"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Sunday, January 23, 2011

DUNIA INI BUKAN TEMPAT BEREHAT



Menjelangnya malam, sering saya berbicara santai dengan suami saya mengenai anak-anak muda sekarang termasuk anak-anak sendiri dan anak beranak adik-adik yang lain, jauh dan dekat. Entah mengapa saya tidak begitu puas hati dengan cara anak-anak muda sekarang mengendali masa seharian. Saya perhatikan amat kurang sikap untuk menghabiskan tugas yang ada di hadapan mata dan tugas harian sebelum berehat. Dengan lain perkataan, saya rasa amat tidak sempurna jika kita tidak memaksa diri untuk menghabiskan kerja (apa jua) sebelum membuat keputusan untuk berehat atau untuk terus tidur dan meninggalkan kerja untuk keesukan harinya. Pepatah Inggeris mengatakan "a stich in time saves nine" yang bererti kalau kita besegera menyelesai sesuatu masaalah pada ketika masaalah itu timbul, maka kita dapat mengelak kerugian yang akan timbul jika kita mengguhkan penyelesaiannya hingga ke hari esuk.

Saya akui kerja harian sememangnya banyak, termasuk pula kerja pejabat yang kadang kala terpaksa dibawa balik  ke rumah dan juga kerja mengurus anak-anak dan mengurus rumah tangga. Ini belum lagi termasuk kerja-kerja kemasyarakatan yang harus juga diberi perhatian atas prinsip bahawa hidup kita ini semestinya mengambil kira kepentingan sendri dan juga kepentingan orang lain. (hablumminallah dan hablumminannas). Jadi saya selalu menasihatkan anak-anak muda terutamanya anak-anak sendiri, supaya jangan banyak bersantai dan banyak tidur. DUNIA INI BUKAN  TEMPAT BEREHAT. Kita berehat nanti di Alam Barzah dan di Akhirat. Semoga Allah menjemput kita ke syurga tanpa hisab. Dunia ini adalah tempat pengabdian pada yang maha Pencipta dan pengabdian itu  wujud  dalam berbagai bentuk. Maka kita harus menyibukan diri secara optima.

Beribadah dan berubudiah adalah dua perilaku yang seharusnya serangkai. Dengan lain perkataan kita beribadah yang ritual dan kita membuat kerja-kerja yang lain semuanya dengan menyedari bahawa itu juga adalah sebahagian dari pengabdian jika tujuan kita adalah untuk sentiasa mengingati Allah dan mencari keredhaannya. Maka sehubungan dengan ini saya selalu mengingatkan diri  sendiri dan semua yang disekeliling saya supaya jangan sibuk bersantai dan membesarkan tidur dan membanyakan tidur  seolah-olah ia suatu yang mesti dilakukan. Lihatlah Rasulullah saw. Bila masa Rasulullah saw tidur kalau ia solat malam hingga bengkak kaki-kaki.

Rasa penat sebenarnya duduk di Minda kita. Kalau kita kata kita penat, maka penatlah kita. Siapa kata kita mesti tidur 5 atau 6 jam untuk menjamin kesihatan diri? Kalau ada pun yang berkata demikian, ini suatu yang boleh dipertikai. Lihat sahaja pejuang-pejuang Islam. Adakah masa bagi mereka untuk tidur dan tidur-tiduran dan bersantai. Berehatlah dan tidurlah sekadar yang perlu bukan mengikut yang kita mahu. Jangan sampai kita mengabaikan tugasan yang perlu disegerakan. Masa tidak menuggu kita hinggalah Allah swt bersumpah demi masa dalam alQuran surah 103 Al Asr,  ayat 1-3.

Sememangnya saya rasa "bengkek" kalau saya lihat siapa jua banyak tidur. Konon katanya hari tak kerja, maka bolehlah tidur lebih. Warisan siapa yang mengatakan demikian? Saya adalah keturunan Jawa. Bapak saya kaum pendatang lebih 100 tahun yang lalu. Saya dididik kerja kuat dan tidak membesarkan makan dan tidak membesarkan tidur. Hidup ini ada tujuan besar walau pun ketika itu saya tidak memahami kesemuanya falsafah hidup bapak dan emak saya. Cuma kami harus kerja dan kerja kerana kejayaan itu adalah suatu yang di tuntut.  Allahyarham bapak saya adalah seorang santri dari tanah Jawa dan di sini , disamping mencari sesuap nasi dan bumbung atap untuk tidur, ia mengajarkan agama pada kawan-kawan sekampung. Maka saya adik beradik tidak mengenal hidup bersantai dan tidur-tiduran. (It was hard work all through). Maka saya amat serabut kalau saya lihat siapa jua kuat tidur hingga mengabaikan kewajipan, terutamanya masa untuk bermesra dan tunjuk ajar pada anak-anak. Melentur buluh hendaklah dari  rebungnya. Itu pesanan orang-orang tua kita. Dalam Islam kita di tuntut melatih anak bersolat dan berpuasa sebelum umur tujuh tahun. Bila sudah tujuh tahun ia sudah mahir dan sudah menjadi sebahagian perilakunya seharian. Maka barulah kita boleh merotannya pada umur 10 tahun kalau dia enggan solat dan berpuasa.

WaAllahu'alam. Inilah pendirian saya. Semoga Allah mengampuni kekurangan dan kelemahan saya. Semoga Allah mengurnia kesabaran dalam menjalani hidup bersama. Semoga keyakinan saya ini saya tepati sendiri  hingga ke akhir hayat. Dunia ini buka tempat berehat. Semoga anak-anak muda pewaris kita dapat memikirkan apa yang saya kata dan lihat kebenaran fakta mengenai tidur. Semoga Allah sentiasa menunjukan jalan yang lurus dan semoga Allah meredhai.

No comments:

Related Posts with Thumbnails