkanlah dia” (Riwayat al-Bukhari)."
Dengan maklumat di atas saya rasa agak jelas bahawa hal cerai berai tidak ada kaitan dengan begoncangnya Arasy. Rasulullah salallualaihiwasalam amat menyantuni kaum Wanita, maka pastinya baginda tidak mahu kaum wanita teraniyaya.

Itu sahaja bicara saya dan saya menerima apa jua tegoran jika apa yang diperkatakan oleh Ustaz Dr. MAZA ini saya salah memahaminya. Saya menulis entry saya ini dalam semangat solidariti dengan kaum wanita dan kaum Adam harus berhati-hati dalam memperkatan sesuatu.

WaAllahu'alam.
Semoga Allah mengampuni segala kekurangan dan kelemahan.
Aaminn Yaa Rabb....

...... 

No comments:

Related Posts with Thumbnails