"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Friday, October 12, 2012

Sembang-sembang Syria







Saya rasa teruja pada hari itu. MasyaAllah, sister Shima tidak disangka-sangka menalipon nak datang ke rumah. Memang sudah lama rindukannya untuk sembang-sembang mendengari apa cerita Syria dari sudut  yang dia tahu. Alhamdulilah Allah mudahkan untuk saya berjumpa dengannya. Ia datang bersama Zaini, suaminya. Keduanya telah agak lama saya mengenali mereka, iaitu sejak saya bergabung dengan mereka membantu Aman Palestine mengumpul dana untuk membantu rakyat pelarian Palestine dan juga mereka yang terperangkap di Gaza. Shima ke Syria sebelum bermula perang saudara lagi untuk mendalami bahasa Arab bersama dengan anak bongsunya yang masih bersekolah diperingkat sekolah rendah. Suaminya tidak dapat bersama dan dia pergi mengawasi mereka dari masa ke masa dan lebih kerap bila perang saudara bermula.

Apabila peperangan makin lama makin membahayakan hidup mereka, maka Shima pun pulang ke Malaysia. Kami lega kerana ia dan anaknya selamat.Alhamdulilah. Katanya tempat ia tinggal tidak berbahaya kerana jauh dari Pusat Bandar Damascus. Tetapi kerana ramai yang khuatir keselamatnya, maka pulanglah ia. Katanya bila perang mula menjadi serious, sering kali juga ia tidak menghadiri kuliah kerana kenderaan awam tidak beroperasi dan sulit baginya untuk kemana-mana. Tambahan pula ramai askar yang "berkeliaran" dan itu membuatnya takut juga.

Dalam sembang santai sambil minum teh petang saya bertanyakan apa yang sebenarnya berlaku di Syria. Beberapa perkara mengejutkan saya tetapi saya hanya mendengari dengan penuh kesedaran bahawa sedikit ilmu itu membahayakan. Katanya siapa bunuh siapa sudah sukar difahami. Kekadang terdapat jiran disembelih dan jiran yang lain tidak menyedariya. Ceritanya banyak tetapi saya tidak dapat menceritakan di sini kerana tidak adil mendengar sebelah pihak. Namun saya sedar bahawa kita harus tahu siapa dia Sunni dan siapa dia Shiah sebenarnya. Itu adalah fakta utama dalam pertelingkahan yang ada sekarang. Sama-sama kita menimba ilmu dari yang arief supaya kita tidak tergelincir langkah, walaupun kita di Malaysia tidak adakaitan dengan perang saudara di Syria secara langsung. Isu Sunni dan Shiah di Malaysia ini pun harus kita fahami betul-betul.

Seorang teman yang semasa bekerja dahulu pernah ke Damascus beberapa kali dalam hal-hal perdagangan dua hala mengatakan bahawa President Basha banyak berjasa membangunkan Syria dan ia kurang faham mengapa rakyatnya ramai yang tidak sukakan dia. Politik adalah isu rumit. Saya katakan pada Shima saya tidak berani memberi apa-apa pendapat mengenai sesuatu yang saya hanya mendengar dari pihak ketiga. Saya cuma mendoakan semoga yang benar akan akhirnya terserlah juga. Kita nantikan. Mungkin segera mungkin lama. Walau apa pun saya simpati dengan mereka yang mengahadapi tragedi pembunuhan beramai-ramai. Semoga Allah mendatangkan penyelesaian yang dapat diterima mereka yang berkepentingan dalam hal ini.

Sembang santai itu berlarutan hingga Maghrib. Kami solat di Masjid Kg Tunku dan kemudian saya dan suami meraikan "home coming" Shima dengan makan malam bersama di Restoran Kayu di SS2. Kami sambung lagi cerita-cerita. Saya berjanji pada Shima untuk mendengari masaalah yang sebenarnya sedang berlaku di Malaysia dan di negara luar mengenai Islam. Perspektif baru dalam masaalah ini saya dengari dan hati saya berdoa semoga Allah menunjuki jalan yang benar pada kami dan mereka yang sayangkan Kebenaran yang sebenar.

Ampunkan kami, Ya Rabb, dan pandulah kami ke jalan yang Engkau redhai.

...

No comments:

Related Posts with Thumbnails