"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, August 27, 2012

YANG TUA DIHARGAI.....




Kampung asal suami ialah Selama, Kedah. Kg Sungai Batu lebih terkenal di kalangan keluarga. Maka tidak dikira sudah berHari Raya  selagi  belum balik kampung yang membawa seribu kenangan ini. Emak dan Ayah sudah tiada disamping keluarga. Hanya emak saudara dan bapa sudara sahaja yang masih menghubung tali kekeluargaan dan mewariskan legacy kerja membanting tulang empat kerat demi kesejahteraan tanpa mengharapkan pertolongan orang lain selagi hayat dikandung badan.Bapa mertua saya adalah contoh terbaik bagi anak-anak termasuk saya sendiri  kerana Ayah akan membantu adik beradiknya tanpa mengira kepentingan diri. Allah maha melihat keikhlasannya dan Allah mengurnia rezki yang unggul walaupun ia hanya Imam di kampung. Ia memulakan erti hidup menerusi perniagaan dengan membuka kedai runcit kecil-kecilan, membeli getah scrub dari pekebun kecil di kampung dan membawa teksi secara orang kampung. Alhamdulilah, legacy kerajinannya kini dicontohi  anak-cucu sedikit demi sedikit untuk membina tapak perniagaan yang lebih besar. Semoga Allah terus mengurnia Rahmatnya yang tidak terhingga dan mengurnia rezki tanpa disangka-sangka.

Ini Mak Teh Che Chik bersama menantu saya. Rumahnya di Charok Meranti 
berhampiran dengan Sungai Batu. Ia kakak pada bapa mertua saya.
 Semoga anak-anak muda pandai menghargi orang-orang tua. Menantu saya kehilangan ibunya  yang meninggal akibat sakit kanser sejak berumur 15 tahun. Kini ia rapat dengan Atuknya yang tinggal di Kuala Selangor. Saya lega ia selalu berkunjung ke sana.

Ini Mak Teh Che Chik bersama cucu-cicit pula.Kini ia agak uzur. Sebelum ini ia
akan bercucuk tanam sayur-sayuran disekeliling rumah untuk siapa jua yang memerlukannya.
Teringat saya akan falsafah hidup: Erti Hidup Pada Memberi.

Ini  Chu Teh, emak saudara di Penanti serta keluarganya. Ia adalah adik bongsu pada Allahyarham Ayah. Ia sudah tidak aktif untuk beberapa lama kerana diserang stroke semasa masih muda lagi. Alhamdulilah ia masih boleh mengurus diri dengan sedikit bantuan anak-anak yang bersamanya.

Yang berkain biru ialah Pak Teh, bapa saudara sebelah emak. Ia solo sekarang
 kerana isterinya baru meninggal dunia. Rasa sayu bersamanya kerana ini pertama kali
berHari Raya tanpa Mak Teh tersayang. Walaupun sudah berumur 78 tahun ia masih turun ke kebun mengusahakan apa yang termampu bagi dirinya.
 Sudah menjadi kebiasaannya untuk tidak duduk bersahaja.
Semoga anak-cucu saya mencontohinya.


 Di atas ini adalah Pak Lang dan Mak Lang yang kami ziarahi di Nilai Negeri Sembilang.
Mereka agak uzur dan tinggal bersama anak-anaknya. Jarang-jarang sekali mereka pulang ke Sungai Batu. ( Beberapa rumah cantik di Sungai Batu yang ditinggalkan begitu sahaja kerana generasi tua sudah tinggal jauh bersama sanak saudara.)

Saya sering berbincang-bincang dengan suami mengenai perkembangan sikap anak-anak muda sekarang secara umumnya. Kami amat khuatir mereka terpengaruh dengan budaya nafsi-nafsi yang nampaknya amat memikat minda anak muda. Budaya individualistik yang dipelopori Barat boleh merosakan unit kekeluargaan tradisional Melayu Islam yang kita cuba pertahankan kesaat ini. Yang muda jarang-jarang menziarahi yang tua. Mereka tidak berasa bersalah walaupun ada kes-kes di mana mereka tahu orang tua mereka memerlukan mereka.

Adakah mana-mana pihak yang harus dipertanggong jawabkan dengan fenomena ini?
WaAllahu'alam.
Sama-sama kita fikirkan dan semoga barakah Ramadhan membuka hati-hati anak-anak muda untuk berkhidmat dan menyayangi yang tua. Menyangi dan mengasihi orang tua, terutamanya ibu-bapa, adalah "jalan pintas" ke Syurga. Sayang sekali jika peluang ini terlepas begitu sahaja dan amat malang jika hala tujunya bukan Syurga.

Kalau bukan Syurga, apa ye?

Semoga segala kekurangan dan kelemahan yang ada pada kita Allah mengampuni dan memandu kita ke jalan yang menghampiriNya.

.....

2 comments:

Unknown said...

cantik bangat sehh gambar2 lo,
gue rase terpikat melihatnya..

tapi kenapa ya muka nya macam sedih saja, perutnya pun macam kembung2 saja ya, maap la tapi risau guee melihatnya.. saya orangnya dari endonesia jadi orang2 tua di sana mengatakan kalau perut nya kembung2 sebegini tandanya ada semut di dalamnya jadi baiklah kalau lo pergi rujuk sama doktornya,

tapi cantikk bangat blog nya, guee rasa sejuk hati

ngasobahseliman said...

Terima kasih sister Megawati atas kunjungan dan nasihat yang diberi. Saya akan maklumkan pada anak-anak nya semoga diambil tindakan. Salam.

Related Posts with Thumbnails