"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, February 10, 2011

PELAJAR PULANG

Anak lelaki saya yang kiri, Amirul namanya. Dulu belajar diberbagai tempat. Di negara Arab ia belajar bahasa Arab di Sudan, International Islamic University di Khartoum. Saya pernah melawatnya di sana dan saya dapati pengajiannya kurang menjadi kerana berbagai sebab. Antaranya ialah kerana  keadaan sosial dan tempat pengajian kurang sesuai bagi dirinya. Maka saya hantar untuk belajar pula ke Jordan, di University Mu'tah. Alhamdulilah telah selesai dan sudah lama pulang. Kini telah bekerja sendiri.

Bila peristiwa di Mesir berlaku sekarang ini di mana rakyatnya memberontak dengan aman untuk menjatuhkan Presiden Mubarak dan pemerintahan negara yang didakwa zalim, maka saya teringat cerita Amirul semasa di Jordan. Semasa perang di Iraq di mana AS dan sekutu-sekutunya mahu menjatuhkan Sadam Hussein, dia juga di bawa pulang oleh kerajaan Malaysia menaiki Helikopter tentera diRaja Malaysia. Ketika itu tiada peperangan di Jordan, cuma kerajaan khuatir ia akan menjejas juga kehidupan di Jordan. Saya dan suami meletakan keputusan untuk balik pada dirinya kerana dialah yang mengetahui keadaan sebenar di Jordan. Mula-mula ia membuat keputusan untuk tidak balik. Saya dan suami pun tidak memaksa. Kami memikirkan ada baiknya juga kalau tidak balik kerana pastinya ia dapat meraih beberapa pengalaman yang tentunya baik untuk kehidupan akan datang, di Malaysia atau di mana-mana. Eloklah dia belajar berani dan belajar bersusah payah. Eluklah dia mengerti apa itu pengorbanan dan apa itu perjuangan. Tetapi akhirnya dia balik kerana kawan-kawan serumahnya pun balik. Kami ikut sahaja.

Ia pulang semula ke Jordan setelah di nasihatkan selamat. Ia rugi satu semester dari segi  masa  pengajian dan dari segi yuran. Saya rugi kerana tambang balik semula ke sana adalah tanggongan sendiri. 

Bila pelajar-pelajar Malaysia di bawa pulang saya rasa agak tertanya-tanya juga pada diri sendiri dan pada suami. Kami ada anak saudara perempuan belajar ilmu perubatan di Iskandariah. Adakah keadaan  keselamatan begitu genting hingga terpakasa kesemuanya pulang. Seperti anak saya pastinya ada yang rugi masa dan bayaran yuran. Kalau pelajar persendirian tentunya agak berat bagi ibubapa kerana belum dengar ada jaminan kos pulang  semula ke Mesir dan kos  yuran menambah semester akan ditaja oleh kerajaan Malaysia. Tetapi ini soal kedua. Soal pertama, saya agak terkilan kerana saya mendapati seolah-olah pelajar-pelajar kita ini kurang daya ketahanan. Susah sikit " cabut lari". Agaknya kalau saya, seperti saya sarankan pada anak saya dahulu, kalau tidak balik tentu kita dapat pengalaman yang amat berharga dari segi semangat perjuangan. Terutamanya ini ada kaitan dengan perjuangan menentang tindak-tanduk Yahudi AS dan Israel.  Kalau kita pandai belajar tetapi penakut pun itu kurang keberkesanannya dan kurang semangatnya sebagai anak watan Malaysia. 

Ada kawan yang mengatakan pada saya pemikiran saya itu agak keterlaluan. Tak rasa maka tak tahu, katanya.Itu betul juga tetapi pengalaman  untuk berada ditengah-tengah perjuangan bukan senang nak dapat. Tidak tahulah pula kalau ditakuti nanti mereka akan mencontohi rakyat Mesir dan menunjuk perasaan pula secara besar-besaran seperti di sana jika keadaan di Malaysia pun serupa. WaAllahu'alam.

Saya hanya berdoa semoga rakyat Mesir mendapat pembelaan dari Allah yang maha Adil  dan maha Mengasihani. Dan semoga semua manusia yang dizalimi oleh pemerintah, di mana jua, mendapat pembelaan dari yang maha Berkuasa, maha Bijaksana. Ameen.

6 comments:

rosie_cm said...

