"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, December 27, 2012

Mengakhiri 2012....pautan kasih keluarga







Menutup tirai 2012...satu kenangan manis bagi saya dan keluarga anak saudara saya di FELDA Kahang Barat, Kluang Johore. Saya dan suami dan beberapa sanak saudara lain menghadiri perkahwinan Yanti, cucu saudara yang pernah tinggal dengan saya 15 tahun yang lalu. Alhamdulilah, ia akan melayari bahtera baru dalam hidupnya. Semoga bahagia berkekalan dalam nikmat Iman dan Taqwa.

Tetapi apa yang lebih menyentuh hati saya hari itu ialah pertemuan saya dengan adiknya Liza yang pernah juga tinggal dengan saya bersama Yanti. Hidup ini yang penuh ujian dan dugaan telah memisahkannya dari keluarga untuk beberapa lama. Saya bertemu dengannya kali ini dalam majlis perkahwinan itu. Kami berpelukan dan menitis air mata keinsafan dan kerinduan. Kini ia telah berumah tangga dan punya 4 orang anak. Dua sahaja yang dapat saya rakam dalam kesuntukan masa. Manusia mana yang tidak pernah silap dalam membuat percaturan hidup. Semoga kami dapat menjalin semula talian kasih sayang untuk terus hidup dalam ruang lingkup tata budaya Islam yang Allah redha.

Ini Liza dan suami serta dua orang kakak saya bersama cucu-cucu yang pertama kali kami kenali.
Alhamdulilah. Air dicincang tidak akan putus.

Pembangunan ekonomi FELDA memang mengkagumkan manusia biasa. Ia disanjung hingga keluar negara. Ramai sanak saudara saya yang telah mendapat kurnia nikmat hidup di dunia melalui FELDA. Namun saya agak rasa kurang selesa dengan pembangunan rohani di kawasan ini yang saya perhatikan dalam kalangan sanak saudara saya. Jalinan hidup berasaskan kebendaan kurang diimbangi dengan pencerahan rohani. Saya rasa bersalah dalam hal ini kerana tidak dapat memberi tumpuan sewajarnya dikalangan saudara sendiri. Tidak ada alasan. Semoga Allah mengampuni. Maka saya bertekad cuba menghampiri anak-anak buah saya lebih erat lagi dan berkongsi kefahaman hidup berasaskan syariah Islam dalam jalur hidup seterusnya.

Tinggal beberapa hari lagi 2012 akan berlalu. Banyak cerita yang boleh diceritakan. Mungkin dilain entry. Saya bersyukur atas segala kurnia Allah. Saya cuba menghayati senang dan susah disisi Allah sama sahaja. Yang beza hanya cara bagaimana kita menangani masaalah yang berkaitan. Selalu saya sarankan pada anak-anak buah dan cucu-cucu supaya sentiasa ada rasa mahu berkongsi nikmat yang Allah kurnia. Bukan satu kejayaan kalau kejayaan itu tidak dikongsikan.

...

2 comments:

Temuk said...

Assalamu'alaikum
Memang pastilah, akan lebih bermakna jika rezeki kurniaan Allah dapat kita kongsikan dengan orang lain. Mengingati keperluan untuk berkongsi nikmat-Nya itu sendiri, seperti melalui pemberian sumbangan atau sedekah, atau pelunasan zakat, adalah juga rezeki dari-Nya. Beruntunglah orang yang memperolehi rezeki yang berlapis-lapis.

Semoga Allah mengurniakan segala kebahagian kepada puan dan keluarga sepanjang 2013 dan tahun-tahun mendatang.

ngasobahseliman said...

Salam Pak Temuk.
Terima kasih mamper lagi. Semoga tahun 2013 ini Allah kurnia segala Rahmatnya dalam semua keperluan hidup kita. Yang Allah kurnia rezeki berlpis-lapis Allah duga juga berlapis. Yang hanya selapis dan setipis lapisan kelopak bawang Allah membuat kiraan yang berlainan. Allah jua yang maha bijaksana maha adil dan maha mengetahui segalanya.
Kesuwun.

Related Posts with Thumbnails