"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, September 23, 2010

MUSAFIR @ SUDUT PANDANG SUAMI





Tiada manusia yang sempurna dalam hidup ini. Cuma kita perlu mencari 'kesempurnaan'. Falsafah utama suami saya dalam pengabdian sekarang ini ialah: "Jangan banyak soal dan bicara dalam ha-hal yang kita tiada kuasa.Jangan "komplain", lihat dengan mata hati.Serah sahaja pada Allah swt yang maha bijaksana. Usaha dan doa yang tidak putus-putus semoga Allah kurnia." Tidak berputus asa apa jua kesudahannya, kerana seorang hamba pastinya redha atas segala ketentuanNya.




Dengan prinsip utama ini saya dan suami bermusafir ke tanah suci pada Ramadhan yang baru lepas ini. Kami melalui berbagai peristiwa. Yang pentingnya kata suami : "Pergantungan kita bukan pada manusia. Pada Allah semata-mata". Sebelum pergi cucu tersayang pasti dipeluk cium semoga menggantikannya di hari-hari selepas tiadanya nanti. Huzaifah, cucu sulung yang disayangi tidak terperi. Yang lain pasti 'jelous' bila besar nanti.

Kami mendarat di Madinah pada malam hari tanpa kepastian sama ada orang menanti. Tidak mengapa kerana Rahmat Allah ada di mana-mana. Alhamdulilah, semua mudah kerana wakil Tabung Haji memberi khidmat yang baik sekali. Tiga hari di Madinah untuk merasai puasa di bumi Nabi saw memulakan prinsip kerajaan Islam. Rasa haru dan seronok kerana bagi suami ini kali kedua menjejak kaki. Dalam usia yang lanjut ini kesemuanya menjadi istimewa bagi diri. Kemudian kami ke Makkah dengan teksi. Bayarannya agak tinggi. Tidak mengapa kerana rezki Allah yang beri. Miqat Umrah di Bir Ali seorang diri. Lupa-lupa ingat bagaiman tempat yang akan dikunjungi. Tidak mengapa kerana pertolongan Allah itu dekat kalau kita mohon sepenuh hati.

 Bersama wakil Tabung Haji

Texi yang membawa kami ke Bir Ali


Di Makkah awal-awal lagi Allah uji. Luka di kaki menjadikan pergerakan terhad dan memerlukan bantuan seorang lagi. Kami ke hospital dengan bantuan ahli kumpulan yang baik hati. Pengangkuta sulit, maklumlah dimusim Ramadhan manusia membanjiri tanah suci.Kos tambang yang dikenakan sangat berbeza antara pemandu. Ada yang hanya mengenakan SR 2/- sahaja seorang dan ada yang megenakan hingga SR 15/- seorang. Ini yang paling mahal kami setuju sebab hospital itu hanya lebih kura 10 km sahaja. Suami saya kata: "Tidak mengapa, semoga ujian ini menjadi penebus dosa yang di hari nanti kita bahagia bertemu denganNya".

Poliklinik yang kami kunjungi berkali-kali.

Kerusi roda pinjaman Hotel, kemudian kami beli yang lain untuk ganti.

Dari pengalaman-pengalaman yang kami lalui, di Malaysia dan di Tanah Suci  nyata sekali  menunjukan bahawa perjalanan  menuju Allah memerlukan jati diri dan kecekalan yang tidak berbelah bagi. Di Makkah, perjalanan ke  Masjid dan lain-lain rutin perlukan bantuan yang agak rumit mencari. Alhamdululilah Allah pertemukan seorang  pelajar Indonesia yang membantu setiap hari. Bayarannya juga tinggi. Bayaran sehari untuk lima waktu solat ialah SR 100/-. Jika mahu buat Umrah bayaran nya ialah SR 300/-. Kami setuju tanpa rungutan. Kami maklumkan di sini hanya sebagai maklumat persediaan bagi mereka yang mungkin memerlukan. Kami  bertekad kami bergantung pada Allah yang memberi rezki. Tiada masaalah yang tidak dapat diatasi berkat doa teman-teman sejati. Saya tidak pernah ke Masjid bersama suami kerna masaalah ini. Kami diuji lagi. Kerusi roda hilang dicuri semasa solat dihadapan mata sendiri tanpa disedari. Tetapi mungkin juga orang tersalah ambil keran kerusi roda nampak serupa.Subhanallah. Kami beli lain untuk ganti.

