"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, October 6, 2012

I want to stay with TokAyah....




Please TokAyah, let me stay with you.......

Bahasa lisannya 'orang putih'. Inggerisnya lebih lancr dari bahasa Ibunya. Dia mudah menerima " ilmu" tanpa kita bersusah payah mengajarnya. Yang banyaknya ia belajar dari TV Disney Junior. Bukan semuanya baik,  tetapi itu sahaja yang ada dan dalam kesibukan Mak Ayahnya, TV menjadi teman setianya.

Apakan daya....

Anak kecil ini Muhamad Akif Humaidi namanya. Ia cucu kedua dari anak perempuan sulung. Kami panggil ia Akif sahaja. Bagi orang Melayu rata-rata begitulah panggilan nama. Cari yang terpendek dan mudah sebut sahaja.

Malam kelmarin ia datang ke rumah untuk jemput abangnya Huzaifah ( Ujai ) balik pada hujung minggu seperti biasa. Ujai duduk dengan saya sebab kami tinggal lebih dekat dari ibunya  untuk Ke Adni Islamic School di Taman Melawati. Biasanya ibunya akan belegar-legar dulu sebelum pulang kesemuanya ke Putrajaya. Tapi malam kelmarin ia datang hampir tengah malam dan terus mahu pulang.

Akif enggan pulang. "I want to stay with TokAyah," katanya lalu mengunci dirinya di bilik TokAyah. Ujai disuruh Ibunya pujuk ia untuk ikut balik. Ia bergelut tidak mahu. Sedih dan kasihan saya melihat ia cuba melepaskan diri dari tarikan Ujai, abangnya dan hampir menangis. Maka saya kata pada Ibunya supaya beri ia peluang tidur dengan saya dan TokAyahnya.

Ia nampak lega dan mula berbuat sesuatu dengan Tablet PC yang ada di atas meja saya.
 Tekun, walaupun mungkin tidak faham sepenuhnya. Ujai sudah mengajarnya bermain games.

Ibunya pulang dan Akif masuk tidur tidak lama selepas itu. Pagi-pagi lagi saya sudah minta anak mennantu saya pergi pasar dan kedai untuk beli diaphers baginya dan lain-lain yang diperlukan olehnya.

Akif adalah anak "Istimewa". Ia lahir di Tokyo 5 tahun dahulu. Saya menjaganya selama dalam pantang. Ibunya melanjutkan pelajaran. Semasa kecil hingga lebih kurang 3 tahun tidak ketara ada sesuatu yang luar dari biasa. Sekarang sudah disahkan ia sedikit otistik (mildly autistic). Belum ada yang sebegitu dalam keluarga maka kewujudannya amat menarik perhatian siapa sahaja di kelilingnya. Saya melihatnya dan melihat kebesaran Allah jua. Tiada ciptaanNya yang sia-sia. Ia mengundang kesabaran dalam usaha mengasuh dan mendidiknya. Petanda ia otistik ialah dalam tingkah lakunya. Ia tersangat aktif. Tenaganya perlu disalurkan pada aktiviti yang sesuai bagi dirinya dan adik-adik yang ada di sekelilingnya. Saya kurang arif bagaimana mahu bercerita tentang keistimewaannya, tetapi saya sudah mula faham dan cuba membaca buku atau apa jua yang ada maklumat mengenainya untuk membantu ibunya.

Akif suka bebas berbuat sesuatu. Maka kalau kita cuai mengawasinya kita akan dapati ia "menghilangkan diri" jauh entah ke mana. Ibunya akan cari di Balai Polis dan beberapa kali ia dijumpai di sana. Rakyat Malaysia ramai yang peka kebajikan anak-anak yang berkeliaran seperti tidak terjaga. Alhamdulilah, setakat ini  dapat dicari dan dibawa kembali. Semoga tidak ada orang yang mengambil ksempatan tentang kelemahannya dan mencoleknya kerana ia pernah hilang di Shopping Kompleks di Putrajaya.


Bila datang moodnya untuk bermanja, ia mudah kita dakap dan kita boleh bercerita-cerita. Ia suka kalau ibunya membacakan padanya buku cerita. Alhamdulilah. Allah uji sedikit sahaja. Subhanallah. Semuanya ada hikmahnya.  Mungkin ia akan bersekolah  bersama-sama mereka yang sepertinya. Tetapi sekolah di Putrajaya tidak berpagar dan ditakuti ia mudah menghilangkan diri. Ibunya sedang berunding dengan sekolah yang berkaitan bagaimana anak-anak seperti ini diberi kemudahan yang sewajarnya. Saya berharap slogan "Rakyat Didahulukan" mengambil kira juga anak-anak dan orang-orang istimewa seperti Akif cucu saya.

Akif mendapat tempat istimewa dihati saya. Tetapi diumur senja ini tidaklah dapat saya membantu sepenuhnya. Hanya doa dipanjatkan kehadrat Allah,  Rabb yang maha pengasih dan maha penyayang semoga diturunkan pertolongan yang luar biasa bagi Akif dan semua yang istimewa sepertinya.

Amiin, Ya Rabb.....

...

No comments:

Related Posts with Thumbnails