"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, October 31, 2016

Koperasi boleh membantu ? .....






Sejak saya kecil Koperasi sudah wujud. Saya ingat emak saya asyik cerita koperasi dengan kekawan penoreh getah waktu itu. Mungkin namanya berlainan. Saya tidak ingat. Tetapi prinsipnya ialah membuat sesuatu secara kerjasama dan keuntungannya dikongsikan. 

Kini konsep Koperasi sudah bertambah baik, kata kakak partner saya semasa saya berada di Tangkak beberapa bulan yang lalu. Koperasi boleh membantu kita mengurus usaha perniagaan untuk mendapatkan dana bagi membanunkan terus projek Tadika dan Taska yang kami urus sekarang. Saya kurang yakin kerana kurang ilmu dan kurang pengalaman. Maka partner saya mengarahkan seorang anak angkatnya untuk mengkaji kemungkinan SmarTop menubuhkan Koperasi bagi tujuan ia menjadi pemaangkin dalam usaha kita untuk maju membesar dan membaiki qualiti pendidikan awal kanak-kanak.

Widad nama anak muda yang kami tugaskan. Ia bersungguh-sungguh membantu kami kerana sekarang ini agak sukar mendapatkan pekerjaan dan dia sukarela membantu asalkan sahaja semua kos pengurusan SmarTop yang tanggong.

Saya tidak ambil berat dalam usaha ini. Bukan senang menukar pemikiran seseorang termasuklah saya. Saya kurang yakin kerana keluarga suami saya adalah dalam bidang perniagaan dan saya perhatikan semestinya ada komitmen yang jitu jika sesuatu tindakan mahu mencapai hasi.Dalam koperasi saya kurang yakin akan fakta komitmen kerana keuntungan dikongsiakan. Hmmmm.......

Teman saya sabar dengan sikap saya dan terus memantau Widat. Hah! Widak bekerja kuat dan saya dimaklumkan tentang kemajuannya dari masa kemasa.

Akihnya siap dan penubuhan Koperasi di luluskan oleh Jabatan Koperasi Negara. Minggu lepas kami dipanggil untuk diberi penerangan seterusnya dan untuk memahami segala undang-undang dan peraturan yang wajib dipatuhi.

Senyum lebar partner saya kerana dapat mengatasi dan mencabar pemikiran saya yang seperti sudah jumud mengenai hal Koperasi. Foto di atas saya rakam untuk fail saya yang berasingan. Saya cuba yakinkan diri saya supaya berusaha kuat dalam satu venture yang memerluka komitmen yang tinggi. Mohon doa para pengunjung blog saya ini semoga usaha ini mencapai kejayaan dalam masa yang ditentukan dalam perundangan. Semoga ia dapat menjana dana bagi SmarTop secara berterusan.



Sebelum beredar kelihatan Widad mendapatkan segala maklumat yang diperlukan dari Pegawai Koperasi yang berbaju biru itu. Semoga Allah menurunkan pertolongaNya pada kami dan semoga kami dapat membantu masyarakat yang kurang mampu di Daerah Tangkak dalam Pendidikan Awal kanak-kanak dan membantu anak-anak muda yang memerlukan pekerjaan sebelum mereka melangkah ke bidang kerjaya yang mereka minati. 







Hingga lain kali.......
Breakfast pagi itu dan semua yang berlaku membuat kami bersyukur.....
Tiada kekuatan melainkan dengan kekeuatan Allah..

......

Sunday, October 30, 2016

Rasa tersayu ......






Beberapa hari sebelum ke Tangkak saya sudah berfikir-fikir...... berfikir pasal keluarga, pasal jiran tetangga, pasal negara dan pasal kucing yang saya tidak cukup jaga. Bukan kucing saya, cuma saya beri makanan pada kucing mendatang semoga tidak dikira menganiyaya binatang.

Maka bila saya ikut teman saya ke Bandaraya Melaka saya masih terpaku dengan berbagai isu yang membuat saya rasa khuatir saya tidak cukup ambil peduli dengan apa yang saya lihat di sekeliling kehidupan saya. Banyak isu yang kompleks..... Mungkin lain kali saya cerita.....

Hari ini saya saya teringatkan kisah orang tua-tua. Pastinya begitu sebab saya pun sudah tua. Maka semasa di Food Court Aeon Mall saya duduk berseorangan menanti teman saya selesai membeli apa yang dicari. Saya perhatikan anak-anak muda makan tengah hari. Ada yang datang dengan isteri dan anak-anak, ada yang datang menjamu kekawan. Dalam celah-celah kesibukan orang muda, saya ternampak sebuah meja yang hampir dengan saya di mana ada orang muda dan orang tua duduk sekali mahu menjamu selera saya kira. Lihat foto di bawah ini. Saya ambil sambil duduk dan tidak nampak kesemuanya. Ada 4 wanita tua, dan seorang lelaki tua. Ada tiga wanita dalam umur awal empat-puluhan dan seorang lelaki tetapi tidak lama bersama mereka.





Yang muda bercakap dengan yang tua sepertinya membuat penerangan. Yang muda berinteraksi bersama sendiri sambil melayan orang-orang tua itu mencari posisi duduk yang selesa. Seorang diturunkan dari kerusi roda. Saya tidak menyangka mereka bersaudara. Saya membuat andaian mereka dari rumah orang tua-tua yang berlainan kerana lelaki tua yang bersama mereka (tiada kelihatan) memakai kopiah dan saya kira dia Islam. Seorang perempuan berupa Melayu juga ada bersama. Dia tidak bertudung maka itu saya buat andaian ia bukan isteri dan besar kemungkinan mereka dari Nursing Home yang berlainan dan berjanji jumpa di situ untuk menghiburkan hati orang tua di bawah jagaannya. Mereka bertutur dalam bahasa Inggeris dan Tionghwa.