Kesemua ini menjadikan proses pengabdian lebih bermakna. Muhasabah diri tidak putus-putus direnungkan. Kita manusia selalu lalai. Allah uji pastinya ada hikmah asal sahaja kita redha dan ikhlas. Sedikit-sedikit sahaja berjalan kaki yang Doktor benarkan. Yang lain semua guna kerusi roda. Tawaf pun di sebelah atas masjid dan ini memakan masa yang lebih lama. Alhamdulilah Allah memudahkan. Suami saya terus mengatakan: "Ada nikmat dalam masaalah kalau kita bersabar". Mendapat seorang pelajar ustaz muda membantu menolak kerusi roda adalah nikmat kerana dapat berbincang hukum hakam sambil berjalan atau duduk menanti  waktu solat. Ini nikmat yang nyata. Sebenarnya banyak nikmat kalau kita lihat dengan mata hati.Ini termasuk dapat berdoa panjang dan ulang-ulang sepuasnya ketika doa semasa tawaf kerana masa yang lama untuk satu-satu pusingan. Di kala lain ada yang bertanya: "Tak bosan ke duduk lama-lama sebulan Ramadhan untuk berpuasa di Makkah?" Saya hairan mengapa ada persoalan seperti itu. Mungkin soalan untuk test minda dan sikap. Allah suka kita doa berulang-ullang. Kalau manusia dia "fed-up" kalau minta berkali-kali. Maha suci Allah dari bersifat demikian, Subhanallah.
Di Masjid Nabawi sebelum  luka melecet disedari di jejari kaki.

Dicelah-celah kesusahan Allah bagi juga sedikit ruang untuk ziarah Hudaibiyah dan singgah di ladang memelihara unta. Suami saya sentimental mengenai semua yang Rasulullah saw buat. Maka ia banyak minum susu unta sebab Rasulullah suka susu, termasuk susu kambing. Mengimbau Perjanjian Hudaibiyah  teringat kebijaksanaan Rasulullah memastikan pihak Islam menanag walaupun perjanjian itu seperti berat sebelah. Selalu saya dan suami mengambil i'tibar: "In life, we win some and lose some. But make sure (with God's help) we win the last one.
Berkaitan dengan unta saya teringat bercerita pada suami kisah seorang pegawai jurutera muda semasa saya bekerja di Jabatan Kerja Raya dahulu yang menaiki unta dari Makkah ke Madinah untuk merasakan bagaimana susah Rasulullah saw berhijrah dengan menunggang unta sahaja. Pegawai ini memaklumkan saya ada ajen yang boleh aturkan kembara seperti itu kalau kita mahu meneguhkan jati diri. Ia memakan masa beberapa hari (tidak ingat) dan pegawai ini rasa puas hati. Saya kata pada suami kalau kita muda kita juga boleh mencuba.

Peristiwa di ladang Unta, membeli susu segar.
Kini kami selamat kembali. Syukur, alhamdulilah. Segala puji bagi Allah yang maha memelihara hambaNya. Badan sihat dan minda cergas. Musafir ke tanah suci akan sentiasa dirindui. Semoga Allah memberi peluang lagi pada hambanya yang kerdil dan fakir ini. Saya ikut menumpang kasih yang tidak terhingga dariNya.


"Santai" di dataran Safuwa Towers sejenak di Eidilfitri  dalam laluan pulang dari Masjid ke hotel
sebelum ke Madinah lagi

Ini rakaman terakhir bersama kumpulan sebelum pulang. Semoga tahun hadapan dan seterusnya Allah kurnia peluang menjadi tetamu istimewa di sisinya. Amin.
SALAM.

No comments:

Related Posts with Thumbnails