"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, October 25, 2012

Jangan banyak sangat soalan......


Salam Aidil Adha...



InsyaAllah kita kan menyambut Hari Raya Qurban Jumaat ini.

Bercerita Qurban maka ingatlah cerita lembu dan kambing, haiwan ternakan yang biasa bagi rakyat Malaysia membuat korban. Mungkin unta hanya di Timur tengah, saya kurang pasti. Haiwan apa agaknya yang digemari di Mongolia dan daerah-daerah yang jarang-jarang kita ketahui.

Ini lembu ternakan di ladang di Melbourne Australia dan foto ini saya rakam kerana suka melihat haiwan ternakan yang gemuk-gemuk sihat. Agaknya di sana pasti harganya mahal bagi seekor dan ada peraturan-peraturan tertentu bagi orang Islam di sana. Di bawah ini adalam lembu Malaysia. Agak kurus sedikit dan saya rakam foto ini semasa acara Qurban di Masjid Kg Tunku 2 tahun yang lalu. lalu.


Bagi orang di Malaysia ramai yang suka Qurban lembu. Mungkin kerana ramai yang tidak berapa suka makan daging kambing. Dibawah ini adalah kambing-kambing di ladang seorang sahabat di Rembau. Banyak kacukan kambing dari Cyprus dan disebut kambing syamil. Telinganya panjang ke bawah. Di ladang di batu Arang pun ada yang begitu.


Bila bercerita-cerita Ibadah Qurban sering isu harga seekor atau sebahagian haiwan yang akan dikorbankan menjadi topik perbualan. Ada yang harganya Rm400/- sebahagian lembu, ada yang Rm 450/- ada yang Rm350/- . Agaknya lokasi menjadi faktor utamanya harga berbeza. Atau agaknya saiz badan lembu itu juga menjadi penentu. Kalau gemuk mahal, kalau kurus murahlah sedikit. Saya kurang pasti. Kalau kita korban di Cambodia, harganya lagi murah, hanya Rm230/- atau Rm250/- atau sekitar itu sahaja. Di Vietnam khabarnya Rm350/-

Maka saya berfikir sendiri supaya jangan banyak tanya bila mahu beribadah Qurban. AlQuran ada merakamkan kisah kaum Nabi Musa yang asyik bertanya jenis haiwan yang mahu dikorbankan dan ini telah menyusahkan. Kita lihat ayat-ayat berikut untuk renung dan fikir-fikir. (Surah al Baqarah, ayat 67 - 71)

 A067

Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka berkata: "Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?" Nabi Musa menjawab: "Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)". 


A068
Mereka berkata pula: "Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya".



A069
Mereka berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami apa warnanya?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya". 

A070
Mereka berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), dan kami insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu)".
 
A071
Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu) ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya". Mereka berkata: "Sekarang baharulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar". Maka mereka pun menyembelih lembu yang tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu.

Sehubungan ini ustaz sering mengingatkan supaya apa-apa jua hukum yang sudah jelas janganlah kita suka mencari perincian dan penjelasan yang sehalus-halusnya hinggakan usaha kita mahu memnunaikan sesuatu hukum menjadi terlalu sulit dan kebrangkalian besar kita tidak dapat melakukannya.

Fikir zikir untuk kita. Sama-sama kita doa Allah mudahkan segalanya, mengampunkan segala dosa-dosa kita, kedua ibu bapa kita dan semua yang kita kasihi.
Semoga kita bertemu di Syurga Firdaus tanpa hisab dengan Rahmatnya semata-mata.

Ameen, Ya Rabb.

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL ADHA.

....

2 comments:

Kerabu Jantung said...



Assalam Sis,

Selamat menyambut Hari Raya Qurban,
Semoga Allah permudah urusan kita di dunia dan di akhirat , ameen!

ngasobahseliman said...

Salama sis KJ. Semoga Aidil Adha juga bawa bahagia dunia dan akhirat. Semoga semangat pengorbanan sentiasa berkobar2.

Related Posts with Thumbnails