Seorang daripadanya makan bersuap, yang lain makan sendiri. Saya kira yang bersuap itu matanya sudah tidak dapat melihat kerana penjaganya memegang tangannya untuk dia merasai apa yang ada di pinggannya.

Saya rasa terharu dan tersayu kerana mereka membuat saya teringatkan waktu saya menjaga emak mertua saya dan kemudian emak saya sendiri. Apa pun hubungan mereka, saya tersentuh sayu melihat cara mereka melayani makan orang-orang tua ini.Disuapkan dan dipegangkan gelas minuman. Ada sesuatu yang dikatakan, tetapi saya kurang dengar. Selesai yang tua makan, barulah mereka makan.

Sebenarnya menjaga orang-orang tua adalah satu anugerah istimewa dari yang maha Pencipta. Ia bukan satu bebanan. Anak-anak tidak harus merasai ini satu bebanan. Jika kita menjaganya penuh kasih sayang, penuh kesabaran dan penuh prihatin, Allah sayang pada kita. Ada Ustaz mengatakan ini adalah salah satu jalan pintas ke Syurga. Dalam Al- Quran disebut kita tidak boleh berkata "huf" pun pada mereka. Iaitu orang-orang tua tidak boleh dikasari. Semuanya harus dilakukan penuh sopan semoga mereka tenang dihati dan rasa dikasihi. Orang tua-tua hanya perlu rasa mereka dikasihi. Makan bersama adalah satu agenda penting..... walaupun lauk pauk hanya sekadarnya. 

Ibu mertua saya dapat sakit alzheimer, iaitu pelupa. Subhanallah..... dan saya dapat merasai kebesaran Allah. Tiada suatu pun yang Allah kurnia itu sia-sia. Mula-mula saya rasa stressful. Maka saya google maklumat mengenai sakit itu dan mendapat perkongsian ilmu yang amat membantu saya mengurus ibu mertua saya. Pokoknya kita harus menghargai kehadirannya. Kita harus memahami qudrat dan iradat Allah swt. Dalam kesibukan menjaga kita pergi cari ilmu terutamanya mengenai hal-hal yang berkaitan dengan makrifatullah....mengenal Allah. Tidak kenal maka tidak cinta. Bila cinta yang lain menjadi mudah semuanya. Tetapi dalam pada itu ada kalanya saya terbabas. Saya hanya manusia biasa dan tidak sunyi dari kesilapan. Maka cepat-cepat saya bangkit memohon maaf dan beristghfar.

Maka itulah saya rasa tersayu melihat perihal di atas. Saya lebih mengerti sekarang ini dan kekadang rasa sesalan tidak berusaha lebih kuat lagi dalam menyantuni orang-orang tua. Kekadang saya rasa semacam tidak lulus ujian kesabaran..... Saya memohon ampun yang tidak henti-henti....

Emak saya tiada sakit yang kronik. Menjaganya amat mudah. Saya boleh angkat emak saya ke kerusi roda dengan pertolongan pembantu dan memandikannya di bilik mandi. Saya mandikan, mencebukan tanpa guna sarung tangan. Pembantu saya guna sarung tangan. di berkata pada saya mengapa saya tidak guna sarung tangan mencebukannya. Heh ! saya katakan. Ini emak saya. Emak saya tidak guna sarung tangan pun cebukan saya masa saya kecil...... Gelak dia termalu dengan teguran saya.

Emak saya meninggal dunia dalam umur 95 tahun. Saya tidak menghadapnya kerana saya di Penang dan kakak saya yang mengurusnya. Dia tidak sakit pun waktu itu.... tetapi sudah sampai waktunya. Saya juga tidak menghadap emak mertua saya sebab keluarga adik lelaki suami saya menjaganya kerana sakitnya makin hari makin tenat dan saya tidak dapat menjaga 2 orang tua. 

Begitulah ceritanya. Hingga sampai di rumah Petaling Jaya saya masih teringat-ingat. Maka saya tulis entry ini. Suka saya ingatkan anak-anak muda atau siapa sahaja yang punya ibu-bapa yang tua, janganlah acuh-tak-acuh menjaga mereka. Kalau bukan anak yang menjaga, siapa yang patut ditugaskan? 

Sampai di sini dulu..... Semoga Allah mengampuni saya dan emak bapak saya dan juga ibu-bapa mertua saya. Doa saya semoga kami bertemu kembali di Syurga Firdaus nanti..... dengan Rahmat Allah jua.

Aamiin ya Rabbalalamiin.....


......

Saturday, October 29, 2016

Mengintai kehebatan Bajet 2017.....




Semasa saya di Tangkak saya ambil kesempatan juga untuk ke Bandaraya Melaka. Sudah agak lama saya tidak ke Melaka.Saya dapati pembangunan  amat pesat dan sedikit sebanyak membuat saya rasa teruja. 

Partner saya membawa saya ke Aeon Shopping Mall. Tersergam indah. Sekali imbas saya katakan ia sebuah shopping mall yang indah dan teratur. Saya tiada cadangan membeli belah dan tujuan saya hanyalah melihat-lihat sahaja. Maka saya duduk di kerusi seperti yang ada di foto ini sambil menunggu teman saya mendapatkan barang yang dihajati.





