"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Sunday, January 27, 2013

Bila tidak sependapat.




Tengah hari kelmarin saya pergi menziarahi sepupu suami saya yang sedang sakit akibat dijangkiti virus TB. Berbulan ia duduk di hospital.  Katanya ini suatu yang membimbangkan di Malaysia kini kerana walaupun sudah bertahun-tahun virus TB dihapuskan kini timbul kembali. Katanya ini disebabkan kesan pendatang tanpa izin yang tidak dapat dikawal. Sejauh mana benarnya saya kurang arif cuma saya di nasihatkan supaya jangan mudah-mudah makan di tempat-tempat yang kebersihannya kurang diawasi.

Oleh kerana keadaan sakitnya membimbangkan, sepupu kami ini sudah mula berfikir bagaimana  mahu membuat persediaan menghadapi reality bahawa hidupnya sekarang ibarat telur di hujung tanduk. Antara persediaan nyata ialah menentukan harta yang ada sedikit-sedikit itu ditadbir dengan baik oleh warisnya.

Saya mendengari ceritanya penuh minat kerana hal peninggalan yang pergi buat selamanya sememangnya suatu yang sullit jika tidak difahami dengan jelas. Walaubagaimana pun yang lebih menarik perhatian saya ialah tanggapan beliau mengenai sikap anak-anak zaman kini. Jika melihat ibu-bapa senang, mereka tidak menunjukan sikap mahu bekerja kuat supaya lebih senang dari ibu-bapa. Mereka mengambil mudah dalam banyak hal dan masih mahu bergantung pada kederat ibu-bapa. Ini yang membimbangkan. 

Ini berlaku mungkin kerana mereka lahir ke dunia ini ditengah-tengah kesenangan dan kemewahan. Maka jati diri mereka rapuh dibuai keyakinan yang pastinya mengelirukan. Tak perlu bersusah payah sebab Mak-Ayah dah senang.

Sepupu saya  bercerita terus bertuka-tukar pendapat bagaimana mahu meyakinkan anak-anak bahawa kesenangan tidak datang menggolek. Perkongsiannya secara santai dan diselangi dengan gelak ketawa kerana peristiwa-peristiwa lucu yang berlaku disepanjang jalan kehidupan. Sepupu saya ini berjiwa besar dan bijak mengendali masaalah yang ada dan beliau berpegang kuat pada prinsip walau apa pun yang berlaku, keluarga tidak patut berpecah belah. Harta boleh dicari tetapi kasih sayang tidak boleh dijual beli.

Maka saya teringatkan  juga perihal anak-anak saya. Kadang-kadang saya tersenyum sendirian tetapi kadang-kadang kala juga saya rasa bimbang sendirian. Bagaimanakah mereka menjalanai hidup bila dewasa tua macam saya dan ayahnya.

Semasa anak-anak saya di peringkat remaja dan remaja dewasa, mereka sering juga mengatakan saya tidak sporting bila saya tidak sependapat mengenai beberapa perkara yang mereka sukai terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan  hubungan sosial dan  rekreasi. Saya telah melaui jalan-jalan sempit yang lopak lecah di luar sana maka saya amat cemburu dengan cara anak-anak membuat keputusan mengenai banyak hal. Berbeza pendapat memang sering berlaku, antara tua dan muda, antara kumpulan dan kumpulan, antara negara-negara, antara fahaman politik  dan berbagai lagi.

Foto di atas ini memang nampak saya tidak sporting dengan kehendak anak-anak......di sini kehendak cucu. Ia bergelut mahu melepaskan diri seperti  "memberontak" tidak mahu mengikut kata / pendapat orang dewasa. Anak dewasa saya yang cuba mengambil foto ini mentertawakan saya yang cuba memujuk agar cucu mahu ambil foto bersama saya. Ini hasil foto akhirnya.

Ini hasil paksa rela....mahu mengatakan dewasa berkuasa ? ?....

Reality dikalangan  dewasa berlainan dalam mengendali perbezaan kemahuan, perbezaan cita rasa dan berbagai betuk perbezaan yang tidak ada sempadan.

Siapa yang benar atau siapa yang tidak benar dalam mengendali perbezaan pendapat  atau apa jua perbezaan bergantung pada berbagai fakta termasuk umur, budaya, agama dan banyak lagi. Tetapi yang menjadi masaalah dan yang penting dalam hal ini ialah siapakah yang berhak menentukan siapa yang benar atau siapa yang tidak benar.

Perbezaan cara mendidik anak kecil pun banyak perbezaan antara seorang dengan seorang. Inikan pula perbezaan anatar bangsa dan negara dan berbagai lagi.

Tidak salah berbeza pendapat kerana Allah kurnia setiap manusia itu keistimewaan yang tersendiri dalam beberapa hal. Dalam setahun dua kebelakangan ini saya bertekad mencari ilmu bagaimana kita mengurus pendapat yang berbeza antara satu sama lain. Khusus saya belajar semampu saya dibawah Ustaz Fauzi mengenai Usul Fiqh, kaedah fiqh dan beberapa perkara yang berkaitan dengannya. Suami saya turut serta dan sekarang saya tidak rasa "huru-hara" dihati bila mendengar seseorang berkata dengan perbezaan yang nyata mengenai sesuatu hukum dalam beramal seperti yang dituntut dalam Islam.

Kami disarankan supaya ada keterbukaan dalam fikiran, sentiasa berlapang dada dan meyakini hakikat bahawa apa yang kita tahu itu mungkin betul dan pendapat yang lainnya itu salah. Tetapi mungkin juga kita salah dan pendapat yang lainnya itu betul. Saya dimaklumkan bahawa ini adalah pegangan prinsip Imam Shafee. Ada disiplin cara bagaimana menganalisa maklumat sebelum menerima mana-mana satu ilmu yang mahu dikembangkan dan diasaskan sebagai fatwa.

