Berdebar juga sedikit rasa dihati pagi semalam bila bersiap-siap untuk "menyaksi" himpunan BERSIH 3.0. Mampukah diumur ini untuk berasak-asak dalam ribuan manusia yang rata-rata saya jangka mereka itu golongan muda dan sihat-sihat belaka. Tetapi ada semacam dorongan untuk pergi juga kerana mahu menjadi sebahagian dari fakta sejarah. Dan semoga menjadi sebahagian dari amal soleh untuk menegakan kebenaran. Dari Kg Tunku jalan melalui Damansara lancar dan hati rasa lega kerana beranggapan perhimpunan ini teratur rapi dan masing-masing yang berkepentingan mahu mengikut peraturan yang ditentukan. Tetapi sebum habis berfikiran sendiri, saya menarik nafas panjang kerana jalan mula perlahan dan terus terberhenti kerana ada sekatan di persimpangan hendak ke jalan Parlimen.
Pegawai-pegawai polis mengawal laluan. Kereta-kereta di arah mengikuti jalan lain. Teman yang memandu kereta kami (perempuan) berhenti dan mohon kami diberi pengecualian kerana kami hendak ke Kelab Selangor. Teman saya itu ahli kelab tersebut dan ada hak untuk ke sana kerana itu premise persendirian. Rayu punya rayu kami akhirnya dibenarkan. Rasa lega tetapi belum lama lega kami ditahan lagi di bulatan Bank Negara. Kami merayu lagi dan kemudian dilepaskan. Tetapi 50 meter ke hadapan kami ditahan lagi. Kali ini suami saya turun dan merayu secara orang tua dan mengatakan kami hanya mahu pergi ke Kelab Selangor sahaja. Seorang pegawai polis yang agak senior membenarkan kami. Sampailah kami ke kelab itu. Kosong sahaja tempat letak kereta.
Kami masuk dalam kelab, minum dan rehat sambil melihat-lihat apa yang sedang berlaku.
Helikopter lalulintas di udara meronda. Bising sekali. Truk polis dan FRU bergerak menyusun giliran untuk sesuatu tindakan. Ini jangkaan saya kerana saya hanya melihat dipinggiran. Saya rasa agak kesal sedikit tidak dapat mengambil bahagian secara langsung.
BERSIH DIPINGGIRAN membawa maksud bahawa saya menyokong hanya dipinggiran. Bila sudah lanjut umur rasa takut pun ada. Bolehkah melarikan diri jika dipancut air atau gas pemedih mata? Maka akhirnya BERSIH dipinggiran sahaja. Walaubagaimana pun saya dan teman memberanikan diri sedikit dan keluar dari bangunan Kelab dan berjalan dengan kamera kami sahaja menuju ke arah Jalan Tuanku Abdur Rahman. Polis-polis menasihat kami untuk masuk semula bangunan. Saya tanya mengapa kerana saya nak lihat sahaja. Kami dimaklumkan katanya nanti jam 2 petang mungkin kami akan "tembak" jika perlu.Waktu itu jam 1.30 petang dan cuaca amat panas sekali. Kami melihat pegawai-pegawai polis makan dan minum tengah hari duduk di bawah-bawah pokok. Saya amat cermat mengambil gambar takut kot-kot nanti kena rampas pula kamera kesayangan saya ini.
Kenderaan FRU di mana jua.
Dataran Merdeka dikawal sepenuhnya.
Kenderaan polis tegap menunggu
arahan.
Polis rusuhan juga bersedia mengikut
perintah.
Ini gambar paling terdekat dengan
lens zoom yang dapat saya rakamkan.
Saya amat simpati dengan rakyat
seluruhnya mengapa perlu bersusah payah begini
untuk hidup selesa di negara
sendiri.
Selain dari apa yang saya rakam (liputan amat terhad) saya hanya mendengar cerita-cerita BERSIH 3.0 ini yang di bawa oleh ahli kelab yang pergi dekat. Kemudian bila saya balik jam 5 petang saya diceritakan oleh anak saya apa yang terdapat di Face Book dan berbagai lagi dalam peralatan elektronik yang canggih sekarang ini.
Timbul difikiran saya beberapa soalan.
Isu BERSIH amat diambil berat oleh Islam. Sebelum menunaikan SOLAT kita membersihkan diri dan berwudhu. Hakikat bersih dan suci amat penting.
Maka dalam kempen bersih yang diadakan beberapa kali di negara kita ini saya suka bertanya semua (termasuk diri sendiri) apa konsep bersih yang kita perjuangkan. Dan adakah diri kita sendiri sudah bersih dalam semua aspek, iaitu zahir dan batin. Pihak kerajaan mengatakan mereka sudah bersih, atau adakah penyokong-penyokong kerajaan sahaja yang mengatakan demikian. Pihak pembangkang mahu memperjuangkan "BERSIH" dengan andaian mereka lebih bersih. Tanya diri sendiri. KEBENARAN TIDAK PERNAH MEMIHAK. Yang benar tetap benar yang batil tetap batil.
Maka jika semua hanya bersih dipinggiran sahaja, kemana arah kita. Adakah semua kita tidak bersih dan hanya berpura-pura bersih? Apa dan Siapa yang hebdak kita dustakan. Allah maha Melihat, maha mendengar, maha mengetahui apa yang nyata dan apa yang tersembunyi. Dan Dia maha berkuasa atas segala sesuatu. Belum yakinkah kita?
Maka saya amat rasa gusar dihati dan amat bersimpati dengan generasi mendatang, anak cucu kita dan negara yang tersayang. Di bawah ini gambar-gambar yang saya rakam dalam jam lebih kurang 3.30 petang dari kawasan Kelab Selagor. Sepertinya mereka ini "ditangkap" dan di hantar ke mana, saya tidak pasti. Majoritinya anak muda berbagai kaum. Di mana letaknya hati perut peminpin. Saya nampak sendiri seorang peserta yang ditempeleng di kepala. Ia berlaku begitu cepat tidak sempat saya rakam. Kasihan ! menagis ia. Lagi gambar-gambar "tangkapan" di bawah ini.
Ada banyak lagi gambar seperti ini. Tetapi setakat itu sebagai contoh. Saya kecewa dengan diri sendiri kerana hanya melihat. Seperti juga gambar mereka di bawah ini yang hanya melihat dan berkata sesuatu dengan kuat suaranya tetapi kurang jelas kerana saya jauh.
Pastinya mereka memberi sokongan moral pada yang "ditangkap".
Melihat dan bising.
Polis-polis "menyibukan" diri?
Jelaskah mereka dengan tugasan mereka. Semoga jelas supaya usaha tidak sia-sia.
Itulah cerita saya...Bersih Dipinggiran. Kerajaan harus muhasabah diri. Sudah berlaku Bersih dan Adil ke? Pembangkang juga harus bersih dalam semua aspek supaya perjuangan menjadi lebih kuat dan benar-benar berasas. Saya berdoa Allah memberi pertolongan pada yang benar dan berakhlak mulia dan beintergriti tinggi. Apa yang dikata, mesti dikota. Perjuangan menuntut keadilan bukan untuk diri, tetapi untuk Rakyat.
Di hujung hayat, kita semua akan dipersoalkan. Asas pertama adalah mentauhidkan Allah. Tidak kira siapa. Barulah perjuangan kita bermakna. Mari semua kita Rakyat Malaysia dari semua bangsa dan keturunan berfikir dan bertindak mengikut alQuran, Rahmat Tuhan untuk sekelian Alam.
WaAllahu'alam.
...
2 comments:
Assalamu'alaikum kak
Semoga beroleh kesejahteraan dan sentiasa dalam rahmat Allah. Amiin
Sempat kak membuat tinjauan dan boleh snap gambar. Saya di Kabong, Serawak,atas urusan keluarga. sehari sebelum tu PM ke sana.
Ya kak, apa yang kita hajatkan ialah sebuah negara yang dipimpin oleh orang-orang yang bersih. Saya rasa ramai yang nakkan begitu. Sedih juga melihatkan orang-orang yang kena tampar dan dibelasah tu.
Salam Werda. Alhamdulilah Allah kurnia sihat dan dapat "menyibukan" diri. Sekarang ini semua tujuan bersih sudah jadi simpang siur. Tuduh menuduh. Lupa agaknya Allah itu maha melihat yang nampak dan yang tersembunyi. Kalau semua yakin akak rasa Malaysia ini lebih aman dan sejahtera. Semoga ada kesedaran dalam negara bahawa kita mencari kebenaran dan mahukan kebenaran dan BUKAN membenarkan sesuatu yang tidak benar. Semoga Allah mengampuni.
Post a Comment