Saya lihat kiri kanan seperti sunyi sahaja. Waktu itu jam sudah hampir 12 tengah hari. Tidak ramai pelanggan yang sibuk sana sini. Saya rasa agak boring juga dan tertanya-tanya diri sendiri mengapa begitu. Saya katakan pada diri sendiri....Ini mesti ada kaitan dengan ekonomi Malaysia yang makin hari makin dirasakan ada yang tidak kena dengannya. Peluang pekerjaan makin susah dan harga barabgan makin naik. Rakyat makin hari makin kurang kemampuan untuk membeli. Rakyat seperti saya hanya membeli barang-barang yang benar-benar perlu sahaja.

Saya sekeluarga bertekad berbelanja ikut bajet yang ketat berdasarkan pendapatan bulanan yang statik sahaja. Pastinya ramai rakyat Malaysia yang seperti saya. Malahan ramai juga yang lebih tertekan dalam hidup hariannya kerana kemampuan kewangan yang amat terhad.Saya tahu hal ini kerana kaum kerabat saya, jauh dan dekat, ramai yang miskin. Saya juga keturunan miskin kerana saya adalah keturun pendatang dari tanah Jawa berpuluh tahun yang lalu.

Telah 13 tahun saya bersara dari perkhidmatan awam. Kini sudah masuk era umur tujuh-puluhan. (Alhamdulilah Allah masih mengurnia ruang dan peluang untuk terus menikmati anugerah hidup yang berbagai ragam.)  Maka apabila orang awam dan teteman disekeliling saya bercerita mengenai Bajet 2017, saya hanya senyum lebar sahaja. Saya berpeluang semasa bekerja dahulu untuk terlibat sama dalam penyediaan Bajet Pembangunan fisikal di Kementerian Pendidikan selama 10 tahun dan Bajet Pengurusan di Kementerian Kerja raya selama lebih 7 tahun. Dan sebelum berasara saya terlibat dalam perancangan Sumber Manusia termasuk penyedian Bajet gaji dan emolumen untul lebih 5 tahun. Walaupun sudah amat lama saya meninggalkannya tetapi pahit manis penyediaan bajet masih saya rasaai hingga sekarang dan saya amat memahami implikasinya dalam hidup harian kakitangan awan khususnya dan rakyat umumnya. 







Sekarang ini ramai ahli keluarga besar saya yang bekerja di sektor awam dan saya suka bertanya dan mendengari masaalah kerjaya mereka untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Tidak ada cerita yang menyeronokan yang dapat memberi harapan cerah bahawa program dan aktiviti yang dirancang dapat dilaksana tanpa masaalah besar. Saya mendengarinya rasa seperti masa depan Malaysia hambar sahaja. Tetapi saya tidak harus prejudis kerana saya mendengari berita-berita prima bahawa ekonomi negara mempunyai masa depan yang cerah. Berbagai angka statistik digunakan sebagai bukti. Tetapi saya mendengari juga dari pembacan penulisan di media sosial yang mengatakan bahawa ekonomi negara makin hari makin meruncing. Saya bukan pakar tetapi saya boleh memahami sebahagian besar apa yang saya baca dan apa yang saya dengar berasaskan pengalaman dan latihan professional dalam pengurusan negara yang saya terima semasa bekerja dahulu. Alhamdulillah, Allah masih memberi saya kemampuan dan memberi saya daya pemikiran yang kuat walau pun sudah dalam era umur tujuh-puluhan.

Maka saya senyum sendirian cuba meyakinkan diri bahawa Malaysia belum merudum jauh yang membuat masa depan cucu-cucu saya dalam keadaan tidak menentu. Dalam senyuman ada juga rasa penyesalan menayakan diri sendiri sama ada saya bersalah atau tidak bersalah wujud dalam negara yang ribut dengan berbagai masaalah sekarang ini. 

Semoga ribut tidak menjadi taufan besar. Semoga masih ada golongan rakyat yang akan bangkit menukar ganti keadaan yang ada sekarang dengan izin dan kehendak Allah. Semoga Allah mengasihani rakyat dan semoga dalam masa terdekat Allah tunjuki jalan. Allah maha melihat dan Allah maha mendengar. Allah maha mengetahui apa yang tersembunyi dan apa yang nyata. KEBENARAN tidak pernah memihak. Itu hak Allah yang mutlak. 

Semoga kita semua berfikir dan bertindak sewajarnya.

Apa yang sewajarnya?

Kata setengah orang: Tepuk Dahi Tanya Hati....... 
Hati yang sarat dengan Iman dan Taqwa...... Hati yang diliputi Ilmu yang Benar.

Mohon keampunan Mu ya Rabb.....



...... 

Friday, October 28, 2016

RINDU SMARTOP 2


Tidak terdaya menanggong rindu......
Pada hari Ahad yang lalu saya ikut partner saya ke Tangkak, johor.





Sejurus sampai saya tercegat sebentar mengimbas apa yang berlalu hampir 8 bulan yang lalu sambil menikmati keindahan "kebun kelapa dan pisang" yang jadi sempadan tanah lapang di sekolah kami yang amat saya sayangi....... Sekolah yang kami bina dan urus dengan "peluh dan air mata".

Sudah lama tidak melihat gelagat dan karenah anak-anak kecil yang comel-comel. Anak-anak yang masih dikira ahli syurga sememangnya ceria dan comel-comel dilihat dari air muka yang sentiasa mahu di santuni oleh dewasa. Dewasa inilah yang untuk setengah hari atau lebih menjadi "ibu-ibu" mereka.

Pada hari akhir saya di SmarTop Subur Fitrah (nama keramat bagi saya) partner saya dan saya meraikan perpisahan seorang pengasuh di Taska yang mendapat pekerjaan tetap di sektor Awam. Nurul namanya. Ia mengatakan rasannya amat berat untuk meninggalkan anak-anak kesayangannya. Tetapi apakan daya dia harus mencari kerja tetap yang memberi imbuhan gaji yang lebih menjamin hidupnya. Tidak banyak berbanding kos hidup sekarang ini tetapi lebih dari apa yang termampu diberi oleh SmarTop. Kami seronok menghantarnya melangkah ke alam pekerjaan yang lebih cerah dari segi kemajuan kerjaya. Kami berdoa semoga apa yang kami tarbiahkan semasa bersama kami akan dapat diterapkan di tempat yang baru. Semoga kami juga mendapat keberkatannya. Aamiin.






