"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Friday, January 13, 2012

SELERA


Kelmarin dulu saya menepati janjitemu dengan Doktor Pakar Jantung buat sekian kalinya di Pusat Perubatan University Malaya. Akhir sekali saya berjumpa dengannya adalah 6 bulan yang lalu. Gula dalam darah saya tinggi. Purata 3 bulan ialah 8.9 dan saya "dimarahi". Saya senyum tawar. Selera masih sedap makan dan hidangan seperti di atas (masakan Turki) tidak dapat diketepikan begitu sahaja.

Doktor saya menasihatkan saya supaya mengambil insulin. Saya katakan padanya saya tidak mahu insulin dan minta diberi ubat alternatif. Setelah banyak rasional, beliau akhirnya bersetuju. Tetapi ubat ini (JANUVIA) saya kena beli sendiri.  Tidak percuma. Kata Dr ia lebih mahal dari Insulin. Mengapa kerajaan membuat peraturan demikian saya kurang faham. Katanya saya boleh tuntut balik. Tetapi bila sudah di umur lebih pertengahan enampuluhan, saya rasa proses menuntut balik tidak terbuat. Maklumlah sudah tidak mahir menulis surat tuntutan dan satu kerja rumit untuk ke Bahagian Pencen, Putrajaya. Seharusnya kerajaan tidak menyusahkan rakyat, terutamanya yang umur tua. Masukkan sahaja senarai ubat itu ke dalam senarai yang boleh diberi percuma. Apa salahnya. Pegawai atau jawatankuasa yang membuat peraturan tidak peka bahawa dia juga boleh ditakdirkan sakit. Tiada siapa boleh menjangka. Maka mengapa tidak mahu memudahkan. Kan Malaysia negara kaya...

Seorang teman berkata: "Itulah. Makan berpada-pada." Saya akur walaupun sudah agak terlambat. Bukan itu sahaja . Kolestrol saya pun tinggi. Sering kali saya katakan pada diri supaya jangan menghambat selera. Apakan daya. Agak sering mendapat jemputan makan di luar. Perangai manusia. Suka menyalahkan pihak lain. Saya tidak terkecuali. Itu yang saya berwaspada untuk memperbaiki, terutamanya di umur kini.

Semoga saya dapat istiqamah mengurus kesihatan diri.Tetapi pada orang muda yang belum sakit, ingatlah ! Orang muda pun boleh sakit. Harus juga menjaga makanan. Tidak betul saranan setengah orang bahawa masa muda inilah kita boleh joli makan. Tidak tepat sama sekali. Kalau quota makanan sudah habis di umur muda, maka di umur tua akan meranalah diri, hanya menjilat jari.

Semoga kita semua beringat. Allah maha memerhati.
...

6 comments:

Mieza said...

Assalamualaikum Puan, peringatan yang baik buat saya. Syukran. Semoga Puan sentiasa di dalam jagaan dan peliharaanNya.

Makbonda Hasimah Hj Zailani said...

Assalamualaikum,

Yang paling baik ialah;

Ingat 5 perkara sebelum 5 perkara

Sehat sebelum Sakit
Muda Sebelum Tua
Kaya sebelum Miskin
Lapang sebelum Sempit
Hidup sebelum Mati

Semoga Allah sentiasa memelihara Puan.

Kerabu Jantung said...

Salam, Sis

Makan Turki tu okay dah tapi jangan tambah dengan segelas minuman bergula dan beberapa ketul baklava pulak, tu yang bahayanya!

Kali pertama mengetahui tentang januvia - rasanya ia lebih mudah/ lebih ringkas dari suntikan insulin!

Take care!

ngasobahseliman said...

Salam Dear Mieza. Terima kasih atas kunjungan dan ingatan. Semoga saya dapat bermusafir ke New Zealand untuk rasa cara hidup di sana dalam usia senja ini. Moga sentiasa doakan saya.TQ

ngasobahseliman said...

Salam Dear Hasimah. Emak saya dulu pun selalu ingatkan saya tentang itu. Dia ada "nasyid" dalam bahasa Jawa tentangnya. Tapi saya cuma ambil makna sahaja. Rugilah saya. Moga saya dapat menghayati maknanya.
Terima kasih atas ingatan.

ngasobahseliman said...

Salam Dear Kerabu Jantung. Ubat yang baru ini ada membantu dengan kehendak Allah jua. Tetapi kesan sampingan pastinya ada juga. Saya belum rasai. Doakan saya selalu sihat. Masih banyak yang belum selesai.Terima kasih atas kunjungan.

Related Posts with Thumbnails