"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, July 10, 2014

Berada di Dewan Berlepas....




Laluan ke Dewan Berlepas di Lapangan Terbang Abu Dhabi.
Cantik...

Tetapi catatan saya kali ini hanya mengambil iktibar bahawa diumur senja melepasi umur wafatnya Rasulullah Salallahualaihiwasalam adalah ibarat menanti giliran untuk panggilan menuju ke alam Barzah sebelum ke Alam Akhirat.

Seperti duduk menanti di Dewan Berlepas menuju suatu destinasi.....(kata setengah bijak pandai). Cuma di situasi sebenar kita tidak boleh berpatah balik. Bila datang panggilan kita mesti akur.

Kelmarin dahulu saya ke Pusat Perubatan University Malaya (PPUM) untuk pemerikasaan rutin setiap enam bulan. Pemeriksaan saya termasuk keadaan jantung saya kerana saya adalah bahan penyelidikan untuk memakan sejenis ubatan yang berkaitan dengan pencairan darah. Alhamdulilah....saya masih dapat bertahan. Ini nikmat kurnian Allah yang masih memberi saya peluang mencuba sungguh-sungguh membuat persiapan rapi untuk "berlepas" bila-bila masa sahaja, adat kata.

Saya ketemu seorang teman semasa mengambil ubat di Farmasi PPUM. Kami bercerita sedikit tentang kesihatan diri dan kesihatan suami. Suaminya semasa berkerja dianugerah Gelaran Tan Sri. Kini agak uzur maka saya katakan kita sama-sama sedang menanti di Dewan Berlepas.

"Eh...eh...I belum lagi," kata teman saya ini dengan menepuk bahu saya. 

Saya agak tersentak mendengari respons darinya. Saya hanya tersenyum, tergamam untuk respons kembali. Saya tidak sangka ia masih belum dapat menerima hakikat berada di Dewan Berlepas ketika ini walau pun saya tahu dia juga punya berbagai masaalah kesihatan. Mungkin kerana umurnya baru melepasi awal enam- puluhan tetapi suaminya sudah melepasa tujuh-puluhan.

Menanti Di Dewan Berlepas bukan mereka di umur senja sahaja. Mereka yang remaja dan dewasa yang sihat pun mungkin berada di Dewan Berlepas. Pasti kita masih ingat peristiwa penerbangan pesawat MH370. Maka ustaz selalu bepesan untuk kita sentiasa bersedia menuju destinasi yang sudah pasti.

Saya meneruskan urusan mengambil ubat dan minta diri untuk beredar. Ingatan Dewan Berlepas masih terpaku di minda. Saya catat pertemuan ringkas ini sebagai fikir-fikir di bulan Ramadhan Kareem. 

Semoga Allah memberi hidayah dan petunjukNya pada kita semua dan menganugerah keampunan dan keredhaanNya. Semoga amalan kita yang sedikit ini Allah terima dan di hujung perjalanan hidup ini Allah mengiktiraf kita sebagai hambaNya dan sebagai 'Nafsulmutmainnah' seperti dalam alQuran ayat 27-30 surah Al Fajr.

Aameen ya Rabb...

...

No comments:

Related Posts with Thumbnails