Inilah foto kenangan saya dengan teacher Nurul. Manis dan sentiasa ceria orangnya. Saya pasti anak-anak akan rasa kehilangan buat beberapa hari hingga kami mendapatkan gantinya secepat yang mungkin. Anak-anak di Taska kami berumur dari 2 bulan hingga hampir 4 tahun sebelum melangkah ke peringkat Tadika. Di Taska kami laksana program yang sesuai bagi anak-anak umur sedemikian. Kami tidak hanya setakat memberi makan minum, memandikan dan menidurkan, tetapi kami mengajarkan dan mengasuh mereka semoga dari kecil lagi mereka sudah mula mengenal Allah dan rasulnya dalam bentuk yang sesuai diumur tersebut. Ramai yang sudah bijak melafazkan doa makan. Alhamdulillah..... semoga  usaha yang kerdil ini Allah terima sebagai amal soleh bagi kami semua di sini.







Ini majoriti anak2 pada hari itu,
saya rakam bersama dengan pengasuh2 yang lain.

Saya perhatikan, walaupun secara rambang, bahawa ada perbezaan positif
 antara anak-anak yang dihantar ke Taska Berdaftar dengan anak-anak yang di hantar ke Pengasuh persendirian. Kami sentiasa di pantau oleh Jabatan Kebajikan
 dan kebersihan tempat dan makanan sentiasa diawasi dari masa kemasa. 
Tambahan pula kami ada aktiviti teratur yang dapat menggalakan anak-anak berfikir dan boleh berdikari.Seharusnya kerajaan patut memberi subsidi yang lebih untuk membolihkan  Taska-Taska seperti yang kami urus menjalankan 
aktiviti-aktiviti di luar rumah.
Kami mengharapkan pemimpin kita akan lebih perhatin pada keperluan ini demi kesejahteran ummah.


Pada hari pertama ke SmarTop saya melihat persiapan awal untuk Hari "graduation" pada akhir bulan depan. Kami mengambil kesempatan mengambil foto untuk ingatan diri sendiri. Pakaian-pakaian ini adalah disewa dan ahli-ahli Lembaga Pengurus harus bekerja kuat untuk mendapatkan dana yang mencukupi buat hari Istimewa itu nanti. Subsidi kerajaan hanya sekali seumur hidup dan jumlahnya amat minima. Pendidikan awal kanak-kanak harus menjadi agenda penting kerajaan juga jika mahukan generasi pelapis yang lebih bijak dan berupaya.

Semasa bersama dengan guru-guru di peringkat Tadika saya dan partner saya mengambil peluang untuk berdailog mengenai masaalah yang ada dan bagaimana mengatasinya semoga di tahun 2017 yang hampir menjelang ini kami akan dapat membuat persiapan dan menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang lebih baik mengikut perkembangan pendidikan semasa. Semoga Allah sentiasa menurunkan pertolongannya dari semua segi dan semoga kami akan dapat membuat perubahan yang lebih bermakna demi mencapai hasrat menyumbang pada pembangunan ummah seperti yang dituntuk oleh Islam .

Terubat rasa rindu selepas empat hari di SmarTop. ALHAMDULILLAH..... Semoga Allah sentiasa menurunkan pertolonganNya dan kami dapat beroperasi dengan lebih baik lagi.

 Aamiin ya Rabb.....



......

Sunday, October 23, 2016

Terlepas peluang berwasiat.......





Semasa pulang cuti ke kampung di Pontian, saya pergi juga ke Kota Tinggi untuk ziarah abang Ipar saya yang kini berumur 87 tahun. Kakak saya meninggal empat tahun yang lalu dan kini abang ipar saya sudah ada penggantinya.

Saya sudah kurang kemampuan untuk memandu jauh, maka saya ikut anak saya yang ada urusan jemputan kahwin di Ulu Tiram. Ulu Tiram sekarang sudah tidak seperti Ulu Tiram dulu.

Tidak lama saya berada di Kota Tinggi. Kali ini ziarah saya ada tujuan khusus untuk berbincang mengenai bagaimana abang ipar saya memunafaatkan rezki tanah dan rumah-rumah sewa yang Allah kurnia padanya. Saya ambil nasihat ustaz untuk membuat wasiat yang terperinci sebelum samapi saat terakhir. Semasa kakak saya ada saya tidak terlintas untuk bertanyakan hal seperti ini kerana saya belum ada maklumat bagaimana mahu berwasiat dan bagaimana mahu menghibahkan harta yang kita ada supaya tidak menjadi masaalah dalam hal-hal mewariskan harta dan akhirnya ia dipegang oleh Amanah Raya. Harta itu tidak dapat di munafaatkan untuk waris dan untuk diri sendiri.



Cerita punya cerita, saya rasa agak "kesal" kerana mengikut abang ipar saya semua harta sudah dihibahkan pada anak-anak semasa kakak saya masih ada lagi. Ini bukanlah suatu yang salah tetapi ia tidak menjadi suatu yang dikira terbaik kerana waktu itu kakak saya tidak bepesan untuk menginfakan sebahagian harta untuk dirinya. Begitu juga halnya dengan abang ipar saya.

