"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, February 27, 2019

Tidak 'kerasan' di Putrajaya ?.....




Alhamdulillah, dengan izin Allah pada akhir Ogos 2018 saya sekeluarga berpindah ke Putrajaya. Saya berbelah bagi dengan keputusan keluarga untuk berpindah kerana saya dalam umur dewasa tua ini amat khuatir perlu meredah hidup di kawasan baru.

Rumah yang baru pindah adalah seperti foto disebelah, berhampiran dengan kawasan tasek Putrajaya. Sebelum ini saya tinggal di Kg Tunku SS1, Petaling Jaya. Hampir 30 tahun mengharung pahit manis membesarkan anak-anak sambil bertarung kerja di Perkhidmatan Awam. Saya bersara pada tahun 2003. Alhamdulillah. Kini sudah 15 tahun jadi 'Boss' sendirian.

Suami memujuk saya supaya bersetuju pindah kerana di Putrajaya akan hampir dengan rumah adik beradik suami saya yang lain dan ramai anak-anak buah yang tidak jauh dara bandar Putrajaya. Anak perempuan saya pun menetap di Precint 15 dan anak lelaki saya di Puchong yang lebih berhampiran. Ada anak saudara tinggal di Pinggiran Putrajaya dan kakak saya dari Pontian kerap ke rumah anaknya ini. Maka dapatlah saya bertemu bersembang santai dengannya agak kerap berbanding dahulu.

Bagi anak-anak kami pula, mudahlah bagi kami berkumpul setiap hujung minggu atau sekurang-kurangnya 2 kali sebulan atau bila-bila masa saya dan suami memerlukan pertolongan. Adik suami saya yang amat rapat ada di Cyberjaya dan mereka sering singgah di rumah kami apabila berbasikal riadah pada hujung minggu. Keluarga adik suami saya juga tinggal berjiran rapat di perumahan Ferra di Percint 8.

Dari aspek ini berhijrah ke Putrajaya sememangnya lebih baik kerana mudah berurusan jika ada hal kecemasan berbanding tinggal di Kg Tunku Petaling Jaya. Tetapi hati saya tidak berapa "kerasan" wal;aupun kini sudah melebihi 6 bulan saya di Putrajaya. Agaknya kalau emak saya ada bersama sekalipun saya rasa dia juga tidak kerasan lama bersama saya.

Apa itu "kerasan" ?
Ini perkataan Jawa . Saya keturunan pendatang.  Ertinya : Rasa senang, nyaman, seronok dan tahan tinggal di sesuatu tempat.

Saya rasakan kalau dapat bersembang dan bertanya-tanya hal dengan arawah emak dan bapak saya mengenai rasa berhijrah jauh dari Pulau Jawa ke Malaya waktu itu, saya rasa pastinya mereka  juga tidak kerasan. Tetapi desakan hidup membuat mereka tumpu perhatian ke hadapan dan melupakan kemesraan dan kenyamanan hidup yang ditinggalkan. Di Malaya tidak ada sanak saudara. Terpakasa bermula tanpa bekalan yang sesuai dan mencukupi. Kesabaran yang luar biasa dengan izin Allah menghasilkan saya dan yang lainnya sekarang ini. Ini cerita ringkasnya. Oleh kerana saya lahir di sini dan cuma mula membesar ketika emak dan bapak masih ada, maka saya tidak terasa pun rasa "kerasan" atau "tidak kerasan". Saya lalui hidup seadanya.






Kini sudah lebih enam bulan tetapi masih belum rasa selesa di hati saya. Kekadang saya rasa sayu kehilangan kekawan rapat sebaya yang tinggal di Kg Tunku. Saya tinggalkan kekawan sesama mengaji, berTaichi dan berjalan kaki di sekeliling Tasik Taman Aman Petaling Jaya. Saya tidak lagi menyertai aktiviti  sosial dan dakwah Masid Kg Tunku dan Ngo PAKATAN yang saya anggotai. Di Petaling Jaya saya mampu berjalan kaki ke Masjid jika amat perlu. Saya rasa selamat kerana suasana kampung masih dirasai.


Di Putrajaya saya masih belum dapat "meronda-ronda" semua pelusuk Putrajaya. Saya hanya tahu arah jalan untuk ke pasar kecil bagi maksud membeli barang-barang dapur dan juga di pasar raya yang berdekatan. Saya dan suami masih merujuk Doktor di PPUM. Maka masih seringlah ke Petaling Jaya. Tetapi peluang untuk ziarah kekawan lama lama di Kg Tunku sedikit sekali. Hakikatnya,.. lagi umur meningkat lagi singkatlah masa.





