"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, March 4, 2013

Terbang pulang ke sarang...





".......akirnya kita akan dikembalikan". 

Tiba-tiba seorang teman disebelah saya duduk berkata seorang diri. Saya dan suami sedang menikmati hidangan di majlis perkawinan anak seorang jiran sekampung.

"....kita semua akan dikembalikan", ia mengulangi kata-katanya lagi tetapi kali ini ia memandang ke arah saya. 

"Kenapa Datin, berfikir panjang ke? " saya melayan cakapnya. Datin adalah isteri seorang teman semasa saya berkerja dahulu dan sekarang saya sering berjumpa dengannya di Masjid. Datin rajin membantu sukarela dan mudah  menjalin silaturrahim. Siapa jua akan selesa dengannya.

" Eh, taklah....Tadi baru mendapat berita kematian seorang teman. Ingatkan diri sendiri,"
"Oh...diumur seperti kita ni memang mudah terkesan dengan cerita seperti itu. Tapi hari ini hari bahagia bagi anak teman kita. Meriah sungguh majlis ini ya !," saya cuba mengalih arah perbualan".

"Sobah," dia menarik perhatian saya lagi. "Saya nak pindah rumah dalam masa sebulan dua ni. Datanglah ziarah kami." Nadanya bersungguh-sungguh sambil mengerling Dato' yang ada besebelahan.

"Pindah ke mana?" lantas saya bertanya.
"Nanti saya bagi pelan tunjuk arah. Kami nak pindah ke Dengkil. Dekat dengan perkampungan Jenderam tempat pusat pengajian Pondok."

"Oh...saya tahu tempat itu. Saya pernah ke sana dan pernah tidur di sana dengan seorang teman yang mewakafkan sebuah rumah untuk warga emas yang ingin merasa tinggal di Pondok. Bagus tempat tu. Ramai juga ibu-ibu tunggal warga emas yang saya temui di sana. Katanya masa mereka di sana terisi dengan ilmu dan amalan-amalan ibadah khusus."

"Nanati balik ambik pelan kat kereta saya, ya! Jangan lupa." 
Saya tidak lupa dan meyimpanya dalam drawer kereta. Senang rujuk semula.

Memang tepat perkampungan Jenderam yang saya katakan bila saya melihat pelan tunjuk arah. Dalam perjalanan pulang dari majlis perkahwinan itu saya mengusik suami saya. "Jom kita pindah ke sana juga." Suami saya hanya tersenyum kerana tidak mungkin kami mampu membeli rumah di sana.

Secara kebetulan seorang teman sekampung di Kg Tunku pun telah membeli lot tanah berhampiran kawasan Pondok Jenderam itu dan sedang merancang pembinaannya. Dia mengatakan pada saya suaminya suka tempat itu kerana banyak program yang mendorong seseorang rajin beramal ibadah. 

"Bila mampu berulang alik, kami akan ke sana beberapa hari seminngu dan tinggal di Kg Tunku di hujung minggu jumpa cucu-cucu," katanya.

Seorang teman lain mengatakan di situ bukan program untuk warga emas sahaja tetapi juga program untuk peringkat anak-anak. Itu benar kerana saya pernah mengikuti pengajian kitab kuning di masjid di Taman Tun Dr Ismail  Kuala Lumpur satu ketika dulu yang dikendali oleh Ustaz yang jadi Founder sistem "Pondok" di situ.

Apa yang menarik perhatian saya ialah mengenai program warga emas kerana saya dalam zon itu. Setengah orang berpendapat bahawa eluk bagi warga emas menyibukan diri dalam program "amal ibadah" yang biasa difahami ramai orang Melayu kita. Tidak perlulah buat apa yang lain kerana had umur kita dah sampai. Kita bersedia untuk akhirat.

Ini bermaksud kita solat, puasa, mengaji alQuran, mendengar ceramah dan apa-apa jua yang berkaitan dengannya.

Ada juga orang yang berpandangan bahawa warga emas tidak semestinya "duduk di tikar sembahayang" sahaja.Ada berbagai cara untuk bersedia menghadapi akhirat. Buat amal jariah bentuk lain pun insyaAllah Allah ambil kira. Ada banyak pintu memasuki  Syurga. Usaha ikut mana-mana satu pun Allah maha menyaksikan. Saya ingat pesanan Ustaz saya. Jikalau kita masih mampu wang ringgit dan tenaga, maka eluklah kita beramal yang melibatkan kesejahteraan orang lain juga. "Erti hidup pada memberi," katanya. Kita jaga hubungan dengan Allah dan jaga juga hubungan sesama manusia.

Maka saya terfikir-fikir. Saya berpendapat tempat seperti itu eluk bagi warga emas yang tidak punya waris terdekat untuk mengurus mereka tetapi mereka mampu wang ringgit untuk tinggal di Pondok. Saya dimaklumkan ada warga emas yang tinggal pada hari-hari biasa dan pada hujung minggu anak-anak akan menjemputnya untuk tinggal bersama. Ia akan dihantar pulang ke Pondok itu pada petang hari Ahad dan dijemput semula pada petang Jumaat.

Saya rasa itu pun satu cara yang baik. Warga emas ada teman sebaya di Pondok untuk bertukar-tukar fikiran dan boleh bersama keluarga di hujung minggu. Cuma tidak ramai yang mendapat peluang seperti itu. Ada anak-anak yang jarang-jarang menjenguk kerana sebab-sebab kesibukan.

Maka seperti burung, kita terbang pulang ke sarang. Tempat yang memberi ketenangan kerana sentiasa mendapat perhatian teman-teman dan mendapat bimbingan dari ustaz-ustaz.

Semoga Allah redha atas apa jua pilihan kita dan kita redha atas segala ketentuaNya.
Semoga Allah mengampuni.

.....

2 comments:

Temuk said...

Assalamu'alaikum, ngasobahseliman.

Maklumat yang berguna. Semoga apa juga jalan yang kita pilih, akan diterima dan diredhai serta diberkati Allah. Teringat syarahan-syarahan ustaz, juga dari pembacaan, sememangnya bayak jalan ke syurga... berkemungkinan besar kita tak akan berdaya melalui kesemuanya. Semoga dengan melalui jalan-jalan yang termampu, walau sedikit, Allah akan menyampaikan kita ke sana. Matur nuwun.

ngasobahseliman said...

Waalaikumussalam, Terima kasih mamper lagi Pak Temuk. Beberapa kawan saya sering ke Jenderam. Saya teringin juga sesekali. Agaknya bila Allah izin akan sampai juga. Seorang kawan saya yang lain masih bekerja memegang amanah menggubal dasar-dasar percukaian negara. Pendapatannya lumayan. Beliau rajin berinfak rezki yang Allah kurnia. Itu pun satu jalan yang di tuntut asalkan nowaitu kita betul dan ikhals.

Semoga laluan kita Allah permudahkan dan sama-sama kita dan semua ahli keluarga dan siapa jua yang kita sayang berjumpa di Syrga Firdaus tanpa hisab. Dengan Rahmatnya jua. Salam.

Related Posts with Thumbnails