Waktu hayatnya kakak saya sememangnya suka bersedekah tetapi setakat wang ringgit yang tersimpan di Bank (atau di bawah bantal....?) ia itu ia bersedekah secara "kecil-kecilan" berbanding harta yang ada. Habuannya untuk kesejahteraan di akhirat sekarang ini terletak pada anak-anak sama ada akan menginfakan hasil harta yang ada untuk kedua ibu bapa atau mereka memilih sebaliknya. Kita tidak dapat mengukur hati-hati manusia. Jika tidak dipupuk dengan Iman dan taqwa, agak sulit untuk anak-anak menghargai ibu-bapanya sesudah ketiadaan mereka di bumi ini. Ini hanya pemerhatian umum yang dilihat secara rambang. Hanya Allah yang maha mengetahui.

Maka saya cadangkan supaya abang ipar saya berunding penuh hikmah dengan anak-anak untuk memberikan balik semula sebahagian harta bagi tujuan infak yang membolehkan ibubapa mendapatkan ganjaran berterusan hingga di akhirat nanti.

Saya perhatikan air muka abang saya agak tersedih mendengarkan cadangan saya. Katanya mungkin cadangan itu sukar dilaksana. Dalam peraturan undang-undang, apa yang sudah diberi tidak boleh ditarik balik. Saya kata kita harus usaha dan tawakal dan berdoa kerana Allah maha tahu kepenatan ibubapa mendapatakan harta tersebut. Cuma mereka kurang Ilmu yang berkaitan dengannya sesudah mereka meninggalkan dunia ini. Saya juga rasa tersedih kerana hanya cadangan sahaja yang dapat saya berikan. 

Merka sepertinya sudah terlepas peluang untuk berwasiat yang memberi munafaat pada waris dan pada diri sendiri. Ketika mahu pulang saya katakan semoga tidak berputus asa kerana hakikatnya ialah kebergantungan kita hanyalah pada Allah dan bukan pada harta. Banyak cerita-cerita yang kita dengari dari ustaz-ustaz bagaimana kesudahan orang-orang yang tidak ada harta pun Allah terima terus masuk ke Taman-taman Syurganya. Seorang perempuan tua berkulit hitam disebut dalam satu riwayat hadis yang diumur tuanya ia menyapu membersihkan kawasan Masjid Nabawi dan apabila meninggal dunia Rasulullah Salallhualaihiwasalam menziarahi maqamnya dan kemudian memberitahu para sahabat bahawa wanita tua ini adalah ahli Syurga.

Semoga begitulah kesudahan kita. Harta bukan syarat masuk Syurga. Kita masuk Syurga dengan Rahmat Allah swt semata-mata.Usaha kita hanyalah satu wasilah semoga Allah meredhai perbuatan kita dan menerimanya sebagai amal soleh. 

Semoga Allah meredhai dan Syurga Firdaus tempat kita berjumpa nanti.
Aamiin ya Rabb.....




Saya pulang hampir senja dan saya rakam keindahan waktu maghrib, Saya bermusafir dan semoga doa saya sekeluarga Allah kabulkan.

Aamiin.......


..........

Saturday, October 22, 2016

Monyet berkeliaran.....

Image result for monyet berkeliaran

                              
Cerita monyet berkeliaran sering kita dengar di negara kita kerana sudah banyak hutan di tebang untuk pembangunan kemudahan manusia. Pihak kerajaan tidak ada perancangan khusus untuk haiwan dan binatang liar . Jika ada dasar pun, pelaksanaannya tidak dititik beratkan. Saya berani kata begitu kerana saya amat terperanjat bila saya pulang kampung kali ini saya nampak dua ekor monyet sebesar yang ada di gambar ini (ehsan carian google) berkeliaran di kawasan rumah kakak saya di mana saya tinggal dalam percutian saya.

Semasa dalam umur sekolah rendah rumah tumpangan kami menoreh getah di Penerok Pontian hampir dengan hutan tetapi saya tidak takut kerana monyet tidak keluar cari makan. Cukup dengan apa yang ada di hutan. Cuma saya takut dengan babi hutan ketika subuh kerana babi-babi ini belum balik ketempat kumpulan mereka. Tetapi mereka mudah dihalau dengan buat bising gendang pukulan kayu pada baldi yang dibawa penoreh getah.  

                                               
Ini keadaan jalan kampung di hadapan rumah kakak saya. Di sinilah saya nampak monyet berkeliaran.. Tujuh puluh tahun umur saya..........baru kali ini ada masaalah monyet berkeliaran di kawasan rumah.

Bukan ada semak samun disekeliling rumah-rumah kakak dan jejiran. Mungin ada pokok pisang dan pokok betik dan mungkin nenas. Pokok-pokok ubi ada tetapi tidak mungkin monyet menggali tanh untuk mendapatkannya.

Saya amat kecewa dengan sikap tidak peduli kerajaan dengan kehidupan liar. Islam mengarahkan manusia supaya adil pada kehidupan liar. Mesti ada tempat khas untuk mereka. Jangan semua hutan ditebang dan memberi faedah pada manusia sahaja.




Ini pokok-pokok bunga indah di hadapan rumah kakak saya. Tidak sangka monyet berkeliaran. Bila saya ceritakan saya nampak monyet-monyet, kakak saya sudah tidak hairan dan mengatakan ada yang sudah masuk di rumahnya.



Ini rumah kakak saya yang sudah pernah di masuki monyet. Macam suatu yang susah saya percaya kerana rumah ini hanya lebih kurang 2 kilometer sahaja dari pusat bandar Pontian Kecil, Johor.


Siapakah yang zalim dalam hal ini. Keluarga kakak-kakak saya, orang kampung atau siapa?

