"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, January 7, 2013

"Berkampung di Solok Jaya".

 
         gambar hiasan ehsan anak, amirul

Hidup ini adalah seperti larian pecut 100 meter, atau pun perlumbaan kereta F1. Lagi dekat ke garis penamat seorang pelumba itu akan menggunakan  segala keupayaannya untuk sampai melepasi garisan penamat dengan kejayaan cemerlang. Jika tidak menang dalam pertandingan ia mampu menang melawan prestasi dirinya sendiri.

Itu falsafah hidup pesanan ustaz yang saya cuba ikuti. Bekerja dan cuba berbakti hingga ke akhir hayat untuk bekalan semoga di Akhirat dapat berehat. Semoga Allah meredhai. Selagi ada kederat maka zikrullah kita harus melepasi batasan sejadah solat di rumah atau di Masjid yang dicintai. Ramai di luar sana yang memerlukan khidmat bakti. Ayuh, kata teman saya. Jangan hanya menambah ilmu tanpa ilmu itu kita amalkan.Ilmu itu akan tinggal hanya sebagai maklumat jika ada ilmu tetapi tiada amal.



Kami medengari.

Bermula pertengahan November 2012 saya dan teman bersama suami menyewa sebuah rumah di Solok Jaya di Tangkak untuk "berkampung sementara" bagi memastikan usaha mengurus Tadika SMARTOP SUBUR FITRAH (SUFI)  dapat berjalan seperti yang dirancangkan. Rumah sewa kami kecil sahaja dan hanya 2 bilik kerana satu bilik lagi diguna pakai oleh tuan rumah. Kos sewa berjumlah RM 400/- sebulan termasuk ASTRO, walaupun amat jarang sekali kami dapat menonontonnya kerana selalu pulang malam dan sudah kepenatan seharian cuba membuat atau membetulkan apa yang patut bagi menentukan SUFI terlaksana atas dasar kasih sayang insan pada insan. Kami ingin menghayati nasihat ustaz bahawa sesuatu perbuatan itu akhirnya akan dinilai dari sudut keikhlasan hati.

Apa itu keikhlasan? 

Kata ustaza lapangkan dada dan pemikiran. Semoga Allah pancarkan cahaya nur Iman yang dapat memelihara hati dalam pengabdian padaNya. Hanya Allah yang maha mengetahui yang tersirat dan yang tersurat, yang nyata dan yang tersembunyi. Kita mohon padanya semoga segala ruang hidup kita sentiasa dalam peliharaannya dan semoga tidak sesaat pun kita lalai dariNya.


 
Rumah sewa ini nampak seperti rumah dalam kawasan perumahan. Tetapi tidak. Ia benar-benar di kampung dan bapak ayam ini yang sentiasa berkeliaran di kawasan rumah menjadi "alarm clock" kami di awal pagi. Nostalgia hidup di kampung. Jiran-jiran membela ayam dan kami kenalah akur dengan budaya tempatan.

Kesabaran adalah ujian hidup di mana jua. Dan ia merupakan kesabaran utama sejak kami memulakan usaha membangunkan SUFI. Kami terus mendidik hati supaya tidak marah dan tidak kecewa atas apa jua yang berlaku pada diri dan pada SUFI. Apa jua ujian yang melibatkan hati bukan suatu yang mudah untuk di atasi. Mudah di kata tetapi belum tentu mudah untuk di kota. Senyum terlukis dibibir tetapi di hati masih rasa getir. Kami akui bukan mudah membina Iman dan Taqwa. Bukan mudah membina kasih sayang. Kami akan cuba terus berusaha kerana kami takut tidak dapat memberi kerana pasti kami tidak dapat memberi apa yang kami tidak ada.

Telah lebih tiga minggu berada di Solok Jaya walaupun tidak sepenuhnya bermalam di sana. Ada kalanya tidur di rumah kakak teman saya untuk membuat kerja hingga kami dapat mewujudkan khidmat Wi Fi untuk kerja-kerja yang perlu didokumenkan. Tidak ada Wi Fi seperti kebingungan kerana sudah terlalu bergantung padanya. Tidak mengapa,  hanya perlu sabar. 

