"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, August 3, 2010

BINA SENDIRI KEKUATAN DIRI



Hari ini saya ingin berkongsi fikiran tentang pembinaan jati diri bagi seorang wanita. Wanita adalah ibarat bunga. Ia berbagai rupa dan berbagai kewangiannya dan berbagai pula tempat tumbuhnya.Namun apa pun, ia tetap bunga dan akan mendapat perhatian walau di mana ia berada.

Kadang-kadang kita tidak nampak keindahan bunga itu kerana ia tumbuh di semak-semak di kampung. Kita selalaunya akan memfokus pada bunga yang istimewa seperti rose dan orkid, terutamanya apabila ia di pamerkan dalam expo bunga-bungaan. Namun bunga tetap bunga. Ia disukai bukan sahaja kerana kecantikannya dan bukan sahaja kerana kewangiannya tetapi kerana hakikatnya bahawa walauapa pun jenis dan warnanya ia menambah keindahan suasana sekelilingnya.

Wanita pun demikian juga. Walaubagaimana pun kecantikannya,  wanita tidak di lihat dari segi paras rupa semata-mata tetapi pada kekuatan mindanya dan kehalusan budi pekertinya. Kesemua ini adalah suatu fakta yang relatif, tetapi dalam Islam ada kriterier-kriterier dan batasan-batasan tertentu dalam membuat penilaian seorang wanita. Walau apa pun, wanita adalah tonggak keluarga dari segi mengasuh dan mendidik anak. Walaupun ini memerlukan  kerjasama suami isteri, tetapi isteri dilihat sebagai yang lebih utama. Wanita sebagai wanita, wanita sebagai ibu dan wanita sebagai isteri adalah satu tugas yang amat berat. Bila ditambah pula dengan kepentingan kerjaya, maka wanita harus pandai mengurus diri sendiri sebelum ia boleh mengurus anak, keluarga, rumah tangga dan kerjaya.

Teman-teman seperjuangan sama-sama peka tentang jati diri.

Tetapi siapa yang akan membina wanita supaya ia serba boleh, ke kiri boleh dan ke kanan pun boleh, ke majlis boleh dan ke dapur pun boleh.

Wanita mesti bertekad untuk membina dirinya sendiri. Jangan bersifat ikut-ikutan kerana langkah ini adalah berbahaya. Justeru wanita mesti berilmu. Kelulusan diploma, ijazah dan ijazah lanjutan belum menjamin seorang wanita itu akan benar-benar berjaya dalam hidupnya. Dan kejayaan di sini bukan di ukur dari segi professionalisma dalam kerjaya semata-mata dengan pendapatan yang lumayan tetapi ia diukur bagaiman ia dapt mengurus semua tugasan dengan kreativiti yang luar biasa tahapnya.

Kekuatan tidak akan tercapai jika kita tidak mengenal Allah yang maha Pencipta. Bersungguhlah mencari ilmu untuk mengenal Allah.(Ustaz selalu mengingatkan) Di Malaysia sekarang ini tidak ada masaalah bagi sesaorang mencari ilmu, terutamanya bagi mereka yang Allah kurnia keupayaan berfikir dan berkemampuan wang ringgit. Ilmu itu kemudiannya diamalkan. Tidak bermunafaat ilmu itu sekirangnya kita tidak mengamalkannya. Tiap-tiap seorang daripada kita adalah bertanggongjawab pada diri masing-masing.Allah berfirman yang bermaksud:
"Dan setiap manusia telah kami kalongkan(catatan) amal perbuatannya di lehernya. Dan pada hari Qiamat kami keluarkan padanya sebuah kitab dalam keadaan terbuka."
"Bacalah kitab mu, cukuplah dirimu sendiri pada hari ini sebagai penghitung atas diri mu." Surah Al Isra' ayat 13-14.

Kita bina iman dengan ILMU DAN AMAL.. Dengan ilmu semua jenis Ibadah dapat dihayati. Cuma kita perlu kesungguhan dan kesabaran. Dalam usaha membina kekuatan dan jati diri dan apa jua yang kita lakukan untuk mendekatkan diri pada Allah, semestinya kita diuji dengan berbagai perkara. Allah berfirman dengan maksud:
"Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang pada kamu (cubaan / ujian) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kesusahan dan  penderitaan dan digoncang sehingga rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, 'Bilakah akan datang pertolongan Allah?' Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat." Surah Al Baqarah, ayat 214.
Itu sahaja bicara kecil saya hari ini. Saya sendiri memohon ampun dan sentiasa berdoa Allah memeberi Rahmat NYA yang tidak terhingga di mana jua saya berada dan apa jua amal ibadah yang saya lakukan. Hanya Allah tempat kita bergantung.
Semoga Allah emudahkan kita semua dan meredhai usaha kita. Amin.

No comments:

Related Posts with Thumbnails