"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, September 20, 2010

YAKIN





Mudah lidah ini berkata: "Aku yakin Allah ada dan kalimah syahadah ku; TIADA TUHAN YANG KU SEMBAH MELAINKAN ALLAH DAN MUHAMMAD saw ITU PERSURUH ALLAH". Namun apa erti  "yakin"  pada kata-kata itu. Ini yang sentiasa membuat hati kecil ini 'sunyi sepi' dan terus cuba 'merasai hakikat Allah itu wujud dan tiada yang lain selain dariNya'.

Tiga hari dulu saya pulang dari Makkah / Madinah setelah berada di sana sepanjang Ramadhan, alhamdulilah. Bukan pertama kali ke sana tetapi kali ini amat berlainan rasa dihati sanubari. Mungkin kerana ini pertama kali pergi dibulan Ramadhan. Tetapi mungkinkah juga kerana lain-lain yang hanya terasa dihati tetapi tidak dapat diperinci dengan  lidah dan jejari.

Di mana tahap yakin sebenarnya yang ada pada hati dan diri ini. Terfikir-fikir menapa masih ada lintasan-lintasan dihati mengenai hal-hal yang dibenci, masih tercetus rungutan-rungutan dihati akan hal-hal yang kurang disenangi dan masih lagi terjebak dengan perilaku yang tidak selaras dengan kata-kata "Allah itu wujud dan Allah itu maha melihat, maha mengetahui dan maha menghendaki". Saya cuba sedaya upaya melakukan amaln-amalan soleh yang diajarkan untuk dilaksana dan dihayati dalam Ramadhan yang penuh barakah ini. Ia dilakukan walaupun dicelah-celah itu ada keuzuran, kekangan dan keupayaan.Namun minda dan hati memfokus pada  niat diawal perjalanan ini dan kesemua ini saya mohon doa tidak menjadi penghalang misi pengabdian ini.

Ibadah tawaf merupakan lambang pengabdian sepenuh hati, bulat penyerahan diri pada Allah yang Esa, yang pasti kewujudanNya meliputi dan menguasai yang di langit-langit dan di bumi dan seluasnya yang termaktub dalam alQuran dan hadis Nabi. Penyerahan bulat tidak ada prasangka "tetap"i. Bulat di atas kuasa mutlakNya yang tidak boleh disangkal sama sekali. Antara doa yang dipanjatkan adalah mohon keyakinan ini jitu dan mantap untuk diri hingga bertemu di akhirat nanti.

Namun masih terasa seperti ada ruang-ruang yang hati ini belum mengalami dan merasai keluhuran iman sejati. Adakah ini yang dikatakan ustaz supaya keyakinan tentang kewujudan dan keEsaan Allah itu jangan  hanya setakat yakin dalam Ilmu dan yakin kerana kita boleh nampak apa yang kita ketahui. Tetapi keyakinan harus meliputi yang ghaib-ghaib yang kita belum dapat melihat sepenuhnya dengan mata hati. Saya mahu mendalami hakikat ini. Semoga berkat kunjungan ke tanah suci,  nanti Allah akan mengurnia keindahan rasa cinta ini.  Maka saya berjanji pada diri untuk terus "mencari" erti yakin yang sejati sehingga ke akhir hayat ini. Semoga  Allah pelihara dari bisikan-bisikan syaitan yang menggangu gugat azam dan tekad ini.

Teringat juga pesanan-pesanan  ustaz yang mengatakan bahawa keyakinan kita tidak sampai ketahap yang sewajarnya kerana dosa-dosa kita menghijab hati sanubari.Maka pemahaman dan penghayatn menjadi sangat  tipis dan sering ke tebing pemisah untuk mengerti anugerah Ilahi. Maka istighfar saya ulang berkali-kali mengikut nasihat mereka yang lebih mengetahui. Taubah nasuha jangan sekali-kali dicemari, semoga nur keimanan akan melimpahkan ketenangan dan kekuatan untuk terus bersama-sama mereka yang berjuang menegakkan Islam di muka bumi ini. Rahmat Allah saya pohon setiap detik mengingati  dan semoga  doa saya Allah kurniai dan dihujung hayat ini Allah meredhai.

No comments:

Related Posts with Thumbnails