"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Friday, July 20, 2012

BELUM ADA CITA-CITA






Ini cucu saya, Huzaifah, sedang melakarkan sesuatu atas permintaan saya untuk melukis atau menulis apa yang ada dalam hatinya dan pemikiranya hendak jadi apa ia  untuk hari esuk. Saya tidak dapat melihat dari lakaran itu apa yang sedang difikirkan. Bila ditanya, ia kata: "Tak apalah Embah, saya jadi apa-apalah."

"Apa-apalah itu apa?" Saya cuba mencungkil mindanya. Ia berumur 6 tahun 10 bulan dan dalam tahun satu di Adni Islamic School, Kuala Lumpur. Sebulan dulu gigi susunya mula tumbuh yang baru. Sebelum itu pada suatu pagi ia tunjuk pada saya bahawa giginya dah putus...ye, putus katanya bukan tercabut. Saya gelak dan dia pun gelak. Suatu pagi yang menyeronokan saya kerana kami dapat membuat lawak bersama.....

Itulah cucu saya. Belum mengerti apa itu cita-cita. Belum ada gambaran dia nak jadi apa atau nak jadi siapa. Di Adni Islamic School penguasaan bahasa Inggerisnya amat baik jika saya banding dengan cucu lain yang bersekolah di sekolah kebangsaan. Tetapi Huzaifah belum mengerti banyak perkara. Ia belum boleh membaca perkatan-perkataan yang lebih dari 2 suku kata. Saya agak risau tetapi beberapa teman mengatakan itu biasa saja. InsyaAllah nanti di tahun 2 pasti ia dapat membaca.  Saya cuba berfikir sendiri dan cuba menyedapkan hati kerana secara lisan ia boleh berhujah dengan jelas dan logical. Itu halnya di rumah. Di kelas pula gurunya kata ia tidak dapat memfokus kepada sesuatu hingga sesuatu kerja itu selesai. Gurunya tidak berapa "seronok" dengannya dan ini  dapat saya perhatikan dari body language guru itu. Jika didenda pun ia tidak memberi kesan yang dapat menggembirakan guru. Saya amat khuatir guru akan hilang kesabaran. Saya hanya berdoa Allah memudahkan.

Saya sedar bahawa sebelum saya dapat memotivasi cucu saya ini supaya ada kemahuan mahu memfokus diri pada pelajaranya di sekolah, saya seharusnya dapat memotivasi diri saya sendiri untuk mendapatkan ilmu bagaimana saya dapt mengatasi masaalah seperti yang dialami cucu saya ini. Dahulu anak-anak saya tidak ada masaalah seperti ini. Saya gunakan cara tradisional (carrot and stick) untuk mengajar baca dan menulis pada Huzaifah. Ini belum menampakan kesan yang memuaskan. Cara memberi ancaman dan memberi hadiah tidak sesuai kerana saya dapati ia masih belum memahami relevannya belajar membaca. Tetapi hairannya ia boleh diajar membuat matematik dengan mudah sekali walau pun fokus perhatiannya pun tidak lama. Tetapi jika masaalah matematik perlu pada skill membaca, maka ia akan kandas tanpa pertolongan guru.

Hari ini saya terpaksa bawa dia ke kelinik kerana demam. Kata doktot tonsilnya bengkak. Yang saya nak cerita bukan sakitnya. Tetapi ia sibuk kat doktor yang memeriksa kerana ia ingin tahu cara doktor itu menggunakan komputernya.
"Kenapa guna pen?" ia bertanya.
"Bukan pen. Kat rumah guna mouse aje ye? Doktor cuba melayan sambil memeriksa pernafasannya.

Ia tidak takut dengan strangers. Ia berani bertanya, dan di rumah pun sentiasa sahaja bertanya. Tapi saya masih mahu faham mistri tidak mahu belajar membaca. Tulisannya pun tidak teratur. Huruf besar kecil dicampur aduk. Padanya itu tidak penting. Janji ia tulis. Semoga ia berfikiran matang mengikut tahap umurnya. Sementara itu saya mencari jalan bagaimana boleh berbuat sesuatu untuk memperbetulkan "sikap"nya.

Maka itulah dia belum ada cita-cita.

