"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, February 7, 2019

Bersama di hari tua.........




Ibarat umur sudah senja......

Dalam perjalanan pulang melalui Puchong dari rumah abang saya di Shah Alam, teringat-ingat sejarah hidup yang membawa kami adik beradik hingga ke umur ini.

Abang saya 3 tahun tua pada saya. Saya bongsu. Dia pergi ke Asrama penuh The Royal Military College yang ketika itu di Port Dickson. Kami berbeza dalam banyak hal. Tetapi dalam umur tua ini kami tidak lagi memikirkan perbezaan. Kami mencari persamaan terutamanya persamaan prinsiip hidup yang di wariskan emak/bapak kami. Saya agak terharu kerana dalam perbualan kami kali ini abang saya banyak bersetuju dengan pendapat saya dan kakak-kakak saya. Alhamdulillah.



Abang saya banyak bercerita tentang dosa pahala dan ilmu yang kita perlu ada sebagai asas beramal secara betul. Deria ingatannya sudah berkurangan dan saya pun begitu. Kekadang kami lupa fakta dan ada kalanya kami lupa perkataan yang seharusnya diguna untuk menerangkan sesuatu.
Saya sendiri kekadang lupa mengira rakaat dalam solat. 
Semoga Allah mengampuni dan 
berdoa semoga deria rasa, deria lihat, deria dengar dan lain-lain deria 
Allah sampaikan ke akhir hayat.



Abang saya amat kurus kerana kurang selera. Kami bercerita lawak
 semasa kami kecil-kecil dahulu. Terdetik di hati saya kenapa kali ini
 ia tidak "berbalah"  dengan saya mengenai hal--hal keluarga. 
Adakah ini kali terakhir kami bersama
 bersembang santai. Tetapi cepat-cepat saya beristighfar.
Semoga Allah masih anugerah kami ruang dan peluang untuk bermesra kerana Allah.


Kami makan bersama tengah hari itu. Kakak ipar saya menghidangkan menu yang saya suka...berasas tempoyak. amat menyelerakan. Alhamdulillah.
Saya amat hargai perjumpaan kami adik beradik di umur tua ini. 
Sering kami cerita umur tua emak/bapak dahulu. Kami merasai kehilangan dan kami kerinduan.
Semoga anak cucu kami akan ingat kami apabila kami sudah tiada.
Apapun saya berpendapat kita harus berusaha sendiri dalam semua amalan untuk hari di mana tidak ada siapa yang peduli. Jika anak cucu ingat dan sering mendoakan kita, kita simpan sebagai bonus.
Semoga Allah sentiasa melimpahkan RahmatNya yang tidak terhingga
 sekarang dan seterusnya hingga ke Syurga. 
Aamiin ya Rabb....


..........

No comments:

Related Posts with Thumbnails