"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, April 29, 2009

......SEHARI SEHELAI BENANG

Baru kelmarin saya membaca blog seorang yang menggunakan pepatah 'sehari sehelai benang, lama-lama menjadi kain' Hari ini pula saya terheret dalam satu perbalahan dalam majlis ilmu di mana seorang itu dianggap sebagai tidak adil kerana membaca dua muka al Quran walhal rakan-rakan yang lain hanya membaca semuka sahaja. Ada yang berkecil-kecil hati dan ada yang bersimpati. Apajua pendirian yang diambil mengenai 'krisis' ini saya berpendapat ia tidak wajar sama sekali untuk diperbalahkan. Kita menuntut ilmu, dalam kes ini kita cuba memahami al Quran mengikut teknik 'harfiah' ada peraturan-peraturan yang harus diikuti walaupun peraturan itu tidak tertulis. Tetapi walau apa teknik sekalipun, adab menuntut ilmu tidak demikian rupa. Yang penting bukan berapa banyak ilmu yang diperolehi semata-mata, tetapi sebanyak mana ilmu itu kita hayati dan kita laksana. Lagi pulak adab berjemaah ialah kita sentiasa sokong menyokong, dan lengkap melengkapi dan bukan semata-mata untuk berbangga dengan banyaknya ilmu yang kita ada.

Masaalah dasar di sini sebenarnya ialah masaalah sikap, iaitu sikap tidak mahu berkongsi dan tidak mahu lebih kurang dalam mengikhlaskan penggunaan masa untuk orang lain. Apa salahnya kita relakan saja masa kita di"curi" oleh rakan kita. Ini hal menuntut ilmu Fardhu ain. Kita anggapkan sahaja siapa yang pandai dan cepat belajar dan justru itu mempunyai banyak ilmu, maka dia itu kenalah memunafaatkan ilmu itu bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga untuk orang lain. Kalau ini berlaku maka kita harus bersyukur kerana ramai lagi yang punya ilmu yang banyak dan ramai pula yang menjadi Muslim yang baik. Jadi rasa saya tidak salah kalau kita mengharapkan pada Allah agar kita juga dapat ganjarannya kerana kita memberi laluan pada kawan kita ini.

Sebaliknya pula, sesaorang itu janganlah terlalu "tamak" dalam menuntut ilmu. Sifat ini bukan sifat terpuji. Kalau kita ikhlas "sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Dengan lain perkataan "sehari sehelai benang, lama-lama menjadi kain". Sebagai seorang Muslim kita mahu saudara kita juga memasuki syurga. Oleh itu kita harus berpakat dan berkongsi.




No comments:

Related Posts with Thumbnails