Kita jawablah sendiri. Saya berhenti sahaja di sini dan sekarang sering menalipon kakak-kakak saya tentang monyet-monyet itu. Tidak hairanlah saya kalau ada babi hutan. Cuma belum samapai di kawasan rumah-rumah ini.

Saya turunkan foto bunga yang ada di hadapan rumah kakak seorang lagi. Bunga apa ye?


Semoga bunga-bunga ini tidak dirosakan monyet. 
Monyet juga makhluk Allah dan tidak ada ciptaan Allah yang sia-sia. Semoga kita dapat berlepas diri di hadapan yang Maha Pencipta di akhirat nanti kerana tidak prihatin atas kebajikan binatang dan haiwan liar.

Mohon keampunan MU ya Rabb.....


.......

Tuesday, October 18, 2016

Teman dari Australia....ingin ku ubah fikirannya.





Saya ada kumpulan Whatsapp yang di namakan Class of  '64. Beberapa tahun dahulu (bila Whatsapp bermula) ada beberapa kekawan yang mengusahakan mengumpul seramai yang mungkin untuk kembali bertaut di bawah naungan Class of '64. Ini kumpulan kami semasa belajar di sekolah menengah yang masa itu namanya ialah PONTIAN GOVERNMENT ENGLISH SCHOOL. Kami tamat tingkatan 5 dalam tahun 1964.

Sudah beberapa tahun kami mengadakan reunion (kecil-kecilan dan juga yang besar-besaran bila kami dapat mengumpulkan juga guru-guru kami yang masih ada dan mampu hadir). Kami amat seronok bercerita-cerita. Kini bilangan kami makin mengecil.........

Dalam kumpulan Class of '64 majoriti nya adalah dari keturunan bukan Melayu, terutamanya keturunan Cina. Tetapi untuk makluman generasi muda, kami tidak bercerita hal-hal keturunan. Hubungan amat baik dan kami amat hormat menghormati perbezaan yang ada diantara kami. Malah ketika itu kami tidak rasa siapa kaya siapa miskin. Belajar bersama dengan segala aktiviti ko kurikulum yang ada sudah cukup untuk membuat kami rapat. Suasana persainagan saya rasakan sihat.

Kini lebih 50 telah berlalu namun kami masih dapat bersatu. Saya rasa sekarang ini masih ada hubungan kemesraan yang kami alami semasa sekolah. Pastinya dengan izin Allah.

Saya ada bercerita sedikit mengenai hal kami dalam blog saya dalam entry sebelum ini. Saya ceritakan perihal guru-guru kesayangan yang kini sudah meninggalkan kami buat selamanya.Ramai kekawan juga yang sudah "exit the train".  Maka kali ini saya hanya ingin bercerita sedikit mengenai seorang dari teteman itu yang kini sudah menetap di Australia.



Dia seorang Atheist. Namun dia pandai menghormati kami yang bukan atheist. Majoriti kekawan  adalah Buddhist atau Kristian. Kumpulan yang semakin kecil ini hanya ada 6 orang yang beragama Islam yang masih aktif berjumpa dan berbual.

Teman yang saya maksudkan duduk di kiri sekali. (Foto ini kami ambil 2 minggu lepas apabila kami meraikannya dalam perjalanannya ke Korea).

Hing Neo kami panggil dia, walaupun dia ada nama yang lain. Bijak menulis pendapat dalam whatsapp mengenai hal-hal global, ekonomi, politik dan juga sosial. Dia lama bekerja dengan the British army maka itu ia mudah hijrah ke Australia. Dia tahu saya tidak memain dengan prinsip saya dalam Islam. Saya bukanlah hebat tetapi dia tahu saya serious. Namun kami boleh berbincang apa sahaja secara santai. Dengan cara santai juga selalu saya tarik perhatiannya bahawa kita ini di cipta oleh suatu kuasa yang maha besar dan maha segalanya. Dia senyum sahaja.

"There is GOD Neo, believe me...." saya katakan bila-bila sahaja keadaan sesuai. Langsung saya berhujah sebaik mungkin, kekadang diselitkan juga humour supaya tidak seperti memaksa untuk percaya pada saya. Saya yakin hanya Allah yang boleh menukar hati manusia. Kita hanya menyampaikan risalah Allah.

"Thank you for caring Ngasobah, but I am comfortable as I am now....really."  Selalu ia kata begitu. Tetapi saya tidak putus asa kerana saya tahu bahawa saya perlu berdakwah pada yang bukan Islam dan saya teruja berdakwah pada seorang atheist.

"Neo, please think about what I have said. If you are right, we both have nothing to worry about. Nothing at all. BUT if I am right, you have plenty to worry about...." dia diam seketika tetapi lepas itu senyum sahaja. 

Apabila saya bergaul dengan teteman class of '64 ini saya selalu buat lawak tentang diri-diri kami semasa di sekolah.  Ini strategi saya untuk menjalin kemesraan supaya apabila saya berkongsikan risalah mengenai Islam dalam apa jua bentuk pun, saya mengharapkan mereka membacanya kerana saya tidak bermusuhan dengan mereka dalam perbezaan mempercayai adanya Tuhan.

Saya tidak ada peluang sebegini dengan jiran buka Islam, maka saya cuba semampu mungkin berdakwah dengan kumpulan ini. Teteman saya yang Islam pun menghantar mesej-mesej Islam yang berbentuk global supaya kefahaman mereka tentang Islam akan lebih menyeluruh.

Semoga satu hari nanti dengan izin Allah kami akan dapat bercerita mengenai Islam dengan lebih giat dan terus terang lagi. Semoga Allah tunjuki jalan dalam usaha yang kerdil ini dan semoga Allah golongkan kami dalam kumpulan yang prihatin Islam dan menyebarkannya seluas mungkin. Semoga Allah meredhainya.

