"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Wednesday, October 17, 2012
Ke usia senja bersama....
Ini dua orang kakak saya yang bolih dikira masih aktif. (yang kiri 73 tahun dan yang kanan 76 tahun). Alhamdulilah. Kami lapan beradik dan tujuh adalah perempuan. Seorang meninggal semasa berumur 5 tahun. Kakak sulung dan kakak kedua telah lama meninggalkan kami. Seorang kakak telah uzur dan tidak dapat bersama kemana-mana kami pergi berkunjung sanak saudara atau jalan-jalan menghibur mata. Entah bagaimana, saya rasa bersyukur dapat membawa kedua kakak ini melawat Tokyo pada tahun 2006 dan tinggal dengan anak saya yang sedang menuntut di sana. Kami di sana selama 2 minggu dalam musim bunga. Cantik sekali keindahan kurnia Allah pada hambanya. Apt anak saya kecil sahaja dan pengalaman tidur dengan sleeping bag tidak akan saya lupakan. Ketika itu kakak saya pun sudah berusia senja. Tetapi masih boleh berjalan cepat-cepat mengejar kereta api. Maklumlah, semuanya pantas dan laju. Kami orang kampung manakan biasa cara hidup laju begitu.
Nak cerita sikit. Saya rasa dimanjakan oleh kedua kakak saya ini. Saya adik bongsu dan saya sentiasa kecil dipandangan kacamata mereka. Kalau saya ke rumahnya, mereka sibuk masak untuk saya. Dan bila mereka ke rumah saya, mereka juga yang sibuk masak kat rumah saya. (Like I am still the baby in the family). Kalau saya balik kampung tak miss dapat habuan untuk bawa balik ke KL sayur-sayur kampung....pucuk ubi, pucuk daun sengkel, daun turi, limau kasturi dan berbagai lagi. Tetapi bila usia meningkat kuranglah sedikit kebiasaan ini. Saya catat di sini sebagai merakam penghargaan saya. Rasa sayu bila sampai ke usia ini.
Lagi satu cerita ingin saya kongsi. Kedua-duanya masih fasih berbahasa ibunda kami, Jawa.(kami keturun pendatang dari Solo, Indonesia). Saya agak kurang sedikit sekarang ini kerana sudah tidak ramai di sekeliling saya yang becakap Jawa. Lebih sepuluh tahun dulu semasa berkerja ada juga peluang bercakap dengan seorang dua teman yang sama bendera. Tetapi sekarang hanya bersembang Jawa bila saya bersama dengan kakak-kakak yang hanya tiga atau empat kali setahun apabila kami berkampung di musim cuti. Saudara-saudara yang lebih tua sudah ramai yang tidak ada. Kami bertiga menunggu giliran. Semoga perjalanan hidup kami dalam redha Allah jua. Kedua kakak saya ini adalah balu belaka dan bemesra seharian dengan anak cucu yang berdekatan.
Untuk tidak pupus sama sekali bahasa Jawa dalam keluarga saya, saya bahasakan diri saya EMBAH pada cucu-cucu dan cucu saudara. Seperti panggilan Nenek, Tok Mama dan sebagainya, cucu-cucu saya akan jerit panggil "embah" di tempat ramai diikuti dengan bahasa Inggeris. Ada beberapa orang yang agaknya faham apa itu "embah" akan menoleh melihat kami. Embah dan speaking London semacam suatu yang lucu. Saya senyum seronok. Juga suami saya yang mereka panggil TokAyah. Suami saya berketurunan Petani sedikit. Itu sahaja warisan Jawa yang termampu. Saya rasa kaum Jawa yang Asli yang datang ke sini agaknya sudah hampir 'pupus'. Sedih.....
Itulah adat hidup di dunia. Semuanya melalui perubahan. Adat kata lama kelamaan kita akan tinggal berseorangan dan berjauhan. Hakikatnya anak-anak terlalu sibuk. Semasa berkerja dahulu seorang teman takut kalau anaknya akan menghantarnya tinggal di rumah orang-orang tua. Saya katakan bahawa mereka tidak akan hantar kita. Kita terpaksa pergi cari sendiri dan register sendiri sebab anak-anak terlalu sibuk, kerja hari-hari. (Mungkinkah?) Marah teman saya pada saya, kenapa kata begitu. Saya tarik balik dan ajak sama-sama berdoa semoga anak-anak masih ingat pada ibu-ibu tua dan bapa-bapa tua.
Teringat saya kata seorang ustaz dalam kelas pengajian. Rasulullah saw tidak pernah doa minta panjang umur. Tetapi kita orang di rantau ini khusus orang-orang Melayu selalu berdoa murah rezki dan panjang umur. Eluknya kita berdoa semoga umur yang Allah kurnia dimunafaatkan untuk Islam. Tidak kira umur panjang atau pendek. Allah menilai usaha kita. Suami saya selalu kata pada anak-anak. Allah suka melihat orang tua beramal ibadat tetapi Allah lebih suka melihat orang muda betul-betul pulun beribadat. Di umur tua kalau rajin pun seperti sudah tidak banyak cabaran berbanding ketika muda. Saya selalu diingatkan: Hidup pada hari ini sahaja yang pasti. Esuk lusa belum tahu. Berbuat baik jangan bertangguh-tangguh. Semoga Allah sentiasa menunjuki jalan.
Dari segi kesihatan dalam tiga beradik ini sayalah yang kurang sekali. Saya semuanya ada. (I am a high flier.... High sugar, high cholesterol, high pressure). Dan lain-lain lagi. Saya berusaha menjalani gaya hidup sihat tetapi sekejap okay, sekejap tak okay. Pada umur yang sama sekarang, kakak-kakak saya dahulu masih boleh berkejaran menjaga emak saya. MasyaAllah. Kurnia Allah siapa yang tahu.
Rasa sebak pula mengingat kembali kesungguhan kakak-kakak menjaga emak saya. Maka saya berhenti di sini dulu. Saya yang paling sedikit menjaga emak saya kerana ketika itu masih berkerja. Walau bagaimana pun saya cuti setengah gaji menjaga emak saya dan terus sambung bersara mandatori. Peluang menjaga emak sepenuh masa hanya selama setahun. Emak saya meninggal pada tahun 2004 dalam umurnya lebih kurang 95 tahun. Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya dan menempatkan ruhnya bersama-sama ruh para siddiqin, syuhadak dan solihin. Doa itu kami pohon untuk semua dan semoga kami bertemu kembali di Syurga Firdaus tanpa hisab dengan Rahmat Allah jua.
Ameen Ya Rabb....
.......
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment