"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, December 20, 2010

TERKENANG SEJENAK







Seminggu dulu saya dan suami pulang ke Kampung Sungai Batu, Selama Kedah untuk ziarah bapa saudara yang terkena stroke baru-baru ini. Saya katakan pada suami saya kali ini saya ingin menulis sedikit "sejarah hidup" keluarga Allahyarham ayah, Hj. Che Hassan bin Hj. Che Teh  dalam konteks masyarakat kampung yang ada sekarang.

Gambar di atas adalah rumah keluarga yang telah ditinggalkan dan tidak dihuni lebih 30 tahun yang lalu. Tetapi rumah ini masih agak teguh dan digunakan oleh saudara di Kampung untuk menyimpan barang-barang kedai runcit  yang menumpu pada jualan barang-barang segar sahaja seperti ikan dan sayur-sayur.


Ini Suami saya berdiri di hadapan rumah yang telah usang. Keluarga sudah memutuskan tidak akan meruntuhka rumah ini hingga ia runtuh sendiri. Anak-anak Hj Che Hassan sekarang ini kesemuanya sudah berada di Petaling Jaya, Shah Alam, Bangi dan Cyber Jaya, masing-masing menncari rezki bekerja sendiri. Sebuah Syarikat keluarga telah dibentuk dan alhamdulilah berkat ketabahan dan kesabaran, dan yang penting, kurnia Allah yang tidak terhingga, semuanya dapat berdikari.

Dahulunya Allahyarham ayah adalah pekebun getah, dan kemudiannya membuka kedai runcit dan juga menjadi peniaga kecil membeli barangan hasil orang kampung untuk di jual di pekan-pekan berhampiran. Ayah juga pernah bekerja dengan syarikat perlombongan tetapi tidak lama. Agak sentimental ziarah kami pada hari itu dan kami mengambil gambar bersama saudara yang ada dekat dengan rumah seperti yang di bawah ini. Mereka adalah pekebun getah seperti dahulu. Suami saya mengingat kembali bagaiman susah payah emak dan ayah untuk membina kehidupan yang berlandaskan Islam setepat mungkin. Ayah menggalakan anak-anak berniaga melalui contoh. Suami saya menjadi "pengikut" setia dan adik-adik (yang jauh perbezaan umur) ikut sama. Latihan keusahawanan adalah  melalui  pengalaman ayah dan abang. Alhamdulilah, Allah menunjuk jalan yang terbaik.


Rata-rata rumah di kampung ini tidak banyak berubah sejauh ingatan saya. Ini agak menyedihkan  kerana kita sudah Merdeka lebih 50 tahun. Bangunan yang nampak dilatar belakang adalah bangunan Masjid lama yang tidak digunakan oleh orang kampung sejak dulu-dulu lagi yang enggan solat berjemaah di Masjid itu kerana ia di biyayai dengan dana wang Loteri Kebajikan Masyarakat pada satu ketika dahulu. Haram hukumnya kata Allahyarham Ayah, bapa mertua saya. Beliau pergi solat ke Masjid di Kampung yang lain. Masjid yang baru telah pun dibina tidak jauh dari tapak yang ada sekarang. Tetapi mengikut Suami saya  ia masih tidak dimunafaatkan sepenuhnya. Masih segelintir sahaja penduduk yang datang solat waktu berjemaah. Waktu subuh biasanya 3 atau 4 orang sahaja termasuk imam dan bilal. Dewasa muda tidak kelihatan sama sekali. Bilangan untuk Jumaat pun tidak  menggalakan.

Mengapa agaknya demikian. Kawasan ini di pegang oleh wakil rakyat PAS. Saya khuatir penyokong PAS dan saya percaya  penyokong-penyokong BN juga  tidak ramai yang berpengetahuan agama Islam secukupnya. Sebab itulah kita sekarang ini menjadi seperti kita sekarang ini, iaitu 'nampak maju tetapi sebenarnya tidak maju'. Fikir-fikirlah sendiri maksud saya ini.