Aamin ya Rabb......


.....

Friday, October 14, 2016

Sudah 60 tahun berkongsi hidup.........




Ini bukan cerita saya....cerita seorang teman yang tinggal berjiranan. Minggu lepas (Jumaat) dari pagi lagi saya sudah berkata pada anak untuk hantar sekejap ke rumah seorang teman yang mahu  berkongsi rasa seronoknya dan rasa kesyukurannya kerana ia baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinannya yang ke 60.

Masya Allah..... satu kurniaan yang jarang-jarang terdapat dikala ini. Ia seorang suri rumah dan suaminya seorang guru.

Enam puluh tahun bukan masa yang singkat.....satu anugrah yang keramat buat saya. Ia dan suami di raikan oleh anak-anak dan keluarga besar di satu tempat istimewa pada tarikh sebenarnya. Kami di jemput makan-makan di rumahnya dalam satu acara santai. Tidak ramai yang dijemput kerana katanya ia mahu berbual mesra dan berbual panjang. Kami-kami yang datang teruja kerana ingin tahu rahsia bagaimana dapat hidup bahagia 60 tahun tanpa masaalah yang genting dan mencabar.



Inilah kumpulan kami petang itu. Yang kami kagumi Kak Jamilah namanya. 
Ia duduk di hujung jauh sebelah kanan berbaju warna hitam. Kini ia berumur 77 tahun dan suaminya berumur 83 tahun. Petang itu kami teteman perempuan sahaja ...... eksklusif.

Lepas duduk menanti semua datang, kami beredar makan di dewan makan. Ia punya pembantu yang katanya amat efisyen. Saya lihat dia sentiasa senyum melayani kami. Berbagai juadah yang ada dan masak sendiri. Kak Jamilah punya kederat seperti orang awal tujuhpuluhan sahaja. Saya mengenali agak rapat kerana saya duduk disebelahnya (sentiasa) di satu kelas pengajian dan selalu bertanya-tanya kemisykilan sama sendiri. Bila mendesak kami tanyakan pada ustaz.

Antara rahsia jodoh yang panjanag ialah kebijaksanaan menjaga suami. Pada orang dulu-dulu kepandaian masak adalah satu prasyarat katanya. Dulu tidak ada makanan segera dan tidak ada resepi segera. Semua di pelajari turun temurun dan diusahakan sendiri. 
Tidak ada pengawet, maka itulah mereka lebih sehat dari generasi selepasnya.
Tiap-tiap sesuatu pasti ada hikmahnya.

Kak Jamilah punya seorang anak OKU dan sekarang berumur 40 tahu begitu. Maka suaminya amat bertimbang rasa menjaga perasaan isteri. Kak Jamilah amat menghargai kerjasama suami dalam menjaga seorang anak istimewa untuk begitu lama.

Kak Jamilah juga punya anak yang meninggal dunia awal umur tiga puluhan akibat kanser. Ini juga memperkuat hubungan suami isteri dan seluruh keluarga, termasuk keluarga besar. Namun ini bukan bererti kami yang tiada ujian begitu harus ambil mudah laluan hidup yang sentiasa penuh peristiwa yang memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan.
Dia tidak putus-putus berdoa Allah memberi kemudahan dan perlindungan.



Sikapnya yang positif dapat digambarkan dari cara dia mengambil kira
 kecantikan hiasan rumah dalaman dan luaran. 
Saya kongsikan di sini sebahagian bunga-bunga yang indah dan segar.
Ini menjadi sebuah terepi juga untuk sentiasa rasa tenang dalam menghadapi apa jua ketetapan Allah swt. Masya Allah saya seronok berkawan dengannya.





Kak Jamilah seronok melihat kekawan sibuk membelek-belek pokok-pokok bunga yang ada dan dia sibuk membuat keretan pada yang ingin menanam bunga kegemarannya.
 Saya hanya ambil foto menjamu mata.



Foto di bawah saya selfie dengan latatar belakang sebahagian 
laman rumahnya. Cantik, bersih dan teratur.
 Bagi Warga emas ini melambangkan, saya percaya, 
hati yang tenang dan bersyukur.


Malam itu saya bercerita-cerita dengan suami saya kebahagiaan rumah tangga Kak Jamilah dan suaminya Che Gu Ali. Suami saya mengenalinya.

Dalam berbual santai saya tanyakan pada suami agknya apa rahsia pautan kasih suami isteri. Enam puluh tahun dan tidak perlu berpoligami.
Suami saya senyum sahaja kerana isu poligami amat sensitif
 dalam keluarga besarnya.
Ada yang mengatakan ada hadiith yang lebih kurang bermaksud bahawa Nabi kita Muhammad Sallahualaihiwasalam amat suka pada wanita. Maka kita wanita Islam harus faham fakta Islam membenarkan poligami dan
 tidak harus menentangnya.

Saya senyum sahaja dalam sembang santai saya kerana di mana jua (sebenarnya) isu poligami sudah agak banyak terkeluar dari objektif dan falsafah Islam asalnya.
Ramai orang Islam kita (dari pemerhatian rambang saya) berpoligami adalah lebih untuk memenuhi kepentingan dirinya sahaja dahulu. Soal kesejahteraan wanita yang di kahwini dahulu dan yang baru dikahwini menjadi isu kedua, atau ketiga atau seterusnya.

Tafsiran hadith ada berbagai sudut. Al Quran hanya memberi kelonggaran, bukan mewajibkan. Dan Hadith yang mengatakan Nabi Muhammad sallahualaihiwasalam suka wanita jarang ditafsirkan sebagai Nabi amat prihatin akan keselamatan dan kesejahteraan wanita. Nabi kita Muhammad saallahualaihiwasalam membela wanita dengan pembelaan 
yang belum pernah dilakukan sebelumnya dan hingga sekarang.
 Falsafah pembelaan wanita 
tidak harus dilihat hanya dari segi poligami semata-mata.

