"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, March 15, 2011

BERSAMA MU - JEPUN

Setiap hari kebelakangan ini kita diberitakan tentang gempa bumi dan tsunami di Jepun. Saya amat simpati dengan rakyat Jepun. Saya juga merasakan kepahitan, kesengsaraan dan kesedihan. Subhanallah. Hanya Allah yang maha mengetahui akan kehendakNya. Apakan daya saya memikirkan. Hanya doa semoga rakyat Jepun Allah beri kesedaran dan semoga mereka juga akan muhasabah diri. Semoga ada doa-doa mereke di sana yang Allah beri perhatian dan akan ada pertolongan.


Saya suka negara Jepun. Mula-mula saya ke Jepun ialah dalam tahun 1967 dalam perjalanan ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran. Pengalaman ketika itu sudah banyak yang tidak relevan sekarang. Tetapi saya masih ingat orang Jepun sangat mengambil berat tentang orang luar. Mereka dengan penuh sopan akan membantu kita yang tidak faham bahasa Jepun. Dengan susah payah mereka memberi penerangan dalam bahasa Inggeris walaupun mereka tidak mahir.

Setelah bersara saya tinggal agak lama (beberapa bulan) di Jepun dalam tahun 2006 dan kemudian dalam tahun 2007 kerana menjaga cucu semasa anak saya belajar di Tokyo. Pengalaman kali ini berlainan. Saya tinggal di apartmen dalam bangunan yang sama dengan Masjid Asakusa kerana anak menantu saya di angkat menjadi resident Imam. Rupanya ramai juga orang Jepun yang beragama Islam dan ramai yang mahu mempelajari Islam. Tetapi kita tidak banyak pendakwah Islam yang boleh berbahasa Jepun. Itu kata kumpulan Tabligh Malaysia yang datang ke Masjid tempat kami tinggal. Berdakwah dalam bahasa Inggeris bagi rakyat biasa kurang mendapat sambutan. Ini juga membuat saya berfikir. Nanti siapakah  yang akan dipersalahkan dalam hal ini. Saya sendiri merasa bersalah. Maka usaha saya yang kecil  ialah menggalakan cucu saudara saya yang sedang belajar engineering di Jepun kini  supaya betul-betul mahir bahasa Jepun semoga nanti dapat berdakwah di sana pada masa yang sesuai.

Sekarang  kita berbalik pada cerita gempa bumi, pertama kali saya merasai apa itu gegaran bumi ialah semasa  di Osaka dalam tahun 1990 atau mungkin 1991 dalam ingatan saya. Saya tinggal di hotel yang sederhana dan ketika itu saya  sedang bersiap sedia untuk menjalankan tugas bila ia berlaku. Ia bukan gempa yang besar tetapi bangunan hotel itu bergoyang dan saya terduduk di atas katil kerana tidak dapat mengimbangi diri. Oleh kerana tiada pengalaman maka saya agak panik dan menalipon rakan sekerja di biliknya dan minta tolong. Dia menenangkan saya supaya janagan panik kerana gegaran seperti itu biasa sahaja di Jepun.

Tetapi kali ini bukan gegaran biasa. Hampir lumpuh dan musnah semua kawasan yang terlibat. Ditambah pula dengan letupan Nuclear reactor. Penerangan saintifik mengenainya  boleh didapatkan di beberapa website. Saya kurang faham. Yang saya faham bahaya radiation dikhuatiri sampai ke Malaysia. Kami mendapat SMS untuk tidak keluar rumah sehari dua ini.

Ya Allah, selamatkan lah kami dari akibat  mala petaka ini. Engkau yang maha berkuasa, Engkau juga yang maha mengasihani. Kasihanilah kami, di Jepun, di sini dan di mana jua. Kami mohon pertolongan Mu, kerana tiada pertolongan yang sempurna melainkan dari Mu.

Ya Allah, sedarkanlah kami di sini, di Jepun dan di mana jua bahawa tiada kuasa yang sehebat kuasa Mu, tiada perancangan yang lebih sempurna dari perancangan Mu dan tiada ilmu yang lebih meluas dari ilmu Mu. Tiada sesuatu yang sama dengan Mu. Buatkan lah hati-hati kami ini ikhlas merendah diri pada Mu, jangan jadikan kami orang-orang yang sombong mendabik diri seperti Firaun dahulu. Ya Allah semoga kami akan menjadi orang yang sentiasa berpegang keyakinan bahawa tiada Tuhan yang patut kami mengabdikan diri selain dari Mu. Ya Allah kami berjanji akan sentiasa mentauhidkan kewujudan Mu dan apa jua yang kami buat kami tidak akan berganjak dari hakikat itu.
Ya Allah  ampunilah kami dan tolonglah orang-orang di Jepun dan tolonglah kami.

Orang- orang Jepun adalah orang-orang yang tabah, beryakin diri dan akan bangkit membina semula negara dan tidak hairan mereka akan tetap menjadi kuasa besar selepas ini dengan izin dan kehendak Allah jua. Walau apa sekali pun, semoga mereka akan dapat mengenal  Tuhan sekian alam yang  sebenarnya.

2 comments:

Makbonda said...

Masyaallah.Semoga kejadian-kejadian sebegini menambah lagi keyakinan dan kataqwaan kita kan puan?

Seronok mengikuti pengalaman perjalanan Puan.

ngasobahseliman said...

Dear Makbonda, Terima kasih beri komen.Saya pun simpati juga rakyat Timur Tengah / Asia Barat etc kerana dizalimi. Harap-harap perjuangan mereka itu akhirnya untuk menegakkan kebenaran Islam. Kalau tidak, rugi sahaja. Semoga pemimpin kita pun peka bahawa jika perjuangan tidak atas dasar Islam, maka kita tidak akan dapat kemenangan yang sebebarnya.Nanti di alam kubur kita bukan di tanya kita Malayu ke, Jawa ke !Kita akan di tanya mengenai Tauhid kita. Makbonda pun dah tahu.Alhamdulilah. Cuma nak sama-sama kita ingat mengingati.Salam.

Related Posts with Thumbnails