Bangunan-bangun yang memaku pandangan saya setiap kali saya berurusan  ke pasar atau pergi ke PPUM adalah bangunan di sebelah kiri ini. Bangunan SPRM. Sejarah hidup saya sekeluarga  di warnai juga dengan apa yang berlaku di tempat ini walau pun secara tidak langsung. Perbualan anak-anak buah tidak lari jauh dari fakta yang berlegar di kawasan ini, antara lainnya.

Kekadang saya sebut juga rasa hati saya pada suami dan anak-anak untuk mendapat fikiran mereka dan mungkin dapat membantu saya  menerima hakikat bahawa hijrah buka suatu yang mudah dari apa sudut sekalipun. Saya harus bersabar dan cuba menyesuaikan diri dan fikiran sebaik yang mungkin.

Saya cuba "mententeramkan" diri di perumahan baru kerana banyak hal yang tidak serupa. Saya katakan pada diri supaya jangan banyak "songel" semata-mata kerana berpindah rumah dan terpaksa menyesuaikan diri dalam keadaan yang baru. Saya kehilangan teteman yang sebaya. Tetapi tidak bererti kejiranan baru di Putrajaya yang muda dan sibuk dengan kerjaya tidak bolih menerima saya semata-mata kerana umur. Saya harus banyak membuat penyesuaian mengenai aktivi sosial kejiranan yang ingin saya ingin sertai dan pilihan kelas pengajian mana yang saya lebih memerlukan. Jika kelas atau majlis Ilmu yang saya inginkan itu jauh dan saya tiada kemampuan menyertainya, maka saya pujuk diri untuk mendengari ceramah Ustaz-ustaz Google yang ada di UTube. Pasti ada hikmah sebagai stratedi mencari Ilmu dalam laluan alternatif. Pasti ada hikmahnya. Saya berdoa semoga Allah menunjuki jalan yang terbaik menuju destinasi yang memang sudah dijanji.

Hari demi hari saya  mula berhenti "menyalahkan" keadaan atas apa yang saya lalui yang membuat saya kurang "seronok". Kata seorang teman: Apa yang hendak disedihkan hilang teteman sebaya? Bukankah akan menjadi satu hakikat bahawa lambat laun kita akan kehilangan semua kekawan dan kekawan pun akan kehilangan kita. Itu fakta. Siapa dahulu yang kehilangan kita tidak tahu dan kita terima sahaja dan menerima hakikat bahawa hidup ini sementara sahaja. Pegang pada fakta bahawa jika kita bertemu dan berpisah kerana Allah maka tidak ada apa suatu pun yang akan dikira merugikan. Ingatkan keseronokan bersama kekawan lama dan itu adalah kurniaan Allah yang bolih dijadikan semangat untuk menerima hidup ini seadanya dan banyak bersyukur dan rasa redha atas segala ketentuan yang Allah pilih atas diri kita dan semua yang kita sayangi.

Ketenangan mula menyusr kehati.....



Semoga ada kebaikannya tinggal di Putrajaya. Saya sudah minta anak saya bawa saya putar-putar di hujung minggu dan bila saya sudah tahu hala tuju di daerah ini, In sya Allah saya boleh meronda-ronda berseorangan mencari apa yang saya tidak tahu dan apa yang tidak dapat dilihat dan dipelajari semasa di Kg Tunku. Harus berfikiran positif dan bertindak positif. Saya diingatkan untuk terus berbuat sesuatu yang membawa munafaat pada diri dan ahli keluarga disekeliling kita bila berpindah ke Tempat Lain secara total dan final yang tidak seminit di segerakan dan tidak seminit dilewatkan.

Semoga Allah menerima kita dan semoga saya dan semua yang saya sangai, jauh dan dekat menjadi orang--orang yang Allah sebut dalam ayat Quran seperti berikut:

A027
(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! -
(Al-Fajr 89:27

A028
"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! -
(Al-Fajr 89:28) |

A029
"Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia -
(Al-Fajr 89:29

A030
"Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! "
(Al-Fajr 89:30) |


Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita dan menganugerah atas kita Syurga Firdaus tanpa hisab untuk kita dan semua yang kita sayangi jauh dan dekat dengan RahmatNYA semata-mata.
Aaminn ya Rabb......


........

No comments:

Related Posts with Thumbnails