"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, February 18, 2019

Bicara mata untuk hati.....




Semua deria rasa yang Allah kurnia tiada tepian nilainya. Namun Allah tidak kurnia semua deria pada semua makhluk ciptaanNya. Ada yang lahir tiada deria lihat, ada yang lahir tiada deria dengar dan ada berbagai deria halus yang Allah kurnia yang kita tidak dapat merasainya dan melihatnya secara sedar. Allah maha Pengasih dan Penyayang dan maha Bijaksana. Limpah rahmatNya dirahsiakan.

Sejak didalam rahim ibu Allah sudah kurnia deria dengar dahulu. Beberapa ayat alQuran telah menyebutnya. Deria lihat tidak jelas hingga seorang bayi berumur sekurang-kurangnya sudah melepasi 3 bulan. Pasti ada hikmahnya. Seorang bayi mengenali seseorang terutama ibunya dari deria bau, deria dengar suara dan deria rasa sentuhan pada dirinya. MasyaAllah.....

Biasanya manusia tidak menghargai kurniaan Allah hinggalah deria itu Allah ambil balik. Kini saya amat merasai. Deria lihat sudah mula bermasaalah dan deria ingat juga berkurangan dengan meningkatnya umur. Namun saya menyedari hakikat bahawqa ada manusia yang Allah kurnia deria yang penting baginya terus dirasai hingga ke umur amat lanjut. Pastinya ada rahsia yang saya dan ramai kita tidak mengetahuinya.

Saya berfikir-fikir tentang deria lihat terutamanya semasa di wad hospital menanti pembedahan dan setelah pembedahan. Saya lihat ada yang mudah menjalani apa yang perlu dijalani. Ada yang muntah-muntah hingga kedengaran diruang sebelah. Ada yang kerap bersedih. Jiran katil di tepi saya tidak dapat menjalani pembedahan kerana paras gula tinggi dan mengambil masa untuk merawatnya. Ia dibenarkan pulang denagan arahan menjaga pemakanan dan memakan ubat secara kosisten. Bila keadaannya stabil barulah pembedahan matanya bolih dilakukan. Menangis bila bercerita kerana dalam keadaan yang ada dia sudah amat tidak dapat melihat dengan jelas. Jika berhadapan pun ia tidak nampak rupa bentuk muka siapa yang dihadapannya. Dia mengenali dengan deria dengar suara.

Saya rasa insaf dan bersyukur kerana masih diberi peluang untuk membuat rawatan memulihkan deria lihat saya sebaik yang mungkin. Teringat saya bapak saya juga menghidap kencing manis dan bapak saya langsung tidak dapat melihat selama 2 tahun sebelum ia meninggal dunia. Saya bongsu dan tidak dibawa berbincang mengenai deritaan bapak saya. Cuma sedikit-sedikit sahaja yang saya fahami bahawa emak saya mencari ubat kampung untuk merawat matanya. Tersedih saya mengingatinya kerana waktu itu tidak ada siapa dalam keluarga yang berpengetahuan dan berkemampuan. Dalam kes saya sekarang tiada kos yang saya tanggong kerana saya pesara kerajaan persekutuan. Tetapi saya tahu kos membeli lensa pun berharga rm1,200/-. Itu belum kos pembedahan dan perubatan. Pasti bukan semua pesakit mampu membayarnya. Entah berapa bilangan pesakit penglihatan agaknya yang terpaksa berterusan menderita tanpa mendapat perhatian perubatan. Mungkin bilangan yang menjadi buta seperti bapak saya besar juga. Siapa yang tahu.......

Tersedih memikirkannya. Namun saya yakin Allah maha Adil. Pasti ada anugerah lain  sebagai ganti yang saya tidak tahu dan ramai kita tidak tahu. Allah menilai keikhlasan dan keredhaan kita menerima segala ketentuan Allah. Pasti ada hikmahnya. Cuma sebagai manusia biasa saya terkenang-kenang pengalaman saya diakhir-akhir umur bapak saya. Emak saya tugaskan saya membawa bapak jalan-jalan waktu petang di halaman rumah. Saya pegang sebelah tangan dan sebelah yang lain memgang tongkatnya. Kekadang dia tegur saya kalau jalan agak cepat. Saya "gelak" dan jalan setapak demi setapak. Waktu itu umur ayah saya sudah melebihi pertengahan sembilan-puluhan. Saya berumur 12/13 tahun. Semoga doa saya untuknya dan untuk emak sejahtera bahagia di alam barzah kesampaian. Aamiin.......

Saya ada seorang teman dalam jemaah Masjid yang bermasaalah kedua matanya yang rumit kerana keturunan yang terpaksa di keluarkan dan diganti baru melalui "donar proram" bagi kedua-dua matanya. Ia terpaksa menunggu beberapa bulan menanti habuan donar yang redha matanya diberi pada orang lain selepas ia meninggal dunia. Panjang ceritanya dan saya amat mengingatinya sekarang ini. Bukan mudah menjaga mata yang diberi oleh orang lain. Teman saya ini amat bersabar dan dengan mata ehsan itu ia dapat melihat agak baik dan bolih membaca. Ia amat bersyukur dan sentiasa ceria. Kebelakangan ini saya telah mendapat tahu bahawa kedua-dua matanya bermasaalah lagi. Semoga Allah kurnia yang terbaik baginya disisiNYA.

Bicara mata untuk hati akan berterusan selagi hayat dikandung badan. Ini belum lagi kita mengambil iktibar dari masaalah-masaalah yang lain. Semoga Allah mengurnia hati saya redha atas segala ketentuanNya. Ya Allah Engkau yang maha Kasih Sayang dan semoga hidup kami semua di muka bumi ini dalam dakapan kasih sayang Rahmat Mu yang tidak terhingga.
Aamiin ya Rabb.....


.....................

No comments:

Related Posts with Thumbnails