"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, November 23, 2016

Apabila kerja kebajikan dibuat tanpa semangat juang....





Setiap kerja kebajikan akan Allah ganjari dengan Syurga jika ia dilakukan dengan semangat tulus ikhlas. Maka ramai kita manusia yang mahu menolong mereka yang kurang berkemampuan, membiayai anak-anak miskin mendapat pendidikan yang sempurna, menggembirakan anak-anak yatim dan berbagai lagi. Alhamdulilah,.... sudah ramai yang menyedari hakikat ini. 

Namun ramai juga antara kita yang berusaha membuat kerja-kerja kebajikan tanpa mengerti dan menjiwai semangat juang.  Sepertinya ia tidak berbuat sesuatu dengan penuh kesabaran dan redha mengorbanan keselesaan diri. Masih berkira tentang keuntungan pada diri walaupun ia berbuat sesuatu nampak pada zahirnya ia membuat kebajikan untuk orang lain. Lebih menyedihkan lagi apabila seseorang itu masih bersifat ujub dalam melaksana sesuatu yang ditakrif kebajikan oleh kumpulan dimana dia berada dan rasa tidak seronok jika ia tidak di beri penghargaan atau pengiktirafan yang sewajarnya. 




Ada juga diantara kita yang bersemangat kompetitif dan sentiasa mahu dilihat sebagai berusaha lebih dari orang lain dan sentiasa mahu dihargai. Atau pun dia akan memastikan usaha orang lain tidak nampak sebaik usaha yang dijalankan oleh dirinya. Maka ia akan mencari salah akan usaha orang lain itu dan menonjolkan bahawa usahanya itulah yang betul dan patut dicontohi.

Beberapa hari dahulu saya menghadiri satu mesyuarat tahunan sebuah Masjid dan timbul pertelingkahan yang amat menyedihkan hati saya. Ada diantara ahli yang lupa bahawa tujuan kerja kebajikan akhirnya ialah untuk kesejahteraan ummah, bukan untuk diri, bukan untuk keluarga dan bukan untuk negara semata-mata ........ tetapi untuk ummah.....demi kemanusian kerana Allah.

Kita sebagai orang yang mengaku dirinya Muslim Mukmin harus berjiwa besar, bertindak untuk kesejahteraan ummah mengikut apa yang disarankan dalam alQuran dan Hadith. Kita tidak boleh berlaku sewenang-wenang semata-mata kerana mereka yang di sekeliling kita bukan Muslim. Kita membuat kebajikan tidak mengira rupa kulit bangsa dan agama. Sebagai orang Islam, jika berbuat baik kepada siapa jua yang memerlukan maka itu adalah dakwah secara amal. Ingatlah cerita dimana seorang wanita Allah kurnia masuk syurga kerana memberi seekor anjing minum kerana kehausan.

Ayuh kita perbetulkan nowaitu kita dengan pertolongan Allah dan dalam berusaha  kita turunkan ego kita apabila berbicara, terutamanya di Masjid di mana ramai ahli adalah dari golongan tua yang amat sensitif terhadap sikap orang-orang muda. Adab amat penting dalam Islam. Biarlah kita bersusah bersama-sama dan senang bersama-sama. Baik lagi jika kita redha bersusah payah demi menyenangkan orang lain  semata-mata kerana Allah. 

Semoga Allah sentiasa menunjuki kita jalan yang benar, jalan yang Dia redha. Manusia sering lupa maka itulah kita nasihat menasihati. Saya amat takut saya sendiri kecundang bila tercabar. Semoga Allah mengampuni.

Aameen ya Rabb....


.....

No comments:

Related Posts with Thumbnails