"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Sunday, October 23, 2016
Terlepas peluang berwasiat.......
Semasa pulang cuti ke kampung di Pontian, saya pergi juga ke Kota Tinggi untuk ziarah abang Ipar saya yang kini berumur 87 tahun. Kakak saya meninggal empat tahun yang lalu dan kini abang ipar saya sudah ada penggantinya.
Saya sudah kurang kemampuan untuk memandu jauh, maka saya ikut anak saya yang ada urusan jemputan kahwin di Ulu Tiram. Ulu Tiram sekarang sudah tidak seperti Ulu Tiram dulu.
Tidak lama saya berada di Kota Tinggi. Kali ini ziarah saya ada tujuan khusus untuk berbincang mengenai bagaimana abang ipar saya memunafaatkan rezki tanah dan rumah-rumah sewa yang Allah kurnia padanya. Saya ambil nasihat ustaz untuk membuat wasiat yang terperinci sebelum samapi saat terakhir. Semasa kakak saya ada saya tidak terlintas untuk bertanyakan hal seperti ini kerana saya belum ada maklumat bagaimana mahu berwasiat dan bagaimana mahu menghibahkan harta yang kita ada supaya tidak menjadi masaalah dalam hal-hal mewariskan harta dan akhirnya ia dipegang oleh Amanah Raya. Harta itu tidak dapat di munafaatkan untuk waris dan untuk diri sendiri.
Cerita punya cerita, saya rasa agak "kesal" kerana mengikut abang ipar saya semua harta sudah dihibahkan pada anak-anak semasa kakak saya masih ada lagi. Ini bukanlah suatu yang salah tetapi ia tidak menjadi suatu yang dikira terbaik kerana waktu itu kakak saya tidak bepesan untuk menginfakan sebahagian harta untuk dirinya. Begitu juga halnya dengan abang ipar saya.
Waktu hayatnya kakak saya sememangnya suka bersedekah tetapi setakat wang ringgit yang tersimpan di Bank (atau di bawah bantal....?) ia itu ia bersedekah secara "kecil-kecilan" berbanding harta yang ada. Habuannya untuk kesejahteraan di akhirat sekarang ini terletak pada anak-anak sama ada akan menginfakan hasil harta yang ada untuk kedua ibu bapa atau mereka memilih sebaliknya. Kita tidak dapat mengukur hati-hati manusia. Jika tidak dipupuk dengan Iman dan taqwa, agak sulit untuk anak-anak menghargai ibu-bapanya sesudah ketiadaan mereka di bumi ini. Ini hanya pemerhatian umum yang dilihat secara rambang. Hanya Allah yang maha mengetahui.
Maka saya cadangkan supaya abang ipar saya berunding penuh hikmah dengan anak-anak untuk memberikan balik semula sebahagian harta bagi tujuan infak yang membolehkan ibubapa mendapatkan ganjaran berterusan hingga di akhirat nanti.
Saya perhatikan air muka abang saya agak tersedih mendengarkan cadangan saya. Katanya mungkin cadangan itu sukar dilaksana. Dalam peraturan undang-undang, apa yang sudah diberi tidak boleh ditarik balik. Saya kata kita harus usaha dan tawakal dan berdoa kerana Allah maha tahu kepenatan ibubapa mendapatakan harta tersebut. Cuma mereka kurang Ilmu yang berkaitan dengannya sesudah mereka meninggalkan dunia ini. Saya juga rasa tersedih kerana hanya cadangan sahaja yang dapat saya berikan.
Merka sepertinya sudah terlepas peluang untuk berwasiat yang memberi munafaat pada waris dan pada diri sendiri. Ketika mahu pulang saya katakan semoga tidak berputus asa kerana hakikatnya ialah kebergantungan kita hanyalah pada Allah dan bukan pada harta. Banyak cerita-cerita yang kita dengari dari ustaz-ustaz bagaimana kesudahan orang-orang yang tidak ada harta pun Allah terima terus masuk ke Taman-taman Syurganya. Seorang perempuan tua berkulit hitam disebut dalam satu riwayat hadis yang diumur tuanya ia menyapu membersihkan kawasan Masjid Nabawi dan apabila meninggal dunia Rasulullah Salallhualaihiwasalam menziarahi maqamnya dan kemudian memberitahu para sahabat bahawa wanita tua ini adalah ahli Syurga.
Semoga begitulah kesudahan kita. Harta bukan syarat masuk Syurga. Kita masuk Syurga dengan Rahmat Allah swt semata-mata.Usaha kita hanyalah satu wasilah semoga Allah meredhai perbuatan kita dan menerimanya sebagai amal soleh.
Semoga Allah meredhai dan Syurga Firdaus tempat kita berjumpa nanti.
Aamiin ya Rabb.....
Saya pulang hampir senja dan saya rakam keindahan waktu maghrib, Saya bermusafir dan semoga doa saya sekeluarga Allah kabulkan.
Aamiin.......
..........
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment