"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, July 9, 2012

BERSANTAI, BEREHAT ATAU APA ?





Sesekali kita suka bersantai-santai. Cuma tiap-tiap kita punya sebab atau tujuan yang berlainan bila bersantai. Ada yang kata mahu mencari ketenangan, maka pergilah ia ke suatu tempat yang indah dan udaranya nyaman seperti gambar di sebelah kiri. (Saya ambil gambar ini di Shah Alam sebulan yang lalu semasa saya di Kompleks PKNS mencari ubat tradisional untuk diabetis saya). Mereka sembang-sembang sambil melihat mereka yang lain yang suka berkayak atau bersampan. Saya rasa mereka masing-masing mengharapkan dapat melepaskan rasa stress dan dapat merasai ketenangan fikiran walaupun buat seketika. Tetapi mungkin juga tidak dapat apa-apa munafaat. Hanya tuan punya diri sahaja yang dapat menilainya.





Begitulah manusia. Cuba mencari jalan menghibur hati caranya sendiri. Tetapi ada juga orang-orang   yang suka mengikut cara yang biasa dilakukan oleh orang lain kerana  ada manusia  yang biasanya lebih selesa mengikut cara biasa. Jarang-jarang sekali kita akan menemui seseorang bersantai  cara lain dari yang lain. Contohnya: Saya ada seorang teman yang suka menghabiskan masa lapangnya dengan pergi ke rumah orang-orang tua dan bersembang-sembang dengan mereka dengan tujuan menghiburkan hati mereka yang kesunyian. Mungkin juga ia sembang dakwah secara santai kerana ramai juga orang-orang tua yang tidak tahu mencari sumber Ilmu. Denagan membuat kebajikan cara ini kedua-dua pihak rasa terhibur.

 Menemani orang-orang tua yang tidak diziarahi sanak saudara dapat memberi keriangan dihati mereka dan pastinya  orang-orang tua ini rasa dihargai dan dapat merasai kasih sayang antara manusia. Mungkin padanya dapat ia mengadukan masaalah yang ada, dan sedikit perhatian dan pertolongan dapat menenangkan  beban yang dirasai dihari tua. Pada pendapat saya menziarahi warga tua yang terpinggir seperti ini adalah juga satu bentuk bersantai. Cuma jika kita ambil bentuk yang seperti ini kita mencapai objektif serampang dua mata kerana kita dapat membawa keriangan dan dengan itu kita dapat merasai keriangan dan ketenangan. Kita beramal jariah dengan tanpa disedari.

Dalam hal mengisi masa lapang,  anak-anak muda pula  suka berbuat sesuatu yang fisikal. Sepertinya anak saya sendiri. Ia suka  aktiviti berenang dan berbasikal.  Katanya bila berbasikal dan badan berpeluh-peluh, otak rasa relaks. Itulah cara ia bersantai. Dia dan kawan-kawan suka  menjelajah ruang-ruang baru dalam perkampungan  atau daerah terdekat yang menawarkan tempat-tempat yang mencabar daya ketahanan fisikal  mereka.

Di kanan dan di bawah ini anak saya bersantai dengan berbasikal naik bukit ke puncak FRIM. (Ehsan gambar dari teman-temannya). Keseronokannya hanya dia yang tahu.

Kemudian dia bercerita juga dia pernah  bersama kawan-kawan  berlatih "kemahiran F1" di Sepang. Saya andaikan sahaja ia buat lawak dan tidak bertanya lebi-lebih apa halnya. Tiba-tiba esuknya dia mengadukan pinggangnya sakit. Kali ini saya bertanya mengapa boleh jadi begitu. Rupa-rupanya  ia kemalangan sedikit semasa testing lumba Go-Kart. Mujur juga bila di Xray tulangnya tidak patah atau retak. Cuma urat-urat sahaja yang  membengkak dan terasa sakit sedikit. Kalau relaks cara ini  saya katakan padanya RISIKO tinggi. Mana ada keseronokan tanpa risiko, katanya.





"Ini serious ni, kenapa cari masaalah dan tambah masaalah yang tidak perlu. Cuma kerana nak santai ?" saya tanyakan bertubi-tubi mengasak sikapnya yang "kurang prihatin" tentang keselamatan.

"Saja je Mak, kadang-kadang teringin cari "excitement in life." katanya sambil senyum-senyum.

"Itulah anak muda sekarang. Pendek akal. Mak dulu dah kata: "work before pleasure". Sekarang dah sakit isteri pulak yang susah."

