"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, October 3, 2012

" Belajar Dari Jinn ? "



Nak cerita pasal Jinn pulak.......

Tidak berilmu nak cerita, nanti lagi bingung dan jadi bahaya. Suami saya mengingatkan.

Betul tu. Cuma ada seorang dua teman sesama kelas  mengaji yang kata nanti saya jadi syirik sebab percaya Jinn boleh menyebabkan sesuatu berlaku pada diri kita.
Maka saya kenalah berhati-hati dan cepat-cepat berfikir semula sama ada cara saya bercakap atau bercerita  itu telah mengelirukan orang yang mendengarinya.
Jinn memang tidak ada kuasa mutlak. Macam manusia juga. Kuasa mutlak hanya  milik Allah yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa. Manusia dan Jinn hanya diberi pilihan berbuat sesuatu. Mereka tidak diberi kuasa mutlak.Mereka boleh pilih yang baik dan boleh pilih yang sebaliknya.

Ayat Quran jelas mengatakan Iblis enggan dan engkar sujud pada Adam kerana merasakan dirinya lebih hebat. Adam dijadikan dari tanah tetapi Iblis dijadikan dari api. Iblis melihat asal kejadiannya dan tidak melihat Zat yang menjadikannya. Maka itulah dia jadi sombong. Maka Allah murka dan kerana keengkaranya itu Iblis dihukum dan akan menjadi penghuni Neraka Jahanam selamanya. Iblis dengan sombongnya tidak mahu berganjak dan bertekad akan menyesatkan manusia supaya mereka juga akan masuk Neraka Jahanam. Allah tidak melarangnya berbuat demikian kerana Allah tahu hamba-hambanya yang bener-benar beriman dan bertaqwa tidak akan berjaya dihasut oleh Iblis. Malahan Iblis amat takut pada manusia yang amat teguh beriman dan bertaqwa. Contohnya ialah Saidina Umar Al Khatab. Iblis akan menyimpang jalan takut berjumpa atau berselisih jalan dengan Khalifah Islam yang agung itu.

Jinn adalah makhluk Allah yang halus dan tidak bolih kelihatan dimata manusia biasa. Perihal makhluk ini Allah ada ceritanya  dalam alQuran surah Al Jinn. Dalam satu kelas pengajian oleh Ustaz Kariman, ia menjelaskan beberapa maksud ayat yang saya sendiri baru memahami dengan agak lebih sedikit. Amat sedikit sekali.  Hampir semua orang tahu bahawa Allah ciptakan manusia dan jinn semata-mata untuk mengabdikan diri padanya. Dalam surah al Jinn, Ustaz kariman menarik perhatian kepada beberapa perkara beriku. Kita lihat dulu ayat ini:

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
A001 Katakanlah (wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!
A002 `Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.
A003 `Dan (ketahuilah wahai kaum kami!) Bahawa sesungguhnya: tertinggilah kebesaran dan keagungan Tuhan kita daripada beristeri atau beranak.
A004 `Dan (dengan ajaran Al-Quran nyatalah) bahawa sesungguhnya: (ketua) yang kurang akal pertimbangannya dari kalangan kita telah mengatakan terhadap Allah kata-kata yang melampaui kebenaran;
A005 `Dan bahawa sesungguhnya (nyatalah kesalahan) kita menyangka bahawa manusia dan jin tidak sekali-kali akan berani mengatakan sesuatu yang dusta terhadap Allah.
A006 `Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.
A007 `Dan bahawa sesungguhnya (tidaklah benar) manusia menyangka sebagaimana yang kamu sangka, bahawa Allah tidak sekali-kali mengutuskan sebarang Rasul (atau tidak akan membangkitkan manusia pada hari kiamat).

sumber: http://www.surah.my

Jelaslah Iblis dan Jinn itu telah mendengar Al Quran yang diturunkan oleh Allah swt kepada Nabi Muhammad saw. Dan Nabi Muhammad saw telah menerangkan perihal Iblis dan Jinn ini pada manusia bahawa mereka itu adalah golongan yang melampaui batas. Maka jangan manusia mengikuti kehendak mereka dan turut melampaui batas. Tetapi dalam ayat 6 di atas ada manusia yang meminta pertolongan kepada ketua-ketua goglongan Jinn, seolah-olah Jinn berkuasa berbuat sesuatu. Maka Jinn menjadi bertambah sombong dan jahat.

Semua perbuatan adalah dengan izin Allah. Tidak ada kekuatan pada sesuatu melainkan kekuatan itu datangnya dari Allah. Tetapi ada perbuatan yang Allah izin berlaku tetapi Allah tidak meredhai perbuatan itu.
Maka jangan sekali-kali kita meminta pertolongan Iblis dan Jinn.

Sehubungan ini saya tidak bersetuju cerita-cerita drama dalam TV yang berkisar atas kuasa Jinn kerana ini boleh menyebabkan orang yang biasa-biasa pengajiannya tidak akan memahami hakikat sebenar kewujudan Jinn dan Iblis. Seseorang itu boleh sesat dan kemudian meyesatkan orang lain pula. Mengapakah fenomena di TV atau mungkin  di panggong wayang dibiarkan beleluasa. Siapakah yang bertanggongjawab mengawasinya?

Mereka yang tertipu belajar dari Jinn tanpa disedari kerja itu syirik. Maka jadilah kemudharatan di atas muka bumi ini. Jadilah huru hara dalam masyarakat dan keluarga jadi berpecah belah dan berbagai lagi. Jika kita minta yang jahat Allah akan beri yang jahat. Eloklah kita belajar sedikit sebanya fenomena ini supaya tidak tergelincir dari landasan Iman dan Taqwa.

WaAllahu'alam.
...

No comments:

Related Posts with Thumbnails