"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Friday, April 27, 2012

SUDAH BUKAN MASANYA




Kembara ke Seoul membawa berbagai pemikiran. Di umur sebegini, kami selalu diingatkan supaya berusaha memastikan  ia ada nilai tambah untuk munfaat hidup sehingga kami diminta hadir di hadapan yang maha khalik. Maka kami mengingatkan diri untuk sentiasa waspada supaya kembara tidak mendatangkan kerugian.
 
Ini gambar pemandu pelancung kami. Yang di tengah ialah Su, gadis pemandu pelancung Korea, diapit oleh wakil dari Utas Travel and Tours. Khidmat mereka amat memuaskan jika kita hanya mahu bersantai-santai.

Cuma saya dan suami dan beberapa peserta dewasa yang lain rasa tidak begitu selesa bila dibawa ke LOTTE WORLD. Ia seperti Disney Land atau di Malaysia ini seperti di Sunway Lagoon. Ia bagus untuk anak-anak kecil dan anak-anak muda. Sudah bukan masanya bagi kami. Maka kami yang "tua-tua"  ini duduk santai minum kopi dan sembang-sembang dan ada juga sedikit-sedikit kami  sembang dakwah untuk memenuhi masa.





Topik sembang kami tidak lari dari fakta pembangunan negara kerana dalam celah-celah kekaguman melihat betapa majunya negara Korea kami teringat juga negara tercinta, Malaysia.

Bila cerita mengenai pembangunan, maka sensitiviti sekarang ialah mengenai politik negara kerana kami semua amat peka bahawa angin pilihanray umum makin hari makin kencang. Sepontan saya tanya seorang ahli kembara dari Johor kenapa agaknya  majority warga negeri Johor amat "totok" dengan UMNO-BN. Tetapi saya bertanya dengan senyum lebar kerana tidak mahu "bermusuhan" di perantauan.

"Eh, pastilah gitu. Banyak jasanya. Puan kan orang Johor juga, takkan tak rasa hebatnya UMNO?"

"Betul saya asal Johor. Memang hebat UMNO.Tapi sekarang dah masuk angin negeri asing dan negara asing. Buat masa ini  saya 'neutral'.  Masih duduk atas pagar. Tunggu dan lihat sebab kedua-dua pihak (BN dan PAKATAN) ada kekuatan dan ada kelemahan masing-masing. Walaubagaimana pun saya ambil peduli apa yang berlaku dan antara faktor yang saya sedang fikir-fikir ialah yang berkaitan dengan intergriti pemimpin. Saya keturunan pendatang, maka saya sangat sensitif dengan isu kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Saya juga peka dengan isu pendidikan kerana sistem pendidikan yang canggih dan luhur sahaja yang dapat membentuk warga yang berjati diri dan berakhlak mulia."

"Eh, Eh...." Sampuk suami saya. Ini bukan tempat kempen. Kita nak sembang-sembang santai aje. Relaks lah. Tak seronoklah kembara kita nanti. Kalau ikut saya, kita tidak perlu susuah-susah. Pilih sahaja mereka yang benar-benar mencontohi Rasulullah. InsyaAllah selamat dan berjaya dimata dunia.

Suami saya senyum yang saya rasa seperti banyak makna. Saya tertawa sedikit dan berhenti berhujah. Raii suami dan hormat pendapat teman-teman yang baru dikenali. Itulah kesan demam pilihanraya.

Maka saya cerita pula tentang kebaikan Korea yang saya tahu melalui pembacaan dan pendegaran di media massa. Negaranya tidak ada hasil bumi seperti Malaysia. Fakta itu amat menawan minda saya kerana dengan kegigihan rakyatnya dan tentunya keikhlasan kepemimpinnya, maka mereka boleh mencapai kemajuan seperti yang ada pada hari ini. Allah maha pengasih, maha penyayang. Siapa yang berusaha, dialah yang mendapat habuannya.Allah pun berfirman yang bermaksud bahawa Dia tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri mengubahnya.

Allah maha  berkuasa atas segala sesuatu. Tetapi kita diberi pilihan mengikut peraturan yang ditentukan dalam alQuran dan Hadith. Maka setengah orang kata 'Tepuk dada tanyalah Iman.'

"Saya nak balik cerita politik di Malaysia," tiba-tiba seorang ahli lain mencelah cuba menukar topik sembang santai. "Kita mesti pegang pada aqidah daripada kekayan. Kalau kita membangun tetapi negara jadi haru biru dengan keruntuhan moral dan kebobrokan nilai sosial, kita seperti tidak menuju sasaran hidup yang Allah tentukan. Sekarang ni Malaysia kita maju, tetapi banyak penyakit sosial. Belum tentu kita dapat laluan mudah di akhirat nanti."

Mendengar hujah ini semua yang ada di situ senyap dan senyum-senyum sahaja.

"Okaylah, kita berhenti di sini dan sambung bila balik kat Malaysia nanti." Saya katakan dengan nada beseluruh.
Maka kami berbalik pada cerita-certa biasa-biasa sahaja. Ramai antara kita yang susah mahu berterus terang mengatakan pendapat. Ramai kita juga yang ambil jalan mudah dan ikut sahaja apa kata orang lain yang kita sudah biasa dengannya, atau apa kata pemimpin yang sudah biasa mereka ikuti. Ramai kita yang tidak suka mengambil risiko untuk berbuat sesuatu yang berlainan. Mungkin ini  lebih baik dari apa yang kita sudah biasa. Tetapi mereka takut membuat perubahan. Apa nak buat. Kita di buai dengan keselesaan dan terperangkap dalam keselesaan juga. Kita sudah tidak ada perjuangan yang nyata dalam hidup.

Itu pendapat peribadadi saya yang mungkin salah tetapi mungkin juga betul.

Sama-sama kita fikir-fikir kerana kewajipan memilih yang terbaik ada ditangan kita dan kita akan dipertanggongjawabkan di akhirat nanti. Kita harus ada kepedulian untuk mencari yang terbaik. Jika sudah usaha tetapi tidak berjaya maka mungkin mudah sedikit untuk menjawab soalaan nati di hadapan Mahkamah yang maha Agong.

WaAllahu'alam.


Maka Kembara Hati Ke Seoul baru-baru ini tinggal kenangan sahaja.
Semoga kembara santai menambah sedikit kebijaksanaan 
dan semoga Allah sentiasa menunjuk jalan kepadaNya.

.....

2 comments:

Werdah said...

Assalamu'alaikum kak

Semoga sentiasa beroleh kesejahteraan dan dalam redha Allah.

Kak, bercerita bab politik ni kadang-kadang sensitif juga kan terutama bila dalam perbincangan tu terdapat salah seorang yang menyokong atau membangkang. Masing-masing dengan pandangan yang berbeza.

Seperti kak, saya juga inginkan negara maju yang berlandaskan Islam; begitu juga dengan pendidikan yang berteraskan ajaran Pencipta.

ngasobahseliman said...

Salam Werda. Sama-sama kita berusaha dan berdoa Allah anugerah yang terbaik bagi kita dan anak cucu kita. Kita harus ada kepedulian untuk memahami apa yang berlaku di sekeliling kita. Jangan kita mengikut buta apa yang dikatakan oleh seseorang pemimpin. Jika yang dikata itu betul dan syarie, kita ikut. Jika tidak kita buat pilihan lain. Kuasa sebagai pengundi amat besar dan Allah akan tanya kita siapa yang kita pilih itu. WaAllahu'alam.

Related Posts with Thumbnails