Kerajaan Negeri sekarang ini ialah PAS dan ada kebarangkalian PAS mahu dipersalahkan. Tetapi BN telah memerintah sekian lamanya. Adakah sememngnya Ilmu Agama tidak dititikberatkan. Suami saya pun tidak dapat menjawab. Yang nyata sekali mereka yang pandai-pandai telah berhijrah keluar ke bandar-bandar lainnya. Maka bagaimana keadaan ini dapat diperbaiki. Gerakan dakwah nya lemah sekali. Mengapa agaknya. Saya berkata kepada suami  bahawa kita tidak boleh menyalahkan orang lain sahaja. Kalau pihak pemerintah tidak berusaha untuk Dakwah yang sewajarnya, maka bijak pandai yang berasal dari Kampung itu seharus membentuk kumpulan dakwahnya sendiri dan pulang ke Kampung untuk berdakwah mengikut jadual yang sesuai.  Ini belum berlaku dan saya kata pada suami bahawa Fardhu Khifayah kita pun nampaknya belum terlepas dari pertanggongjawaban.

Saya tidak tahu sama ada perkara seperti ini berlaku di kampung-kampung lain dimerata negara kita. Di Kampung saya di Pontian Johore di mana BN kuat, saya dapati guru agama pun kurang. Kata kakak-kakak saya yang menetap di sana, guru alQuran pun susah untuk mendapatkannya. Maka aktiviti penduduk nampaknya bekisar kepada aktiviti membaca surah Yasin  dan tahlil sahaja. Agaknya mereka rasa ini sudah cukup Islam. Kata kakak-kakak saya tidak ada dorongan dari mana-mana pihak yang istiqamah dan berusaha untuk memberi kefahaman Islam yang setinggi mungkin. Kalau taraf ekonomi rakyat terbangun dengan baik tetapi pegangan pada hukum-hukum Islam sangat lemah, maka saya khuatir nanti tidak ada barakah sepanjang hidup kita. Maka saya khuatir akhirat kita tidak terjamin. Maka wawasan apa yang sebenarnya yang kita ikuti.



Ada terdapat beberapa rumah yang dibina agak baik tetapi generasi pelapisnya sudah berhijrah keluar. Jarang-jarang sekali mereka kembali ke kampung terutamanya apabila umur ibu dan bapa meningkat dan mereka lebih selesa ikut tinggal bersama anak di bandar-bandar untuk rawatan perubatan. Maka keadaan di kampung seperti terbiar. Tidak ada kepedulian yang benar-benar bermakna.

Namun saya perhatikan masih ada sekolah rendah kerajaan berhampiran dengan kampung ini. Ini bermakna masih ada juga generasi muda yang terus tinggal di kampung-kampung. Saya khuatir dasar-dasar dan program-program yang dijalankan oleh pemeritah seperti melepas batuk ditangga. Semoga apa yang saya khuatirkan ini tidak betul semuanya.Saya tidak dapat berhujah dengan kepastian kerana saya tidak membuat kajian. Ini hanya pemerhatian rambang yang saya fikir-fikirkan setiap kali saya pulang ke kampung.


Maka suami saya membawa berunding  kepada jiran-jiran dan saudara mara yang datang berziarah mengenai fenomena ini. Mereka tidak dapat mempengaruhi jiwa-jiwa muda yang rata-rata berpendirian mengikut apa yang mereka dengar, lihat dan baca di media massa. Maka suami saya mencadangkan supaya Masjid kampung di"hidupkan" dengan menjemput tokoh-tokoh yang boleh mentarbiah penduduk setempat untuk mencapai wawasan dunia dan akhirat serentak. Kita mulakan secepat mungkin dan mereka bersetuju berpakat-pakat untuk memberi pernafasan baru. Tetapi soal kewangan bagaimana?  Dana untuk perbelanjaan 2 minggu sekali untuk permulaan akan dicarikan sponsor untuk membantu. Semoga ini akan membawa perubahan. Kami akan pantau sedekat mungkin demi kesejahteraan diri dan ummah. Semoga Allah menunjuk jalan dan memudahkan dan memberkati. Ameen.

2 comments:

Makbonda61 said...

Salam Puan,
Fenomena ini juga saya rasai di kampung asal saya yang saya tulis di http://makbonda61.blogspot.com/2010/08/pelauang-berterawikh-yang-hampir-hilang.html
Sekarang kemakmuran rumah Allah telah berpindah ke bandar-bandar.

ngasobahseliman said...

Salam bersambut. Tkasih singgah sebentar. Saya cuba fikir-fikir bagaimana nak "menghidupkan" suasana sebagai seorang Muslim di kampung2.Nyata sekali kekangan yang ada ialah dana untuk mengurus satu-satu gerakan tarbiah. Saya dengan keluarga besar (extended family) cuba sedikit-sedikit. Semoga Allah memberi ruang dan peluang dan pertolongan supaya mereka yang di kampung-kampung terpencil tidak terpinggir kerana dipinggirkan.Wsalam.

Related Posts with Thumbnails