Dia terus senyum-senyum.
"Mak tak sportinglah...." agaknya itu tersebut dalam hatinya.

Lantas saya duduk memikirkan perihal anak-anak. Bagaimana mereka menggunakan masa lapang. Dalam zaman teknologi seperti kini, ada yang asyik dengan chatting di facebook, beramin games dan sebagainya. Saya pun kurang mengerti bagaimana mendapat keseronokan cara begitu. Ada yang suka ke tempat-tempat hiburan seperti di pusat karaoke atau bermain pinball dan berbagai lagi yang saya rasa saya  sudah ketinggalan zaman memahaminya.

Mari kita berfikir seketika.

Saya masih teringat dalam tahun akhir tujuh-puluhan  atau awal lapan-puluhan, saya diajak oleh seorang teman untuk mengikuti kelas tafsir alQuran di Kampus UIA yang baru tertubuh waktu itu di seksyen 16, Petaling Jaya.Professor yang mengendalikannya ialah Prof. Kamal Hassan yang kemudiannya pernah menjadi Rektor UIA itu sendiri. Kelas tafsirnya dalam bahasa Inggeris, diadakan lebih kurang setengah jam sebelum masuk waktu Asar. Saya hairan mengapa demikian. Pada saya ia menggangu kesinambungan ceramah yang sedang berjalan. Teman saya mengatakan bahawa itu suatu yang disenghajakan kerana Prof. suka melatih individu datang ke Masjid dan cara seperti  ini  tidak memberi tekanan pada sesiapa.

Saya tersedar bahawa tindakan itu bijak. Di era itu  mereka yang berpelajaran tinggi sememangnya tidak jinak dengan Masjid. Maka dengan cara ini Prof. Kamal telah dapat memulakan satu perubahan budaya menggunakan masa. Dalam ceramahnya juga beliau suka menyelitkan cerita-cerita bagaimana seseorang itu boleh menggunakan masa lapang.  Kalau orang biasa pergi ke Club-club hiburan di hujung minggu untuk menghilangkan stress, beliau kata pergi ke Masjid dan ke majlis-majlis ilmu juga dapat menghilangkan stress. Dan cara ini lebih berkesan kerana ia dapat berterusan. Menghilangkan stress secara hiburan orang Barat, ia hanya untuk seketika. Keesukan harinya stress itu muncul semula. Jika kita duduk dalam enviromen atau pesekitaran yang menggamit keredhaan Allah, kesanya adalah lebih positif. Saya masih ingat kata-kata beliau: "There are many ways to 'let your hair down' over the week end. Try the unconventional ways. You may find results far beyond your expectations". Beliau mengajak supaya kita jangan terikut-ikut sangat cara Barat menggunakan masa lapang dan cara mereka berhibur. Carilah cara yang bermakna untuk hidup kita sekarang dan esuk.

Sehubungan dengan ini ada orang yang telah berhenti bermain Golf dan telah memilih bersantai cara yang lain pula. Ada diantara yang berhenti itu mengatakan bahawa mereka mahu cuba pula berjinak dengan teman-teman yang sibuk menambah Ilmu yang bermunafaat yang akan membolehkan mereka mendapat ketenangan yang lebih real, nyata dan berterusan. Dan mereka tidak perlu berbelanja tinggi berbanding dengan main golf. Lagi pula ada yang mengatakan main golf itu bercampur dengan pertaruhan yang boleh jadi seperti perjudian. Maka mereka lebih suka mengundur diri.

Dalam konteks ini banyak lagi yang boleh di fikirkan dan banyak alternatif yang lebih menguntungkan diri. Cara bersantai  seharusnya mengikut kesesuaian umur dan hala tuju hidup. Banyak lagi yang perlu diamati supaya tidak tergelincir dari landasan.Ada yang saya tahu  suka pergi berkebun dan bila berehat penat mereka membaca alQuran atau sembang-sembang dakwah.  Alangkah bahagianya. Kita tanyakan diri sendiri atau tanyakan pada kawan-kawan yang lebih berilmu dan lebih berwibawa dari segi keperhatinan mencari jalan yang Allah redha. Kita ikut mereka walaupun mereka itu rendah dari segi status sosialnya.





Kita fikirkan sama-sama. Saya juga berfikir fikir demi kesejahteraan yang sebenarnya. Manusia tiada yang sunyi dari kesilapan, termasuk  diri saya sendiri. Semoga Allah mengampuni dan menunjuki jalan yang diredhai.

....

No comments:

Related Posts with Thumbnails