"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Sunday, March 27, 2011

KORIDOR SEBUAH PERJUANGAN



Dari Garut kami meneruskan perjalanan ke Cikajang dan kemudian ke Situwangi. Situwangi bandar yang amat kecil, mungkin penduduknya tidak melebihi 30,000 orang. Dari perhatian rambang saya perhatikan penduduknya berjiwa besar. Di sinilah terbinanya sebuah projek swasta tajaan beberapa individu yang ingin berbakti pada masyarakat dan sekali gos mengukir perjalanan tegas menuju Allah. Ini cerita sebuah perjuangan.

Korridor ini kecil tetapi Tegap.
Berwawasan melahirkan pejuang yang menegakan kebenaran Islam secara total.



Lapan bulan yang lalu saya ke sini membantu apa yang termampu kepada sebuah yayasan (Yayasan Situwangi) menubuhkan sebuah sekolah / pasentren yang kini diberi nama Situwangi Boarding School. Disebut juga SMP IT Situwangi Boarding School. Ia menerapkan Islam secara kaffah dalam segala aktivitinya.Kami ingin membangunkan keperibadian pelajar dalam semua aspek, iaitu  fisikal, akal dan spiritual. Tahfiz alQuran mendasari program akademik di sekolah ini dan dengan strategi  seperti ini pelajar yang keluar dari sistem ini  nanti, insyaAllah, akan  menjadi seorang individu yang cinta alQuran dan komitted untuk melaksana apa yang dituntut olehnya. Guru-guru yang mengajar dan mendidik dipilih secara khas dengan menentukan mereka berfikrah Islam yang syumul dengan harapan mereka dapat mendidik anak bangsa hingga mencapai status Ululalbab seperti disebut di adalam AlQuran.


 Kampus Situwangi Boarding School, pemandangan dari jalan masuk
 Bangunan Masjid dan bilik-bilik darjah dan pejabat pentadbiran.

Sekolah / pasentren ini dibina untuk permulaannya dalam masa lebih kurang 4 bulan. Kemasukan pertama hanya seramai 36 orang sahaja untuk peringkat menengah rendah. Kemasukan peringkat kedua dijadualkan untuk bulan Julai 2011 ini. Bangunan tambahan untuk asarama dan bilik darjah sedang dibina dan dijangka siap untuk tujuan pengambilan kedua itu.

Bersama pelajar dalam sessi suai-kenal dan motivasi kumpulan diruang Masjid

Pelajar-pelajar adalah dipilih dari keluarga miskin dan anak yatim yang kelihatan bijak dan berpotensi tinggi yang dikenal pasti melalui temubual dan dari keputusan peperiksaan sekolah rendah mereka. Mereka dipilih oleh Mudir bersama Timbalannyanya dengan pergi sendiri ke rumah-rumah untuk berkenalan terus dengan kedua ibubapanya. Semua pelajar diberi biasiswa penuh dengan bersyarat mereka sentiasa berpretasi tinggi. 

Kemudahan Asrama

Dewan Makan

Antara objektif sekolah / pasentren (SBS) ini ialah untuk membina pelajar semoga mereka sihat dan kuat dengan fisik besar dan tegap. Maka kami mengutamakan makanan dan pemakanan sebagai usaha kearah ini. Fisik tubuh badan juga penting untuk menerajui kepimpinan dimasa akan datang.

SBS ini dibina di atas tanah seluas 18 hekter. Maka pihak penaja menggunakan tanah yang luas ini untuk pertanian sebagai sumber kewangan  penajaan  selain dari sumber luaran yang diusahakan oleh penaja. Karyawan pertanian ini adalah sebahagian dari khidmat sokongan kepada SBS dan mereka juga ditarbiah dengan fikrah Islam dengan mengaturkan masa yang sesuai bagi mereka.Usaha yang sepadu, insyaAllah akan membawa keberkatan.

Sebahagian pemandangan tanah pertanian bersebelahan kawasan sekolah SBS.

Bidang kurikulum dan ko-kurikulum pula dirangka sebegitu teliti agar mencapai misi dan visi yang telah dipersetujui. Kemudian ia diluluskan oleh penguasa pendidikan negara  Indonesia, iaitu Diknas. Selain ilmu akademik, pelajar-pelajar didedahkan dengan aktiviti luar dan mereka dibawa ke aktiviti perkemahan dan bernang atau sebagainya. Pada hari kami bertugas disana kami berpeluang melihat aktiviti senaman fisikal waktu petang seperti di bawah ini.


