"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, October 8, 2012

Menjana fikir di KambingKing.



Cerita kambing adalah satu nostalgia bagi saya. Kakak saya diberi tugas oleh bapak saya menjaga kambing waktu umur remajanya semasa perang dunia kedua. Dulu disebut perang Jepun.

Saya hanya mendengar ceritanya sahaja sebab saya anak bongsu dan banyak peristiwa hanya cerita sahaja dan tidak mengalami sendiri. Semua orang ketika itu hidup susah dan sentiasa dalam ketakutan terutamanya di zaman Komunis bermaharajalela. Kakak saya selalu menangis kerana takut pergi jauh mencari rumput ragut untuk beberapa ekor kambing jagaannya.Saya bertanyakan lagi berapa banyak kambing yang dijaganya. Dua puluh ekor mungkin lebih katanya. Ketika itu kambing biasa. Tidak ada teknologi kacukan pada penggembala biasa. Dan tidak ada rumput ragut yang khusus. Apa-apa yang boleh dimakan sahaja dan kata kakak saya dia selalu membawanya ke kebun kelapa dan makan rumput-rumput yang ada di sana. Usaha gigih emak dan bapak saya sebagai kaum pendatang Allah kurnia rezki yang mereka syukuri. Bila kakak saya prelu menyambung sekolahnya kambing-kambing dijual dan hasilnya dapatlah sedikit untuk memperbaiki rumah yang sudah gersang dimakan zaman. Alhamdulilah.

Bapak saya meninggal ketika saya berumur 16 tahun dan ia sangat uzur sejak saya berumur 13 tahun. Ketika saya mula sekolah menengah saya mula mengerti erti hidup yang serba kekurangan. Hingga kini saya terdidik untuk berjimat ceremat. Orang kaya kampung waktu itu pun peggembala kambing. Tetapi kambingnya dua atau mungkin tiga kandang banyaknya. Namanya terkenal di kampung sebagai Wak Rabidin. Pekerja pembantu ada beberapa orang tetapi dia sendiri akan menjaga sama. Dia marah kalau kita halau kambingnya dari kebun kita. Katanya kenapa kita lokek dengan binatang. Binatang bukan ada otak, katanya.. Kita yang ada otak kenapa tak fikir kasihan pada binatang? Ketika itu saya  akan lari jauh-jauh darinya takut dipukul olehnya. Kakak sulung saya hanya tertawa melihat saya kerana dia tahu Wak Rabidin bagus orangnya. Dia kaya tetapi selalu membantu orang kampung yang suasah. Kakak sulung saya adalah janda atau sekarang disebut ibu tunggal. Dia selalu mendapat habuan ubi keladi dan kekadang beras dari Wak Rabidin. Alhamdulilah. Semoga Allah menucuri Rahmat ke atas Ruhnya.




Maka apabila seorang kawan mengajak saya ke Ladang kambing di Batu Arang saya segera bersetuju. Suami saya ikut sama dan tujuan ke sana ialah untuk melihat kebarangkalian kami boleh membeli beberapa ekor sebagai percubaan semata-mata untuk kegunaan sendiri bersama dengan seorang teman. Bukan tujuan komersial yang sebenarnya.

Walaupun panas saya rasa segar dan teruja kerana melihat ladang yang indah luas terbentang. Kalaulah saya mampu atau anak-anak saya mampu punya ladang seperti itu insyaAllah badan boleh sihat kerana boleh membantu memberi makan kambing-kambing yang ada. (Angan-angan sahaja. Manakan mampu dalam usia yang ada.) Tetapi suami saya serious melihat potensi bisness membela kambing. Manakan tahu anak-anak hendak mencuba, katanya.

Ladang ini diberi nama "KambingKing". Maka kami dibawa round melihat ladang dan padang ragut yang luas yang boleh diusahakan. Sekarang baru saya tahu rumput ragut yang sememang baik bagi kambing.Rumput ini di campur dengan beberapa campuran termasuk vitamin untuk kambing jadi subur bagi maksud menentukan hasil daging atau susu berqualiti tinggi.