Saya sekarang bersama beberapa teman dalam satu kelas pengajian yang mempelopori supaya "IKUT SUNNAH NABI" semata-mata. Yang lainnya adalah bid'ah dan yang bid'ah itu adalah sesat. Saya tidak lagi berhujah sebaliknya dan menerima sahaja yang saya rasa boleh diterima mengikut apa yang saya pelajari dalam konteks  ilmu Usul Fiqh dan kaedah fiqh.

Ustaz kata Islam itu mudah tetapi jangan kita permudahkan tanpa ilmu yang sebenar.

Saya tidak berhajat berbincang hal ini selanjutnya kerana saya sedar ilmu yang sedikit itu bahaya. Cuma saya sering rasa tersedih di tengah-tengah hujah dua kumpulan yang berbeza pendapat semasa dalam kelas pengajian. Perbezaan pendapat ini saya perhatikan membawa pada beberapa orang berhenti dari kelas pengajian semata-mata tidak mahu rasa tertekan jiwa kerana dikatakan salah mengikut satu fahaman walhal fahaman itu tidak sama dengan apa yang dibawa oleh kumpulan yang lain. Kalau di dalam kelas pengajian  kita sudah tidak dapat merasai bahawa kita boleh berbeza pendapat, bagaimana pula jika kita berada dalam sebuah negara seperti Malaysia. Saya khuatir perbezaan pendapat yang tidak dibendung dengan fikiran terbuka berasaskan Ilmu Benar yang di dada, ia boleh membawa bencana yang mengakibatkan kerugian sebuah pihak atau merugikan kedua-dua pihak yang bertentangan itu. Dalam keadaan seperti ini musuh yang nyata akan mengambil kesempatan yang akhirnya boleh sampai ketahap "Menang sorak Kampung tergadai"  Pastinya kita tidak mahukan ini berlaku.

Walaubagaimana pun, jika ada perbezaan  atas perkara-perkara pokok seperti mengatakan selain dari Tauhid yang benar, maka saya rasa kita boleh bermati-matian mempertahankannya. Itu pun ada syarat-syarat tertentu dan kita ikut cara Rsulullah Saw menyelesaikannya.

Sehubungan ini saya khuatir apakah akan jadi pada negara Malaysia dalam senario politik yang ada sekarang. Adakah kemungkinan kumpulan yang tidak Ikhlas terhadap Islam sebenarnya sedang mengatur stratergy sulit mencari jalan bagaimana boleh memperdaya pihak yang berkuasa atau pihak yang ingin berkuasa.  Apakah agenda mereka sebenarnya bagi Malaysia dan bagi Umat Islam di seluruh dunia. Saya khuatir kalau kita berfikiran secara stereotype, kita tidak akan nampak bahaya yang sedang membara.

Persoalannya : Mana yang harus didahulukan.Aqidah dahulu atau kuasa politik dahulu. Bukankah ini boleh dicapai serentak jika kita sanggup mengorbankan Ego kita, dan berkongsi kuasa sesama Islam, demi mempertahankan Maruah Islam. Ada lima perkara dalam Islam yang wajib kita pertahankan  walaupun nyawa terancam hingga ke akhir hayat, iaitu Pegangan Aqidah, Nasab, Nyawa, Harta dan Marwah kehormatan. Untuk ini kita harus berwaspada dan bijak dalam mengenal siapa musang yang berbulu ayam. Sejarah telah membuktikan jika kita tidak pintar melihat sesuatu dengan mata kasar dan mata hati, maka kita akan diperalatkan oleh pihak yang tidak ikhlas terhadap Islam. Dengan perkataan lain, kita harus pintar memahami tindak tanduk mana jua pihak yang "suka bersandiwara" semata-mata untuk menutup hasrat dan sikap sebenar. Kita juga harus pintar mengenal pasti  'linkages' kepentingan yang ada di dalam masyarakat kita dan yang ada di luar sana. Kita periksa juga sama ada linkages ini memelindungi musang yang berbulu ayam.

Saya terlajak fikir pula. Adat orang tua agaknya.
Tak apaelah. kita fikir-fikirkan. Semoga Allah mengampuni kesilapan dalam menafsir keadaan. Semoga Allah menunjuki pada jalanNya yang benar.
 WaAllahu'alam.

....

2 comments:

Makbonda Hasimah Hj Zailani said...

Assalamualaikum Bonda Ngasobah.

Kena betul foto dengan topik.

Yang tua bangga dengan pengalamannya,yang muda pula bangga dengan zamannya.Mestilah tidak jumpa titik pertemuannya jaka sengaja tidak dicari.Jika yang tua menggunakan pengalamannya untuk memandu zaman orang muda,dan orang muda menggunakan zamannya berpandukan pengalaman orang tua barulah bertemu titik pertemuan.Boleh dimunafaatkan bersama.

Diluar sedar kadang saya pun terlibat dalam konflik ini,samaada mewakili orang tua dan orang muda. Semoga ada yang sudi menyedarkan.

ngasobahseliman said...

Betul Simah. Kita harus berhati-hati. Saya kata pada anak-anak tidak mengapa berbeza atas perkara berasaskan cita rasa tatapi jika mengenai hal-hal pokok dan prinsip yang Allah sudah tentukan, maka kita tidak boleh berbeza. Kalau boleh dalam hal-hal yang hukumnya sunat pun kita harus sekata dan kita buat sama-sama, kerana itu yang menambah kekuatan dalaman kita.

Semoga Allah mengampuni segala kekurangan dan kelemahan kita semua.

Related Posts with Thumbnails