"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, September 27, 2011

DILEMMA SEORANG TEMAN







Tiada siapa yang  sempurna melainkan Nabi kita Muhamad saw. Tetapi kita boleh berusaha mencari kesempurnaan iaitu menjadi manusia sempurna sebaik mungkin. Untuk menjadi sempurna, kita harus bermula dengan mencari ilmu.Itu pesan Ustaz saya.

Tetapi  apa yang saya ingin kongsikan di sini  bukan proses mencari ilmu, justeru kesempurnaan. Saya ingin kongsikan di sini ialah merenungi  sikap seorang teman yang  ia  seperti  merasakan  sudah mempunyi ilmu yang mencukupi untuk dikira sempurna.  Sekali imbas itu pemerhatian saya. Atau mungkin juga ia rasa belum sempurna tetapi merasakan ia masih banyak masa untuk mencapai kesempurnaan. Tetapi mungkin juga ia rasa tidak sempurna tetapi merasakan dirinya sudah berbuat amalan baik yang banyak yang boleh  mengimbangi  amalan yang tidak sempurna itu. Dengan lain perkataan ia beranggapan nanti bila dihisab ia sepertinya yakin timbangan berat pada amalan yang baik boleh menampung   timbangan ringan  amalan yang tidak baik itu. Saya rasa ini kurang tepat. Ustaz saya mengatakan, kita  masuk Syurga bukan kerana amalan baik kita melebihi amalan tidak baik. Kita ke Syurga kerana kita tidak berdosa atau pun kita berdosa tetapi dosa-dosa kita sudah dibersihkan. Ini bererti amalan yang buruk itu mesti dicucikan dahulu di Neraka, barulah kita ke Syurga. Atau pun kita bertaubat dan Allah terima taubat kita. Maka kita masuk Syurga. Itu pun sebenarnya dengan Rahmat Allah semata-mata. Maka kita harus memahami konsep Hisab itu sepenuhnya. Sebab itu doa kita ialah: Ya Allah kurniakan bagi ku kebaikan di dunia, dan kebaikan di akhirat, dan jauhkan aku dari api neraka.

Alkisah, teman saya  ini dahulunya sekerja dengan saya (perempuan) yang  kini hidup berseorangan kerana ia memilih untuk tidak berumah tangga. Selepas bersara ia berkerja secara kontrak dengan sebuah syarikat swasta yang berkaitan dengan kesihatan diri. Dia seorang pakar makanan dan pemakanan (nutritionist)  maka kerja di swasta mudah sekali. Semasa ia berkerja saya bertanyakan bagaimana  solat di pejabat. Dengan mudah juga ia mengakui bahawa dia tidak solat zohor, asar dan maghrib kerana selalu pulang lewat dari pejabat. Katanya tidak ada tempat sesuai di pejabat kerana majikannya bukan Islam. Adiknya pernah mengatakan pada saya bahawa jika dalam perjalanan musafir juga ia tidak bersolat. Katanya semua solat boleh diqadhakan. Saya katakan padanya pendapat itu kurang tepat. Ia tidak bersetuju dengan saya kerana itu sudah diajarkan oleh bapanya dari semasa remaja lagi. Bapanya adalah seorang imam di kampung dalam tahun limapuluhan. Ia merasai itu sudah mencukupi. Bila saya mengajaknya ke majlis ilmu, ia senyum sahaja tetapi tidak mengatakan setuju atau tidak. Teman saya ini sekarang berumur 77 tahun dan hanya bergaul silaturrahim dengan adik beradik dan teman-teman bukan Islam.

Harta peninggalan ibu-bapanya agak lumayan juga  dan saya rayu agar harta yang banyak itu diinfakkan  pada sekolah agama rakyat yang dhaif atau apa jua yang seperti dengannya. Ia senyum lagi dengan air muka yang memberi erti ia tidak setuju. Ia tidak berminat  kerana katanya tempat-tempat seperti itu tidak pandai mengurus kewangan dengan bijak. Maka ia  telah menderamakan sebahaginnya kepada sebuah hospital swsata yang bertunggakan agama Nasrani. Ia lebih yakin itu lebih munafaatnya. Saya terdiam, terkaku untuk berhujah panjang lebar. Mungkin kerana ia jauh lebih tua dari saya.