 
Pemandangan padang ragut yang melaut luasnya dan cantik dari segi pandangan mata.

Rumput ragut saya rakam supaya anak cucu saya tahu rupanya. Ia dikumpul dan di 'shread' dengan mesin.

Kemudian dicampur dengan bahan-bahan lain supaya kambing sihat dan subur.

Saya teruja melihat proses memberi makan kambing dan melihat peralatan yang ada, sambil senyap-senyap berdoa semoga suatu hari anak cucu saya dapat mewarisi perusahaan seperti ini. Ini satu inspirasi kerana Nabi Muhammad saw juga seorang penggembala kambing. Maka mengapa kita tidak mahu mencuba.
Kita boleh mencuba secara kecil-kecilan kata Haji Rosli, Pengusaha Ladang KambingKing ini.
Maka saya dan teman membeli 10 ekor kambing sebagai permulaan. Amat teruja sebagai aktiviti ringan diusia senja ini. Semua diurus oleh Pengusaha. Kami hanya membayar kos yang ditentukan setiap bulan.
Pada saat saya menulis ini kambing kami sudah bertambah 3 ekor kerana kambing yang bunting semasa dibeli sudah beranak. Alhamdulilah. Kami akan melawat Ladang dalam seminggu dua ini, insyaAllah akan saya "jual" idea ini pada anak lelaki saya.  Semoga dia berminat. Kita usaha, Allah menentukan.

Kambing-kambing "berbaris" menunggu giliran makan.

Ada juga kumpulan kambing yang diberi makan dikandang.

Berbekas dihati melihat apa yang berlaku. Teringatkan ayat-ayat Quran yang menceritakan betapa Allah berkuasa atas segala-galanya untuk menyara ciptaan makhluknya. Betapa bumi dihamparkan dan hujan diturunkan untuk memudahkan manusia mencari habuan bekalan hidup di dunia ini.

Kita renungkan beberapa ayat

A063
 Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah menurunkan hujan dari langit, lalu menjadilah bumi ini hijau subur (dengan sebabnya)? Sesungguhnya Allah Maha Halus serta lemah-lembut (urusan tadbirNya), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya (akan hal-ehwal sekalian makhlukNya).
(Al-Hajj 22:63) | | English Translation
A022
Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu.
(Adz-Dzaariyaat 51:22) | | English Translation

A012
Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu, supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintahNya, dan supaya kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya, dan juga supaya kamu bersyukur.
(Al-Jaathiyah 45:12) | | English Translation
A013
 Dan Ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.
(Al-Jaathiyah 45:13) | | English Translation
sumber :  surah.my


Maka kami rehat dipondok  berbincang-bincang  betapa besar kurniaan Allah sambil minum dan makan snek sebelum pulang untuk memikirkan apa kemungkinan peranan yang dapat kami mainkan untuk menaikan ekonomi keluarga khususnya dan orang Islam umumnya. Bila kuat ekonomi orang Islam maka akan bertambah potensi untuk berinfak bagi mencapi kesejahteraan orang Islam yang lebih luas dan dapatlah juga menjalankan kerja-kerja dakwah kepada golongan yang belum mengenal Allah dan keindahan Islam. Semoga Allah menunjuki jalan, menurunkan bantuanNya dan merahmati usaha kami yang kerdil ini.

....

2 comments:

Makbonda61 said...

Subhanallah,

Saya seperti tertark dengan sistem menghakmilik yang dijalankan.

Boleh Bonda sertakan bagaimana cara ketempat tersebut?

ngasobahseliman said...

Salam. Seronok dengar Simah suka aktiviti Kambing ni. Bonda tak tahu nak tunjuk jalan. Tapi boleh talipon terus Pengurus KambingKing, Tuan Hj. Rosli Md. Top, di talian 012-322 5804. Sebut nama bonda atau suami Hj Baharom Hassan dari Kg Tunku.
Semoga Allah mudahkan.

Related Posts with Thumbnails