Pelajar-pelajar ini nampak bersemangat dan ceria dan sudah mula memahami misi dan visi sekolah. Mereka sudah mula tidak malu-malu mahu bertanya dan agak cergas menjawab bila ditanya, dua ciri perilaku yang sememangnya ingin kami terapkan supaya mereka akan dapat menjiwai ciri-ciri kepimpinan unggul dari peringkat sekolah lagi.  Puasa sunat Isnin Khamis dan Solat Malam ditunaikan tanpa sebarang masaalah. Inilah yang akan membina kekuatan Ruh dan jika  disepaduka dengan kekuatan fisikal dan kecermelangan minda ia akan melahirkan individu yang luar biasa dari segi keyakinan ketegasan dan jati diri. Suatu hari nanti kami dan terutamanya penaja sekolah ini mempunyai harapan yang tinggi semoga pelajar-pelajar ini nanti bukan sahaja hafaz alQuran tetapi mereka juga unggul dalam bidang-bidang professional yang dengannya mereka setanding dengan warga negara lain. Namun kami mengharapkan mereka akan pergi selangkah lagi untuk menerajui kepimpinan Islam yang dihormati, di segani  dan ditakuti oleh  musuh-musuh Islam.

Untuk membina sebuah institusi pendidikan seperti ini (walaupun ia kecil)  memerlukan perancanga yang rapi dan bersepadu. Pihak penaja mengambil masa yang secukupnya untuk memilih kumpulan yang bersesuaian.

Kumpulan Perancangan dan perlaksanan projek Situwangi Boarding School

Kami diminta  oleh penaja projek untuk menentuakan Situwangi Bording School ini berjalan lancar dan dapat mencapai objektif jangka pendek dan objektif jangka panjang. Kami terdiri dari seorang Akitek yang masih muda dan masih giat dalam perniagaan, Ustaz-ustaz kelulusan University-university Timur Tengah dan kami sendiri yang berpengalaman serba sedikit dalam bidang pernacangan dan perlaksanaan projek, terutamanya dibidang pendidikan. Seorang dari kami adalah ahli perniagaan yang mewakili penaja yang merancang dan mengawasi perbelanjaan.


Membina dan mengurus Institusi pendidikan bukanlah suatu yang mudah kerana hasilnya tidak dapat dilihat serta merta. Justeru kami amat hati-hati dalam menyatupadukan konsep dan falsafah pembangunan fisikal dengan  pembangunan Insan kamil. Kumpulan kami pula datang dari berbagai latar belakang dari segi bidang profession dan dari segi pengalaman hidup dan kerjaya. Selain itu latarbelakang budaya juga amat berbeza walaupun kami dari bangsa serumpun Malaysia - Indonesia.

Pemikiran dan style bekerja juga amat berbeza, tetapi kami berfalsafah bahawa kami tidak akan  memfokus kepada perbezaan. Kami bina kekuatan dari ciri-ciri persamaan yang ada dan dengan cara ini kami mudah bertaut semula jika ada pergisiran pendapat  dalam  memperkatakan preference kami dalam menyelesaikan sesuatu masaalah yang dihadapi. Inilah keindahan berkerja dalam ruang linkup mentauhidkan yang Maha Esa. Inilah asas kekuatan perjuangan kami.Semoga Allah sentiasa  membimbing usaha kami ini dan semoga kami sentiasa menepati tuntutanNya.

Team karyawan SBS ini tidak sempurna tanpa keahlian mahir dalam hal-ehwal domestik. Disamping objektif menitikberatkan hal makanan dan pemakanan, kami pastikan juga budaya BERSIH diterapkan tanpa kompromi. Pelajar dididik untuk membantu dalam menjaga kebersihan terutamanya bilik tidur dan tandas yang dikhususkan bagi mereka. Budaya BERSIH amat dituntut dalam Islam dan semoga kami berjaya membudayakan hakikat ini.


Ini bahagian Dapur dan kebajikan pekerja / karyawan amat di ambil berat.

Sebahagian dari staf keselamatan dan kebersihan
Sampai di sini sahaja perkongsian ringkas menenai usaha membangunan insan kamil, beriman dan bertaqwa,  yang berwawasan, berdaya maju, berjati diri dan mampu menerajui kepimpinan untuk menyumbang pada keluarga, masyarakt, negara dan ummat sejagat. Semoga Allah memberkati dan meredhai. Ameen.





Sekuntum bunga untuk jiwa yang sabar dalam usaha merealisasikan sebuah impian, sebuah perjuangan dengan pertolongan Allah jua.

No comments:

Related Posts with Thumbnails