"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Friday, January 20, 2012

MENAGIH PERHATIAN


 Jinak betul burung merak ini. Ia mendekati kami semasa kami berhenti minum di sebuah taman dalam perjalanan "jalan-jalan cari makan" baru-baru ini. Saya rasa Merak ini sudah agak lanjut umurnya kerana bulunya atau sayapnya sudah tidak kelihatan secantik yang biasa dilihat dalam gambar-gambar dalam majalah sebelum ini. Tetapi ia nampak sangat jinak dan ia menarik perhatian.



Allah maha pencipta.

Berbagai rupa dan tabiat yang ada pada setiap ciptaannya. Burung merak ini melambangkan keindahan dan di Malaysia ia dilihat sebagai suatu yang melambangkan rasa hebat kerana cantiknya.

Saya katakan pada suami: "Burung merak ini agaknya mencari perhatian kita, manusia. Kasihan  seperti ia keseorangan. Terpinggir dan dipinggir." Tiada yang mendekatinya. Hanya suami saya yang beria-ia menggamit-gamit tangan cuba melayan kehendaknya. Itulah adat dunia. Bila sudah hilang kecantikan, siapa pun tidak mahu mendekati. Agaknya begitu.

Peristiwa seperti ini selalu sahaja membuat saya berfikir-fikir sendiri. Adakah begitu juga keadaannya dengan ciptaan Allah yang digelar manusia. Semasa muda, ramai sahaja peminat yang mahu mengerumuninya. Tetapi bila kecantikan sudah pudar dan kemampuan  diri sudah tiada, saya perhatikan ada golongan  manusia  yang akan terpencil beseorangan dan keseorangan.


Teringat saya kisah orang-orang tua yang saya sering dengari semasa saya belum dewasa tua seperti kini.  Dua puluh tahun yang lampau  (lebih kurang) saya katakan pada teman-teman pejabat bahawa nanti suatu hari kita semua mungkin tinggal di rumah orang-orang tua sebab anak-anak sudah terlalu sibuk. Ramai juga yang menyatakan kekhuatiran ini. Saya membuat telahan bahawa ketika itu kita tidak dihantar ke rumah orang tua atau rumah kebajikan, tetapi ada kemungkinan kita sendiri yang pergi mendaftar diri kerana anak-anak sudah benar-benar kesibukan. Itu pun kalau kita punya kemampuan. Saya amat takut memikirkannya.

Antara yang saya lihat hari ini budaya menggunakan  teknologi  berkomunikasi sudah  hampir memisahkan rasa kasih sayang antara insan. Tiada lagi sentuhan kasih sayang secara berhadapan. Dengan menggunakan teks SMS tiada lagi kedengaran suara. Hubungan hanya melalui mata dan alat komunikasi itu sahaja. Jika bernasib baik dapat melihat wajah di skrin, jika tidak maka yang tua hanya menanggung perasaan berseorangan. Mungkinkah anak-anak generasi muda sekarang terlintas dihati akan fenomena ini. Tidak dapat saya duga.

Mari kita lihat juga trend hidup anak-anak muda sekarang, lebih pada yang sudah berumah tangga. Dahulu di zaman saya muda, saya akan ke rumah ibu-bapa membawa makan masakan sendiri. Tetapi kini tidak begitu. Anak-anak akan membeli makanan untuk dibawa ke rumah. Tetapi ada juga cerita-cerita yang mengatakan anak-anak datang tidak membawa apa-apa. Saya amat khuatir sudah terputus budaya membawa buah tangan sebagai wasilah hubungan kasih bila berkunjung ke rumah sanak saudara, tidak semestinya ibu-bapa. Mungkin sekarang  ajinda makan sudah tidak menjadi suatu yang istimewa. Maka tidak perlu lagi menghubung kasih sayang cara begitu. Mungkin juga. Saya sendiri tidak pasti.  Sekarang ini di kalangan keluarga  yang berkemampuan budaya "keluar makan" sudah menggantikannya.

