"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, November 9, 2016

Setiakawan...apa jua keadaan.



Sabtu 5 November saya dengan seorang teman berusaha mencari rumah adik seorang kawan di Selayang untuk pertama kalinya. Walaupun teman saya sudah ke sana hari sebelumnya, tetapi pada hari itu kami tersesat jalan. Maklumlah kami di umur emas sudah tidak mudah mengingat sesuatu. Ia cuba menggunakan google map tetapi tidak berjaya. Ia menggunakn waze, juga tidak berjaya. Maka berpusing-pusinglah kami dalam waktu hampir sejam. Akhirnya bertemu setelah bertanyakan dengan penduduk yang berhampiran. Ia menjadi mudah bertanya kerana hari itu ada kenduri kahwin di rumah adik kawan baik saya ini. Kami parking kereta hampir 200 meter jauhnya kerana terlalu ramai tetamu majlis perkahwinan itu. Saya tidak rasa kepenatan dan rasa hairan kaki saya membantu usaha saya untuk segera bertemu dengan kawan saya itu.

Amat lega dapat bertemu dengannya kerana sudah lama mendengari ia kurang sihat dan akhir sekali saya menziarahinya sudah hampir dua tahun yang lalu. Ia tinggal di Teluk Intan maka itulah yang menjadi masalah bagi saya dan kekawan yang lain. Kini kawan saya sudah agak uzur. Dalam foto ini ia bertudung hitam dan adiknya berdiri kanan sekali.

Kini ia tinggal berseorangan di Teluk Intan, di kawasan sekolah  agama Maahad Tahfiz yang diusahakannya dengan kerjasama sebuah Ngo. Tetapi rumah keluarga adik lelakinya ada berhampiran. Dia yang membantu menguruskan keperluan harian. Alhamdulilah.

Di hari tua semangat setiakawan saya rasakan amat perlu. Kalau semasa muda kita ke hulu dan ke hilir bersama, maka sudah sewajarnya pautan kasih antara kawan harus berterusan. Namun dalam budaya Melayu kita, kekuatan adik beradik menjadi lebih utama dan peranan sanak saudara menjadi lebih penting. Maka kami kekawan sejak muda menolongnya dari pinggiran sahaja. Kami menziarahinya  untuk bersembang santai, mengingatkan sesama sendiri keperluan kita untuk lebih peduli dalam mencari ilmu dan beribadah khusus selaras dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah sallallhualaihiwasalam dalam sunannahnya menerusi para ulamak dan kemudian ustaz-ustaz yang mengajar kita.

Kawan saya ini, seperti saya juga, daya ingatan sudah agak menurun. Namun kebelakangan ini keuzurannya membuat ingatannya agak bertambah lemah. Itu sudah lumrah dalam proses menua. Maka saya mengingatkan diri supaya tidak membuang masa dalam menjalankan kerja-kerja kebajikan. Semoga Allah memberi kekuatan mental dan fisikal dan meningkatkan iman dan taqwa semoga bila-bila masa sampai ke penghujung umur, kita redha dan Allah meredhai.

Itulah juga doa buat kawan saya ini. Entah bila lagi kami akan dapat berjumpa lagi. Mungkin dalam 2 minggu kami bertemu lagi apabila ia datang ke rumah adiknya di Selayang. Semoga kali ini tidak sesat barat. Semoga Allah sentiasa bersama kami dan memudahkan segala urusan kami hinggalah kami bertemu akhirnya di Jannatul Firdaus tanpa hisab dengan Rahmatnya semata-mata.

Aamiin ya Rabb................

No comments:

Related Posts with Thumbnails