OOooops....saya berhenti sahaja disini mengenai isu ini kerana ia mungkin mengundang berbagai sangkaan di luar jangkaan dan kepintaran dan
 kebijaksanaan saya untuk menjawabnya.

Ini isu sampingan sahaja. Isu keseronokan Kak Jamilah yang saya ingin kongsikan dan semoga Allah kurnia pada rumahtangga saya dan rumahtangga kak Jamilah
 Mawaddah dan Sakinnah.
 Dan semoga kami sekeluarga akan kekal bersama
 hingga ke Jannatul Firdaus.
Aamiin ya Rabb......


......

Wednesday, October 12, 2016

Demi cucu-cucu.....Jadi pelancung di Putrajaya.





Hari cuti Maal Hijrah Isnin 3 Oktober, suami dan saya setuju ikut cadangan anak perempuan saya untuk cruise naik boat di Tasek Putrajaya bersama-cucu-cucu yang belum pernah menaiki boat itu walau pun tinggal di Putrajaya. Kalau ikutkan kederat diri saya kurang sihat. Tetapi demi menhibur cucu saya ikutkan juga. Keluarga anak lelaki saya, Azrul ikut sama tetapi Amirul sudah ada perancangan lain.

Kelihatan suami saya duduk menanti cucu-cycu untuk ambil foto kenanagn. Mengurus 10 orang cucu bukan mudah. Terpaksalah menunggu.......


Akhirnya sebahagianya dapat dikumpulkan, dan cepat-cepat klik, klik 
sebelum  mereka berlarian ikut suka masing-masing.



Akhirnya jam 10.30 pagi kami menaiki boat. Riuh rendah bersama
 anak-anak peserta lain.
Ini Azrul dan Sarah. Saya tumpang semangkuk.


Cucu saya yang bernama Akif di hujung sekali di atas bumbung katanya.
Dia langsung tidak takut. Foto ini diambil oleh Azrul. 


Cucu yang ini suka menyendiri.... Uwais namanya.



Ini Aeysha....patuh sahaja menikut budibicara pengasuh.


Ini juga Akif masuk ke bilik Captain mahu ambil tahu bagaimana kerja seorang Captain.
Captain ini melayani kerana anak saya sudah memberitahunya
 bahawa Akif adalah anak istimewa.
Ia otistik dan agak sukar dikawal. Dia akan buat apa yang dia suka
 mengikut  deria ingin tahunya, tidak kira di mana. 
Allah swt cipta hamba-hambaNya berbeza-beza. Dia yang maha mengetahui dan maha bijaksana. Subhanallah.


Ini pemandangan umum di dalam boat...selesa dan
 boleh membuat seseorang teruja.


Ini selfie saya buat kenangan diri......sebenarnya duduk kepenatan
 memerhati cucu-cucu yang suka berlari.


Pemandangan dari jauh Masjid Putra.


Saujana mata memandang.....


Kata tour guide ini bangunan-bangunan yang tertinggi di Putrajaya.


Deretan  rumah sektor swasta yang tidak mampu milik.
 Lebih rm3 juta sebuah katanya.
Hanya mampu bermimpikannya.......


Big boss berseotangan....merenung jauh. Agaknya apa yang dalam fikiran?




Anak saya Azra Haida dan cucu-cucu mengacau. Yang baju merah itu 
Ammani Farissa, anak Amirul. Saya bertanggong jawab menjaganya.
 Mummynya tidak ikut sama. 
Si kecil itu Adli namanya. Lekat dengan ibunya.


Relaks sahaja. Cruise itu mengambil masa lebih kurang 50 minit
 pergi dan balik.


Menjamu mata sambil berfikir-fikir. Teringatkan rakyat yang tidak mampu
ke sini....jurang perbezaan hidup rakyat amat jauh.
Harus bersyukur, tetapi harus juga muhasabah diri.



Ini cucu saya Huzaifah namanya. Cucu yang tertua, umurnya 11 tahun. 
Teringatkan sangat padanya.
 Saya menjaganya dari umur 11 hari hingga 6 bulan.
Kemudian saya hantar pada ibunya yang ketika itu
 belajar di Waseda University.
 Ia juga anak istimewa (ADHD) dan sudah beberapa minggu
 ibunya kata ia agak "berkarenah"  kerana guru pendidikan khas yang ia berkeyakinan belajar mathematik dan sains darinya telah berhenti kerana melanjutkan pengajiannya.
Huzaifah seperti rasa kehilangan dan tidak dapat menumpu perhatian semasa belajar. Ibunya memberi tahu saya karenahnya sukar diduga.
 Ibunya dan guru barunya sedang berusaha mensetabilkan perasaannya.
Saya pujuk dia ambil selfie dengannya.
Semoga Allah memudahkan kami mendidiknya dan membesarkannya.
Semoga ia beransur normal dan boleh membesar
 dewasa seperti yang lainnya.


Berehat seketika menanti kenderaan untuk pulang. Sampai di rumah
jam 11.30 pagi lebih kurang begitu.
Alhamdulillah ..... Seronok dapat bersama cucu-cucu di hari cuti.
Dalam keadaan hidup sekarang aktiviti sebegini
 jarang-jarang dapat dipenuhi.
Semoga Allah swt terus mengurnia ruang untuk bersama demi
 kesejahteraan keluarga dan kesejahteraan ummah.
Aamiin ya Rabb....

.....
Related Posts with Thumbnails