"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, June 1, 2011

BARANGAN TUA / BARANGAN BURUK



Ini gambar barang tua / barang buruk yang di letak ditepi jalan.
Saya rakam semasa  dalam perjalanan musafir  di Turki baru-baru-baru ini. Saya terasa dalam hati. Inilah kebiasaan hidup. Bila tiada harga maka dicampak ke tepi seperti tidak lagi berguna.

Saya terkenang suatu kisah yang biasa-biasa tetapi bila difikir-fikir rasa agak kebimbangan. Pada malam Sabtu yang lalu suami dan saya menghadiri satu majlis perkahwinan menerima menantu di Hotel Concorde, Shah Alam. Suasana menceriakan dan dapat bertemu sahabat handai dan kenalan.

Di celah-celah perbualan teman yang saya baru kenal duduk bersebelahan,  ia menarik perhatian saya mengenai komposisi para jemputan yang hadir.  Teman baru ini katanya ia belum ada menantu tetapi sering berbual dengan anak-anak mengenainya. Kata anaknya; "Mama, kenapa kita perlu jemput kawan-kawan mama untuk majlis perkahwinan anak. Jemput kawan-kawan biasa  sudahlah. Mana boleh enjoy ramai orang tua." Teman baru ini bercerita selamba dan santai. Seperti komen  itu bukan petanda apa-apa. Tetapi saya rasa terkedu di hati. Inilah perkembangan sosial dan kekeluargaan dalam masyarakat kita sekarang. Orang muda ramai yang tidak nampak bahawa orang tua masih ada peranan. Mereka rasa seperti tidak seronok agaknya. 

Sedih juga rasa dihati. Saya hanya  mengatakan sekarang ini anak-anak muda lebih bergantung pada rakan  sebaya atau dewasa muda kerana ada yang mengatakan orang dewasa tua tidak lagi memahami kehendak dan cita rasa mereka. Teman baru saya hanya tersenyum. Saya pun diam kerana bukan tempatnya dan masanya  untuk berbincang perkara serious seperti itu.

Itulah agaknya sekarang ini bilangan nursing home, diperhatikan secara rambang,  makin hari makin bertambah. Tak kiralah untuk orang tua Islam atau bukan Islam. Nilai insaniah kita makin luntur. Kita membangun dan kemewahan nampak bertambah. Tetapi  tanpa ilmu yang benar dan jelas kita boleh tergelincir dari landasan hidup harmoni. Untuk apa kemewahan dan untuk apa kegembiraan dan kebahagiaan  kalau kesemuanya itu tidak dapat dan tidak mahu dikongsikan......yang muda dengan yang tua. Orang tua menjadi seperti  "Quran buruk", satu pepatah bahasa yang saya rasa amat  tidak selesa menyebutnya.

Semoga ini hanya satu perasaan sensitif sahaja buat malam itu. Hati kecil saya masih mengharapkan bahawa di luar sana generasi pewaris kita semuanya baik-baik belaka.


4 comments:

Makbonda61 said...

Sadisnya,

Anak itu belum terdedah pada erti keberkatan hidup.Apa yang dia nampak ialah dunia keseronokan jiwa mudanya.Berapa orangkah kawan-kawan yang memberi keseronakan itu menadah tangan mendoakan kebahagiaan hakikinya.Itulah pentingnya seawal kehidupan mereka di dedahkan dengan erti sebuah kehidupan dan kuasa yang membentuknya.

Werdah said...

Assalamu'alaikum puan,

Kebetulan saya juga ke majlis yang sama agaknya lah.. di grand ball room kan. jika benar, ibu pengantin tu sama sekolah dengan saya sejak Tingatan 1 hingga 5 di TMGS dan KEVII Taiping,kemudian berpisah, baru malam tu kami bertemu semula setelah sekian lama, masing-masing dah berubah sebab maklumlah dah tua, sya tak kenal beliau begitu juga sebaliknya, dah kenalkan diri barulah tahu tapi dalam majlis begitu tak dapatlah bercakap lama.

O ya, betullah agaknya sebab kawan saya nipun tinggal di Kampong Tunku PJ.

Bila dah tua ni kita perlu jaga hati sendiri, banyak berdoa agar sentiasa dalam kebaikan. Semoga anak-anak kita tak tergolong dalam galangan anak yang membiarkan kita. Dengan pertolongan Allah juga.

ngasobahseliman said...

Salam Makbonda. Terima kasih dan benar kata-kata itu. Yang menjadi masaalah kerana pengaruh di luar yang bertentangan dengan asuhan kita pada anak-anak amat mencabar. Semoga kepimpinan negara kita menyedari hakikat ini dan berusaha membenteras benih-benih dan perbuatan Yang Allah larang. Sama-sama kita doa.

ngasobahseliman said...

Salam Werda. Terima kasih singgah dan bercerita. Betullah tu. Pn Zaiton Shahrom. Dulu beliau berkerja dengan saya di Bahagian Sumber Manusia Kem Pendidikan. Sama-sama kita doa untuk kesejahteraan anak-anak dan keluarga dan ummah seluruhnya. Semoga Allah melindungi dan merahmati.

Related Posts with Thumbnails