Malam 1 April kami dijemput ke Majlis Merayakan Ulang Tahun Perkahwinan yang ke 50 seorang teman akrab yang dikendali oleh anak-anaknya secara rahsia. Ini adalah antara cara mereka menyatakan betapa sayang mereka pada kedua emak dan ayah dan betapa terhutang budi ke atas kedua mereka. Dalam umur dewasa ini saya baru dua kali ke majlis seperti itu. Tetapi Majlis malam kelmarin di Hilton KL Central membuat saya agak terpegun. Acara majlis memberi kesan untuk berfikir-fikir.
Saya kagum atas kegigihan anak- anak mengenal pasti rakan akrab mak dan ayah, rakan dalam perniagaan yang telah lama ditinggalkan, rakan masjid yang rapat, doktor-doktor yang merawatnya ketika sakit kritikal dan beberapa lagi. Mereka bersungguh-sungguh mencari dan mendapatkan no. telifon untuk menjemput dan meminta jemputan dirahsiakan. Saya amat teruja untuk menghadirinya.
Biasanya anak-anak muda tidak kisah atau ambil peduli siapa kawan akrab emak ayah, tidak kisah siapa kawan masjid yang ia selalu bersarapan pagi bersama, tidak hairan kawan perniagaan yang lama-lama dulu dan ambil selamba kawan riadhah atau bermain badminton emaknya. Ramai anak-anak muda yang merasakan tidak perlu mereka mengambil tahu kerana tidak ada persamaan kepentingan. Tetapi anak-anak teman saya ini lain dari yang lain. Mereka peka dan mereka hormat. Mereka ra'i kawan-kawan emak dan ayah dan melayani karenahnya.
Anak-anaknya semua berjaya dalam bidang professional masing-masing dan boleh dikirakan sekarang ini mereka dalam kelas pertengahan atas. Tetapi semuanya berbudi bahasa dengan orang tua dan menyantuni mereka bila masa bertemu. Disiplin yang diterap dalam keluarga susah di contohi. Namun teman kami ini berjaya menerapkan nilai-nilai murni untuk kehidupan dunia dan akhirat sedayanya. Mereka terus mencuba dan mencuba.
Teman Yang Dira'i.
Senyap-senyap saya membayangkan alangkah bertuahnya kedua teman saya ini apabila telah kembali ke Rahmat Allah nanti kerana itu pasti, anak-anak mengingati mereka sepenuh hati. Dalam doa yang dipanjatkan kepada Ilahi dipermulaan majlis amat syahdu dan ia melambangkan keeratan hubungan anak dengan kedua orang tuanya. Semoga ia berterusan selamanya. Hadith telah mengatakan apabila kita mati hanya tiga yang kita bawa bersama, iaitu Sedekah jariah, Ilmu yang dimunafaatkan dan Doa anak -anak yang soleh. Akhirnya ini yang membawa erti yang sebenar dan semoga teman kami ini tergolong dalam kumpulan itu. Dan saya pun berdoa saya juga dalam golongan yang membawa tiga perkara seperti dalam hadith itu. Amin.
....
No comments:
Post a Comment