Selain itu ada fenomena lain pula. Dengan kecanggihan  teknologi sekarang ini makanan  boleh di pesan dan dihantar ke mana jua . Maka saya dengar juga rintihan ibu bapa generasi saya yang mengatakan anak-anaknya berbuat demikian. Tidak hadir sendiri. Mereka guna sistem "home Delivery". Gaya hidup sekarang sudah amat berlainan.Orang dewasa golongan saya hanya tertanya-tanya secara senyap-senyap sahaja. Agaknya terasa di hati juga bahawa mereka tidak lagi dikira penting.

Dalam angkatan generasi saya pun sudah timbul bibit-bibit ibu bapa menagih perhatian. Saya masih teringat emak saya (bapak saya meninggal semasa saya kecil) akan meminta saya balik kerana ia tidak sihat. Saya akan bergesa balik. Biasanya bila balik ia sudah pun sihat. Saya dan kakak-kakak senyum sahaja. Rupanya ia  cuma merindui anak-anak. Maka ia gunakan fenomena "tidak sihat" sebagai alasan. Emak dan bapak mertua saya pun begitu. Bila kita sampai di rumah, mereka sudah menampakan rasa selesa dan boleh bercerita-cerita.

Begitulah halnya. Banyak lagi cerita-ceriti orang-orang dewasa tua yang merasi dirinya tidak mendapat perhatian sewajarnya. Mereka bukan rasa marah tetapi hanya bersedih hati. Tidak disangka zaman beredar begitu rupa. Tetapi mereka yang terdidik dengan nilai-nilai akhlak Islami, berbeza sikap dan cara. Ibu bapa masih menjadi ajinda utama, hingga ada  teman-teman saya yang merasa seronok ditanya kalau mahu menamakan cucu yang baru dilahirkannya. Begitu halus budi anaknya hingga perkara yang dikira kecil pun mahu bertanyakan pada neneknya. Tetapi seorang teman saya berkata supaya kita jangan cepat terasa. Biarkan sahaja. Tentunya Allah akan mengaturkan yang sewajarnya kerana kita sudah sampai peringakt yang tidak lagi relevan pada orang muda. Mereka belajar lebih tinggi dan pergaulan lebih luas. Kita sudah tidak tahu apa yang berlaku diluar sana. Maka kita terima sahaja.


Tidak mengapa. Kita  redha pada apa yang ada yang Allah kurnia, asalkan sahaja kita tahu memunafaatkan masa yang ada. Kita iringi doa untuk semua semoga Allah sentiasa melindungi dan di akhir perjalanan ini Keredhaannya menanti.


4 comments:

Mieza said...

Assalamualaikum Puan, terima kasih kerana catatan ini. Semoga Puan dan keluarga diberkati Allah sentiasa.

Werdah said...

Assalamu'alaikum kak

Semoga sentiasa dalam rahmat kasih sayangNya.

Ambil juga masa singgah sini sebentar, kerap juga singgah tapi tak meluahkan rasa.

Kita sering mengharap agar kehidupan bersama keluarga dipenuhi dengan sakinah, mawaddah dan rahmah, namun ada kalanya dalam banyak keluarga; harapan itu tidak tercapai sepenuhnya.

Semoga Allah melindungi kita supaya tidak jadi seperti merak ini. Allahumma amiin

ngasobahseliman said...

Salam Dear Mieza,
Mieza diumur muda, kalau masih ada ibu dan ayah, rajin-rajinlah telefon. Semoga berkat dan Allah merahmati.

ngasobahseliman said...

Salam Werda, Semoga sihat-sihat.
Kita semua harus mendidik diri supaya kurang bergantung pada yang muda. Sama-sama kita bina keyakinan bahawa kita ikut perintah Allah dan tinggal larangannya, Rahmat Allah akan bersama. Sama-sama kita doa.

Related Posts with Thumbnails