Tetapi yang sukar untuk sabar apabila tidak ada khidmat pungut samapah dan kami kena mengangkutnya sendiri di tempat buangan di bandar Tangkak.  Mengapa agaknya Majlis Daerah Tangkak tidak meluaskan kawasan perkhidmatannya walhal Solok Jaya hanya lebih kurang 5 kilometer dari pusat bandar. Saya dapati di Pontian Kecil tempat asal saya juga tidak ada khidmat pungut sampah walaupun kampung Parit Semerah itu hanya 2 kilometer dari bandar. Agaknya ini adalah budaya pegawai-pegawai kerajaan Johor. Mahu memberi kebebasan pada penduduk supaya tidak perlu bayar cukai pintu. Saya kurang pasti mengapa. Yang pasti ialah di keliling kawasan rumah kami terutamanya  di sebelah belakang amat kotor dan berbau busuk.Tak tahu lah saya.  Sayang sekali kerana itu adalah kawasan orang Islam.

Kebersihan adalah pokok utama dalam hidup beragama.  Maka antara kurikulum yang akan kami khususkan  Di Tadika SUFI ialah kebersihan. Pekerja am yang kami ambil juga akan ditarbiah mengenai kebersihan  dari pandangan Islam supaya premis SUFI akan menjadi contoh di kawasan itu.

Namun kami insaf dan kami cuba bersabar juga bila kami teringatkan kehidupan di negara yang bergolak seperti di Afrika dan di Timur Tengah. Air pun tidak mencuckupi. Tenaga elektrik pun terhad.

Dalam keadaan serba mewah di Malaysia ini berbanding negara lain, kita harus lebih peka dengan isu kebersihan. Setiap diri harus berbuat sesutu untuk membuat perubahan.

Allah kata dalam AlQuran bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan  kaum itu sendiri mengubahnya.  

Maka kami mula dari anak-anak kecil, mentarbiah mereka dengan nilai-nilai Islam yang syumul. Minda yang masih putih bersih akan kami cuba warnakan sebaik mungkin semoga mereka mendapat nilai-nilai asas bagi membina jati diri apabila mereka membesar nanti. Dalam semua program kurikulum, ko kurikulum dan extra kurikulum, insyaAllah, kami akan cuba sepadukan nilai Islam dengan ilmu lainnya semoga ia sebati dan anak-anak dapat menjiwai nilai-nilai murni itu dari kecil lagi. Mungkin ibu-bapa dan pemerhati yang lain tidak akan dapat melihat kesan ini dalam masa jangka pendek, tetapi kami yakin ia  tersemat di lubuk hati yang akan terserlah mengikut proses pembesaran mereka.

Ayuh, sama-sama kita berdoa semoga Allah sentiasa menurunkan pertolongannya dan di akhir nanti akan terserlah kejayaan dengan kurnia RahmatNya jua. Aameen.


...

4 comments:

Makbonda Hasimah Hj Zailani said...

Assalamualaikum,

Nampak satu usaha yang sangat menarik.Semoga perkongsian ini menjadi ikutan dan penanda aras pada orang lain.

Kerja untuk Islam tidak tamat selagi ada hayat. Menjadi pendorong kepada saya agar tidak berhenti memunafaatkan usia yang masih tinggal.

YaAllah limpahilah kerahmatan dan kekuatan keatas Bonda Ngasobah agar terus melakukan kerja amal sebagai pendorong kepada yang lain.

Werdah said...

Allahumma aamiin atas doa Hasimah kepada kak Ngasobah..

Salam kak,

Mudah-mudahan usaha murni kak sentiasa diberkati dan dipermudahkan urusannya oleh Allah SWT..dan menjadi pendorong kepada insan-insan lain. Aamiin

Kerabu Jantung said...

Salam Sis,

Saya berdoa semoga Sis dan teman-teman seperjuangan mendapat kejayaan, sesungguhnya pendidikan awal yang betul/sempurna memberikan asas yang baik kepada pembangunan mental dan fizikal kanak-kanak/ummah.

Aamin.

ngasobahseliman said...

Ameen. Terima kasih kepada teman-teman yang mendoakan semoga usaha yang kecil ini memenuhi hasrat untuk menawarkan saluran pendidikan alternatif yang kami sebut Quranic generation development program. Pada Sister Hasimah, Werdah dan Kerabu Jantung saya harap satu hari dapat melawat kami dan memberi input akan apa lagi yang perlu kami ambil tindakan untuk memperbaiki yang ada. Semuanya berpengalaman dalam bidang pendidikan dan kami di SUFI mengalu-alukan wisdom yang tersemat di dada untuk kami munafaatkan.
InsyaAllah kita jumpa lagi, perhaps in Tangkak.

Related Posts with Thumbnails