Bila saya menzirahinya dari masa kemasa untuk  silaturrahim dan ingat mengingati akan masa hadapan yang tinggal sedikit ini, ia tidak memberi saya kesempatan untuk berbicara mengenai hal-hal dakwah. Ia terus bercerita tentang pengalaman kerjanya  yang dahulu dan mengenai keluarga dan sanak saudaranya yang mencapai kejayaan dalam hidup. Saya amat tidak selesa dan kecewa dengan diri sendiri kerana tidak ada upaya menegur pendapatnya.

Saya  rasa khuatir saya dikira belum menjalankan tanggong jawab saya sebagai sahabat yang semasa berkerja dahulu saya amat rapat dengannya. Suatu masa dahulu saya membuat keputusan untuk menziarahinya hanya  jika saya tahu dia kurang sihat. Tetapi saya khuatir  tindakan saya ini tidak betul. Namun saya mendoakan supaya saya sendiri Allah tingkatkan Iman dan Taqwa dan mempunyai kekuatan untuk membantunya kerana saya amat khuatir sasaran hidupnya kurang tepat.

Beberapa hari yang lalu saya menziarahinya untuk "berhari Raya" dan mohon maaf atas segala kesalahan. Saya dapati ia kurang sihat dan saya dapati  juga dia agak risau kerana tiada pembantu rumah yang sesuai dengannya. Saya diberi tahu bahawa pembantu dari Kampuchea tidak sebaik yang dari Indonesia, Itu pengalamanya. Maka selalu sahaja ia berurusan dengan pihak Immigresen untuk mendapatkan seseorang yang sesuai. Saya simpati dengannya. Saya merasakan  emosinya seperti kurang setabil.  Saya terfikir fikir mengapa Allah tidak memudahkan urusannya. Saya takut untuk berkata apa-apa kerana saya sendiri pun tidak sempurna dan  sering bermasaalah. Cuma saya mengharapkan dia mahu pergi ke majlis ilmu dan bersilaturrahim dengan teman-teman yang beragama Islam.

Saya mencatat perihal di atas dengan kesedaran bahawa hanya Allah yang berhak menilai diri seseorang itu. Allah yang maha mengetahui, maha bijaksana, maha adil dan maha mengasihani. Saya hanya insan kerdil yang banyak kekurangan dan kelemahan.

Saya  seperti dalam dilemma cara apa saya harus ambil untuk mendapatkan munafaat bersama dalam hubungan persahabatan kami. Saya hanya mampu berdoa.

Ya Allah aku mohon keampunan dan redha Mu. Dan limpahkanlah keredhaan Mu pada ku dan padanya jua.
Ameen.


...

6 comments:

Kerabu Jantung said...

Salam Sis,

Takut jugak kan? kalau kita ingat apa yang kita buat sudah berada dijalan yang betul sedangkan ia mungkin tidak.

Sis jangan putus asa, mungkin masih belum terlambat untuk menyelamatkan sahabat itu!

rbz said...

Puan

Terharu saya. Puan katakan hanya Allah yang berhak menilai diri seseorang itu.

Saya sedar dan bersetuju

ngasobahseliman said...

Thank you dear K Jantung for stopping by. Will follow your advice, insyaAllah. What are friends for? May Allah guide us all the way. Salam.

ngasobahseliman said...

Salam perkenalan,dear rbz. terima kasih sudi singgah. Siapa gerangan. Tinggalkan cara untuk berhubung balik, munkin boleh membalas kunjungan.
Sebenarnya manusia sesama manusia hanya boleh menilai hal-hal yang biasa-biasa sahaja. Itu pun sering tidak tepat kerana ramai (TERMASUK SAYA) masih terhijab hati dan minda dengan berbagai kelemahan dan kekurangan. Pengabdian kita belum sampai ke tingkat Haqulyakin.

Temuk said...

Assalamualaikum
Semoga itulah yg sentiasa jadi ingatan, bahawa kita sendiri pun bukanlah insan sempurna. Menyampaikan sesuatu yg baik mengikut nilai agama sememangnya mencabar, berbanding menyampaikan sesuatu yg baik mengikut misalnya nilai ekonomi.

Setakat yg termampu bolehlah kita usahakan, di samping berdoa. Hatta untuk diri kita sendiri. Hanya DIA yg mampu memberi hidayah kpd sesiapa yg dikehendakiNya.

ngasobahseliman said...

Salam Pak Temuk. Terima kasih atas pandangan yang bernas itu. Sebagai manusia biasa saya rasa bersalah tidak menjalin hubungan seselalu yang mungkin. Doakan saya lebih berhemah.Semoga Allah menunjuk jalan.

Related Posts with Thumbnails