Dia belum mengerti apa itu cita-cita. Saya sendiri pun tak ingat apa cita-cita saya semasa kecil dahulu hinggalah saya di darjah enam sekolah rendah Inggeris. Guru kelas saya asyik bertanya: "What's your ambition?" Kerana takut kalau tak menjawab saya katakan saya nak jadi "Air Hostess." Saya tak faham pun apa tugasnya cuma pernah dengar kata kawan yang kaya bahawa kalau nak keluar negeri, jadilah Air Hostess. Rasa nostalgia bila ingat periatiwa anak penoreh getah di kampung belajar bahasa Inggeris.

Kerana hati terigat-ingat puasa maka teringat juga peristiwa berbuka puasa di kampung semasa kanak-kanak. Hari Sabtu ini kita mula berpuasa. InsyaAllah. Amat sangat seronok waktu itu berbuka  puasa kerana dapat minum air batu sirap. Kalau tak bulan puasa jarang-jarang sekali minum dengan ais kerana tidak ada peti sejuk. Pada bulan puasa ada orang berbasikal jual batu ais di kampung-kampung. Betapa kasih sayang Allah yang maha Adil  dan maha Mengasihani yang maha Memberi Rezki. Kanak-kanak sekarang tidak hairan dan tidak menjiwai kesyukuran seperti kanak-kanak zaman saya dulu. Saya rasa begitu kerana sudah terlalu mudah mendapatkan sesuatu. Itulah hakikatnya. Cara Allah memberi nikmat pada hambaNya berbeza dan hikmahnya pasti berbeza. WaAllahua'lam.

Maka kita belajar untuk sentiasa bersyukur dan redha atas segala ketentuanNya. Ya Ramadhan Kareem. Ya Allah yang Maha Bijaksana Maha Pemurah, kurniakanlah bagi kami semua Rahmat Mu yang tidak terhingga.
Amin.

.....

4 comments:

Werdah said...

Assalamu'alaikum kak

Semoga sentiasa beroleh kesejahteraan dan dalam redha Allah SWT

Memang harus kita risau akan masalah kanak-kanak kurang penumpuan dalam satu-satu perkara tu kan. Tapi insyaAllah saya yakin kak pasti akan dapat mengatasinya nanti. Saya juga percaya bahawa ramai kanak-kanak seperti ini akan berjaya bila menjelang dewasa.

Nostalgia bulan puasa kak sama dengan saya. Beli ais buku dibalut dengan abuk kayu bungkus dengan guni. Hampir masa berbuka baru penjual berbasikal datang dan kami beli jika tidak habis cair.

Semoga kita dapat beramal dengan sempurna sempena Ramadhan kali ini..Amiin

Makbonda Hasimah Hj Zailani said...

Assalamualaikum,

Saya pernah berhadapan dengan seorang pelajar tahun3 masih belum boleh membatang,tapi cekap mengira.Dia anak keturunan orang kaya,peraih kelapa sawit terbesar.Selalu saya cabar dia,"Orang kaya kalau tak pandai membaca nanti selalu kena tipu" dia jawab "Kita letak duit kita kat tempat lain,kalau kena tipu pun tak semua" Saya tahu maksudnya simpan di banyak bank."Sekarang kat mana-mana ada orang menipu,kat tempat lainpun kena tipu,lama-lama habis duit kita"
Setiap kali jumpa dia saya akan kata,Apa jadi kalau orang tidak tahu membaca?" Di tahun 5 dia sudah cekap membaca.

Kak Werdah,pengalaman ais berbalut abuk kayu juga saya merasa mengalaminya.

Salam Ramadan untuk puan Ngasobah dan Kak Werdah.

ngasobahseliman said...

Salam Dear Werda,
Semoga sihat. Setiap Ramadhan Berlainan. Tahun ini saya jaga cucu. Masa agak terhad untuk yang lainnya. Semoga Allah permudahkan. Selamat berpuasa. Kalau ada peluang nanti kita cari jalan jumpa di Hari Raya, insyaAllah.

ngasobahseliman said...

Salam Hasimah. Kalau ada buku bagaimana nak ajar baca, beritahu saya. Kot bolih beli. Semoga nanti di tahun II Huzaifah dah dapat baca. Bulan puasa ini langsung tak ada peluang nak tengok bukunya satu persatu dan mengajar. Harap gurunya bersabar. Semoga Allah beri kemudahan untuk kita semua menjalani hari-hari kedepan ini.

Related Posts with Thumbnails