"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, October 3, 2016

Di IJN menunggu.....





Suami saya "taat setia" menemani dan menunggu saya di Institut Jantung Negara IJN pada hari Ahad minggu lepas. Telah beberapa hari degupan jantung saya agak laju, iaitu lebih dari 100 seminit. Saya rasa bimbang kerana saya sememangnya ada kes jantung dan saya dinasihatkan untuk ke Jabatan Kecemasan jika ada apa-apa yang tidak kena. Saya rasa kepenatan yang lebih dari biasa walaupun hanya berjalan di rumah dan turun naik tangga membuat kerja-kerja rumah kerana rumah saya bertingkat.

Maka lepas solat Maghrib saya mengajak anak saya untuk menghantar saya ke IJN. Tidak ramai orang ketika itu. Cepat juga saya mendapat perhatian 'saringan' dan protokol biasa dibuat atas diri saya. Antaranya ECG dan mengambil suhu badan saya. Rasa nervous juga dibuat ECG kerana dari situ akan tahu apa yang mungkin tidak kena. Walaupun sudah umur senja saya masih takut ke Hospital. Dan dari muda lagi saya takut bila sakit.

Kemudian saya di minta tunggu untuk berjumpa dengan tuan doktor bertugas malam itu.

Dalam setengah jam saya dipanggil masuk. Doktor kata saya demam sebab itu Jantung laju. Tetapi saya tidak rasa demam. Iya, saya demam katanya. Dr senyum lebar. Dia masih muda dan tentunya mudah bersabar. Beberapa soalan ditanya tentang sejarah sakit saya dan kemudian saya diminta ambil darah. Saya ikut sahaja dan rasa agak lega kerana Dr nampak macam simpati dan berhemah dengan orang tua. 

Saya dimaklumkan lapuran darah akan memakan masa sejam setengah dan saya diminta tunggu di luar. Saya ikut sahaja. Bukan ada pilihan. Saya rasa (saya berdoa) kes saya tidak berat. Alhamdulillah.

Suami saya keletihan menunggu dan ia keluar dengan anak saya untuk minum kopi dan makan sedikit.

Saya tinggal seorangan. Berbagai fikiran masuk diminda yang sudah agak kepenatan. Saya layan juga dan membaca catatan dalam group whatsapp. Masih belum saya delete kiriman ucapan takziah kerana kematian beberapa ahli Qariah Kg Tunku di mana saya tinggal. Rasa amat terkesan dan berfikir panjang mengingatkan masa bagi saya sudah hampir tiba dan saya juga akan ke sana dan keluarga saya juga rasanya akan mendapat ucapan takziah yang sama dan diikuti doa-doa pada si mati.

Wajah kematian jelas kelihatan dan saya menarik nafas panjang, beristighfar seperti diajar oleh ustaz-ustaz dalam pengajian. Tidak putus-putus saya berdoa semoga Allah akan memberi saya ruang dan peluang untuk terus berbakti sebelum dipanggil untuk berhadapan denganNya.

Tidak ada orang Islam lain di clinik Kecemasan itu. Ada seorang tua keturunan Cina ditahan untuk masuk Wad. Dia nampak tenang tetapi apa yang dirasakan saya hanya boleh menduga. IJN selalunya ditakuti kerana itu seperti tempat persinggahan terakhir. Saya berzikir yang termampu dan sentiasa melihat jam di dinding menanti keputusan analisa darah saya.

Setelah sejam suami saya kembali. Ia tersenyum melihat saya masih di situ. Saya senyum tawar kerana masih rasa agak risau.

Tidak lama lepas itu saya dipanggil oleh Dr sekali lagi. Dia senyum lebar mengatakan saya okay sahaja. Demam saya demam biasa dan tiada kesan demam denggi. Tiada kesan lain yang saya perlu khuatir. Saya diminta bertenanag dan tunggu diluar untuk ubat demam. Saya senyum dan ucap terima kasih. Dalam hati terus berdoa semoga masih panjang peluang saya di alam nyata ini. Namun saya juga berdoa sekiranya itulah detik terakhir semoga Allah telah redha dan saya pergi dengan damai. Aamiin ya Rabb.....

Setelh mendapat bekalan ubat kami pulang dan sampai di rumah hampir jam 1 pagi. Alhamdulilah. 

Saya terus demam selama hampir lima hari dan tidak dapat aktif buat seketika. Semoga ujian kecil seperti itu Allah turunkan untuk saya sentiasa ingat bahawa panggilan terakhir tidak menunggu saya sakit kuat.

Alhamdulillah thumma alhamdulillah.


......

5 comments:

Zeti said...

Assalaamualaikum. Semoga Puan cepat sembuh ye.

wati said...

Assalamualaikum..semuga Puan yg di sayangi cepat sembuh..salam dari saya di pulau pinang.

wati said...
This comment has been removed by the author.
ngasobahseliman said...

Waalaikumussalam Dear Zeti. Untie mohon maaf lamabat respon. Untie dah sihat Alhamdulillah. Semoga Allah panjangkan lagi ruang dan peluang untuk berbakti pada keluarga masyarakat dan ummah. Pohon doa Zeti Allah Sentiasa bersama. Terima kasih singgah di Blog Untie.

ngasobahseliman said...

Waalaikumussalam Dear Wati. Terima kasih singgah lagi. Alhamdulillah Untie sihat sekarang. Semoga berkat doa Wati dan pengunjung budiman yang lainnya Untie dapat terus berbakti. Kita jumpa lagi insyaAllah.

Related Posts with Thumbnails