Assalamualaikum Puan, kami sekeluarga baru melalui peristiwa yang hampir sama, gempa bumi skala 7.1 di Christchurch pada 4/9/2010. Kalau ikut rasa dan mengenangkan keselamatan anak-anak mahu rasanya 'lari' balik Malaysia namun mengingatkan Allah ada untuk menolong hambaNya, kami tabahkan jua mengharung saat-saat genting menghadapi ribuan aftershocks. Perjuangan kami belum selesai (suami saya masih dalam pengajian menyiapkan thesis PhD)kami bertawakal dan berserah pada Allah. Pelbagai cerita dan pengalaman kehidupan yang kami tempuhi di saat2 genting itu - trauma anak2 dan kami juga, kerenah pegawai2 atasan kita, sikap orang2 kita sendiri dan terutamanya bagaimana kita bila menghadapi ujian Allah.
Ujian pelajar Mesir mungkin lebih hebat dari apa yang kami tempuh tapi seperti tulisan puan, alangkah baiknya jika mereka kuatkan sedikit semangat dan berdaya tahan, pasti banyak yang boleh dikutip dari secebis pengalaman itu. Melihat keluarga yang memilih/ mampu balik ke Malaysia sehari selepas kejadian kami hanya dapat menangis dalam hati dan memanjatkan syukur kerana Allah meletakkan kami di bumi Chirstchurch untuk meneruskan hari-hari yang mendebarkan.
Kami sekeluarga bersyukur kerana dipilih Allah untuk diuji, gempa bumi itu satu peringatan yang maha hebat kepada kami untuk kembali memuhasabahkan diri, bahawa dunia ini hanya sementara yang kekal nanti di sana...Alhamdullilah it was like given another life second chance by Him, and every day from there on life is all about being thankful for what He had given to us. Semoga pelajar2 kita di Mesir lebih tabah dan sabar dalam menghadapi dan mengharungi ujian Allah. Terima kasih puan atas catatan2 puan yang sentiasa mengingatkan saya tentang betapa kerdil dan hinanya saya sebagai hambaNya. Semuga puan dan keluaga sentiasa diberkati Allah s.w.t.
Mieza
Lincoln University, Christchurch NZ

ngasobahseliman said...

Salam dear Mieza. Alhamdulilah Mieza adalah keluarga yang beringat. Saya kagum dengan sikap Mieza dan suami. Berani berbuat ssuatu walaupun di Malaysia tak pernah gempa. Itulah yang saya selalu harapkan pada generasi muda. Sikap berani pada tempatnya. Kalau kita pandai dan kaya tetapi hanya menjadi pak turut pun tak jadi juga. Orang Islam harus berani meneroka dan menerajui kepimpinan. Barulah kita dapat menegakkan Islam di muka bumi ini. Barulah musuh-musuh Islam gentar. Keep up the good work. Rahmat Allah pasti bersama. Mungkin kita tidak melihat dan merasai kasih sayangNya serta merta, tetapi Janji Allah itu tetap benar. Yakin beyond any doubt. Allah bersama orang-orang yang sabar dan sentiasa berusaha. Thank you for visiting. Take care.

Makbonda said...

kagum dengan mereka yang telah mencapai makam manisnya ujian.Pemimpin-pemimpin hebat didunia Islam ialah mereka yang telah melalui jerit-perit ujian perjungan.Bukan pemimpin yang naik dari keperitan hidup rakyat.Semoga mereka mendapat hidayah dan menjadikan apa yang berlaku sebagai iktibar..

ngasobahseliman said...

Salam dear Makbonda. Memang susah nak cari pemimpin yang benar-benar ikhlas. Tetapi ini tidak mustahil. Contoh yang nyata ialah dizaman pemerintahan Khalifah Omar Abd Aziz, (ra). Dikatakan juga ia seperti Khalifah Omar al-Khatab, (ra). Di zaman pemerintahannya tidak ada rakyat miskin. Saya suka merenong diri saya dan negara tercinta Malaysia. Kita Allah kurnia kekayan rezki yang melimpah ruah. Hasil mahsul bumi tinggi. Tidak ada gempa bumi, banjir dan kebakaran yang diluar dugaan. Jadi mana kemana perginya kekayaan kita. Saya difahamkan hutang negara pun tinggi. Generasi akan datang yang menanggongnya. Seolah-olah belum lahir sudah berhutang. Kita tanya-tanyalah wakil rakyat kita dan semoga mereka ikhlas menjawab.

Makbonda said...

Jadi patutkah saya yang masih berkesempatan berhadapan dengan jenerasi baru ni untuk menjelaskan akan situasi mereka agar dapat dibetulkan keadaan.Merekalah yang akan menggantikan 'wakil-wakil' yang bermahrajalela itu satu ketika nanti.

ngasobahseliman said...

Ia benar Makbonda. Setiap ibu ambil tanggongjawab ini, maka insyaAllah dunia kita akan bertukar wajah ke arah menegakan Kebenaran Allah dan mencapai keredhaanNYA. Pertamanya,cuba dapatkan maklumat yang sohih. Tidak mudah tetapi tidak mustahil. Tidak semua maklumat dari sumber yang rasmi itu sohih. Learn to listen to what is not said and read what is not written. Sebab banyak maklumat yang nampaknya betul dari segi lojik, tetapi sebenarnya 'lompong'. Iaitu, banyak kenyataan yang macam sohih jika dibaca atau didengar sekali imbas, tetapi sebenarnya ia kenyataan yang tidak sohih. Kita selalu terperangkap dengan kenyataan-kenyataan seperti ini dan terus percaya. Maka kita akan terbabas dari sasaran kita.
Nanti kita bincang lagi dilain kesempatan. Salam.

Related Posts with Thumbnails